3 || Alf Bersayap

Fantasy Series 2900

Bunyi riuh-rendah membangunkan Luz dari tidur yang lena. Dia mengiring ke kanan tapi cahaya mentari yang tepat mengenai matanya menyebabkan dia menggosok matanya. Tanpa berlengah, dia meraba jubah yang menjadi selimutnya untuk enutup semula mukanya.

"Bangunlah Luz!"

Luz membuat muka tidak puas hati. Tidurnya terganggu dan badannya masih letih. Dia perlukan sekurang-kurangnya sejam lagi untuk tidur tapi apabila matanya menangkap susuk tubuh rakannya sedang berdiri di atas kepalanya, Luz terpaksa bangkit. Rambutnya kusut-masai seperti penyapu tapi dia tidak peduli.

"Kenapa ni?" tanyanya tapi tiada siapa peduli. Marah, Luz menjungkit kakinya di belakang tubuh Ayriex dan Rho, mengintai disebalik leher rakannya. Ayriex memberikan laluan kepada Luz, memberikan ruang kepada gadis itu untuk berdiri di hadapannya.

"Apa yang kamu semua tengok?"

Kawasan itu sunyi seperti kebiasaannya. Matahari sudah tegak di atas kepala, memanas wajahnya. Dia memerhati keadaan sekeliling. mebcari perkara yang menarik perhatian rakannya tapi tidak menjumpai apa-apa. Hanya suasana biasa - panas terik dan berangin.

Tidak lama kemudian, bunyi derapan kaki kuda kedengaran sayup-sayup dari jauh, semakin lama semakin kuat mendekati bandar itu. Luz menoleh ke kiri ke arah pintu yang tertutup kukuh walaupun bangunan di sekitarnya sudah roboh dan ada yang tinggal rangka.

It adalah pintu laluan ke Hutan Branwenn.

"Saya dengar bunyi kuda," kata Luz tapi dia tidak menemui apa-apa.

Rho mengangkat dagu Luz, memaksa gadis itu untuk mendongak ke langit biru. "Bukan di bawah Luz. Tapi di atas."

Luz mengerutkan dahinya tanda tidak faham tapi apabila sesuatu melintasi matanya, dia terlopong dengan rasa tidak percaya.

Di bawah limpahan cahaya matahari, sepasang sayap menguak dengan megahnya di langit. Warna biru dan ungu bercantum seperti titisan air di kanvas putih. Tidak seperti rama-rama, sayap yang sedang terbang itu lebih besar dan dari pandangan atas, ia mampu menutup bentuk sang mentari. Kelajuannya pula tangkas tidak ubah seperti burung helang. Bila Luz perhati betul-betul, nampak kepingan kaca seakan ditenun hingga menyerupai sarang labah-labah pasa sayap itu.

"Pari-pari kah?" tanya Luz tidak pasti. Dia tidak pernah melihat makhluk itu sebelum ini tapi Trevor pernah berkata pari-pari memiliki sepasang sayap seperti serangga. Namun yang dilihatnya kini seperti rama-rama.

"Itu adalah alf." Luz padang Rho dengan rasa tidak percaya. Sekali lagi dia mengikut makhluk yang berterbangan di sekelilingi bandar Diondell dan apabila ia memperlahankan kelajuannya untuk mendarat, barulah Luz mengakui kebenaran kata-kata Rho.

Buat pertama kalinya dia melihat seorang alf memiliki sepasang sayap dan boleh terbang di udara.

"Tak mungkin," Luz mengerdipkan matanya beberapa kali. Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Jom, dia nak mendarat. Kita ke tingkat bawah."

Meeeka bertiga mengekori Rho dari belakang. Setibanya di tingkat bawah, mereka bersembunyi disebalik tingkap dan memerhati dengan sabar alf bersayap itu untuk turun.

Pasir berterbangan dalam bentuk pusaran tatkala kaki alf itu mencecah ke lantai, sayapnya seperti kelopak bunga itu mengepak dengan perlahan, menghasilkan bunyi kipasan angin. Pakaian dipakainya berbentuk seragam askar, berwarna putih, seputih salju pada musim dingin. Lua perasan alf itu adalah remaja lelaki setinggi Rho dengan rambut perang pudar tapi pendek dan lebih kemas. Keningnya terletak elok, dipadankan dengan sepasang mata berwarna coklat cair yang sentiasa tenang, memerhati keadaan sekeliling tapi dengan gaya waspada. Raut wajahnya tidak beremosi namun Luz mengagak usianya sama dengan Rho.

Pakaian seragam yang dipakainya mengingatkan Luz pada sesuatu. Ia adalah pakaian untuk Askar Biru, perbezaannya hanyalah pada warna dan tali pinggang keemasan di pinggang.

"Dia salah seorang daripada mereka," kata Luz, memandang dengan rasa teruja apabila sayap itu turun ke bawah. "Dia dari Carnia."

Ayriex merenung alf bersayap itu dengan dingin. "Apa yang mreka buat di sini? Selepas Askar Biru, sekarang datang yang ini pula. Nak menyelidiki kita, kah?"

Tiada siapa berani menjawab. Masing-masing tenggelam dengan pertanyaan sendiri. Jantung mereka berdegup laju setiap kali alf itu melangkah lebih dekat ke arah bangunan yang mereka diami. Kata-kata Ayriex sebentar tadi meracuni kotak fikiran mereka menyebabkan tubuh Luz menggeletar.

"Apa patut kita buat?" Tanya Stom cemas. Luz tahu soalan itu dituju kepada Rho tanpa yang lain bertanya.

Rho adalah ketua mereka, memandangkan dia yang paling tua. Meskipun remaja itu kelihatan suka berfoya-foya dan bersenang-lenang, namun otaknya lebih bergeliga yang secara tidak langsung menjadikan dia seorang strategis yang bijak. Kalau Stom mempunyai kekuatan untuk mengangkat bongkah ais seberat 50kg dan Ayriex punya kelajuan setangkas Gamu, Rho pula adalah perancang kepada semua rancangan mereka selama ini. Ia sentiasa berakhir dengan kejayaan.

Rho menjungkit bahu. "Kita tunggu dulu. Saya nak tahu apa yang dia nak buat," balas Rho berfikir-fikir. Pandangan matanya tertumpu pada alf yang sedang mundar-mandir di hadapan pintu yang tertutup.

"Saya rasa dia sedang menunggu seseorang," fikir Luz.

"Ya. Mungkin bunyi derapan kuda yang kita dengar tadi. Saya rasa dia tidak keseorangan."

Stom termengkelan. Pucat wajahnya bila memikirkan sekumpulan askar akan tiba untuk menangkap mereka. "Saya baru ingat kita dah terlepas."

"Sabar, kita masih tak tahu itu. Mungkin mereka saja-saja datang untuk melihat Diondell," kata Rho cuba menenangkan Stom yang sudah resah.

'Terlalu banyak kemungkinan', getus Luz tidak senang. Seolah kejadian semalam telah membuka laluan yang lebih bahaya daripada yang sebelumnya. Bila mereka menjamu roti yang dicuri semalam, Luz perasan akan mata-mata yang sedang mengintai pergerakan mereka walaupun di dalam bilik mereka sendiri. Keupayaan Askar Biru itu untuk mengintip pergerakan mereka jauh lebih hebat dari yang disangkanya.

Mereka sudah tidak selamat.

Tiba-tiba tubuhnya ditarik ke belakang, menyebabkan Luz terpinga-pinga. "Apa dah jadi?"

Ayriex menekup mulutnya. Rho mengarah mereka bersembunyi di tepi tingkap. Dia dan Ayriex memeluk dinding yang kotor itu sehingga dapat rasakan permukaan bau lumpur dan berpasir mengenai wajah mereka.

"Mereka dah datang," Luz mendengar suara getir Rho. Dia cuba sedaya upaya memanjangkan lehernya untuk melihat pintu selatan yang tidak pernah dibuka selama ini, kini perlahan-lahan ditolak dari luar. Bunyi derapan kaki kuda semakin kuat kedengaran diselangi suara alf bersayap itu sedang berbual dengan seseorang.

"Kamu lambat! Penat aku tunggu di sini," suara marahnya kedengaran.

"Kau yang cepat sangat terbang, bukan salah kami. Cuba kau naik kuda ni, si Wheat memang lembaplah," jawab seseorang, nafasnya termengah-mengah. "Sudahlah Diondell ni panas."

"Dah, cepat masuk. Cepat kita habiskan urusan, cepat kita balik ke akademi."

"Baik, tuan!"

Askar itu melintasi tempat persembunyian mereka berempat tanpa menyedari kehadiran mereka. Luz terpaksa menahan nafasnya kerana takut helaan nafas mereka dapat didengari.

"Kamu berempat dikehendaki datang ke pusat bandar sekarang."

Tubuh mereka berempat tersentak seperti terkena renjatan kilat. Biru wajah Luz saat dia mencari nafasnya yang hilang. Merka berempat berpandangan sesama sendiri.

"Bagaimana dia tahu? Mereka tahu siapa kita?" Bisik Stom kepada Rho. Dia yakin alf itu menujukan ayat itu kepada mereka kerana menekankan perkataan 'kamu berempat'.

"Mustahil. Identiti kita baru saja didedahkan semalam, tak mungkin ia dapat tersebar dengan cepat ke tempat lain. Sudahlah, kita dah dijumpai. Mari kita bergerak ke pusat bandar."

Penuh hati-hati, mereka mengekori askar itu dengan jarak sepuluh langkah jauh. Selain alf bersayap itu, alven yang lain mengenakan pakaian seperti Askar Biru. Di tangan dua alven berdiri megahnya bendera putih yang dilukis simbol matahari berwarna merah dengan dua pedang berselisih di tengahnya.

Simbol Carnia, kerajaan tertinggi di Alveria.

"Mereka nak ke rumah datuk bandar?" Luz perasan arah destinasi sebelas orang askar itu ke rumah datuk bandar setelah lokasi dewan dilintasi begitu saja. Kali ini mereka tidak mengekori dari belakang tetapi melompat di atas bumbung dari rumah ke rumah. Bahaya sekiranya mereka dijumpai oleh penduduk Diondell terutamanya dengan kehadiran askar baru itu.

Sepanjang laluan ke rumah datuk bandar, alven yang tinggal di rumah mula keluar dan peniaga yang menjaja berhenti melakukan aktiviti mereka. Semuanya pelik bercampur ghairah saat melihat alf bersayap itu, namun ada juga mempamer rasa risau.

"Apa lagi yang mereka mahu datang ke sini? Mahu ambil alih bandar ini kah?" Rungut Puan Dove yang sememangnya tidak suka akan kehadiran Askar Biru. Suaminya, Encik Tompson membalas dengan berang, "Mereka itu semua pura-pura saja! Mahu melindungi Diondell, hah! Kenapa tidak dari dulu? Kenapa baru sekarang?"

"Shh, nanti mereka dengar," bisik Puan Dove takut-takut salah seorang askar itu menoleh ke arahnya.

"Mereka nak ke mana agaknya?" Sampuk jiran mereka yang suka menyibuk, Cik Luna. Wanita itu sudah berusia tapi belum lagi berkahwin. Kerjanya Luz sedar hanyalah mengumpat dan meminta makanan dari jiran tetangga saja.

"Itu laluan ke rumah Encik Dorsen. Mereka nak ke rumah datuk bandar. Jom, kita ikut!"

Rumah datuk bandar terletak di tengah-tengah bandar Diondell, sebuah rumah banglo yang besar dengan warna yang berbeza dari rumah yang lain. Kalau kediaman penduduk Diondell berwarna coklat, dia pula berwarna merah seperti lambang Carnia itu. Pintunya diperbuat daripada kayu Alvar yang paling kukuh di Alveria dan hanya boleh didapati di Hutan Branwenn manakala jeriji tingkapnya dikhabarkan diperbuat daripada perak tulen.

Walaupun usia Datuk Bandar, Encik Dorsen jauh lebih muda daripada Pak Cik Trubel yang merupakan alf tertua bandar itu, namun tiada siapa dapat menandingi kekuatan maginya. Sebab itu dia dipilih sebagai datuk bandar. Semua alven di Diondell menyokong penuh pelantikan itu dan menghormati keluarga itu tetapi tidak bagi mereka berempat. Mereka benci keluarga itu.

Sesampainya askar itu di perkarangan rumah Encik Dorsen, mereka berdiri di dalam dua barisan, diketuai oleh alf bersayap itu dengan seorang lagi alf yang berpakaian serupa dengan ketua Askar Biru sebelumnya. Alf berambut perang itu mengetuk daun pintu. Tiada jawapan. Sekali lagi, kali ini lebih kuat. Pintu itu akhirnya terbuka, mempamerkan muka Puan Lory, isteri Encik Dorsen. Rambut coklat gelapnya mayang mengurai hingga ke pinggang, lembut seperti sutera tapi mata sepetnya tajam menikam seolah sentiasa marah.

"Siapa kamu?" Tanyanya marah-marah dengan mata yang mengecil. Remaja itu dengan sengajanya mengepak sayapnya di depan Puan Lory, hampir membuatkan wanita itu jatuh terduduk. Dia mengimbangi badannya semula sebelum mengatur pakaian gaun agar kelihatan lebih kemas.

"Ah, ya, ya...suami saya ada maklumkan tentang kehadiran encik. Saya tidak sangka encik akan tiba lebih awal," katanya dengan penuh sopan, menampal senyuman palsu di wajah yang lonjong.

"Tuan. Tuan Stieves," remaja itu memperbetulkan panggilan Puan Lory menyebabkan muka wanita itu merah membahang menahan malu.

"Maafkan saya, saya tersilap," ucapnya dengan ketawa yang dibuat-buat. "Tuan nak masuk? Kita boleh minum dahulu, Diondell sangat terkenal dengan kuih-"

Remaja dipanggil Stieves itu melambai tangannya dengan bosan. "Kami ada hal penting yang hendak diumumkan. Kehadiran Encik Dorsen diperlukan di dewan."

Tanpa menunggu jawapan balas Puan Lory, Stieves memaling tubuhnya seraya mengarahkan askarnya untuk beredar. Sehingga bayang askar itu hilang, barulah Puan Lory masuk semula ke rumahnya dengan wajah cemberut.

"Mari," ajak Stom dan yang lain hanya mengangguk.

Dewan sudah penuh dengan alven saat mereka tiba. Ada yang berdiri, ada yang duduk di lantai tanah dan ada juga duduk di beranda rumah masing-masing kerana lebih dekat. Mereka berempat pula bersembunyi di bumbung rumah Encik Luscien, melihat pemandangan tidak ubah seperti dua minggu yang lalu. Namun kali ini lebih ramai yang menggumam tidak puas hati.

"Sampai bila kita harus tunggu? Sudah lebih 20 minit," bebel satu suara. Alven yang lain menyokong, turut sama meluahkan rasa tidak puas hati.

"Mereka nak tunggu Encik Dorsen tiba," balas seseorang yang Luz kenalpasti sebagai Puan Morthen. Dia berniaga sayur-sayuran di pasar dan tidak menyukai Puan Lory. "Perempuan tua itu semestinya bersiap lama macam hendak ke majlis. Padahal ke dewan saja."

"Dia itu sengaja mahu menunjuk-nunjuk. Kalau tidak kerana bersuamikan Encik Dorsen, pasti dia tidak akan merasai semua kemewahan itu. Dia bukanlah baik, kerjanya asyik menawar saja padahal berduit," omel Puan Rose, si penjual buah-buahan. Wanita itu mungkin bengang kerana Puan Lory sentiasa menawar harga buah-buahannya hingga sekali dia terpaksa memberikan buah-buahannya secara percuma demi menjaga tapak berniaga.

"Dia itu suka mengugut. Sama dengan anaknya itu. Suka berlagak saja perangainya. Tengoklah nanti, pasti dia tidak lupa membawa beg tangannya yang mahal dan kalung mutiara di leher."

Betul kata Puan Morthen itu. Sepuluh minit kemudian keluarga Encik Dorsen tiba dengan pakaian yang sangat janggal dan aneh. Seperti menghadiri majlis tari-menari, Datuk Bandar mengenakan suit hitam yang dipadankan dengan reben pink di leher. Misai hitamnya berkilat seperti warna kasutnya. Disisinya, Puan Lory kelihatan cantik namun semakin kurus meliding dengan gaun berwarna perak yang menampakkan lurah di dadanya. Seperti yang dijangka oleh Puan Morthem, kalung mutiara yang pernah dihebahnya berharga 120 emas elok terletak di leher jinjangnya dan dia membimbit beg tangan ynag diperbuat dari kulit naga.

"Oh tengok si Wyatt itu! Walaupun dia sombong dan menjengkelkan, tapi aku harus katakan dia sememangnya seorang budak yang kacak. Dengan kulit halus dan wajah kacak itu, aku pasti semua budak perempuan di bandar kita ni pernah menaruh hati dengannya. Aku dengar dia sedang berpacaran dengan cik muda di Carnia."

"Semakin tinggilah hidung perempuan itu kalau bermenantukan keluarga daru Carnia. Kamu tahulah di sana, semuanya anak bangsawan dan keluarga diraja. Manalah layak kalau Wyatt dipadankan dengan anak kita," balas seorang lagi bernada mengejek.

Anak Encik Dorsen, Wyatt seorang yang terkenal bukan kerana kehebatannya dalam kuasa magi seperti ayahnya, tetapi kerana sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk seperti ibunya. Pada setiap hari ulang tahun kelahirannya, Wyatt pasti akan memanggil alven yang sebaya dengannya untuk menghadiri majlis yang mewah. Mereka berempat pernah menghadirinya sekali kerana tertipu dengan kata-kata Wyatt dan pengakhirannya, ia menjadi memori yang paling melekat dalam ingatan Luz. Dia tidak akan sesekali lagi percaya dengan janji lelaki itu. Sampai dia mati.

"Oh, nak mula dah!" Rho menunjuk ke arah pintu dewan yang terbuka.

Riuh-rendah keadaan saat Encik Dorsen muncul, diikuti alf bersayap itu dan Askar Biru yang lain. Isteri dan anaknya berdiri agak jauh sambil tersenyum sumbing. Jeritan penduduk Diondell terus mati apabila alf bersayap itu mengepakkan sayapnya sebagai tanda perhatian dan amaran.

"Ah, saya faham," kata Rho tiba-tiba. "Dia sedang menunjuk-nunjuk kekuatannya supaya penduduk di sini takut. Memiliki sepasang sayap bukannya satu perkara yang mudah. Ia melibatkan kekuatan magi dan keluarga diraja itu sendiri."

"Keluarga diraja?" Tanya Stom.

Rho mengangguk. "Ya. Saya pernah baca dalam buku sejarah. Sebelum Peperangan Kegelapan, ada di antara alven memiliki sayap, dianugerahkan oleh Raja Tertinggi. Tapi baginda tidaklah dapat menganugerahkan ia kepada sesiapa, ada batasan pada kuasa maginya."

"Kenapa hanya Raja Tertinggi saja yang dapat kurniakan? Alveria ada lima kerajaan dan setiap satunya miliki rajanya sendiri. Kenapa mesti Raja Tertinggi?" sampuk Luz dengan rasa ingin tahu yang membuak.

"Sebab hanya golongan diraja dari Carnia yang memiliki kuasa magi cahaya. Seperti yang awak tahu, setiap kerajaan mempunyai magi yang berbeza. Api, air, angin dan tanah. Tapi kenapa magi cahaya yang dipilih sebagai pemerintah tertinggi? Sebab kuasa magi itu istimewa. Ia adalah simbol kepada Alven Cahaya. Awak tahu Dinding larangan itu? Ia masih berdiri kukuh seperti pintu selatan itu kerana disalut magi dari bekas Raja Tertinggi yang telah meninggal dunia dahulu. Walaupun dia sudah tiada, kuasa maginya masih kuat melindungi kita."

"Wah, awak memang hebat Rho! Tidak sia-sia awak berkurung dalam bilik Trevor tujuh hari tujuh malam," puji Stom sambil menepuk belakang remaja lelaki itu dengan bangga.

"Sebab kamu semua pemalas. Saya baru membacakan satu buku, kamu semua sudah tertidur," marahnya menyebabkan yang lain hanya tersengih.

"Tapi kan, tidak pernah pula saya melihat alf bersayap sebelum ini," tanya Luz hairan. 

Wajah Rho berubah tegang. "Itu sebab ramai yang mati dibunuh dalam peperangan itu. Tidak seperti askar biasa, alf bersayap paling dikehendaki sebab merekalah yang paling kuat dan mahir dalam penguasaan magi. Sebab itu Alven Kegelapan membunih mereka sebelum yang lain jadi bila itu terjadi, semangat askar bawahan jatuh merundum," jelas Rho panjang lebar.

Luz mengangguk faham. 

"Jadi maksud awak pemerintah sekarang ini iaitu Ratu Tertinggi mengurniakan sayap kepada alf itu? Tidak bermaksud untuk berlaku biadap, tapi alf itu sangat muda! Adakah awak pasti yang Ratu tertinggi kurniakan kepada mereka sebab apa yang lihat alf budak itu seperti seorang yang lembik? Kenapa tidak kurniakan kepada Encik Dorsen?" Stom menunjuk ke arah alf bersayap yang kelihatan lebih kurus darinya.

"Yalah, Stom nampak lebih gagah dari dia," sokong Ayriex.

"Jangan tanya saya, saya bukan Ratu Tertinggi. Itu apa yang saya baca."

"Tetapi tidakkah kamu berasa aneh? Kenapa baru sekarang? Kenapa tidak selama 16 tahun ini? Kemunculan Askar Biru, undang-undang baru dan sekarang pula ini, apa yang sudah berlaku sebenarnya?" Luz tidak dapat menahan rasa hairannya. Suasana di Diondell aman sahaja selepas peperangan itu berlaku, tiada campur tangan daripada pihak luar kerana Diondell sudah ergolong sebagai Wilayah Luar.

Wilayah Luar adalah kawasan yang tidak ditadbir oleh mana-mana pemerintah dari Lima Kerajaan. Maksudnya segala hal sama ada dari segi bantuan kewangan atau perlindungan tidak menjadi tanggungjawab Lima Kerajaan. Mereka menjadi tanah bebas yang cuma dikendalikan oleh datuk bandar. Sekarang ini Kerajaan Tertinggi mahu mengambil alih Diondell?

Rho tiba-tiba terfikirkan sesuatu. Dia memandang lama pintu utara yang terletak di kanan mereka kemudian beralih ke kawasan terbiar di mana mereka tinggal. "Kalau kamu fikirkan, mereka masuk dari pintu selatan, kan?"

Mereka bertiga mengangguk serentak. 

"Itu adalah laluan ke Hutan Branwenn. Kalau mereka dari Carnia, sudah pasti mereka menggunakan jalan biasa iaitu melalui pintu utara," Rho menyusun semula ingatannya, cuba mencari serpihan yang hilang sejak ketibaan Askar Biru dua minggu yang lalu.

Stom bertanya tidak sabar. "Jadi apa yang awak nak kata?"

"Awak tidak rasa itu aneh? Mereka seakan bertindak tergesa-gesa. Belum reda kejutan dan kemarahan alven dari Wilayah Luar, sekarang yang lain pula datang mahu menyampaikan sesuatu. Dan paling penting, askar itu tadi datang bukan dari Carnia tapi Hutan Branwenn."

"M-maksud awak..." Stom bertanya terketar-ketar. Mendengar perkataan Hutan Branwenn sudah cukup buat bulunya meremang.

"Mereka mungkin sedang berperang dengan makhluk kegelapan atau mungkin, Alven Kegelapan itu sendiri," jelas Rho yakin.

Mereka bertiga terkejut. Ayriex yang dulu menyangkal hipotesis Rho. "Mustahil. Tiada berita yang kita dengar tentang permasalahan di Dinding Larangan. Alven Kegelapan tidak mungkin dapat masuk ke sini."

Rho tidak membalas kerana dia tahu kegusaran hati rakan-rakannya tapi tiada perkara yang mustahil di dunia ini. Kewujudan mereka berempat menjadi bukti. Walaupun Alven Cahaya menegaskan Dinding Larangan itu dapat berdiri kukuh hingga 100 tahun akan datang, tapi mereka patut tahu ia bergantung kepada kuasa magi pemerintah. Selepas kematian Raja Tertinggi, tanggungjawab itu digalas oeh Ratu Tertinggi tapi ada yang berkata, kesihatan wanita itu tidak memuaskan.

Tapi Rho tidak mahu menakutkan rakan-rakannya. "Itu cuma pandangan," katanya.

"Mungkin benar apa yang awak kata, tapi macam mana Diondell terlibat dalam hal ini. Kita bukan askar atau golongan bangsawan,. Kekuatan kita hanya suku dari askar yang berdiri sekarang ini," tambah Ayriex. 

"Saya mengagak sesuatu tapi kena tunggu apa yang mereka mahu umumkan," jawab Rho, menamatkan perbualan antara mereka.

"Penduduk Diondell yang disayangi," Encik Dorsen memulakan ucapannya dengan wajah megah. Senyumannya semakin lebar apabila mendapat tepukan dan sorakan dari subjeknya. "Sekali lagi kita berkumpul di sini selepas peristiwa dua minggu yang lalu. Ya, ya, saya tahu apa yang kamu dikirkan, saya juga merasakannya tapi rakan-rakanku, apa yang tetamu kita hendak maklumkan hari ini adalah satu perkara yang berlainan. Saya berjanji kepada anda semua, ia akan mengubah nasih bandar kita ini agar setanding dengan daerah di Lima kerajaan!" jeritnya penuh bersemangat.

"Baiklah, mari kita mendengar makluman dari rakan kia yang mulia ini." Dorsen memberi laluan kepada Stieves untuk mengambil tempatnya. Dia menutup sayapnya, langsung tidak terkesan dengan mata-mata yang kagum memandang.

"Seperti yang datuk bandar beritahu, kami datang membawa titah daripada Ratu Tertinggi, bukan bertujuan menubuhkan undang-undang baru tetapi memberikan tawaran," katanya dengan tegas. "Kami memberikan tawaran kepada kamu semua untuk menjadi salah seorang daripada kami."

Remaja itu mendabik dadanya lantas menghayun tangannya ke udara lalu meletakkan ke depan dadanya. Askar yang lain turut sama mengikut aksinya, memanggung kepala tanda hormat. "Menjadi askar elit!"

Mereka semua terkejut tidak terkata. 

Luz mengerutkan dahinya. "Apa maksudnya? Apa itu elit?"

Saah seorang alf mengangkat tangannya untuk bertanya. Stieves mengangguk, memberikan kebenaran.

"Kenapa tiba-tiba? Maksud awak semua kami ini boleh menjadi elit?"

"Ini bukan perkara tiba-tiba. Ia sudah lama dibincangkan. Carnia sangat menghargai kerelaan rakyatnya membayar cukai dan-"

"Yalah tu. Kami membayar dengan titik peluh tapi apa yang kami dapat? Kosong! Carnia buang kami dari tanah jajahannya walaupun pada mulanya, kami berada dalam Kerajaan Angin. Kamu tinggalkan kami untuk dimakan oleh makhluk kegelapan tanpa perlindungan dan sekarang mahu tunjuk baik? Tipu saja semua ini!" tingkah Encik Luscien dengan marahnya. Kata-katanya mendapat sambutan dari penduduk yang lain maka menjeritlah mereka sebagai tanda bantahan.

Stieves menarik nafas panjang sementara Encik Dorsen disebelah tersenyum sinis.

"Diam!"

Itu bukanlah suara remaja lelaki. Ia sangat nyaring dan dalam, seolah keluar dari perutnya. Mukanya merah dan sayapnya terbuka luas, mengepak dengan berang. "Saya tidak peduli apa yang kamu kata tapi titah ini berkuatkuasa mulai harin ini. Apa yang kamu lakukan tidak akan mengubah apa-apa, undang-undang baru itu tetap berjalan tapi jika kamu menerima tawaran ini, kamu akan diberikan tempat istimewa di Carnia," jelasnya.

"Jadi sesiapa saja boleh masuk?" tanya satu suara.

"Sesiapa saja. Itupun kalau dia layak," katanya sinis. "Syaratnya sangat mudah - lepasi ujian yang diberikan dan jika berjaya, kamu akan diberikan tempat tinggal, makan dan minum disediakan, wang saku pada setiap bulan dan lencana yang membolehkan kamu menggunakan kuasa magi tanpa kebenaran. Tarikh akhir pendaftaran ke akademi adalah pada bulan depan."

Tenggelam sudah suara amarah, berganti pula dengan suara teruja. Selepas itu Stieves masuk semula ke dalam dewan diiringi Encik Dorsen dan keluarga serta askar yang lain.

"Hei, kamu semua dengar tu? Siapa-siapa boleh masuk ke dalam akademi," ujar Luz girang.

"jadi? Awan nak masuk?" Stom bertanya, menyandar tubuhnya ke dinding seolah berfikir.

"Apa salahnya?"

Stom mengerdip mata dengan rasa tidak percaya. "Serius, Luz? Awak tahukan kita bagaimana? Kita berbeza! Tak mungkin mereka benarkan kita masuk dengan selamat. Lagipun kita tak pernah keluar dari Diondell."

"Cakap saja awak takut," balas Luz marah. "Kita kan pernah berjanji mahu mengembara bersama pada suatu hari kelak. Saya rasa masanya sekarang."

"Kenapa sekarang? Kita masih mudalah Luz," tingkah Stom dengan jengkel.

"Sekaranglah yang sesuai sebab identiti kita sudah terdedah. Kita dah tak boleh mencuri lagi dan pergerakan kita sudah dikawal. Peluang apa lagi yang ada melainkan sekarang? Takkan awak tak mahu mencuba, Stom?" pujuk Luz dengan wajah sedih.

"Bukan tidak mahu tapi... awak tahulah makhluk buas di luar sana. Saya takut kita tak selamat. Rho? Beritahulah pendapat awak."

Rho mendiamkan dirinya sebentar, kemudian merenung Luz lama. "Betul awak nak masuk ke akademi, Luz?"

Luz memandang Rho pelik. "Sudah tentu. Apa maksud awak-"

"Tiada sebab lain? Beritahu saya dengan jujur, apa sebab awak mahu keluar dari Diondell?"

Semua mata menumpu ke arahnya, membuatkan Luz jadi gelisah. Dia ingatkan mereka akan termakan dengan pujukan dan alasannya, tapi dia lupa Rho adalah berbeza. Dia sangat cekap menangkap penipuannya.

"Saya kenal awak dari kecil, Luz. Saya yang menjaga awak. Awak ingat saya tidak dapat menangkap pembohongan awak? Awak sendiri yang cakap malam tadi, walaupun kita dikawal tapi asalkan kita masih bersama, awak tak kisah dan yakin boleh tempuhinya. Jadi kenapa berubah fikiran?"

"Saya takut kamu smua akan menolak idea saya," Luz bersuara lirih, melepaskan keluhan kekalahan. 

Ayriex menggenggam erat jemarinya. Ia membuatkan Luz berasa selamat melihat senyumannya. "Tak kisah pun apa alasan awak, kami akan sentiasa menyokongnya."

"Kamu semua betul-betul maksudkan? Walaupun nanti kamu tak suka?"

"Apa? Kamu bercadang nak bunuh seseorang?" sampuk Stom.

"Apalah awak ni!" Luz menampar lengan Stom. "Sampai ke situ pulak!"

"Jadi apa dia," gesa Rho lembut. Mendengar nada suara Rho, semangat Luz bangkit semula. Dia memandang setiap wajah rakan-rakannya, meminjam sedikit kekuatan.

"Rho, Ayriex, Stom," dia panggil nama mereka bertiga satu persatu.

"Saya nak menyeberangi Dinding Larangan."

Stom terjerit kecil. "Apa?!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience