9 || Tiga Soalan

Fantasy Series 2900

Ratu Pari mengerdipkan matanya. "Baiklah. Kamu hanya boleh bertanyakan beta tiga soalan saja. Jadi fikirkan sebaiknya apa yang kamu ingin ditanya."

Mereka berempat berpandangan sesama sendiri. Hati kecil Luz memberontak mahu bertanyakan hal ibu bapanya tapi dia tahu rakannya mahukan perkara yang sama. Luz enggan jadi seorang yang mementingkan diri apatah lagi bila melibatkan rakannya kerana baginya, semua perlu adil. Akalnya cuba memikirkan soalan yang sentiasa menghantuinya selama 16 tahun dia hidup.

"Luz?"

Luz terpinga-pinga. Rakan-rakannya rupanya sedang memerhatikannya, menunggu keputusan darinya. Mereke bertiga tersenyum.

"Keputusan semua terletak di tangan awak. Kami cuma mengikut saja," kata Rho.

"Tapi-"

Ayriex mencelah. "Kami tak kisah pun apa yang awak nak tanya. Lagipun kami buat semua ini untuk awak. Kami mahu awak gembira."

Luz rasa mahu menangis. Air mata yang mengalir cepat-cepat dilapnya.

"Apa la awak ni, cengeng betul," usik Stom, menyebabkan yang lain turut ketawa.

"Terima kasih kamu semua. Saya sayangkan kamu bertiga," ucapnya, masih dengan linangan air mata.

Rho mengangguk. "Kami tahu. Kami pun sama, sentiasa sayangkan awak hingga ke hujung nyawa."

Kata-kata Rho dan keprihatinan rakan-rakannya memberi semangat kepada diri Luz. Dia kini tahu apa yang perlu ditanya.

"Baiklah. Soalan pertama," Luz mengerling sekilas rakan-rakannya sebelum memandang Ratu Pari yang setia menunggu.

"Adakah kami anak yang terbuang?"

Ya. Itulah soalan yang sentiasa membelenggu dirinya sejak dia sedar, dia tidak punya ibu dan bapa seperti alven yang lain. Dia kekurangan sesuatu yang dicarinya dalam hidup walaupun kehadiran Rho, Ayriex dan Stom sedikit sebanyak mengisi kekosongan jiwanya. Namun Luz ingin tahu sebabnya. Kenapa mereka dibuang selepas dilahirkan? Adakah kerana mereka berbeza dengan alven yang lain, oleh itu mereka ditinggalkan keseorangan?

"Sebab kamu berempat ditinggalkan berbeza-beza. Apa yang dapat beta simpulkan, ibu bapa kamu sayangkan kamu dan tidak pernah berniat untuk membuang kamu. Semua yang terjadi ada sebabnya dan adakalanya keadaan yang memaksa mereka membuat keputusan yang sangat payah itu," jelas Ratu Pari.

Air mata mengaburi mata Luz sekali lagi. Dadanya tiba-tiba sesak dengan penjelasan Ratu Pari yang sesungguhnya tidak dijangkanya. Jadi ibu bapanya sayangkannya dan tidak pernah membuangnya? Luz rasa tidak percaya. Dia seolah mahu menjerit kegembiraan pada saat itu juga. Kini dia sudah ada misi baru.

Dia akan mencari ibu bapanya walau terpaksa mengharungi Dinding Larangan.

Luz menoleh ke arah Rho. "Giliran awak pula. Saya tahu awak ada banyak benda yang nak tanya. Saya sudah tahu apa yang saya mahu."

Rho memandang Ayriex dan Stom yang kemudiannya mengangguk. Menjilat bibirnya yang kering, Rho mendiamkan diri sebentar sebelum melepaskan satu nafas panjang. Luz sedar jari Rho sedang menggigil.

"Adakah kami..." Rho berhenti sebentar, mengemam bibir bawahnya. Jarinya bertaut antara satu sama lain, mencari kekuatan. "Adakah kami alven tersumpah?"

Anak mata Luz membesar.

'Alven Tersumpah'.

Itulah panggilan yang mereka terima sejak kewujudan mereka diketahui oleh alven di Diondell. Perkataan yang sering didengarnya hanyalah cacian dan makian beserta pukulan dan lontaran batu di badan. Tidak pernah sekali pun penduduk bandar kecil itu melayan mereka seperti alven yang lain.

Hanya kerana mereka berempat berbeza.

"Betul ke kami alven tersumpah? Kenapa hanya kami berempat saja yang berbeza di dunia ni?" Desak Rho lagi.

Ratu Pari menutup matanya seketika. Dia seperti menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan Rho. Semestinya ia berkait rapat dengan sesuatu penting.

"Kamu berempat bukan alven tersumpah, tetapi sesuatu yang istimewa," kata Ratu Pari tapi Luz dapat merasakan ratu itu sedang menyembunyikan sesuatu.

"Istimewa?" Dengus Stom tidak percaya. "Mereka layan kami seperti sampah! Kata mereka kami pembawa malang, berdarah kotor disebabkan mata kami! Tapi tuanku beritahu kami alven istimewa? Hah! Gurauan apakah ini?"

Serta merta tangan Luz menekup mata kanannya. Semua mata rakannya sama sepertinya - kehitaman umpama malam tanpa bintang. Tidak seperti mata coklat kekuningan milik alven yang lain. Diperhati pula rambut Ayriex dan dirinya, sungguh jauh berbeza dengan rambut lembut kekuningan Rho dan Stom yang seperti api menyala. Kenapa mereka berbeza?

"Kamu dilahirkan bersebab, bukan untuk ditinggal dan dibuang tapi kerana kamu ada takdir hebat yang menanti. Pada masa akan datang akan ada lagi halangan besar yang menunggu tapi beta percaya kamu berempat dapat mengatasinya. Apa yang dapat beta katakan, masa depan Alveria berada dalam tangan kamu berempat."

Mereka terkejut, berpandangan antara satu sama lain dengan rasa tidak percaya. "Kami berempat?" Ulang Stom. "Apa maksud tuanku? Kami cuma alven biasa saja. Lagipun kami tidak ada kuasa magi. Jadi bagaimana-"

"Adakah itu soalan ketiga kamu?" Potong Ratu Pari sebelum sempat Stom menghabiskan kata.

Rho tiba-tiba mengangkat tangannya, menghentikan Stom sebelum remaja itu menyambung soalannya. "Soalan terakhir, kami mahu simpankannya."

"Hah? Kenapa?" Soal Stom bingung tapi Rho tidak membalas.

Ratu Pari tersenyum. "Baiklah. Mari, kamu pasti kelaparan dan letih. Hidangan sudah tersedia. Selepas makan, orang beta akan menunjuk jalan ke bilik tetamu untuk kamu berehat."

"Sebelum itu, boleh saya tanyakan sesuatu?"

"Ya?"

"Tuanku kata ada takdir hebat menanti kami. Adakah maksudnya kami perlu keluar dari Diondell dan mengembara ke tempat lain dengan risiko dibunuh oleh alven yang lain?"

Ratu Pari memandang Rho lama. "Buat masa ini, mungkin ya. Keluar saja kamu dari Moonhaven, setiap alven yang menjumpai kamu pasti akan menangkap kerana menganggap kamu berempat adalah alven kegelapan. Di Diondell kamu mungkin terselamat disebabkan Trevor, tapi di luar sana musuh sentiasa mengintai peluang untuk membunuh kamu."

"Tuanku kenal Trevor?" Luz tidak menyangka Trevor dikenali sehingga ke Moonhaven kerana sangkakanya, penjaga mereka itu haanya seorang tukang kayu biasa. Tapi jika difikirkan dengan teliti, mana mungkin seorang tukang kayu mahir dalam seni mempertahankan diri. Segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari oleh mereka berempat semuanya diperolehi dari Trevor. Termasuklah membaca dan menulis.

Ratu Pari ketawa dan memberi senyuman penuh makna. "Oh, beta memang kenal benar dengan Trevor. Dia sangat terkenal di luar sana."

Trevor sangat terkenal? Rasa seperti tipu pula, fikir Luz. Terbayang di fikirannya rupa Trevor yang selekeh dengan seluar lusuh, rambut coklat gelapnya yang serabai seperti baru bangun tidur dan baju dari kulit beruang yang tidak pernah bertukar.

"Disebabkan itu, beta sudah berjanji dengannya untuk melatih kamu berempat supaya lebih kuat sebelum berangkat ke Akademi Xavier."

"Akademi Xavier?" Mereka bertanya serentak.

Jelas terlakar kerisauan di wajah masing-masing mendengarkan nama tempat itu. Itu adalah tempat di mana keluarga diraja dan anak bangsawan belajar skil dan kemahiran mempertahankan diri dan menguasai magi. Masuk ke akademi itu bermaksud mereka sedang menempah maut! Apa yang Ratu Pari fikirkan? Walaupun pada mulanya rancangan mereka adalah ke Carnia, tapi Ratu Pari sudah berjanji untuk melatih mereka. Jadi apa gunanya ke akademi itu jika dapat belajar di sini?

"Bukankah tuanku berjanji untuk melatih kami di sini? Jadi rasanya tidak perlu untuk kami ke Carnia,. Lagipun kami sebenarnya tidak yakin sama ada akan diterima atau tak. Tuanku pun tahu ia adalah tempat untuk golongan bangsawan dan anak diraja," kata Luz sedikit khuatir.

Tawa Ratu Pari terlepas, bergema dalam ruang bacaan yang sunyi itu. "Memang tempat itu untuk golongan diraja dan bangsawan tetapi mereka baru saja membuka pendaftarannya kepada semua alven. Saya ulang, SEMUA maksudnya ia termasuk kamu berempat. Mereka tidak boleh menghalang kamu kerana kamu memenuhi syarat kemasukan."

Hati mereka masih ragu-ragu walaupun sudah diberi jaminan oleh Ratu Pari. Mana mungkin perjalanan ke Carnia semudah yang dirancang?

"Memang ia tidak akan mudah, sebab itu kamu perlu kuat sebelum bergerak ke Kerajaan Tertinggi," kata Ratu Pari seakan dapat membaca apa yang bermain di fikiran mereka. "Untuk memenuhi takdir kamu, kamu perlu menjadi lebih kuat dan satu-satunya cara adalah dengan belajar di akademi itu. Beta faham kerisauan kamu tapi percayalah, kamu akan dapat mengatasi halangan kali ini."

"Baiklah. Kami akan pergi ke Carnia," putus Rho bagi pihak yang lain.

"Bagus. Kamu patut berehat dulu dan bersihkan diri. Sekejap lagi hidangan makan malam akan siap."

Mereka berempat mengikut sahaja arahan daripada Ratu Pari sambil mata melilau melihat keindahan kediaman pemerintah makhluk mistik itu. Bauan bunga dan pepohon hijau sentiasa mengharumi Moon Haven meskipun berada dalam istana. Cahaya keemasan menerangi di setiap laluan sehingga mereka tiba di sebuah bilik dengan pintu yang ketinggiannya tiga kali ganda daripada mereka.

Seekor pari bersayap merah jambu membuka pintu kayu itu dengan satu tolakan, mempersila mereka masuk.

"Kamu boleh berehat di sini. Untuk latihan pula, tuanku akan memaklumkan tempat dan masanya pada esok pagi." Sebaik saja menyampaikan arahan Ratu Pari, pari kecil itu beredar keluar, meninggalkan mereka berempat di dalam bilik yang luas dan besar. Di hujung kanan bilik itu terletak empat buah katil bujang manakala di tengahnya terhampar permaidani berwarna biru kehijauan seperti rumput di Moon Haven. Di kiri bilik dipenuhi rak yang penuh dengan bahan bacaan beserta dengan sebuah meja kayu dan kerusi.

"Tinggal berapa hari lagi sebelum pendaftaran akademi itu tutup?" Stom menyoal Rho yang dengan pantas berjalan ke arah rak buku.

Rho kini sudah duduk di lantai, di dalam posisi kegemarannya iaitu meniarap dan di sisinya tersusun lima buah buku yang tebal. Tanpa memandang Stom, Rho menjawab ringkas. "Tiga minggu lagi."

"Sempat ke kita sampai? Saya takut tempoh latihan ini akan ambil masa yang panjang. Tak ada guna berlatih kalau tak dapat masuk," kata Stom. Dia sudah terlentang di atas katil, manakala Ayriex memeriksa setiap penjuru bilik itu dengan pandangan was-was.

Luz terpandang sebuah kabinet almari baju. Dia membuka almari kayu itu dan terkejut apabila mendapati kabinet itu lengkap dengan pakaian untuk mereka berempat. Dia menarik sepasang baju dan menggayakannya di hadapan cermin yang tergantung di dinding. Disentuhnya baju gaun berwarna hijau muda itu dengan rasa gembira dan terharu. Itu adalah pakaian paling cantik pernah disentuhnya.

"Ratu Pari melayan kita dengan sangat baik. Dia tidak melihat kita sebagai pembawa malang," ucap Luz tiba-tiba.

"Ya. Kita patut membalas jasanya dengan berlatih bersungguh-sungguh dan masuk ke dalam akademi itu dengan jayanya," Rho berkata penuh semangat. Mereka bertiga bersetuju. Jasa dan kebaikan Trevor dan Ratu Pari perlu dibalas. Mereka akan berlatih bersungguh-sungguh supaya tidak mengecewakan harapan Trevor.

"Jom cepat kita berehat. Simpan tenaga untuk esok hari."

Mereka yang lain mengangguk setuju dengan cadangan Rho lalu segera mandi dan berehat. Esok adalah hari penting untuk mereka. Luz sudah tidak sabar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience