17 || Kawan dan Musuh

Fantasy Series 2900

Ujian pertama adalah ujian fizikal. Menurut Erna, Ketua Pengawas yang mengetuai kumpulan mereka, setiap peserta akan diuji dari segi kepantasan, ketangkasan dan daya tahan. Mereka dibawa ke belakang akademi dimana sebuah tempat yang dikhaskan untuk latihan dibina. Suasana dan kelengkapan latihan itu mengingatkan Luz pada Abilene namun keluasannya cuma separuh daripada yang pernah Luz lalui.

"Baiklah. Bila saya sebut nama, kamu perlu melalui setiap perlatan latihan yang berada di sini. Mudah saja kan?"

Tiada siapa yang berani menjawab.

Erna tersenyum riang, gembira dengan riak wajah alven di depannya. "Saya mahukan larian yang pantas. Untuk makluman kamu semua, kita sedang bertanding dengan tiga kumpulan yang lain."

"Apa?" Semua membuntangkan mata tanda tidak faham.

"Jangan risau. Saya yakin kita akan menjadi yang pertama sebab kita ada seseorang istimewa dalam kumpulan ini," kata Erna dengan mata bersinar.

Luz tertanya-tanya siapakah gerangan alf itu namun semuanya menikus, seolah-olah takut. Hanya seorang saja yang kelihatan tenang dan Luz yakin dialah yang Erna maksudkan.

"Baik. Seperti urutan tadi, beratur di hadapan garisan ini." Erna menunjuk garisan dalam yang dibuat di tanah itu. "Dalam kiraan tiga..."

Masing-masing tergopoh-gapah mengingati urutan nama. Luz teringat dia berada di belakang seorang alf lelaki yang lebih tua darinya. Apabila dia mahu memasuki garisan, tubuh kurusnya ditolak kasar hingga dia hampir tumbang. Darah Luz mendidih namun dia cuba tahan sabar. Seperti yang dijangkanya, semua alven beratur rapat sehingga tiada ruang untuknya masuk.

Erna yang memerhati tanpa membuat apa-apa dipandang Luz. "Boleh saya berada di belakang sekali?"

"Silakan."

Walaupun berada di belakang sekali, Luz sedaya upaya menjarakkan dirinya dari gadis dihadapannya. Melihatkan bahunya menggeletar ketakutan membuatkan Luz rasa kasihan.

"Baiklah, dalam kiraan tiga. Satu, dua...tiga!"

Suasana menjadi kecoh. Ada yang memberi kata sokongan kepada rakan mereka dan ada yang mentertawakan setiap kali ada alven yang terjatuh. Wajah Erna yang ceria tadi berubah mendung. Nampaknya ramai yang gagal daripada lulus.

"Aduh, kalahlah kita kalau begini," rungut Erna tidak puas hati. "Hei, takkan tidak pernah berlatih sebelum ini! Buat betul-betul!"

Jeritan Erna langsung tidak membantu bahkan menyebabkan mereka menjadi cemas. Kesilapan semakin banyak dilakukan. Daripada separuh yang sudah berlari, hanya lima orang alven saja yang lulus.

"Saya dapat mengharapkan awak saja." Erna menepuk bahu gadis yang membantu Luz tadi. Dari gaya mereka seperti sudah kenal lama. Apa yang memelikkan Luz adalah alven di belakang gadis itu tiba-tiba menjauhkan diri seperti memberi ruang kepada gadis itu. Tingkah mereka bukan saja menunjukkan rasa takut tetapi juga hormat.

"Mula!"

Luz mengandaikan gadis itu seorang yang hebat tapi tidak sangka pula sehebat itu. Setiap halangan yang dibina dilalui dengan mudah. Bukan saja mudah, tetapi pantas dan tangkas. Dia seperti terbang ke udara apabila dia melakukan lompatan. Dan dalam tempoh sepuluh minit, gadis itu menamatkan ujiannya dengan jaya.

"Bagus, Myra! Awak memang yang terbaik!" Puji Erna dengan senyuman lebarnya. "Sekurang-kurangnya kita tidak akan menduduki tempat yang terakhir."

Luz tidak yakin tentang itu. Di kumpulan pertama adanya Ayriex yang sememangnya paling pantas antara mereka bertiga dan di kumpulan ketiga adanya Rho yang juga tidak kurang hebatnya. Ditambah pula dengan Stom, kumpulan lain memang tiada harapan. Tapi mungkin kedudukan mereka tidak begitu teruk sekiranya kumpulan keempat terdiri daripada alven yang biasa.

Dari 128 peserta, hanya 27 orang saja yang lulus. Bagi Erna, jumlah itu tidak begitu memberansangkan disebabkan masa yang diambil terlalu lama. Tidak termasuk Myra, yang lain menghabiskan larian rintangan dalam tempoh sekurang-kurangnya setengah jam. Mungkin mahu mengambil jalan selamat, mereka sangat berhati-hati hingga membuatkan Erna hilang sabar. Bibirnya diketap demi menahan amarahan tatkala melihat penuh jengkel seorang gadis begitu perlahan dan teragak-agak berjalan di atas titian.

"Jangan takut! Bila nak habis kalau beginilah kelembapan kamu?" Bentaknya.

Mungkin kerana terkejut dengan suara nyaring Erna, dia terjatuh dengan mata yang sudah bergenang. Erna mendengus kasar seraya memintanya berlalu dari situ.

"Semua dah berlari kan? Kalau begitu-"

"Er, saya..." Luz tidak tahu sama ada alf itu lupa atau sengaja buat-buat tidak sedar akan kehadirannya. Dia sudah berdiri seperti tunggul sejak tiga jam yang lalu di sebelah Erna. Bagaimana gadis itu boleh tidak sedar?

Riak wajah Erna seolah benar-benar terkejut. Telinganya kemerahan di bawah sinaran matahari yang terik. "Maaf. Saya tak ingat kehadiran awak," katanya sambil mengusap rambut coklatnya yang pendek. "Awak boleh bersedia."

Luz menarik nafas panjang. Bisikan halus di sekelilingnya tidak dipedulikan. Yang penting sekarang adalah lulus ujian ini. Yakin rakan-rakannya yang lain akan dapat mengharungi ujian itu dengan mudah, Luz rasa tercabar. Semangatnya membara untuk menunjuk di hadapan Stom.

"Mula!"

Rintangan itu sangat mudah. Di Moonhaven, seluruh Abilene itu adalah ujian bagi mereka. Setiap hari mereka akan mendaki gunung, berlari mengelilingi tempat itu dan mengangkat benda berat. Sebagai seorang pemanah, Luz diberi tugas tambahan iaitu berlatih dengan pemberat di pergelangan tangannya agar untuk menambah kekuatan bila setiap kali memanah. Rintangan yang sedikit itu adalah sesuatu yang senang.

"Oh, er... bagus! Bagus!" Mulut Erna yang terlopong segera tertutup dan bertukar senyuman yang ceria. Buat pertama kalinya ada alf selain Trevor dan rakan-rakannya menepuk belakangnya dengan perasaan bangga. "Saya boleh harapkan awak... er, siapa nama awak tadi?"

"Luz."

Erna ketawa. Jelas dia berpuas hati dengan rekod masa dan pencapaian Luz. "Sebelas minit. Sedikit lagi awak boleh mengatasi Myra."

"Ketua Erna! Awak sentuh dia..." salah seorang alf menegur dengan wajah ketakutan.

Erna yang perasan tangannya di bahu Luz cuma mendengus. "Jadi? Dia sama dengan kamu semua. Saya tidak kisah dia alf kegelapan atau tidak, asalkan membantu untuk kumpulan ini, saya akan pandang tinggi. Daripada awak sibuk cari kesalahan orang lain, lebih baik fikirkan nasib awak terlebih dahulu. Awak antara yang gagal, awak tahu?"

Muka alf lelaki itu kemerahan. Mulutnya terkumat-kamit berkata sesuatu yang perlahan namun disebabkan telingan Luz yang tajam, dia dapat menangkap beberapa patah perkataan seperti, "Makhluk licik.... tuan puteri, memanglah hebat..."

Luz merenung Myra. Adakah 'Tuan Puteri' yang dimaksudkan adalah Myra?

"Baiklah, kita akan ke ujian yang seterusnya iaitu ujian senjata," kata Erna lantas menunjukkan jalan.

"Tapi Ketua, bukankah ujian kedua adalah memanah?" Soal seseorang.

"Tak semestinya. Kita bertukar-tukar ujian dengan kumpulan lain. Pasti mereka sedang menggunakan tapak memanah ketika ini, jadi kita ke gelanggang lain terlebih dahulu."

Mereka cuma mengangguk dan menurut dengan patuh arahan dari gadis itu. Baru saja mereka keluar dari tapak ujian fizikal, kumpulan pertama tiba dengan Ketua Linzy berada di hadapan. Kedua-dua ketua pengawas itu berjabat tangan namun wajah terukir senyuman sinis.

"Saya agak kumpulan kamu tidak memberansangkan," ucap Erna sinis sambil menjeling penuh minat pada ahli kumpulan itu.

"Hah! Hanya kerana awak bertuah mendapat Puteri Myra dalam kumpulan awak, tak bermakna kami lemah," balas Linzy penuh makna. Gadis itu sempat menundukkan kepalanya tanda hormat apabila matanya bertembung Myra.

Jadi betullah Myra anak kerabat diraja. Luz tiba-tiba berasa kekok lebih-lebih lagi bila Myra sentiasa menjeling ke arahnya.

"Kami pun ada yang hebat juga."

"Oh?" Kening Erna terangkat. "Siapa-"

"Mana boleh beritahu," kata Linzy bangga. "Jumpa lagi nanti."

Erna menggerutu tidak puas hati. Keyakinannya goyah memikirkan kata-kata rakannya itu. "Jangan pedulikan mereka. Kita segera ke tapak ujian kedua!"

"Ya!"

Luz menangkap bayang tubuh Ayriex di belakang sekali. Remaja itu kelihatan tenang meskipun berada jauh daripada yang lain. Apabila Ayriex perasan akan kehadiran Luz, bibirnya menguntumkan senyuman yang membuatkan Luz melepaskan keluhan lega. Ibu jari diangkat menandakan keadaannya baik dan Luz melakukan perkara yang sama. Sempat Luz melambai sebelum dia ditinggalkan oleh ahli kumpulannya yang lain.

"Dalam ujian kedua ini, kamu boleh memilih apa saja senjata yang kamu mahu," terang Erna. "Perlawanan ditentukan apabila kamu keluar dari bulatan ataupun menyerah kalah."

"P-perlawanan?"

Satu senyuman sinis terukir di bibir gadis itu. "Ya, ahliku. Perlawanan. Kamu dikehendaki berlawan senjata dengan alf di belakang kamu."

Semua terdiam dengan mulut terlopong. Suasana yang sememangnya senyap sejak tadi berubah tegang. Luz merenung gadis yang berjalan dihadapannya. Gadis yang gagal pada ujian pertama kerana terkejut oleh suara Erna. Selepas diumumkan bentuk ujian kedua, bukan saja bahunya, sekarang ini seluruh tubuhnya menggigil. Luz mengagak gadis itu akan menyerah kalah selepas ini.

Mereka tiba di sebuah lapangan yang kosong dan dikelilingi hutan belantara. Di tengah padang yang luas itu ada garis bulatan putih yang besar. Erna membawa mereka ke tengah bulatan dan mengarah ahlinya untuk mengelilingi dirinya.

"Peraturannya sangat mudah. Di dalam bilik sana ada pelbagai jenis senjata." Jarinya menunding pada sebuah tempat seakan rumah yang besar di hujung padang itu. Terdapat dua orang alven berjaga di luarnya. "Saya mahu kamu pilih senjata pilihan kamu dalam tempoh lima minit. Kemudian kita akan mulakan ujian."

Habis saja berkata begitu, masing-masing mengerah tenaga untuk memecut ke tempat yang terletak sekurang-kurangnya 500 meter dari tempat mereka berada. Luz berlari agak jauh dari yang lain dan lebih rela menyimpan tenaga daripada memecut untuk hasil yang sia-sia. Tambahan, dia kasihan melihat bakal lawannya nanti. Wajahnya sudah pucat dan hilang serinya. Sesiapa pun akan kehilangan rohnya bila mengetahui akan berlawan dengan alf kegelapan.

Teragak-agak, Luz mempercepatkan lariannya agar sama dengan gadis itu. Dia seperti terkejut namun tidak berkata apa. "Hai! Saya Luz."

Luz memberanikan diri menegur. Sekurang-kurangnya dia tidak kelihatan sombong seperti yang lain. Hanya berbual dengan kelompok mereka saja. Berdasarkan pakaian gadis itu, dia seakan berasal dari perkampungan yang jauh dari bandar. Pakaiannya hampir hilang warna dan rambut coklat mudanya kelihatan tidak terurus. Kasutnya juga lusuh. Namun keadaannya tidaklah seteruk Luz semasa di Diondell.

"Um, Natalia. Blackwood."

Hati Luz gembira. Seseorang sudi berbual dengannya. "Awak selalu guna senjata apa?" Soal Luz ramah. Dia banyak belajar cara-cara untuk memulakan perbualan daripada Rho. Selalu mulakan dengan senyuman manis dan suara yang lembut.

"Um, pedang. Tapi saya tak mahir sangat," balas Natalia perlahan. Mata coklat itu menjeling Luz sekilas. "Awak?"

Senyuman lebar menghiasi wajah Luz. Dia dapat rasakan mereka berdua akan menjadi kawan nanti. "Belati. Selalunya saya gunakan alat memanah tapi rasanya itu adalah ujian terakhir."

"Oh? Awak pandai memanah?" Soalnya teruja.

"Pandai sikit-"

"Empat minit lagi!"

Jeritan Erna mematikan perbualan mereka. Baru dia sedar, semua ahli kumpulannya sudah masuk ke dalam rumah itu kecuali dia dan Natalia. "Alamak! Kita dah terlewat. Baik kita pilih cepat!"

Natalia mengangguk lantas mempercepatkan langkah. Senjata hampir sudah dipilih kesemuanya, meninggalkan hanya beberapa senjata yang sangat berat dan besar dan juga kecil dan lemah. Setiap rak dan tempat penyimpanan senjata diperiksa oleh Luz namun senjata pilihannya sudah tiada lagi.

Tiba-tiba ada bunyi berdenting di lantai. Sebilah pisau kecil berada di hujung kakinya. Luz mengangkat kepala dan bila menyedari gerangannya, dia cuma melepaskan keluhan panjang.

"Aku tak rasa kau dah lupa nama aku, kan?" Tanya Ian dengan senyuman herot. Ditangannya ada sebilah pedang yang sangat cantik buatannya. Batu permata berkilau di pemegangnya, tambahan sangat tajam seolah dijaga sangat rapi. Menyedari renungan Luz di pedangnya, Ian ketawa mengekek.

"Kau nak pedang ni? Boleh saja." Luz mengangkat kening, langsung tidak percaya dengan kebaikan palsu itu. "Jilat kasut aku dulu."

Luz mendengus kasar. Sikap alf itu semakin melampau. Semakin lama dia melayan, kesabarannya boleh menipis. Lebih baik dia keluar sebelum amarahnya meletup.

Ian ketawa apabila Luz mengutip pisau kecil itu lantas berlalu pergi. "Bersedialah untuk gagal, pembunuh!"

Dalam hati, Luz berharap agar dia akan berlawan dengan lelaki itu. Sekurang-kurangnya hatinya puas dapat menumbuk wajah menjengkalkan itu. Biar padan muka!

"Baiklah, semua dah dapat senjata? Bagus!" Luz sedar Natalia menemui pedang yang dimahukannya meskipun keadaan senjata itu lebih teruk dari pisaunya. "Selain peraturan tadi, ada sesuatu yang kamu perlu ingat dan patuhi. Jangan sesekali menggunakan magi. Ini adalah ujian fizikal. Sebarang bentuk penghasilan magi adalah dikira melanggar peraturan. Kamu bukan saja gagal ujian ini tapi seluruhnya. Faham?"

Mereka mengangguk pantas. Erna tersenyum megah. "Baiklah, sebelum kita mulakan, ada soalan yang hendak ditanya?"

"Saya!"

"Ya, Tuan Muda Harwick?"

Alf yang membuli Luz sebentar tadi keluar dari barisan sambil membawa pedangnya dengan wajah yang bangga.

"Ah, saya nampak awak berjaya menemui Pedang Starlight."

"Ya. Saya ingin membuat permintaan, Ketua Erna," katanya dengan suara yang lembut. Luz memutarkan bola matanya dengan hati yang sebal.

"Apa dia?"

"Saya mahu menukar lawan saya."

Kening Erna terjungkit. "Oh? Kamu hendak berlawan dengan siapa?"

Ian menghalakan pedangnya ke arah barisan paling belakang. Matanya mengecil penuh jahat.

"Dia."

Luz tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Matanya bersinar sebaik saja mendengar permintaan Cole yang diumpamanya bagai pucuk dicita ulam mendatang. Akalnya sudah berfikir yang bukan-bukan, cara untuk mengalahkan lelaki bongkak itu.

Gadis itu terdiam seketika, seolah sedang menimbangkan permintaan aneh itu. Namun kemudian dia menjungkitkan bahu. "Tak ada masalah. Kamu akan berlawan dengan Luz di pusingan akhir."

"Terima kasih, Ketua Erna," ucapnya sopan membuatkan Luz hampir termuntah. Mata mereka bertembung buat sesaat, jelas kelihatan keseronokan dalam pandangan Ian.

"Hati-hati."

Suara lembut itu mengejutkan Luz. Natalia memberi pandangan sisi kepada Luz sebelum kepalanya disenget ke kanan.

"Apa dia?"

"Itu..." Luz tahu Natalia maksudkan Ian namun hairan baginya gadis itu sukar untuk menyebut nama alf itu. "Hati-hati dengannya."

"Kenapa? Awak kenal dia?"

Natalia menggelengkan kepala. "Saya tak kenal tapi tahu keluarganya. Harwick. Itu salah satu keluarga bangsawan yang mahir dalam magi tanah. Nama keluarganya tercatit dalam buku sejarah sebagai penguasa magi yang handal sejak turun temurun."

"Oh, sebab itu dia sangat angkuh," komen Luz selamba.

"Ya. Setahu saya dia adalah generasi keempat. Ayahnya adalah pengajar di sini."

Kenyataan itu membuatkan Luz terdiam seketika. Natalia menambah skil pedang Ian juga boleh tahan hebatnya tapi dia cuma kalah kepada Puteri Api.

"Puteri Api?"

"Puteri Myra Stieves. Puteri bongsu Kerajaan Api," kata Natalia separuh berbisik, matanya merenung gadis yang menduduki tempat pertama dalam ujian pertama tadi. Mulut Luz terlopong penuh kagum. Rupanya alf yang menyelamatkannya tadi adalah keluarga diraja. Itu adalah kali pertama dia melihat seorang puteri. Patutlah auranya tampak berbeza - penuh keyakinan dan berani.

"Jadi awak kena hati-hati," Natalia mengingatkan Luz lagi.

Luz rasa tersentuh dan terharu. "Awak sangat baik, Natalia."

Muka comel itu kemerahan. "Um, panggil saja Nat. Awak pun baik, Luz. Awaklah orang pertama yang tegur saya."

"Awak nak jadi kawan saya?"

Mata Luz bersinar-sinar saat dia mengucapkan perkataan itu. Dengan pantas tangannya dihulur. Natalia yang terkejut dengan huluran tiba-tiba itu perlahan-lahan menyambut, satu senyuman kecil terukir di bibirnya.

"Awak tak takut pada saya?" Luz bertanya jujur. Gadis itu agak pelik. Semua alven yang lihat rambut hitamnya akan menjarakkan diri dan memberi pandangan membunuh.

Natalia terdiam seketika, seolah berfikir panjang. Hujung rambutnya yang ikal dipintal-pintal lantas satu keluhan terlepas. "Em, pada mulanya sangat takut," katanya sambil ketawa. "Iyalah, mak ayah saya selalu cakap alven kegelapanlah yang memulakan peperangan dan memusnahkan separuh daripada kerajaan cahaya ini. Kata mereka lagi, mereka sangat kejam dan tak berhati perut. Tapi awak sangat lain, Luz. Rambut dan mata awak hitam tapi kulit awak sama seperti saya."

"Itu kerana saya lahir dari alf kegelapan dan alf cahaya," jawab Luz tenang.

Mata coklat itu membulat. "Adakah itu mustahil? Tapi bukankah ia dilarang..."

"Ya tapi rasanya ibu dan ayah saya tak peduli tentang itu," gumam Luz sedikit terkilan. Kerana sikap tidak ambil peduli ibu bapanya, dia yang tidak bersalah menerima padah.

"Jadi kawan awak yang lain juga-"

Apabila mendengar nama rakan-rakannya, riak wajah Luz yang muram segera berubah ceria. Rasa rindu dan tidak sabar untuk bertemu dengan mereka semula walaupun baru berpisah tidak sampai sehari. Ini adalah kali pertama mereka berjauhan dan Luz tidak sukakan rasa kesunyian itu.

"Mereka semua pun sama!" Luz memberitahu dengan senyuman lebarnya. "Cuma Stom dan Rho yang beruntung sebab dilahirkan dengan rambut perang dan oren. Tapi mata mereka tetap berwarna hitam!"

"Oh, kalau begitu-"

Sorakan tiba-tiba mematikan perbualan mereka. Langsung tidak Luz sedari perlawanan sudah pun bermula. Sekarang ini Puteri Api sedang berlawan dengan alf lelaki yang dua kali ganda lebih besar dan sasa darinya. Seperti Ian, Myra memperolehi pedang manakala lawannya memegang lembing. Pertembungan dua senjata itu menghasilkan bunyi dentingan yang kuat. Masing-masing tidak mahu mengalah. Meskipun alf lelaki itu nampak kuat namun pergerakannya agak lambat. Sebenarnya tidak perlu meneka siapa yang akan menang kerana skil antara mereka berdua sangat jauh berbeza.

"Myra menang!"

Sorakan untuk si puteri bergema namun dibalas dingin oleh gadis itu. Senyuman kecil hanya dilemparkan pada Erna yang tekun merenung.

"Baiklah, perlawanan seterusnya!"

Perlawanan yang seterusnya tidaklah mengambil masa yang lama dan tidak ada yang menarik perhatian kecuali beberapa alven yang disangka lemah rupanya mahir dalam pengendalian senjata. Salah seorangnya adalah Natalia. Walaupun baru kenal beberapa minit saja, Luz berasa bangga apabila gadis itu berjaya mengalahkan alf lelaki yang nampak kuat darinya. Pergerakannya pantas dan skil bermain pedang juga bagus.

"Bukankah bagus kalau awak tunjukkan prestasi begini di ujian pertama tadi," komen Erna yang juga terkejut dengan skil gadis itu.

Natalia menundukkan wajah dengan pipi yang kemerahan menahan malu. "S-saya terkejut dengan suara awak."

Erna ketawa seraya menggelengkan kepala. "Baiklah, perlawanan akhir untuk ujian kedua. Persilakan Luz Rusell dan Ian Harwick ke tengah bulatan."

Pisau kecil digenggam erat lantas Luz mengatur langkah dengan penuh yakin ke dalam bulatan. Sempat dia mengucapkan tahniah kepada Natalia yang memandangnya dengan penuh kerisauan.

Ian berdiri sedepa dari Luz, bibirnya mengherot penuh sinis dan matanya mengecil penuh jahat. Tidak habis-habis pedang tajam itu dimainkan untuk menakutkan Luz.

"Bersedia untuk pulang, alf licik?"

Luz tersenyum sinis. "Bila-bila masa saja."

"Mula!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience