2 || Terhalang

Fantasy Series 2900

Ayriex menjerit kecil apabila Luz menampal herba di belakang badannya, bau hangus dan tanah bercampur dengan bau kepam di bilik mereka. Mereka sedang duduk di atas serpihan kotak dan kertas yang sudah koyak, tempat dimana Luz tidur pada setiap malam. Ditepinya tingkap terbuka, menjemput angin bayu malam masuk ke ruang yang penuh dengan barang terbuang dan kotak kosong. Bulan pada malam itu separa penuh tapi cahayanya sudah cukup menerangi bilik itu, sekaligus memperlihatkan lebih banyak lebam yang tidak dapat dilihat dengan bantuan cahaya lilin.

Luz tidak berkata apa, sebaliknya membiarkan jemarinya menyentuh lembut kulit seputih porcelin itu yang sentiasa dipenuhi luka dan lebam. Dia menyapu herba di kawasan sekitar pinggang Ayriex dimana Encik Dunsten telah menumbuknya pada petang tadi.

"Sakit?" Luz bertanya kerisauan. Kepalanya disengetkan untuk mencari riak Ayriex tapi budak lelaki itu tidak menunjukkan apa-apa emosi. Rambut hitamnya berada di pandangan Luz dan Ayriex tidak membalas sebaliknya menggelengkan kepala. Luz melepaskan keluhan. Dia meneruskan aktivitinya sehingga tiada satu pun luka yang terlepas. Dia bersyukur dia pernah mempelajari ilmu berguna seperti menghasilkan ubat dari tumbuhan liar. Itu adalah jasa Trevor yang sentiasa mengajarnya tanpa penat.

"Baiklah, dah siap." Luz menyerahkan baju kepada Ayriex, mengarahnya untuk memakainya kerana suhu pada waktu malam sangat sejuk. "Tidur di sini malam ni. Tempat saya lebih selesa," pelawa Luz, menepuk kotak yang mereka duduk. Tapi Ayriex pantas menolak, seperti kebiasaannya.

"Tak apa, saya boleh tidur di tempat saya sendiri," katanya, perlahan-lahan bangun. "Ini cuma luka kecil saja."

Namun Luz menarik pergelangan tangannya lalu memaksa Ayriex untuk duduk semula. "Tempat awak, tak selesa. Ia hanya akan membuatkan badan awak lebih sakit. Herba ini tidak akan mengubati luka awak sepenuhnya jadi sekurang-kurangnya, awak tidurlah di tempat yang selesa supaya kurang sakitnya," Luz membalas, memberikan pandangan tajam kepada Ayriex dan apabila sekali lagi dia cuba untuk membantah, Luz pantas bangun. "Tidur saja di sini. Lagipun saya takkan mati kesejukan kalau tidur di tilam yang nipis. Saya bukan budak-budak lagi."

"Bukan itu maksud saya..." Ayriex berjeda, menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Awak adakalanya berperangai macam orang tualah, Ayriex. Padahal baru saja berumur 17 tahun. Berhenti terlalu risaukan saya," kata Luz dengan senyuman. Matanya kemudian memerhati bilik yang kecil itu. Tiada apa melainkan lilin yang sudah pendek di setiap penjuru bilik, serpihan kotak menutupi lantai dan pakaian basah tergantung di atas tali yang merentasi bilik itu. Luz pandang tempat tidur Ayriex. Kotaknya sudah semakin menipis.

"Mungkin kita boleh mencari kotak atau kertas pada esok hari," Luz memberitahu tapi ada nada tidak pasti dalam suaranya.

Ayriex merenung Luz lama. "Awak tahu perkara itu mustahil sekarang ini, kan?" Katanya dengan nada bergetar. Dia bangun, membuka tingkap lebih luas supaya angin dapat masuk. Luz membuntuti Ayriex, mengikut arah matanya yang leka memerhati pemandangan di luar bangunan yang sudah usang itu.

"Kita dah berjanji dengannya, sebagai balasan agar nyawa kita diselamatkan. Entah bagaimana rupa masa depan kita," kata Ayriex dengan sedih. "Kehadiran mereka sedikit sebanyak mengekang pergerakan kita."

Luz faham dan bersetuju dengan kata-kata Ayriex. Dua minggu yang lalu, Diondell dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan askar yang memakai pakaian seragam biru gelap dan di dada kanannya terukir simbol matahari yang berwarna merah. Mereka datang tanpa dijemput dan memperkenalkan diri sebagai pelindung kepada bandar ini. Kegembiraan jelas terpancar di wajah penduduk Diondell yang sentiasa mengharapkan perlindungan daripada Kerajaan Tertinggi untuk melindungi mereka daripada makhluk kegelapan.

Namun yang diharapkan, lain pula yang terjadi.

Datangnya mereka untuk membawa titah dari Carnia, Kerajaan Tertinggi di Alveria. Di setiap dinding bangunan tembok ditampal kertas berwarna emas kekuningan sebaik saja mereka tiba. Lagaknya seperti memiliki kuasa yang terhebat, 'Askar Biru', gelaran yang diberikan oleh Luz kepada mereka membaca titah Di Raja itu dengan lagak sombong dan bongkak.

Magi tiba-tiba menjadi satu amalan larangan.

Kata-katanya mengejutkan seluruh penduduk Diondell umpama bom yang meletup. Kemarahan jelas terpancar dan tidak lama mereka semua membantah sekeras-kerasnya undang-undang baru itu. Kata mereka, tiada yang lebih teruk daripada tidak menggunakan magi dalam hidup mereka. Apa bezanya dengan lumpuh? Tapi Askar Biru langsung tidak terjentik oleh herdikan penduduk Diondell seperti sudah menjangkakannya. Tanpa suara, ketua Askar Biru itu mengangkat tangan kananya dan sebiji bebola angin terhasil, lebih besar daripada sebuah rumah.

Masing-masing kecut perut dan terkaku.

Pada masa itu, Luz sedang bersembunyi dibelakang tong milik Encik Luscien, pemilik kedai minuman tidak jauh dari dewan dimana pengumuman itu dibuat. Dari jauh Luz dapat mendengar suara garau itu, memberi amaran kepada siapa-siapa yang ingkar dengan arahan itu.

"Bilangan kami mungkin sedikit tetapi kuasa magi kami jauh lebih kuat daripada kamu semua. Seorang askar ini dapat mengalahkan seratus alven, jadi kalau kamu mahu mencubanya, silakan," katanya tenang tapi terselit amaran. Ada yang patuh dan ada yang... tidak.

Mereka sangat tahu yang Encik Dunsten adalah salah seorang alf yang degil itu. Dia dikenali dengan sikapnya yang mudah baran dan ego sebesar biji Thonk. Takkan dengan mudah dia akan tunduk pada pemerintah yang tidak pernah mengambil berat dengan bandar Diondell.

Dan dari situ rancangan mereka bermula. Rancangan untuk mengenakan Encik Dunsten supaya dia ditangkap oleh Askar Biru. Dan apabila ia berjaya dilakukan, kedai bakerinya akan ditutup. Dengan itu, mudahlah untuk mereka menyelinap masuk dan mencuri makanan yang dijual di dalamnya.

Mengikut plan Rho, Ayriex ditugaskan untuk mengumpan Encik Dunsten jauh ke kawasan terbiar itu dan memaksanya menggunakan magi. Sudah tentu orang tua itu akan lakukan kerana dia sejenis yang suka menunjuk-nunjuk dan seorang pendendam. Tapi sebelum itu berlaku, Askar Biru haruslah berada di tempat kejadian dan menjadi saksi supaya Encik Dunsten dapat ditangkap. Itu adalah tugas Rho dan Stom.

Kedengaran nampak mudah tapi terlalu banyak kemungkinan yang menyebabkan Luz jadi ragu-ragu. Bagaimana kalau Askar Biru tidak tiba pada waktu Encik Dunsten menggunakan maginya? Ayriex akan ditangkap atas kesalahan mencuri atau lebih teruk, dihukum bunuh disebabkan identiti dirinya. Mereka tidak pernah ditangkap, sebab itu Luz tidak pernah tahu apa jenis hukuman yang bakal dihadapi mereka. Hanya sekali saja perkara itu berlaku namun mereka dilepaskan semuanya kerana Trevor.

Luz mahu menolak tapi perutnya tidak lagi membenarkan akalnya berfungsi dengan baik. Dua minggu sudah perutnya dialas dengan makanan basi dan terbuang disebabkan takut ditangkap oleh Askar Biru itu. Mereka tiada jalan lain melainkan menjalankan rancangan itu.

"Percayakan saya," begitulah kata-kata Rho yang tersemat di otaknya. Ya, dia percayakan Rho lebih dari segalanya di dunia ini. Apa yang dikatakan oleh Rho semuanya betul. Dan kalaupun rancangan itu gagal, itu adalah disebabkan elemen yang tidak terjangka, bukannya idea bernas Rho.

Tapi akhirnya semuanya berbaloi.

"Saya tahu. Tapi saya bersyukur kita terlepas lagi kali ni. Nasib sentiasa berpihak kepada kita, kan?" kata Luz gembira. "Jantung saya hampir tercabut apabila askar itu menggeledah tubuh awak. Mati-mati saya ingat awak sembunyikan makanan di dalam baju."

Suara dalam itu ketawa. Jarang sekali kedengaran suaranya tapi sangat berharga. "Si tua itu tidak sedar saya sudah lemparkan makanan yang dicuri di salah satu lorong yang kami lalui. Sebab dia sibuk nak kejar saya, dia tak nampak tangan saya yang bergerak pantas. Awak jangan mati dulu. Kita belum lagi menjelajah di seluruh dunia. Itu adalah impian kita, kan?"

"Ya. Itupun kalau kita dapat hidup lama. Saya takut kita akan mati kelaparan sebelum ada peluang keluar dari Diondell."

Ayriex tidak membalas. Dia menebarkan pandangannya ke arah bangunan-bangunan usang yang terbiar dan rumah roboh di sekitar bangunan yang mereka diami.

Sejak peperangan yang berlaku 16 tahun yang lalu, tiada seorang alf pun yang berani menjejaki ke kawasan larangan itu. Ia telah menjadi satu bentuk memorial kepada penduduk Diondell - memori akan kesedihan kehilangan orang yang tersayang dan keperitan kemusnahan harta benda yang tidak ternilai. Tapi untuk mereka berempat, tempat ini adalah rumah mereka. Tempat yang paling selamat kerana tiada siapa yang akan peduli hidup mati mereka. Tambahan, kawasan larangan itu berdekatan dengan pintu selatan. Ia adalah satu-satunya laluan ke Hutan Branwenn, tempat dimana makhluk kegelapan tinggal.

Tapi sehingga ke hari ini, makhluk itu belum dapat melepasi pintu yang tertutup rapat dan kukuh umpama tembok. Mungkin kerana magi yang menyaluti pintu itu masih kukuh tapi Ayriex jangkakan ia tidak akan lama. Saban malam mereka pasti akan mendengar lolongan yang menyeramkan dari luar dinding yang melindungi bandar itu. Dan semakin hari, bunyian itu semakin kuat seolah jumlah makhluk itu semakin bertambah terutamanya apabila bulan mengambang penuh. Nasib baik malam ini bulan hanya separa, kalau tidak mereka terpaksa bersengkang mata sebagai langkah berjaga-jaga.

Bunyi ketawa dan muzik dari jauh menarik perhatian Ayriex. Dia mengerling kawasan pusat bandar yang dihiasi percikan lampu berwarna-warni, menerbitkan rasa cemburu di hatinya.

"Hidup kadang-kala tidak adil," Ayriex berkata tiba-tiba. "Mereka menghakimi kita hanya disebabkan darah yang mengalir dalam tubuh kita, bukannya diri kita yang sebenar. Mereka tidak tahu apakah kita yang sebenarnya tapi mereka sudah menghukum kita - memberi pelbagai gelaran dan menyumpah kita seolah kewujudan kita adalah satu kesilapan."

Luz pandang ke dalam anak mata Ayriex dan nampak kebencian yang mendalam dan rasa luka pada nada suaranya. "Mereka hanya beranggapan kita berbeza."

"Tapi itu bukan satu alasan untuk melayan kita seperti makhluk kegelapan itu juga," Ayriex mendengus kasar.

Mendengar perkataan itu, memori pahit yang cuba dilupakannya bermain di mindanya dan Luz tanpa sedar menyentuh penutup mata yang menyembunyikan mata kirinya. Selepas peristiwa itu, Luz berazam untuk menyimpan rambut depannya supaya panjangnya dapat menutupi mata kirinya. Dengan itu, tiada siapa yang akan perasan dan akan takut pada dirinya. Ia juga adalah simbol dirinya berbeza dengan rakan-rakannya yang lain.

"Kita bukan makhluk kegelapan," bisik Luz lebih kepada dirinya sendiri. "Bukan salah kita dilahirkan begini. Kita juga idamkan kehidupan normal seperti alven lain. Tidakkah mereka nampak layanan mereka itu membuatkan kita sengsara? Walaupun kita begini, kita tidak pernah membunuh orang. Mencuri pun sebab terpaksa," katanya perlahan. Sebenarnya Luz malu dengan tindakan mereka. Mereka tahu mencuri itu salah tapi nak buat macam mana, sudah terpaksa.

"Saya ingatkan mereka akan tangkap kita dan berikan hukuman berat."

Ya, Luz juga fikirkan begitu. Mana tidaknya, masing-masing menunjukkan raut tidak percaya apabila Luz memberitahu identiti mereka yang sebenar. Kata mereka itu adalah perkara mustahil kerana Alven Cahaya dan Alven Kegelapan tidak boleh bersatu. Ia seperti langit dan bumi. Jelasnya, magi di dalam tubuh dua puak itu tidak dapat bercantum. Jika ia berlaku, tenaga negatif akan berlaku. Sebab itu tiada seorang Alven Cahaya pun yang berani mengahwini Alven Kegelapan walaupun ada menyimpan perasaan. Semuanya terpaksa dimatikan kerana takut perkara tidak diingini berlaku. Tambahnya lagi, kejadian itu pernah berlaku dan pengakhirannya, si perempuan kehilangan nyawa apabila cuba melahirkan anak mereka. Magi di dalam tubuhnya bergelut sesama sendiri hingga akhirnya memakan nyawa si ibu dan anak.

Selepas itu, undang-undang baru diwujudkan melarang perkahwinan antara Alven Cahaya dan Alven Kegelapan.

Pun begitu, kewujudan mereka berempat membuktikan masih ada lagi alven yang melanggar perintah itu. Dan yang menerima balasannya sekarang adalah mereka.

Puas Luz meyakinkan kebenaran cerita mereka, akhirnya Askar Biru itu melepaskan dia dan Ayriex dengan syarat mereka tidak dibenarkan mencuri lagi.

"Payah kita nak bergerak ke mana-mana lagi," keluh Ayriex.

Luz memberikan senyuman penuh semangat. "Tak apa, kita akan fikirkan. Asalkan kita masih bersama, itu yang penting."

"Betul tu!"

Luz dan Ayriex menoleh ke belakang. Kelihatan Rho masuk dari pintu yang sudah tertanggal tombolnya dengan longgokan kertas di tangan. Rambut perangnya yang panjang hingga ke dada diikat kemas dan digantung di bahu kiri. Kulitnya yang seperti Luz bersinar keemasan dibawah sinaran cahaya lilin yang malap, tapi jelas perbezaan antara mereka berdua. Luz membuat muka tidak berpuas hati. Kulitnya kusam manakala Rho licin seperti baldu. Dia pernah bertanya sebab perbezaan itu. Jawab Rho, sebab dia tidak mandi. Memang tidak guna punya kawan. Luz jarang mandi disebabkan tiada air di kawasan itu. Sudahlah Diondell jarang dihujani, maka berkepamlah badannya dengan bau peluh dan hangit. Bagaimana Rho dapat menjaga kulitnya adalah satu misteri baginya.

Rho menyusun kertas itu di atas tempat Ayriex tidur supaya ia tebal dan selesa. "Nah, seperti tilam diraja!" Usik Rho.

Luz turut sama duduk di sebelah Rho, menepuk-nepuk tempat tidur itu dengan teruja. "Mana awak dapat ni?"

Remaja lelaki itu tersengih, menunjukkan sisi penggodanya. "Kita mesti tahu menggunakan kelebihan kita."

"Siapa yang beri kepada awak kali ini? Merila? Juana?" Tanya Luz, cuba mengingati gadis-gadis alven yang pernah menaruh hati dengan Rho.

"Nama gadis itu Laura."

Belum sempat dia bertanya lebih lanjut, Luz melihat tubuh seseorang yang jauh lebih besar dan gagah daripada mereka bertiga. Tetapi di sebalik saiz tubuhnya itu, matanya berkongsi warna dengan mereka bertiga - simbol ketakutan kepada Alven Cahaya yang lain. Stom, dengan baju coklat kegemarannya sedang bermandi dengan peluh manakala Rho umpama bintang yang berkerlipan di angkasa. Padahal mereka berdua keluar bersama. Di bahunya ada sebuah kotak besar yang kelihatan berat.

"Cepat, tolong saya!" gesa Stom dengan nafas termengah-mengah. Ayriex pantas membantu, mengambil kotak itu dari tangan Stom lalu meletakkannya di lantai. Stom terduduk, mengelap peluh dengan hujung bajunya.

"Awak patut tolong dia!" marah Luz, menampar lembut lengan Rho yang ketawa berdekah-dekah.

"Dia yang paling kuat," jawab Rho selamba. Luz hanya mampu menggelengkan kepala. Buluh yang diisi dengan air diberi kepada Stom untuk diminumnya.

"Apa tu?" Luz merapati kotak itu lalu membukanya. Matanya bersinar dengan rasa teruja melihat isi kandungan kotak itu - kertas lama, guni, helaian pakaian, buku dan beberapa jenis buah.

"Siapa...dimana..."

Stom berhenti mengipas wajahnya. "Awak kena berterima kasih dengan Rho."

Luz memandang Rho dengan penuh prasangka. "Siapa Laura? Saya tak pernah mendengar awak bercerita pasal dia."

Remaja itu hanya menjungkit bahu. "Budak baru di Diondell. Dari Astava tak silap saya."

Astava adalah kampung yang terpencil di dalam kawasan Hutan Branwenn. Ramai penduduk dari kampung itu telah berpindah kerana takut dimakan makhluk kegelapan. Sekarang ini cuma kelompok alven tua saja yang masih berdegil tinggal di situ.

"Untung dia masih hidup. Keluarganya cepat-cepat berpindah selepas berlakunya serangan serigala pada bulan lalu. Sekarang ni tinggal beberapa buah keluarga saja di kampung itu. Itu pun dalam proses perpindahan. Awak tak menggunakannya?" tanya Rho apabila Luz meletakkan kotak itu ditepi.

"Tak. Tempat saya masih elok. Jadi, apa yang awak lakukan padanya sampai memberi awak macam-macam?"

Rho mengeluh, jarinya memintal hujung rambutnya. "Oh, saya cuma berikan senyuman."

"Senyuman menggoda," sampuk Stom tersengih.

"Yalah tu," Rho menjulingkan matanya. "Pendek kata, kami membantu keluarganya mengangkat barang, berbual sebentar, menggoda kalau itu maksud awak. Selepas itu keluarganya memberikan barangan lama yang tidak dipakai lagi sebagai tanda terima kasih."

"Buah itu?"

"Tanamam dari kampung lamanya. Keluarganya bekerja sebagai pekebun dan ada ladang sendiri. Tapi semuanya musnah diserang goblin. Mereka berjaya selamatkan suku saja. Kasihan. Awak tahulah makhluk licik itu. Mereka bencikan alven dan cemburu dengan kita sebab itu cuba merampas tanah tanah kepunyaan kita. Astava sudah menjadi sarang mereka, sasaran seterusnya mungkin Levina."

Luz cuma mengangguk kepalanya. Dia tidak kisah bagaimana cara Rho mendapatkan barang asalkan mereka mendapat pakaian baru dan makanan. "Dia tidak takut pada awak?"

"Oh, dia tidak tahu apa-apa pasal kita. Keluarganya baru tiba dua jam tadi, jadi mereka tidak sempat berbual dengan penduduk di sini. Saya cuma cakap mata saya dijangkiti penyakit sejak kecil. Lagipun dia memang lembap sedikit. Tapi tidak tahulah esok. Khabar tentang kita mungkin tersebar ke telinga mereka."

Luz beralih ke tempatnya, menyapu debu-debu halus lalu berbaring, memerhati siling yang penuh dengan sarang labah-labah. "Nasib awak baik," bisiknya dengan nada cemburu. Rho dan Stom berbeza dengan dia dan Ayriex. Mereka dikurniakan ciri-ciri Alven Cahaya yang sangat dominan seperti warna rambut dan kulit. Stom walaupun berambut jingga seperti api yang membara, kulitnya lebih gelap seperti dibakar matahari padahal memang itu warnanya sejak azali lagi. Manakala Ayriex mewarisi semua ciri-ciri Alven Kegelapan seperti warna mata, rambut dan kulitnya. Sebab itu mereka paling takutkan Ayriex.

Malas berfikir lagi, Luz mengiring tubuhnya, hanya untuk melihat Ayriex sedang terkial-kial di pembaringan.

"Awak patut mengiring badan ke kiri." Luz mendengar Rho berkata. Dia membantu Ayriex untuk tidur lebih selesa manakala Stom sudah dihanyut dibuai mimpi. Ayriex tidak berkata apa tetapi menurut saja. Sehingga nafasnya tenggelam oleh dengkuran Stom, barulah Luz menarik nafas lega.

"Dia letih. Misi ini berjaya kerana Ayriex," puji Luz, tersenyum kecil mendengar erangannya apabila Rho menepuk punggungnya gaya menidurkan anak kecil.

"Ya, saya harap ia berbaloi."

"Berbaloi kerana kita berjaya mengenakan Encik Dunsten."

Rho menunjukkan senyuman sinisnya, senyuman yang diberikan apabila sesuatu yang dihajatinya tercapai. "Sayang saya tidak dapat melihat raut mukanya. Pasti kelakar. Semakin berdendamlah dia dengan kita."

"Tak apa. Mungkin 10 tahun lagi dia boleh membalasnya," Luz ketawa kecil. "Tapi secara tidak langsung kita dapat mencuri lagi selepas ini.'

"Kita masih ada Laura. Selepas Laura, saya boleh cari mangsa baru," ujar dengan kerlipan matanya yang nakal. Rupa itulah yang selalu menawan hati alven perempuan yang lain dan Luz terpaksa akui, paras Rho adalah yang paling kacak antara remaja lelaki di bandar itu. Dan lebih menakutkan, Rho tahu cara menggunakan kelebihannya itu. Luz tidak pernah menghalang sebaliknya rasa bersyukur kerana dari itu, mereka dapat makanan percuma walaupun cuma sekejap.

"Luz, Trevor dah pulang ke Diondell," maklum Rho tiba-tiba.

Luz tidak jadi meniup lilin. "Mana awak tahu?"

"Macam biasa saya pasti singgah di pondoknya pada setiap pagi. Masa saya nak pulang, Trevor baru sampai. Dia mahu berjumpa dengan kita pada esok hari.

"Baiklah. Saya rindukan dia."

"Harap tiada apa yang berubah pada esok hari," ucap Rho dengan tidak selesa.

Luz mengerdipkan matanya dengan cemas. Adakah pendedahan diri mereka berempat akan mengubah masa depan mereka?

"Saya harap tidak."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience