7 || Moonhaven

Fantasy Series 2900

Moonhaven kelihatan lebih besar berbanding Hutan Branwenn bila dilihat dari jarak dekat. Sekilas pandang, ia nampak seperti sebuah gunung. Hari sudah semakin cerah bila mereka tiba, memaksa mereka berempat untuk menjauhkan diri dari Seith. Nasib baik lelaki alf itu tidak sedar kerana sibuk menerangkan perihal hutan itu kepada mereka.

"Bila kamu sudah berada di dalam, jalan saja lurus hingga ke penghujung. Di situ ada jalan keluar. Kamu akan sampai ke Carnia tidak sampai sehari."

Rho mengerutkan dahi. "Itu saja? Kami nak cari pari-pari sebelum pergi ke Carnia."

"Ah, maafkan saya budak-budak. Macam yang saya cakap tadi, itu hanyalah mitos. Tak ada siapa pernah melihat mereka, jadi saya tidak tahu macam mana nak bantu," kata Seith.

"Oh, tidak apa," celah Stom yang tidak sabar mahu berpisah dengan Seith. "Jalan lurus saja kan? Terima kasih, Seith."

Wajah Seith yang sedih tadi berubah ceria. "Sama-sama. Baiklah, kita berpisah di sini. Saya perlu mencari bahan di bahagian selatan hutan jadi tidak dapat bersama dengan kamu."

Rho dan Stom cepat-cepat menggelengkan kepala. Di dalam hati sangat bersyukur kerana tidak perlu risau akan rahsia mereka yang bakal terdedah bila-bila masa saja. "Tak mengapa, kami boleh bergerak sendiri. Terima kasih lagi sekali, Seith. Jasa awak akan kami kenang," ucap Rho sopan. Yang lain hanya menurut.

Seith ketawa. Mukanya merah menahan malu. "Kamu sangat bersopan! Perkara kecil saja. Harap dapat berjumpa dengan kamu lagi," katanya. Dia bersalam dengan Stom dan Rho tetapi bila matanya bertemu dengan Ayriex, keningnya berkerut.

Menyedari pandangan Seith yang lama di wajahnya, Ayriex menarik jubah hingga menyembunyikan sebahagian mukanya.

"Selamat tinggal, Seith! Gembira berjumpa dengan kamu," Rho berkata tergesa-gesa.

"Ah, ya, ya. Selamat tinggal," ucapnya masih lagi kebingungan. Sebelum Alf itu menyedari sesuatu, mereka berempat mempercepatkan langkah, melalui jalan ke kanan yang ditunjukkan oleh Seith tadi.

Jantung Luz tidak henti-henti berdegup. Dia tidak berani menoleh ke belakang. Dia sedar Seith sedang memerhati gerak geri mereka sehinggalah sekeliling mereka berubah menjadi hutan. Barulah dia dapat melepaskan nafas.

"Saya rasa jantung saya hampir tercabut," keluh Luz saat mereka tiba di pintu masuk hutan itu.

"Yalah, lebih-lebih lagi bila dia pandang Ayriex semacam." Stom masih ingat pandangan penuh tanda tanya Seith apabila dia ternampak rambut hitam Ayriex yang terkeluar dari jubahnya. Kalau tidak kerana Rho, lelaki itu pastinya akan bertanya tentang keanehan pada fizikal Ayriex. Dan bila itu berlaku, rahsia mereka akan terdedah. Misi mereka akan gagal sekiranya mereka ditangkap sekarang.

"Saya harap kita takkan berjumpa dengan dia lagi," gumam Ayriex.

"Marilah. Saya nampak laluan masuk di hujung sana," kata Rho sambil menunjuk ke arah satu lubang kecil disebalik pohon rendang yang lebat dengan daunnya. Sekiranya mereka tidak melihat dengan teliti, pasti terlepas begitu saja pintu masuk itu.

Untuk masuk, mereka terpaksa merangkak. Ranting-ranting yang tajam mencakar kulit tidak diendahkan. Suasana yang tadinya dihiasi suara cengkerik bernyanyi tiba-tiba menjadi senyap sunyi dan semakin jauh mereka merangkak, perasaan aneh mula menyelinap hati, seolah-olah ada sesuatu yang menyentuh roh mereka.

Luz menoleh ke belakang dan rasa takutnya melonjak apabila lubang yang mereka masuki tadi perlahan-lahan tutup dengan sendirinya. "Ayriex..." tangannya menggapai belakang remaja lelaki dihadapannya namun bunyi desahan terkejut memaksanya untuk mengalih perhatian ke hadapan.

Masing-masing sudah berdiri. Luz memerhati keadaan sekeliling dan akhirnya sedar mereka rupanya berada di dalam perut hutan yang gelap dan dikelilingi oleh pokok-pokok saja. Satu-satunya benda bercahaya ketika itu hanyalah satu benda berwarna biru yang menyerupai api, terapung di hadapan mereka. Saiznya sebesar penumbuk tetapi tidak berwajah.

"Selamat datang ke Moon Haven," ucap benda biru itu, menyebabkan Luz hampir terjerit.

"A-awak boleh bercakap!"

"Sudah tentu," jawabnya tenang dengan suara yang berdecit umpama tikus. "Apa yang boleh saya bantu?" Tanyanya dengan nada yang kedengaran mengejek. Walaupun tidak berwajah, Luz seperti dapat melihat senyuman sinisnya.

Dalam kesamaran, Rho melangkah kehadapan, belakangnya dalam pandangan Luz. "Kami nak berjumpa dengan pari-pari."

Benda biru itu meletuskan tawa. "Pari-pari? Pari-pari tidak wujud, wahai alf muda."

Rho tidak percaya. Apabila dia menjejakkan kaki ke dalam hutan itu, dia dapat rasakan tenaga luar biasa yang bertebaran di setiap hidupan. Magi itu sangat kuat menyebabkan tubuhnya menggeletar. Dia ingatkan ia datang dari makhluk biru itu namun tidak. Dapat dirasakan cebisan saja kuasa magi itu datang dari makhluk biru itu.

Rho yakin ia milik sesuatu yang kuat dan berkuasa di hutan itu dan seperti yang dibacanya, pemerintah Moon Haven adalah dari kalangan pari-pari.

"Tidak," tegas Rho menyebabkan tawa makhluk biru itu mati. "Mereka wujud. Saya dapat rasakan."

"Kami tidak akan berganjak dari sini sampai kami dapat berjumpa dengan mereka," celah Stom, dan Luz pantas mengangguk.

"Apa yang kamu mahu daripada mereka?"

"Kami mahu bertanyakan sesuatu yang hanya pari-pari dapat menjawabnya."

Benda biru itu berjeda, tidak berkata apa seperti sedang menimbangkan permintaan mereka.

"Baiklah," katanya. Jawapan positif itu membuatkan senyuman mereka lebar.

"Tapi..." Tawa berdecit itu kedengaran lagi, meresap hingga ke tulang dan tanpa sedar, tubuh mereka meremang dengan rasa tidak senang. Senyuman mereka mati, menanti dengan sabar tawa mengejek itu lenyap dari pendengaran.

"Kamu perlu melepasi ujian."

"Ujian?" Luz termengkelan. Rasa air liurnya tersangkut di kerongkong. Ujian adalah benda paling tidak disuka oleh Luz. Dia bukanlah bijak macam Rho, sebab itu dia akan mengalah awal-awal kalau ditanya soalan.

"Ujian apa?" Stom yang tidak sabar bertanya. Dia yakin Rho dapat menjawab apa saja soalan kerana dia seorang yang bijak. Luz dan dia memang tak boleh diharap manakala Ayriex takkan menjawab. Remaja itu memang jenis yang berat mulut.

"Sabar. Memang spesis yang tidak pandai bersabar," sindirnya. Ketawanya masih lagi bergema, menambah sakit di hati Luz.

"Baiklah, soalan pertama." Tawa api biru itu hilang, berganti dengan nada suara yang tegas. "Siapa saya?"

Luz memerah otaknya yang sudah kosong kerana terlalu cemas. Dia cuba mencari segala maklumat di dalam buku Trevor yang pernah dibacanya namun hampa. Luz tidak ingat satu pun apa yang pernah dipelajarinya. Matanya melirik ke arah Ayriex yang kaku berdiri, Stom yang sedang terkumat-kamit membaca sesuatu dan Rho yang sejak tadi kelihatan tenang.

"Awak adalah wisp," jawab Rho tiba-tiba.

Api biru itu senyap untuk beberapa ketika sebelum menggumam sesuatu. "Nampaknya ada seseorang yang rajin membaca. Baiklah, kita mulakan ujian sebenar."

"Apa? Yang tadi tu bukan ujian?" Stom menjadi berang. Wisp itu mempermainkan mereka. Hatinya baru saja kembang apabila Rho berjaya menjawab soalan itu, tapi sekarang kuncup kerana kecewa.

"Tentulah! Takkan soalan mudah itu boleh dijadikan ujian. Itu hanyalah pemanas badan saja, itu pun tak tahu?" Sindirnya, menambah sakit di hati Luz.

"Apa ujiannya?" Pintas Ayriex yang sejak tadi mendiamkan diri. Tangannya sudah mengenggam erat belati. Sedikit lagi dia nyaris menghunus api biru itu kalau ia masih mempermainkan mereka.

"Baiklah, memandangkan kamu berempat sudah tidak sabar, kita boleh mulakan ujian." Selepas berkata begitu, kabus putih tiba-tiba muncul, mengaburi pandangan mereka.

"Apa dah jadi? Apa awak dah buat?" Tanya Luz cemas bila kabus semakin tebal hingga dia tidak dapat melihat bentuk fizikal rakan-rakannya. Dia memanggil nama Stom, Ayriex dan Rho namun jawapannya seolah mereka berada jauh darinya sedangkan mereka berada di sisinya tadi.

"Bertenang," kata wisp itu dengan ketawa mengekek. "Ujian sudah bermula iaitu 'Cari Saya'".

"Hah? Saya tak faham," kata Luz namun soalannya tidak dipedulikan. Api biru yang terpancar dari tubuh kecil itu semakin malap, kemudian lesap dari pandangan. Tidak lama kemudian, kabus itu beransur hilang.

"Luz! Awak tak apa-apa?" Tanya Rho risau sebaik saja keadaan sekeliling menjadi normal, cuma tinggal sedikit kabus di sebalik pohon.

Luz menggelengkan kepala. "Saya okay." Dia memerhati keadaan sekitar, mencari bayang wisp itu tadi tapi tidak jumpa. "Mana wisp itu?"

"Saya rasa ini adalah ujiannya. Dia mahu kita mencarinya."

Dari jauh, Stom dan Ayriex sedang berlari ke arah mereka tapi sebaik saja api biru muncul di sebalik sebatang pokok, Rho menjerit. "Tangkap wisp itu!"

Ayriex yang faham maksud Rho segera menerpa ke arah cahaya biru tidak jauh tempat dia berdiri namun belum sempat dia mendekati, cahaya itu tiba-tiba hilang.

"Awak berjaya tangkap?"

Ayriex mengerutkan dahi. Dia menolak rumput panjang dan pohon dengan rasa marah. "Ia tiba-tiba hilang."

"Wisp boleh hilangkan diri kah?" Stom bertanya pada Rho. Remaja itu menggelengkan kepala. "Saya tak ada baca maklumat tentang itu."

"Rho, di sana!" Luz berteriak sambil menunjuk ke arah sebatang pokok tidak jauh dari mereka berada. Sepantas kilat Ayriex memecut namun seperti tadi, cahaya itu lesap sebaik saja dia tiba. Beberapa minit kemudian ia muncul lagi di kawasan lain.

"Saya bantu Ayriex," kata Luz lantas turut mengejar.

Rho tidak berbuat apa-apa melainkan berfikir. Dia sibuk mengulang kembali apa yang pernah dibacanya tentang wisp dalam buku 'Lagenda Makhluk Mistik di Alveria.' Di dalam bab itu tidak ada langsung menceritakan tentang keupayaan ghaib atau dapat bergerak pantas. Seingat Rho, wisp diterangkan sebagai makhluk perantaraan dan sering dijadikan penunjuk arah jika sesat.

"Wisp dapat bergerak pantas?" Bisik Rho sambil mengusap dagunya. Dia perhati dengan teliti setiap kali cahaya biru itu muncul dalam kegelapan dan hilang dalam lima saat. Semakin lama Rho mengkaji, dia mula perasan keanehan pada corak kemunculan makhluk itu. Ia seperti sudah ditetapkan kedudukan dan masa, seolah...

"Stom!" Panggil Rho cemas. Remaja berambut oren yang juga sibuk mengejar menghentikan langkahnya. Dia berlari ke arah Rho dengan nafas termengah-mengah.

"Saya rasa saya sudah tahu helah wisp itu."

Mata Stom bersinar. "Apa dia?"

Rho membisikkan sesuatu dan Stom mendengar dengan teliti.

"Mari beritahu Luz dan Ayriex!"

"Tidak, jangan beritahu mereka," larang Rho.

"Tapi-" Stom mahu membantah kerana dia kasihan melihat dua orang rakannya sibuk mengejar sedangkan ia cuma perangkap wisp itu saja.

"Mereka perlu jadi umpan untuk rancangan ini berjaya."

Mendengarkan itu, Stom terpaksa akur.

"Kita tak boleh biarkan wisp itu tahu rancangan kita," tambah Rho lagi. "Stom, awak perlu bersedia. Bila saya kata sekarang, awak terus lari."

"Baik," jawab Stom sedikit risau. Dia tidak pernah diberi tanggungjawab yang besar dalam setiap rancangan Rho. Selalunya ia digalas oleh Ayriex. Dia cuma pembantu saja. Dan sekarang, jantungnya terasa mahu tercabut. Jemarinya menggeletar hebat. Perutnya senak dan sakit.

Stom rasa mahu muntah.

"Stom? Sedia."

"Ah, ya- ya." Stom menarik nafas panjang. Dia cuba kawal rasa mual yang muncul sebaik saja rasa gemuruh itu muncul lagi. Matanya difokus pada satu tempat yang sudah dijangka oleh Rho. Dalam fikirannya, dia tidak mahu gagal lalu menghampakan Rho. Dia juga tidak mahu usaha Ayried dan Luz menjadi sia-sia.

Kali ini, dia yang akan menjayakan rancangan Rho. Dia akan buat Rho bangga dengannya.

"1..." Stom memgambil posisi lari pecut. Jemarinya menyentuh tanah yang lembap, lututnya membengkok.

"2..." Menurut Rho, mereka hanya ada sekali saja peluang. Stom sedar matanya dibasahi peluh yang merintik turun tapi dia tidak pedulikan.

"3!" Tanpa berfikir panjang, Stom memecut laju ke arah sebatang pokok. Seperti yang dijangka oleh Rho, cahaya itu muncul di sebalik pohon rendang. Stom membuka telapak tangannya lalu mengurung api biru kecil itu dalam genggaman. Dia menilik dari celah lubang di antara jarinya.

"Rho, berjaya!" Jerit Stom gembira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience