6 || Jalan Pintas

Fantasy Series 2900

Mata Luz terpaku pada dua orang lelaki yang selamba sahaja memasuki pondok itu tanpa dijemput. Dia duduk dengan jantung yang seakan berhenti berdenyut, hinggalah suara Rho memanggilnya cemas, barulah dia tersedar dengan rambutnya yang terdedah. Mujurlah Luz baring sedikit jauh dari api, jadi tidak ketaralah kelihatan rambut hitamnya. Dia segera menarik hud untuk menutup rambutnya, begitu juga dengan Stom.

"Kamu berempat saja?" lelaki yang berdiri di sebelah kanan menegur, menunjuk giginya yang kekuningan. Kedua-dua mereka mengenakan pakaian yang lengkap dari bulu binatang, dari baju hingga ke topi yang dipakainya. Rahangnya panjang seperti hidungnya dan dahinya luas. Dadanya bidang disebalik baju ketat yang digunanya dengan leher yang berlemak, bersembunyi disebalik bulu-bulu di kolar baju. Sekali pandang, dia kelihatan seperti seseorang yang sentiasa melakukan senaman untuk menguatkan otot badan.

"Pergi ke mana?" tanyanya lagi, kali ini lebih lembut bunyinya. Apabila dia membuka topi, rambutnya yang berwarna coklat gelap kelihatan, panjang sehingga ke bahu.

"Awak menakutkan mereka, Gin! Jangan kuatkan suara," bebel yang seorang lagi, lebih kurus daripada lelaki bernama Gin itu. Mukanya kecil dengan hidung yang bengkok, seolah baru patah kerana ditumbuk seseorang dan gigi hadapannya hilang sebatang, menyebabkan dia nampak seolah seperti badut. Tidak seperti rakannya yang gagah dan sasa, lelaki itu berjalan membongkok seperti kuda. 

Gin duduk, tidak mempedulikan rakannya. Dia membuka telapak tangannya yang besar dan merapatkannya di unggun api. "Apa yang kamu buat di sana?" Gin bertanya, menjuih mulut pada Ayriex yang bersembunyi. Luz menoleh, baru sedar yang Ayriex telah menjauhkan dirinya dari unggun api dan duduk di sudut pondok.

Mereka berempat tidak berani menjawab, masih dalam keadaan terkejut. Tidak sepatutnya ada alven yang melalui padang itu kerana bahaya tapi rupanya masih ada yang berani melaluinya.

Apabila soalannya tidak dibalas, Gin menukar soalannya. "Kamu semua nak pergi ke mana?"

Luz menjeling Rho yang sedang mengemam bibir, sedang memikirkan jawapan yang terbaik.

"Kendall."

Lelaki yang kurus itu mengambil tempat di sebelah Gin, memeriksa begnya dan mengeluarkan buah-buahan. Dia meletakkan buah itu di lantai dengan berhati-hati, sepanjang masa itu matanya memerhati Luz. "Mahu? Saya tidak menggigit," guraunya, menyuakan buah pisang kepada Luz yang terpaksa mengambilnya. "Saya Sam. Kami nampak tua sebab ketinggian kami tapi sebenarnya masih muda. Tahun ini baru masuk 22 tahun. Ini kawan saya, Gin dan kami dalam perjalanan ke Kerajaan Tertinggi. Mahu mendaftar di akademi."

Tiada siapa yang memberi respon. Luz begitu risau dengan rambutnya hingga tanpa sedar, belakangnya sudah berlanggar dengan dinding. 

"Jadi kamu berdua menuju ke Carnia?" Rho, seperti kebiasaannya, cuba untuk bertenang dan melemparkan senyuman palsu. Tangannya menolak belakang Stom agar duduk di sebelah Luz dan membiarkannya mengambil tugas bercakap. Dia menarik keluar rambut emasnya, bermain-main dengan hujungnya. "Saya jangka ada lebih ramai yang datang."

Gin ketawa besar, hampir menggegarkan pondok itu. "Semestinya. Saya berani bertaruh, tahun ini akan ada lebih 100 alven yang berdaftar. Saya dengar sampaikan ada orang tua yang mahu masuk. Dari Levina, ada 10 alven."

"Jadi kamu berdua dari Levina?" tanya Rho aneh. 

"Ya."

"Kenapa melalui padang ini? Bukankah lebih mudah melaui bandar di dalam jajahan air?" 

"Memang mudah tapi tidak mencabar," katanya, menyebabkan Rho mengerutkan dahi. "Kami tidak mahu melalui Eathelin kali ini. Tidak menyeronokkan. Lagipun untuk masuk ke akademi itu, saingannya sangat sengit jadi kami perlu berlatih. Sepanjang perjalanan ini tadi kami sudah menemui pelbagai makhluk dan mengalahkannya dengan mudah."

Sam mencelah, "Ya, latihan sangat penting supaya dapat lulus ujian kemasukan. Tambahan Kerajaan Tertinggi tidak pernah membuka pendaftaran kepada alven biasa macam kita. Akademi itu sepatutnya untuk anak raja dan golongan bangsawan." Di ayat terakhir itu, nadanya berubah menjadi sinis, matanya mengecil. "Sesuatu yang buruk pasti sedang terjadi sekarang ini, saya pasti itu. Mereka melarang kita menggunakan magi tapi tiba-tiba saja mengalukan rakyat biasa seperti kita ini untuk masuk ke akademi itu terutamanya alven dari Wilayah Luar. Tidakkah itu pelik? Saya rasa khabar angin itu benar."

Rho mengerling rakan-rakannya yang lain dan mereka membalas dengan renungan ingin tahu, jadi Rho berdeham seketika. "Kalau kamu tahu ada sesuatu yang tidak kena, kenapa masih mahu masuk ke akademi itu?"

Satu tumbukan di lantai mengejutkan mereka. Dia memandang dengan rasa takut apabila senyuman mesra di wajah Gin bertukar sinis dan matanya mengecil penuh bahaya.

"Demi dendam," katanya dengan nada jahat. "Selama 16 tahun kita dipinggirkan, lima kerajaan itu hidup dengan mewah dan senang sementara kita dibiar merengkot, menanti untuk dimakan oleh raksasa kegelapan. Jangankan nak menjenguk, nak menghantar askar pun payah! Wilayah Luar...hah!" Gin meludah penuh benci.

Kemudian dia menoleh ke arah mereka berempat, tersenyum sinis. "Kamu mahu bersama dengan kami? Kita akan buktikan yang Wilayah Luar lebih hebat daripada mereka yang lembik itu!"

"Er, tidakkah awak terlalu yakin? Maksud saya bukanlah perkara yang buruk," Rho cepat-cepat menambah ayat apabila Gin merenung tajam. "Tapi apa maksud awak dengan sesuatu yang buruk sedang berlaku di Carnia?"

Alf itu ketawa penuh makna. "Kami dengar khabar angin yang Ratu Tertinggi sedang sakit. Kamu tahu apa akan terjadi kalau Ratu Tertinggi tidak dapat melancarkan maginya dengan sempurna? Kita dalam bahaya. Semua kita! Sebab itu agaknya mereka merekrut ramai alven supaya nyawa kita digadaikan untuk melindungi anak bangsawan yang bodoh itu! Selepas kami dapat lencana, jangan haraplah kami nak jadi orang suruhan mereka!"

Rho terdiam. Jadi betullah apa yang didengarnya sebelum ini. Ratu Tertinggi sedang sakit. Tapi bukankah baginda mempunyai seorang puteri? Kenapa tidak diwarisi saja takhta itu kepada anaknya? Rho berkira-kira mahu bertanya soalan itu bila dia teringatkan alf bersayap. 

"Sudahkan alf bersayap itu melalui Levina?"

"Ah, kamu juga sudah menemuinya? Cantik bukan? Sayapnya." Mengejutkan, Gin memuji alf itu sedangkan dia baru saja mengutuk Carnia. 

"Awak rasa mereka dari mana?" tanya Rho hati-hati.

Gin dan Sam berpandangan. "Apa maksud kamu dari mana?"

"Saya dengar mereka datang dari Hutan Branwenn."

Sam menggaru kepalanya. "Saya tidak tahu apa yang kamu dengar tapi setahu saya mereka tiba dari Diondell lalu ke Levina. Pasal dari hutan itu, saya rasa tidak benar."

Rho mencuba lagi, kelihatan terdesak. "Jadi kamu tidak mendengar apa-apa tentang adanya Alven Kegelapan yang tinggal di sini?"

"Apa? Alven Kegelapan tinggal di sini?" Gin dan Sam seakan terkejut. "Budak, sebelum mereka dapat hidup untuk sehari, mereka pasti sudah dibunuh."

Luz menarik baju Stom yang duduk di sebelahnya, kemudian sedar remaja itu juga sedang menggeletar.  

"Dahlah, mari kita tidur. Tidak elok bercakap pasal makhluk pembawa malang itu."

Mereka berempat hanya memerhati saat Gin merebahkan tubuh besarnya di lantai tanpa alas dan tanpa menunggu lebih lama, dengkurannya bergema seperti bunyi kodok. Sam pada masa yang sama, melipat sehelai baju yang dikeluarkan dari beg untuk dijadikan bantal.

"Kamu ke barat?"

"Ya."

"Jadi tidak mahu mencuba nasib di Carnia?" Sam bertanya lagi.

Rho terdiam, merangka ayat. "Kami akan fikirkan," jawabnya ringkas, takut untuk mendedahkan lebih banyak maklumat kepada alf asing itu.

"Semoga berjaya."

"Terima kasih," gumam Rho, kemudiannya duduk di sebelah yang lain. Mereka memerhati dengan waspada setiap tingkah alven itu, menunggu dan sehingga tibanya subuh, barulah keluar dari pondok itu.

Perjalanan kali ini tidaklah sepanas seperti hari yang sebelumnya. Pokok-pokok mulai kelihatan tumbuh di sepanjang jalan, maka Rho adakalanya mencadangkan agar mereka melompat dari pokok ke pokok untuk tujuan berlatih. Antara sebab lainnya adalah untuk menghilangkan rasa ngantuk.

"Sini!" kata Rho. Remaja itu menutup mulutnya kerana menguap dan mengebilkan matanya beberapa kali supaya sentiasa sedar. Dia berjalan di hadapan sekali, jubahnya berterbangan ditiup angin - mendedahkan rambutnya yang berwarna perang pucat, hampir keemasan tetapi jika dilihat dengan teliti, ditengahnya ada warna coklat gelap, seperti warna daun yang keguguran di tanah sekarang ini. Peta ditangan digenggam erat, takut terlepas dek angin kencang yang kadang-kadang bertiup dari arah timur.

"Laluan kanan."

Mereka bertiga hanya membuntuti tanpa suara. Luz kagum dengan pengetahuan dan kebijaksanaan Rho dalam menentukan arah jalan. Kalau dia yang disuruh menjadi ketua, jangankan Nirveli, Diondell pun tidak akan dijumpai lagi.

Sedaya upaya Luz menahan kesedarannya agar terus bangun. Tidak tidur sepanjang malam tadi menyebabkan tenaganya hampir habis dan dia terpaksa menyandarkan diri di bahu Ayriex setiap kali dirinya mahu rebah manakala Stom menggenggam erat jemarinya.

"Kita hampir sampai!" Dia mendengar suara Rho yang cemas. Entah berapa jam sudah berlalu tapi apabila bau pepohon segar menusuk hidungnya, Luz tahu mereka sudah sampai.

Hari sudah hampir gelap, matahari mula menghilang disebalik awan, tenggelam disebalik apa yang kelihatan seperti sebuah gunung dihadapan mereka. Luz memisatkan mata dan apa yang berada dihadapannya buat mulutnya ternganga.

Seperti Diondell, Kendall juga dikelilingi dinding yang tinggi sehingga tidak nampak bangunan di dalamnya tapi pintu utamanya lebih mesra dan sedap mata memandang. Daun-daun dan pepohon menjalar naik dengan bunga yang bermacam warna menyerikan bandar yang terkenal dengan cuaca yang lembap.

Kawasan jajahan air mengikut buku Trevor adalah kawasan yang sering hujan dan mempunyai suhu yang rendah. Ia dianggap sebagai kawasan sangat sesuai untuk didiami kerana panas dan dinginnya seimbang, tidak seperti kawasan jajahan angin yang sentiasa panas saja sepanjang tahun. Tambahan, ibu kota jajahan Air iaitu Eathelin terkenal dengan pantai yang jernih dan bersih. Luz tidak sabar untuk melihatnya.

Dari jauh, cahaya lampu berkerlipan menerangi bandar itu dan apabila mereka sudah sampai tidak jauh dari pintu gerbang, mereka lihat rekaan rumah yang jauh berbeza daripada Diondell. Ianya diperbuat daripada kayu dan dibina dengan saiz yang kecil tapi kelihatan selesa.

Dan seperti yang mereka jangka, ada dua orang pengawal sedang berjaga di tepinya.

"Naikkan jubah," arah Rho, berjalan di hadapan. Mereka memandang dengan tekun apabila beberapa alven dengan mudahnya melintasi pintu gerbang itu tanpa halangan dan Rho, melihat keadaan itu menurunkan jubah supaya rambutnya jelas di penglihatan pengawal tersebut. Mereka bertiga berhimpit di belakang Rho, mengikut setiap langkahnya dan langsung tidak berani menaikkan kepala.

Apabila mereka semakin menghampiri pintu gerbang itu, Rho mengangguk kepada dua pengawal itu, melemparkan senyuman dan berjalan masuk.

"Oh, itu senang," getus Stom, menarik nafas lega. "Adakah mereka bodoh?"

Rho menjungkit bahu. "Sama ada mereka bodoh atau sangat yakin dengan keupayaan magi mereka. Tapi saya tak rasa yang pertama itu."

Mereka berempat berjalan dengan rasa gembira seolah buat pertama kalinya tidak perlu rasa takut dan khuatir akan dijumpai oleh alven yang lain. Seperti kanak-kanak yang dibawa keluar dari rumah, mereka memandang dengan rasa kagum pemandangan yang jauh berbeza dari Diondell. Di sepanjang jalan terdapat banyak gerai yang menjual pelbagai barang yang tidak pernah mereka nampak. Laungan si penjual bersahutan sesama sendiri, cuba untuk mempromosi barang dagangan mereka.

"Hei, adik manis! Mari singgah, lihat apa yang saja jual!" Seorang lelaki muda menunjuk alat perhiasan di kepala yang sering Luz lihat di rambut remaja alven di Diondell. Luz hanya tersenyum malu seraya menggelengkan kepala. Mereka tidak punya wang walaupun dia tertarik dengan rekaan cantik yang berbentuk rama-rama itu.

"Buah epal, buah pear segar!"

"Roti panas, roti bun sedap!"

Mereka berempat hanya mampu menelan air liur. Rho tiba-tiba berhenti di gerai menjual roti bun itu. Mereka bertiga berdiri di belakang Rho, hanya memerhati Rho mengeluarkan beberapa duit syiling perak yang diberikan oleh Trevor sebelum berangkat.

"Berapa harga satu bun?"

Peniaga itu mengangkat dua jari. "Dua perak."

Rho termengkelan. Harga makanan di Kendall lebih mahal dari Diondell. Mungkin kerana ia adalah pusat dagangan terkenal di Alveria. Rho mengira duit syiling di poketnya. Cuma ada lima saja. Mereka masih perlu lalui Eathelin lagi sebelum ke Moonhaven tapi stok roti dan buah yang dibekal kini tinggal sedikit.

"Kalau begitu, satu bun saja," kata Rho. Peniaga itu mengangguk lalu mengambil bun panas itu dan membalutnya dengan sehelai kertas.

"Nah, sedap makan ketika ia masih panas."

Luz menggumam "Terima kasih" sebelum berlalu pergi.

"Mahalnya! Dua perak itu kita dapat beli lima roti di Diondell!" komen Stom yang jelas tidak puash hati dengan harga barang di Kendall.

Rho mengeluh. "Nak buat macam mana, Kendall ini memang tempat peniaga dan pedagang berjual beli. Jadi barangannya memang mahal."

"Oh, tak apalah! Sebiji roti ini pun dah cukup. Kita masih ada dua biji epal lagi yang tinggal, kan?" tanya Luz pada Stom.

"Ya," gumam Stom sedih. "Saya harap ia cukup sampai lusa."

"Jangan risau. Kita akan hidup," kata Rho yakin. "Jomlah, kita cari tempat untuk berehat. Saya rasa dah tak dapat buka mata."

Disebabkan Kendall adalah bandar yang kecil, tidak lama masa diambil untuk menjumpai sebuah rumah yang terbiar di kawasan perkuburan.  Keadaan rumah itu tidak ubah seperti pondok yang mereka tiduri cuma besar dan luas saja. Terdapat perabot lama dan kerusi patah berselerak di lantai. Dua bilik di rumah itu kosong, hanya dipenuhi habuk dan sarang labah-labah.

"Kamu berdua berehat dulu, saya dan Stom pergi meninjau di luar," kata Rho, memaksa Luz dan Ayriex untuk tidur. Rho tahu tubuh Luz tidak mampu lagi untuk bergerak setelah berjaga sepanjang malam dan siang tadi. Dan antara mereka bertiga, Ayriex lebih handal dalam seni mempertahankan diri dan boleh melindungi Luz sekiranya ada apa-apa terjadi.

"Jangan balik lewat," pesan Luz, melihat bayang dua rakannya itu menghilang. Dia mahu menunggu tapi akhirnya kalah dengan rasa mengantuk lalu tidur di sisi Ayriex.

Luz sedar apabila ada sesuatu menggoncang tubuhnya.

"Bangun, Luz. Cepat bersiap, kita perlu bergerak ke Moon Haven sekarang," gesa Rho, memaksanya membuka kedua belah mata yang tertutup rapat.

Luz melihat cuaca di luar melalui tingkap yang terbuka dan suasana yang masih gelap buatkan dia mengeluh panjang.

"Pukul berapa ni? Kenapa awal sangat?" tanyanya, menahan diri daripada menguap. Dia memandang Ayriex yang sibuk mengemas dengan rasa terkejut. Alf itu kelihatan segar dab bertenaga.

"Apa yang dia makan malam tadi?" omelnya lantas bangun dari pembaringan.

"Hampir empat pagi," jawab Stom, membuka pintu rumah itu. "Waktu yang sesuai untuk ke Moon Haven."

"Oh, siapa yang cakap? Tapi bukankah kita perlu melalui Eathelin?" Luz bertanya hairan tapi kemudiannya teringatkan yang kedua rakannya itu ada pergi meninjau pada malam tadi. "Apa yang lagi kamu berdua jumpa?"

Rho menjelaskan peristiwa malam tadi - kedua-dua mereka singgah di sebuah bar dan berbual dengan seorang pelayan. Dari situ, mereka mendapat tahu masa yang paling sesuai untuk ke Moon Haven adalah sebelum matahari terbit dan perlu melalui pintu gerbang utara.

"Ada laluan pintas ke sana. Saya minta tolong seorang penduduk di sini sebab dia pun dalam perjalanan ke Moonhaven. Tapi kita kena bayar dia dengan saki baki duit yang tinggal," kata Rho.

"Tidak apa, asalkan kita cepat sampai," kata Luz sambil mengemas begnya. "Dia tidak perasan mata kamu berdua?"

Stom menggelengkan kepala. "Masa itu malam dan cuaca dalam bar itu gelap. Lagipun dia tidak banyak soal dan bersetuju bila dengar kita akan beri duit."

"Semuanya pasal duit di sini," omel Luz.

Rho cuma ketawa. "Inilah realiti dunia sebenar, Luz. Semuanya berkait dengan duit dan kuasa."

Kota itu sunyi sepi apabila mereka melangkah keluar dari rumah, menyusuri setiap rumah dan bangunan dengan rasa tenang. Di pintu gerbang utara kelihatan seorang lelaki alf berbadan tegap, sudah bersiap sedia dengan beg di belakangnya.

Luz dan Ayriex cepat-cepat menyarung jubah dan menutup rambut mereka, sementara Rho dan Stom berjalan di hadapan, cuba melindungi mereka berdua dari pandangan lelaki itu.

"Awalnya awak bangun?" Tegur Rho ramah apabila lelaki itu tersenyum ke arah mereka.

"Saya kena sampai ke Carnia awal, sebab itu perlu bergerak sebelum subuh. Lagipun kalau ingin ke Moonhaven, sebelum matahari naik adalah yang terbaik sekali," jelasnya. Kemudian matanya melirik pada Luz dan Ayriex di belakang.

"Ini adalah Luz dan Ayriez, keluarga kami. Awak berdua, ini adalah Seith. Kami bertemu dengannya di bar malam tadi."

Seith seorang alf yang tinggi dan berbadan tegap, namun kulitnya lebih gelap dari Stom mungkin kerana kerjanya terdedah kepada panas mentari terik. Rambut dan matanya seperti Alven Cahaya berwarna coklat gelap seperti dahan pokok. Dia berpakaian nipis, hanya seluar lusuh kuning pucat dipadankan dengan baju putih. 

Luz menggumam "Hai" malu-malu manakala Ayriex cuma menunduk kepalanya.

"Maaf, mereka berdua ini pemalu orangnya," kata Stom. Seith cuma ketawa.

"Tidak apa. Saya tak kisah. Marilah, perjalanan mengambil masa dua jam jadi kita kena cepat."

Mereka mengikut tanpa banyak tanya. Mujur Seith jenis yang tidak suka berbual, maka selamatlah mereka daripada mengarang sebarang jawapan yang mungkin membahayakan diri mereka.

"Laluan ini hanya diketahui pedagang tempatan sebab kami perlu cepat menghantar dan menerima barang," jelas Seith tiba-tiba.

"Awak jual apa?" Tanya Rho. Mereka kini sedang melalui sebatang sungai yang mengalir.

"Hati-hati," kata Seith bila mereka mahu memijak batu yang menghubungkan jalan di seberang. "Sekarang ini bernasib baik sebab paras air masih rendah. Bila ia tinggi, kami terpaksa lalui jalan biasa."

"Saya berniaga senjata."

Keempat-empat mereka berhenti berjalan. Masing-masing saling berpandangan, rasa takut terpancar di dalam mata mereka

"S-senjata?" Tanya Stom. cemas. Tidak disangka alf yang mereka jumpa adalah seorang yang berbahaya.

"Ya. Ayah saya seorang pembuat senjata di Eathelin. Kadang-kala saya berjual di Kendall sebab lebih banyak pedagang luar yang datang. Mereka yang dalam perjalanan ke Carnia selalunya membeli."

"Oh, er, jadi kenapa awak mahu ke Moonhaven?" Tanya Rho.

"Di sana ada bahan untuk menghasilkan pedang, contohnya perak dari dwarf. Senjata yang dihasilkan lebih bermutu tinggi dan tahan lama," jelas Seith dengan teruja.

Dia memandang mereka dengan senyuman lebar. "Kamu mahu saya hasilkan senjata untuk kamu?"

Luz terkejut. Buat pertama kalinya, selain Trevor ada seseorang yang melayan mereka baik. Namun itu mungkin kerana dia tidak tahu siapa mereka berempat sebenarnya.

"Kami...tak ada duit," balas Rho perlahan.

Seith menepuk belakang Rho. "Tidak apa. Bila kamu berempat sudah bersedia, cari saya di Carnia. Kamu hanya perlu sebut nama Blackthor, kamu akan jumpa saya."

"Oh, baiklah," jawab Rho walaupun tidak faham kepentingan nama itu. Dia tidak pernah mendengar nama Blackthor dari Trevor jadi malas mahu ambil peduli. Di fikirannya kini cuma membayangkan Moonhaven. Apa yang Trevor mahu mereka jumpa dan bagaimana makhluk itu boleh membantu mereka. Otaknya pantas mencari maklumat yang pernah dibacanya berkaitan Moonhaven dan ia terhenti pada satu bab yang menerangkan pasal pari-pari.

Rho menjeling Seith sedikit cemas. Lama dia berdiam diri sehingga akhirnya memutuskan untuk bertanya. Mereka tidak boleh membuang masa mencari kerana tarikh tutup pendaftaran ke akademi itu tidak lama lagi.

"Seith, awak pernah dengar pasal pari-pari di Moonhaven?" soal Rho dengan nafas tertahan-tahan. 

Alf itu mengangguk kepalanya, dia menjeling Rho sekilas. "Pari-pari agak terkenal di wilayah air sebab mereka dikatakan pemerintah kepada Moonhaven. Tapi sebenarnya tiada siapa pernah nampak mereka."

"Walaupun awak sering ke Moonhaven?'

"Ya. Saya rasa saya sudah menerokai semua kawasan hutan itu dan bertemu pelbagai makhluk tapi tidak pernah terserempak dengan pari-pari. Ada alf kata mereka mempunyai sayap, sangat cantik umpama bidadari dan kecil tapi itu semua apa yang tertulis dalam buku. Realitinya, tiada siapa yang tahu rupa mereka," terang Seith.

Rho kecewa. Rupanya pari-pari itu cuma mitos saja. Dan sekarang ini dia tidak pasti sama ada mereka perlu ke Moonhaven atau terus ke Carnia. 

Seith tiba-tiba menyambung, "Tapi saya dengar pari-pari ada kuasa untuk melihat masa silam dan masa depan."

"Apa?" tanya mereke berempat serentak sehingga Seith memandang mereka aneh. 

"Ah, kamu tak pernah dengar? Ya, ya, mungkin sebab kamu dari wilayah Angin, tapi di sini, ia sangat terkenal hinggakan ada alven yang sanggup mencari pari-pari untuk mengetahui masa depannya. Malangnya, mereka tidak menjumpainya walaupun penat menjelajah di setiap pelosok Moonhaven," kata Seith. Dia memandang mereka berempat lama lalu bertanya, "Kamu berempat mencari pari-pari?"

"Oh, kami belum pasti lagi. Ayah kami menyuruh kami ke Moonhaven untuk mencari sesuatu tapi tidak memberitahu kami apa yang dicari. Saya menjangkakan mungkin pari-pari," Rho menjawab penuh lancar. Penipuan rasa sebati dengan dirinya dan ia meluncur tanpa diminta. Lagipun ia tidaklah seratus peratus penipuan. Mereka sudah menganggap Trevor itu ayah mereka dan memang betul mereka disuruh ke Moonhaven untuk mencari sesuatu dan mendengarkan khabar angin tentang pari-pari, Rho yakin itulah makhluk yang mereka cari.

"Hm, saya tak mahu meruntuhkan semangat kamu tapi kamu boleh mencarinya. Bila berjumpa nanti, jangan lupa ceritakan pada saya," kata Seith dengan ceria. Luz tidak tahu sama ada lelaki itu menyindir mereka atau tidak. Dia juga tidak pasti Seith boleh dipercayai kerana mereka baru saja bertemu dengannya, lebih-lebih lagi alf itu adalah penjual senjata. Di dalam beg yang dibawanya mungkin mengandungi pelbagai jenis senjata tajam. Sebab itu dia langsung tidak berani bersuara apatah lagi menunjukkan mukanya. Biar lelaki itu menganggap dia dan Ayriex sombong asalkan mereka selamat.

"Kamu nampak itu, budak-budak? Kita dah nak hampir sampai!" jerit Seith ceria.

Dalam cuaca yang masih gelap, di hadapan mereka kelihatan seperti ada sebuah gunung yang besar. Sekali imbas, Luz seakan melihat Hutan Branwenn.

"Selamat datang ke Moonhaven, budak-budak!" Kata Seith.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience