15 || Krisis Pertama

Fantasy Series 2900

Nafas yang ditarik terasa tersekat, sukar untuk dilepaskan bila ratusan mata kini merenung mereka dengan penuh kebencian dan ketakutan. Selain mereka yang mendaftar dahulu, tinggal ratusan alven masih berada di luar pagar batu tinggi itu. Ditambah lagi dengan 18 orang askar biru, sudah jelas peluang untuk menang itu tiada. Tapi Rho kata, mereka melawan bukan untuk menang. Rho tahu dan sedar mereka akan kalah, tapi dia mahu alf yang dimaksudkan oleh Ratu Pari itu muncul.

"Ini saja caranya."

Maka itu, Luz tanpa berfikir panjang menyiapkan senjatanya yang dianggap budak-budak oleh Louise. Getah lastik ditarik dan sasaran dicari. Bila-bila masa saja Rho akan memberi arahan dan dia perlu bersedia.

"Mengikut syarat kemasukan, semua alven layak mendaftar," kata Rho tiba-tiba, masih mahu membuka ruang untuk kompromasi. Berlawan dengan askar biru itu adalah pilihan terakhirnya. Sebolehnya Rho tidak mahu menghunuskan senjata mereka tapi jika terpaksa, dia akan lakukan.

Louise ketawa sinis. "Ia tidak termasuk alven kegelapan-"

"Tidak. Syarat itu menyatakan semua alven di Alveria Cahaya ini. Kami lahir di sini, membesar di Diondell, jadi kami layak mendaftar," Rho memotong tenang. Kata-kata Rho yang ada benarnya membuatkan muka Louise berubah merah.

"Hapuskan mereka!"

"Jangan biarkan mereka hidup!"

Tanpa menyoal sebab mereka dilahirkan berbeza, alven disitu terus menghukum, sama seperti saat mereka berada di Diondell. Langsung tiada beza dan itu menyebabkan Luz patah hati. Ingatnya, Carnia akan berbeza. Sama seperti Moonhaven yang mengalukan kedatangan mereka, Luz mengharapkan layanan yang bakal mereka terima juga sama.

Rupanya tidak.

Kata cacian yang dilemparkan tidak Rho pedulikan. Fokusnya cuma satu. "Kami mahu berjumpa dengan alf tertinggi di akademi ini."

Permintaan Rho mendapat reaksi yang sudah disangka mereka. Alven dan Louise ketawa terbahak-bahak seolah mereka sedang membuat lawak jenaka. Darah Luz mendidih, rasa terhina dan dipermainkan. Matanya mencerun tajam ke arah Louise.

"Alf kejam macam kamu tak layak jejak kaki ke sini, apatah lagi mahu berjumpa general kami," Louise menderam seraya meludah penuh amarah di tanah. Tubuh Luz kejung apabila alf itu menghampiri mereka.

"Tuan, hati-hati!"

Louise ketawa kecil. "Apa yang mereka mampu buat? Mereka di tanah kita, kita  yang paling berkuasa." Mata coklat yang membesar dengan ceria beberapa minit yang lalu berubah bentuk kini, tajam dan mengecil. Tiba-tiba dia menarik rambut milik Ayriex hingga remaja itu mengaduh kesakitan.

"Ayriex!"

Mereka bertiga berdiri pegun kerana tindakan Louise yang sangat pantas. Baru sesaat tadi rakan mereka sedang berdiri, tapi sekarang sudah jatuh terlentang di tanah dengan satu erangan kuat terlepas dari mulutnya.

"Awak tak apa-apa, Ayriex?" Luz meluru ke arah remaja yang sedang mengenggam perutnya.

"Pembunuh tak layak hidup di tanah ini."

Luz terkaku. Terasa seperti ada tamparan hinggap di pipinya. Pedih dan sakit. Jemari yang berada di lengan Ayriex menggeletar. Adakah Louise tahu tentang kejadian malam itu?

"Kau..." Ayriex menderam lantas meluru ke arah tubuh tinggi itu hingga Louise terdorong ke belakang. "Tak layak menggelarkan kami sebagai pembunuh!"

Nafasnya tercungap-cungap disebabkan amarah yang melampau. Perkataan lain, dia tidak kisah. Panggillah mereka apa saja - darah kotor, tikus, pencuri tapi bukan itu.

Mereka bukan pembunuh.

"Hah! Kau tak tahu, alven kegelapan dah banyak bunuh alven di sini. Mereka bunuh raja kami, bunuh Alven Cahaya dan mereka bunuh keluarga aku."

"Itu bukan kami!" Kata Luz hampir menjerit. "Kami juga rakyat di sini-"

Pak! Satu tamparan hinggap di pipi Luz. Kepalanya terpusing sedikit, mata terbeliak kerana terkejut. Kulitnya terasa berpijar tapi ia tidak dapat melawan rasa terkejutnya apabila dilayan sebegitu rupa. Itu adalah kali pertama seseorang menamparnya.

"Tak guna!" Jerkah Ayriex.

Terkebil-kebil mata Luz, cuba mencerna apa yang sedang berlaku. Louise menamparnya dan alf itu kini diserang rakan-rakannya. Suasana yang sunyi tadi menjadi kecoh dengan jeritan dan bunyi belati yang berdenting antara Ayriex dan Louise. Rho dan Stom pula sedang menguruskan askar biru yang mahu menangkap mereka.

"Bunuh mereka! Bunuh!"

Kepala Luz terasa sakit dan telinganya berdengung dengan segala emosi negatif yang terpancar jelas dari semua alven yang berada di situ. Sangat bising dan menyesakkan hingga membuatkannya sukar untuk bernafas. Tangannya menekup telinga, peluh merintik dan nafasnya berdesah kasar.

"Ber...henti," ucapnya tapi sangat perlahan. Bukan ini yang dia harapkan. Luz cuma mahu keamanan wujud antara mereka - Alven Cahaya dan Alven Kegelapan. Bukankah mereka lahir di tanah yang sama? Bukankah mereka pernah berganding bahu suatu ketika dahulu? Jadi kenapa mesti pertelagahan berlaku kerana kesilapan yang lepas? Kenapa mahu mengulanginya?

"Hentikan..." Tiada siapa peduli rayuannya. Seorang alf yang melihatnya mengambil kesempatan membaling sebiji batu, tepat mengenai bahunya. Jeritan Luz bergema, sekaligus menarik perhatian rakan-rakannya.

Mata Stom menyala penuh garang. Kesabarannya sudah berada di tahap maksima. Kalau tidak kerana Rho mahu mereka menyimpan kekuatannya, sudah lama dia mematah tulang-tulang askar biru itu. Tapi tidak lagi kini. Luz ditampar dan dicederakan. Dia tidak akan bertahan lagi.

"Pergi mati."

Alang-alang dipanggil pembunuh, dia akan menjadi seperti yang mereka mahu.

"Stom, jangan!"

Namun Stom tidak mendengar. Akalnya sudah dikelabui oleh dendam dan marah. Dimatanya, dia hanya nampak alf yang mencederakan Luz. Lantas dia melepaskan cengkamannya dari dua orang askar biru lalu meluru ke arah alf itu. Seperti binatang buas, Stom menerkam tubuh keding itu, memerangkap agar dia tidak dapat melarikan diri. Alven lain yang ketakutan terus melarikan diri.

"Berani kau..." Satu tumbukan dilepaskan di muka alf yang sedang merenung penuh ketakutan. "Cederakan Luz!"

"Stom, cukup! Berhenti!" Luz menarik lengan sasa itu meskipun bahunya masih sakit.

"Dia cederakan awak!" Jerit Stom seraya memberi satu lagi tumbukan di wajah yang sudah penuh dengan luka.

"Saya tidak apa-apa. Tolonglah bertenang. Jangan tambahkan kebencian mereka terhadap kita lagi."

"Biar! Biar mereka benci kita. Sejak dulu lagi perasaan itu tidak akan berubah. Apa yang Ratu Pari cakap semuanya tipu! Mustahil mereka akan terima kita-"

"Ratu Pari?"

Luz dan Stom mengangkat kepala. Belum sempat mereka memproses apa yang sedang berlaku, tubuh mereka direntap kasar. Tangan di pusing ke belakang dan kaki ditendang hingga mereka berlutut di tanah.

"Apa yang sudah berlaku Louise? Bagaimana mereka boleh masuk ke sini?" Suara yang garau dan kasar bertanya tenang namun dari nadanya ada ketegasan di situ.

Luz memandang ke arah seorang alf yang sedang menuju ke arah mereka. Rambutnya putih beruban, wajahnya berkedut namun tubuhnya tidak sepadan dengan usianya yang keberangkalian sama seperti Trevor. Dia lebih tegap dan sasa, langkahnya teratur dan penuh yakin. Pakaiannya berwarna kuning keemasan, lebih banyak strap di bahu dan tali pinggang perak berkilau dengan simbol matahari di tengahnya.

Namun itu bukan yang membuatkan Luz terpegun memandang alf itu. Ia adalah mata coklat tajamnya yang merenung mereka seolah tembus ke dalam minda.

"Alf kegelapan, tuan," balas Louise, matanya tertunduk hormat. Askar dan alven yang lain juga begitu. Suasana menjadi sunyi sebaik saja alf itu keluar dari pintu.

"Adakah kamu pasti?"

Louise mengerutkan dahi. "Apa maksud tuan-"

"Kamu." Dia menunjuk ke arah Stom. "Bangun."

Stom meronta minta dilepaskan, menolak kasar tubuh askar yang menahannya.

"Lepaskan mereka."

Sebaik saja dilepaskan, Stom berdiri, kepalanya dipanggung untuk melawan renungan alf itu.

"Berani kau pandang general kami?!" Louise menjerkah garang namun alf yang dipanggil general itu hanya melambaikan tangannya.

"Beritahu saya, apa maksud kamu dengan Ratu Pari," soalnya tenang.

"Ratu Pari yang menghantar kami ke sini."

"Bohong!" Sampuk Louise. "Ratu Pari tidak wujud. Ia hanyalah mitos! Tuan, mereka hanya mahu melengahkan masa. Kita patut-"

"Louise."

Louise terdiam, anak matanya bergerak-gerak penuh ketakutan. Dia faham benar dengan nada itu. Maksudnya general mereka sedang menahan marah.

"Kamu tidak pernah melihat tidak bermaksud pari-pari tidak wujud." Mata tajam itu kemudian merenung penampilan Stom, terhenti pada insignia yang tersembunyi di bawah jubahnya. Dia menolak ke tepi kain lembut itu, menjeling mereka berempat  sekilas.

"Saya percaya kamu ada sesuatu untuk saya?"

Jadi dialah yang Ratu Pari maksudkan. Rho tanpa sedar melepaskan nafas kelegaan. Tanpa membuang masa, dia mencari surat di dalam begnya lantas menyerahkan kepada alf itu.

"Ratu Pari pinta kami menyerahkan kepada seseorang yang saya percaya tuan adalah alf itu," ucap Rho penuh hormat.

Alf itu memandang Rho lama, dari hujung kaki hingga rambut dan terhenti pada matanya. "Menarik," gumamnya seraya tersenyum nipis.

"Daftarkan nama mereka."

"Tuan!" Semua askar di situ membantah. "Mereka adalah alf kegelapan!"

"Ya, tuan. Mereka juga mencederakan askar kita dan alf lain."

Bahu Luz tersentak. Apa lagi masalah yang timbul? Bukan Stom yang mulakan, mereka dulu yang mencederakannya. Kalaulah general itu seorang yang berfikiran luas dan bijak.

"Beritahu saya, Louise. Siapa yang mulakan dahulu?"

"Er..." Louise terdiam. Bibirnya terketar-ketar mencari jawapan.

"Tiada siapa yang mahu beritahu saya? Kalau begitu 20 sebatan akan diberikan kepada semua askar yang terlibat," arahnya tenang tapi tegas.

Louise tiba-tiba berlutut, menyebabkan askar yang lain juga mengikut sama. "Saya yang mulakan. Mereka hanya mengikut arahan saya."

"10 sebatan kerana mulakan pergaduhan dan 15 lagi..." Mata itu mencerun tajam, memancar aura kemarahan yang menyebabkan askar bawahannya menggeletar. "...kerana kamu membuat keputusan sendiri tanpa arahan saya."

"Maafkan kami, tuan!"

"Sudah. Kamu berempat." Dia menunding ke arah mereka, mengarah dengan anak matanya supaya bergerak ke meja pendaftaran. "Tulis nama kamu dan ikut saya."

Masih dengan rasa tidak percaya, mereka berempat terkocoh-kocoh mengambil beg masing-masing lantas mendaftarkan diri. Tingkah alven yang menjaga meja pendaftaran tidak dipedulikan. Biarlah kalau mereka mahu menjauhkan diri sekalipun, mereka tidak kisah. Mereka datang ke akademi itu bukan untuk mengumpul kawan tetapi mahu meningkatkan kekuatan.

"Sambung semula pendaftaran."

Dengan itu, mereka lesap dari riak tidak puas hati dan kebencian yang dipamerkan dan memfokuskan pandangan pada tubuh belakang sasa alf yang dipanggil general itu. Sempat Luz menangkap suara halus yang meragui cerita mereka dan menganggap ia satu pembohongan.

"Pari-pari tidak wujud. Memang dasar alven licik! Sanggup menipu semata-mata mahu masuk ke sini."

"Tidak pernah ada alven kegelapan masuk ke akademi ini. Apa yang general fikirkan?"

Tertutup saja pintu besar itu, suara sumbang tidak lagi kedengaran sebaliknya mata mereka dihidangkan dengan pemandangan yang sangat indah dan memukau.

Dari dekat, bangunan Akademi Xavier nampak lebih besar dari bandar Diondell dengan padang yang menghijau di sekelilingnya, belum termasuk lagi beberapa buah bangunan di belakang bangunan utama itu. Beberapa orang alven yang lalu-lalang menunduk hormat bila terpandang alf di depan mereka tetapi sebaik saja terlihat rambut dia dan Ayriex, semuanya terkaku.

"Alven kegelapan? Kenapa mereka dibenarkan hidup?"

Luz melarikan mata, pura-pura tidak mendengar. Dari jauh kelihatan kelibat tiga orang alven sedang berbual. Perbuatan mereka terhenti bila menyedari kedatangan general.

"Tuan." Mereka menundukkan kepala. "Tuan, bukankah mereka..."

"Saya perlu ke pejabat. Uruskan pelajar baru," arahnya tanpa menjawab soalan alf itu.

"Er, baik tuan."

"Logan, bawa mereka ke pejabat saya. Saya perlu singgah di sesuatu tempat dahulu."

Alf yang dipanggil Logan menganggukkan kepala meskipun jelas rasa tidak puas hati terpancar. Selepas itu, general itu menghilangkan diri dalam sekelip mata seolah dibawa angin. Mereka berempat terkejut, terkebil-kebil sendiri.

"Mana dia pergi?" Tanya Stom kagum.

Namun soalannya tidak dijawab oleh Logan. Tanpa ucapan atau perbualan, Logan berjalan, memaksa mereka untuk membuntutinya. Sebaik saja masuk, lebih ramai alven berada di setiap sudut bangunan itu hingga menyebabkan Luz rasa tidak selesa.

"Naikkan jubah," Logan berkata dingin namun Luz dengan rela hati menurutinya.

"Hei, Logan! Siapa yang awak bawa?" Tegur seseorang dari jauh. Langkah Logan terhenti, begitu juga dengan mereka. Luz tidak berani mengangkat kepala, hanya menekur pandangannya ke lantai marble yang indah coraknya.

"Mel. Er, saya bawa tetamu General ke pejabatnya," kata Logan tergesa-gesa. "Maaf, kena cepat. Nanti General marah."

Selepas pertembungan pertama itu, Logan cuba untuk mengelak daripada berbual panjang. Nampaknya alf yang membawa mereka itu seorang yang dikenali ramai kerana setiap alven yang melaluinya pasti akan menegur.

"Terima kasih," ucap Luz perlahan. Di hatinya sangat bersyukur dengan kesudian Logan menipu rakan-rakannya demi mereka. Disebabkan itu mungkin general itu menggalaskan tugas penting itu kepada dia.

Logan tidak menjawab, hanya bunyi derapan kakinya kedengaran melalui lorong yang sunyi sepi itu. Mereka kini berada di tingkat empat, bahagian yang paling senyap dan gelap. Hanya cahaya lampu malap yang menyinari sebahagian dinding yang dicat kelabu.

"Sini. Masuklah, tunggu di dalam." Logan membuka pintu, mempersila mereka masuk. Nada yang digunakan lembut, menambah keberanian Luz untuk menegurnya.

"Terima kasih sekali lagi," ucap Luz, menundukkan kepala diikuti yang lain.

Logan nampak terkejut, hilang kata buat sesaat sebelum pulihkan dirinya. Tangannya meramas rambut coklat hazelnut yang lembut. Seperti rambutnya, wajah alf itu juga nampak jernih dan baik dengan matanya yang sentiasa naik dan bibir yang tidak lokek dengan senyuman. Mungkin itu sebabnya dia disukai ramai.

"Kalau kamu tak kisah. Boleh saya tanya soalan?"

Rho mengangguk, menurunkan jubahnya sambil mengelap peluh yang membasahi dahi.

"Betulkah kamu...Alven Kegelapan?" Logan bertanya teragak-agak. Matanya merenung mereka dengan penuh minat bercampur cemas.

Rho tersenyum. "Kami lahir hasil hubungan daripada Alven Cahaya dan Alven Kegelapan."

"Mustahil! Perkara itu tidak dibenarkan berlaku di sini!"

"Ya, tapi ibu bapa kami mungkin tidak peduli tentang hal itu sebab itu kami berbeza. Seperti yang kamu lihat, rambut Rho berwarna perang tapi matanya hitam, sama seperti Luz yang punyai kulit seperti kamu. Yang berbeza cumalah Ayriex tapi saya jamin dia sama dengan kami," jelas Stom.

"Woah, inilah kali pertama saya melihat anak mata dan rambut berwarna hitam," katanya teruja. Dengan beraninya dia menghampiri Luz yang mengebilkan mata kerana tidak biasa diamati sebegitu rupa.

"Hei." Ayriex mendepakan tangannya sebagai tanda amaran apabila Logan cuba untuk menyentuh rambut Luz.

"Ah, maaf, maaf." Pipi Logan membahang namun bibirnya masih mengukir senyuman. "Em, kamu tunggu sebentar. Saya rasa- Ah, General!"

"Terima kasih, Logan. Kamu boleh beredar." Sama seperti dia menghilangkan diri tadi, begitu juga bila alf itu muncul. Ia secara tiba-tiba dan mengejutkan. Logan menunduk kepala kemudian keluar dari bilik, meninggalkan mereka berempat termangu.

"Duduk."

Mereka mencari kerusi untuk duduk namun yang ada dalam bilik itu hanyalah rak buku di setiap sudut, sebuah meja kayu dan beberapa gambar tergantung di dinding. Cat warna merah bata menyebabkan bilik itu tampak suram dan gelap, ditambah lagi dengan tirai yang tebal. Satu-satunya cahaya yang menyinari bilik itu adalah dari lampu kecil di atas meja.

"Oh, maaf," ucapnya tiba-tiba. Sambil dia berjalan ke arah mejanya, tangan kekar itu melambai lalu mewujudkan empat kerusi kayu di tengah ruang kosong. Mereka berempat melompat ke belakang, terkejut.

Alf itu ketawa kecil. Sebaik saja dia duduk, barulah mereka berempat mengambil tempat masing-masing.

"Saya General Neil Durandall. Alven di sini panggil saya Tuan General." Dalam mata coklat gelap itu terpancar sesuatu yang mereka kurang pasti apa. Teruja dengan kehadiran mereka? Kalau ya, kenapa?

"Bolehkah kamu ceritakan pada saya, dari mula kelahiran kamu hingga hari ini."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience