16 || Berbeza Kumpulan

Fantasy Series 2900

Rho menceritakan semua yang berlaku, bermula dari kehidupan aman mereka di Kampung Astava kemudiannya berpindah ke Diondell, kemunculan askar biru yang memaksa mereka memulakan pengembaraan, perjumpaan dengan Ratu Pari dan akhirnya sampai ke Carnia. Hanya satu saja yang Rho sembunyikan iaitu insiden pada malam itu.

"Itu saja?" Mata General Neil merenung ke arah Rho, lama dan dalam. Bibirnya melemparkan senyuman segaris yang membuatkan mereka tidak senang duduk. Lama mereka mendiamkan diri hinggalah General Neil bangun dari kerusinya.

"Baiklah, kamu boleh berkumpul di dewan bersama dengan yang lain. Esok hari baru mula ujian kemasukan."

Rho bingkas berdiri. "Kami diterima masuk?"

Begitu mudah? Rasa tidak senang menganggu perasaannya. Hanya dengan cerita mereka general itu terus percaya lalu menerima mereka? Adakah dia mempunyai agenda tersendiri?

"Kamu tidak percaya?" Tanyanya tenang. "Seperti yang kamu cakap tadi, tiada undang-undang yang menyebut alven kegelapan dilarang masuk ke akademi ini. Lagipun kamu bukan saja alven kegelapan tetapi juga alven cahaya. Kamu sudah memenuhi syarat kemasukan. Namun itu tidak bermakna kamu diterima masuk."

Mereka berempat mengerutkan dahi. "Kami perlu melepasi ujian?" Tanya Rho.

General Neil mengangguk. "Tidak ada soalan lagi?"

Mereka hanya menggelengkan kepala, kemudiannya keluar dari bilik itu dengan perasaan tidak percaya. Seorang general, yang berkedudukan tinggi dengan mudahnya percaya dengan cerita mereka dan menerima tanpa prejudis. Tidakkah general itu mahu membunuh seperti alven yang lain? Adakah dia mempunyai niat tersendiri?

"Bagaimana Rho? Kenapa begitu mudah?" Stom bertanya saat mereka menuruni tangga ke tingkat bawah, sepanjang itu menutupi wajah dengan jubah. Mata yang menjeling aneh tidak dipedulikan.

"Saya pun tidak tahu tapi saya ada firasat yang tidak baik."

"Tapi kita sudah masuk," celah Luz ragu-ragu. "Perlukah kita keluar?"

"Kita cuba dulu," putus Rho sekaligus menutup perbincangan itu kerana mereka sudah tiba di sebuah dewan di tingkat bawah. Di luarnya kelihatan beberapa orang alven yang sepertinya berjawatan tinggi. Sebaik saja mereka menghampiri, salah seorangnya menahan.

"Nama?" Tanyanya tanpa memandang ke arah mereka. Tangannya sibuk menyelak helaian kertas kuning yang terkandung nama alven yang sudah mendaftar.

"Rhodes Rusell, Luz Rusell, Ayriex Rusell dan Stom Rusell," beritahu Rho sambil matanya mengerling ke arah alven lain yang sibuk berbual.

"Turunkan jubah."

Rho menganggukkan kepala sebagai signal untuk yang lain menuruti arahan alf itu. Sebaik saja rambut hitam Luz dan Ayriex terdedah, pekikan kedengaran lantas pelbagai magi terhasil di tangan alven di hadapan mereka. Rho masih tenang, langsung tidak gentar dengan wajah bengis yang diberikan.

"Siapa benarkan kamu masuk?!" Jerkah salah seorang alf di situ. "Mana yang lain? Panggil mereka!"

Suasaana menjadi semakin kecoh dengan pekikan dan perbualan antara mereka. Jantung Luz berdebar-debar dan matanya meliar memerhati setiap tindak tanduk alven di situ. Dari tujuh orang menjadi puluhan alven lengkap berbaju seragam putih dan hitam yang dirasakan Luz pakaian pelajar akademi itu.

"Tangkap mereka dan hantar kepada general!" Cadang yang lain lantas dipersetujui ramai.

Rho mengukir senyuman. Mungkin sebelum ini dia akan panik tetapi apabila mengetahui alf yang berkuasa di situ telah menerima mereka, dia tahu mereka tidak patut takut dengan ancaman.

"Kamu rasa kenapa kami dapat masuk?" Soal Rho tenang, masih tersenyum hingga menyakitkan hati yang melihat.

"Sebab kamu menceroboh!"

Kening Rho terjungkit. Senyuman sinis terukir. "Oh? Maksudnya kawalan akademi itu tidaklah bagus sangat."

"Tak guna! Menjawab pula!" Balas seorang alf yang lebih tinggi dari yang lain.

"Rasanya kamu terlupa." Rho menunding ke arah kertas pendaftaran yang dipegang oleh alf gadis yang bersembunyi di belakang yang lain. "Nama kami tertulis di dalam kertas itu. Maksudnya kami diterima masuk untuk ujian kelayakan. Adakah kamu mengesyaki kami mencuri semata-mata mahu menulis nama kami?"

Semua terdiam dan saling berpandangan. Seorang alf yang sejak tadi menjeling tajam membentak. "Manalah kami tahu! Kamu puak yang licik, sudah tentu kamu guna magi hitam itu. Ingat kami tidak tahu?"

Kenyataan itu sangat kelakar bagi Rho. Apa yang licik? Apakah perbezaan magi mereka dan alven kegelapan? Selama mereka hidup sudah acapkali tubuh mereka diserang magi dari alven cahaya terutamanya dari Dunsten. Tujuan magi adalah untuk melindungi tapi mereka menyalahgunakan dengan mencedera dan membuli. Tidakkah sama saja mereka dengan alven kegelapan?

Namun Rho tidak bercadang untuk membidas sebaliknya cuba untuk menenangkan kemarahan yang mula menguasai diri dengan setiap kata nista yang dilemparkan.

"General Neil yang benarkan kami mendaftar."

Mata yang berada di situ terbuka luas. Suara-suara meragui mula berbalas sesama sendiri.

"Mustahil! Apa buktinya untuk mengesahkan perkara itu?"

Sudah tentu mereka tidak percaya. Nafas panjang ditarik dan dilepaskan. Satu senyuman sinis terukir di bibir merah Rho. "Kalau awak tidak percaya, awak boleh tanya sesiapa yang menjaga meja pendaftaran di luar tadi. Oh ya, tidak silap saya seseorang bernama Louise dihukum oleh general."

"A-apa? Kenapa pula?" Keresahan dan tidak percaya terukir di wajah alven itu. Entah kenapa Rho berasa puas. Sisi gelapnya muncul dari dasar dalam yang cuba disembunyikannya dengan senyuman selama ini. Dia rasa seronok melihat riak itu. Seolah-olah satu kepuasan baginya.

"Kenapa ya?" Kening indah itu terjongket naik penuh makna. "Saya dengar dia dihukum kerana membuat sesuatu tanpa arahan dari general."

Mata gelap itu merenung tajam ke arah sekumpulan alven yang sudah terkebil-kebil di depan pintu dewan yang bertutup.

"Iaitu menangkap kami."

Serta-merta magi yang terhasil terpadam dari tangan masing-masing. Ada yang merengus, ada yang berbisik ketakutan. Namun tiada siapa yang masih memberi keputusan akan kehadiran mereka. Rho sudah bosan menunggu, lantas dia menapak ke hadapan sambil diikuti yang lain yang langsung tidak berani bersuara apabila sedar rasa jengkel rakan mereka itu.

"Kamu tidak percaya, itu terpulanh pada kamu. Tapi kalau General Neil tahu kamu berkasar dengan kami, saya tidak tahu apa yang dia cuba lakukan. Lagipun kami baru saja keluar dari pejabatnya. Awak tidak kisah, kami boleh kembali semula ke pejabatnya dan memintanya membuat kepastian-"

"Tak perlu!" Pintas seseorang. "Benarkan mereka masuk dengan syarat gunakan jubah untuk tutup wajah kamu. Saya tak mahu ada kekecohon berlaku sehingga hari ujian esok."

"Strie! Awak percayakan kata-kata mereka?" Tingkah yang lain.

Alf bernama Strie, seorang gadis muda berkulit kuning langsat dan rambut perang yang ditocang panjang hingga ke pinggang mendengus. "Kamu ingat saya percaya? Tapi kalau dia bercakap betul, kamu mahu tanggung akibatnya?"

Semua terdiam, perlahan-lahan bersurai dari laluan ke pintu dewan itu.

"Jangan buat kekecohon," ulangnya lagi dengan nada yang tegas.

Rho cuma menjungkit bahu, menyarung semula jubahnya lalu melangkah dengan penuh bergaya ke dalam dewan yang sudah terbuka pintunya. Luz langsung tidak berani bertentang mata dengan alven yang merenung mereka seolah hendak membunuh. Kepalanya menekur ke bawah, hanya mengikut langkah Ayriex  yang berjalan di depannya.

Dewan itu adalah sebuah tempat yang besar dan kosong tanpa ada apa-apa perabot. Lampu-lampu kecil menyinari ruang gelap di dewan itu namun tidak menyeluruh.

"Baguslah. Tidaklah nampak sangat muka kita," gumam Stom yang berterima kasih dengan cahaya suram itu. Tapi jubah yang dipakai mereka sebenarnya sudah cukup menarik perhatian yang lain.

Berjalan di depan, Rho mencari tempat kosong dari ekor matanya dan sedar semua alven sedang merenung ke arah mereka. Ada yang memberi laluan sambil berbisik sesama sendiri, mungkin antara alven yang mendaftar bersama mereka tadi.

"Aduh, tak pernah nampak alf berjubah ke?" Gerutu Stom yang tidak selesa dengan pandangan itu.

"Biarkan mereka," kata Luz tenang. "Kita fokus pada Rho saja."

"Di sini saja."

Rho berhenti di penghujung dewan lalu meletakkan beg sandangnya yang berat dengan keluhan panjang. Yang lain menurut juga, mencari tempat untuk berehat selepas seharian berdiri di bawah panas dan tidur dalam keadaan meringkut sepanjang malam.

"Ah, selesanya dapat duduk atas lantai bersih," komen Stom sambil tersenyum senang. Kepalanya disandar pada dinding lalu matanya terpejam erat. Sebenarnya dia tidak dapat tidur nyenyak pada malam tadi. Fikirannya runsing memikirkan hari pendaftaran itu dan sekarang bila segalanya sudah selesai, rasa bebanan itu hilang. Apa yang dimahukannya kini hanyalah mengganti semula tidurnya.

"Macam mana kalau kita tak lepas, Rho?" Suara Luz mengganggu lena Stom.

Stom ada terfikirkan kebarangkalian itu bahkan banyak kali hingga kepalanya sakit. Apa yang akan mereka lakukan sekiranya gagal masuk? Kembali semula ke Diondell atau menumpang di Moonhaven?

"Kita akan lulus."

Stom terdiam, begitu juga Luz yang sedikit takut dengan keyakinan Rho. Apa yang menyebabkan rakan mereka itu begitu yakin, dia tidak tahu. Luz menjeling remaja berambut hitam yang sudah berdengkur sebelum melirik pada ratusan alven yang menghantar pandangan tanda tanya dan pelik. Ada pula memberi jelingan jijik dan sinis namun tiada siapa yang berani mendekati. Sebelum ini ada yang cuba menegur namun pantas ditegur yang lain. Luz malas ambil endah lalu merebahkan kepala pada begnya. Dia mahu segera melelapkan matanya supaya hari itu cepat berlalu. Mereka cuma bangun untuk makan dan kemudian sambung tidur semula.

Tepat jam 8 pagi, satu deringan loceng yang panjang bergema, membangunkan seluruh alven yang sedang tidur lena. Tirai tebal tiba-tiba terbuka, menjemput masuk sinaran cahaya matahari yang menyilaukan. Luz terkebil-kebil bangun dari pembaringan sambil memisat matanya. Badannya terasa lenguh dan sakit akibat baring terlalu lama di atas lantai yang keras. Segera dia menoleh ke sisi untuk melihat yang lain. Seperti biasa, Ayriex sudah segar-bugar manakala Stom mengeluh panjang saat dia membetulkan kedudukannya.

"Semua sudah bersedia?" Rho berdiri, membetulkan pakaiannya.

"Kita tak sempat pun makan," omel Stom dengan perut yang berbunyi minta makanan.

Lantas Luz membongkar isi perut begnya kerana dia teringat Sven ada memberi empat biji buah epal untuk mereka. Buah epal dibaling lantas disambut dengan sengihan oleh Stom.

"Dah, cepat sedia. Rasanya tak lama lagi-"

"Selamat pagi, bakal pelajar Akademi Xavier!" Satu suara kedengaran sangat kuat, memeranjatkan semua yang ada. Mereka tercari-cari pemilik suara itu namun tidak ada melihat sesiapa.

"Semua sudah bersedia? Saya akan terangkan ujian yang perlu kamu semua lepasi. Terdapat empat tahap. Tahap pertama adalah ujian fizikal dan akan berlangsung sekejap saja lagi. Tahap kedua adalah ujian memanah manakala ketiga adalah ujian senjata. Tahap terakhir akan diumumkan kelak selepas ketiga-tiga ujian ini tamat. Pintu akan dibuka dan kamu semua dikehendaki beratur mengikut abjad nama yang akan dipanggil nanti. Semoga berjaya!"

Suara garau itu senyap selepas dengan cerianya mendoakan kejayaan mereka. Seperti yang dikatakannya tadi, pintu besar itu terbuka dan terdapat empat orang alven sudah menunggu dengan wajah serius. Di tangan salah seorangnya penuh dengan helaian kertas kuning.

"Bila saya sebut nama, beratur di hadapan Ketua Pengawas Linzy," katanya tegas tanpa segaris senyuman. Perut Luz rasa kecut tiba-tiba. "Oh ya, tinggalkan semua barangan kamu di sini saja. Ia hanya akan dibawa keluar bila kamu diumumkan gagal iaitu pada penghujung ujian ini."

Tiada siapa berani membantah dan mereka melakukannya dengan tergesa-gesa. Ada yang tidak sempat menyiapkan rambut dan kelihatan serabai, ada yang masih mamai namun ada yang juga kelihatan bersemangat.

"Aby Looney."

Pemilik nama itu adalah seorang gadis kecil molek yang berperawatakan penakut. Nampak jelas apabila dia berjalan dengan langkah yang teragak-agak dan bahunya hampir bertemu dengan telinga kecilnya. Rambut coklat gelapnya diikat kuda, berayun lembut saat dia menghampiri pengawas bernama Linzy itu. Kepalanya asyik tertunduk ke lantai menyebabkan Luz terfikir bagaimana agaknya gadis itu akan melalui ujian pada hari ini.

"Seterusnya..."

Selepas Aby, terdapat lima orang alven disebut namanya sebelum nama Ayriex bergema, menambahkan lagi rentak jantung Luz yang sudah hampir tercabut dari tangkainya. Spontan, dia menggenggam jubah remaja itu namun Ayriex hanya melemparkan senyuman segaris seraya mengusap kepalanya.

"Jangan risau." Ayriex menggumam perlahan, menjeling rakan-rakannya sekilas lalu menghampiri barisan itu.

Tiba-tiba ada sepasang tangan yang menghalang. Langkah Ayriex terhenti dan dia mendongakkan kepala.

"Tidak dibenarkan memakai jubah. Badan kamu akan diperiksa sebelum meninggalkan dewan ini, takut-takut ada senjata rahsia yang tersembunyi. Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan licik dan penipuan," kata alf itu, sama ada memaksudkannya atau menyindir mereka kerana Luz perasan ada yang memberi senyuman sinis.

Ayriex menjungkit bahu, menurunkan jubahnya lalu melemparkan ia kepada Stom. Rambut hitamnya seperti biasa memeranjatkan dan menyebabkan suasana huru-hara buat seketika.

"Bukankah aku dah cakap tapi kau tak percaya!"

"Bagaimana dia boleh dibenarkan masuk? Dia patut ditangkap dan dibunuh!"

"Awak nak periksa badan saya? Saya cuma bawa dua bilah belati tapi kalau itu tak dibenarkan..."

"Jadi kamulah salah seorangnya?" Mata coklat pudar itu melirik pada yang lain. "Simpan jubah kamu."

Mereka menurut, membuka dan menyimpan jubah hadiah pemberian Trevor ke dalam beg. Stom tidak pernah rasa sebahagia itu, rasa lemas dan tertekan terus hilang saat kain hitam itu terpisah dari tubuhnya. Sepuluh tahun hidup bersembunyi, Stom tiba-tiba merasakan dirinya bebas. Luz pula rasa dirinya sangat kerdil dibawah panahan mata penuh kebencian itu. Hampir saja dia mahu menyembunyikan wajahnya di dalam baju Rho namun ditahan remaja tinggi lampai itu.

"Menarik," gumamnya perlahan. Matanya melorot pada dua bilah belati yang diikat kemas di hujung pinggang, kemudian naik dan terhenti pada simbol bulan di dada kiri Ayriex.

"Ini..." Ayatnya terhenti dengan riak tidak percaya. "...simbol bulan."

"Mana?" Tiga alven yang bersamanya terus mengerumuni, berbisik sesama sendiri sambil bertukar pandangan antara Ayriex dan mereka bertiga.

"Dimana kamu dapat ni?"

"Ratu Pari yang anugerahkan."

"Pembohong! Ratu Pari tidak wujud!" Satu suara membidas.

"Itu apa yang alven lain kata tapi simbol ini-"

"Alvis." Alven bernama Linzy itu menegur. Kepalanya menunjuk ke arah tingkap yang terbuka luas itu.

Wajah Alvis kemerahan menahan malu. "Minta maaf. Baiklah, tanpa membuang masa lagi, kita sambung penyusunan nama."

??????

Mood Luz jatuh merundum.

Di kiri kanannya penuh dengan alven yang langsung tidak dikenalinya. Bukan itu saja, semua orang memulaukannya. Luz berdiri keseorangan di belakang dan berada jauh daripada yang lain, merenung dengan mata sedih dan hati yang sunyi. Dia tidak kisah bila yang lain ada bersama, namun semuanya sudah terpisah mengikut kumpulan masing-masing. Hanya Stom dan Rho saja berada dalam satu kumpulan.

"Hei, aku dengar kau adalah alf kegelapan."

Luz memutarkan bebola matanya. Setakat ini sudah lapan orang alven memberi sindiran halus kepadanya dan apa yang Luz lakukan cumalah membisu. Dalam hatinya berharap ujian itu cepat dimulakan agar dia dapat bertemu dengan yang lain.

"Boleh aku pegang rambut kotor kau?"

"Hei!" Luz menepis kasar tangan itu menyebabkan remaja itu berang.

"Berani kau! Kau kenal tak siapa aku?"

"Belasah saja dia, Cole! Mereka tidak akan peduli dengan alf kegelapan ni." Dua orang rakannya menyokong, menambah keberanian remaja bertubuh sasa itu.

"Aku akan buat supaya kau ingat nama aku. Cole Harwick!"

Luz sudah bersedia untuk melindunginya bila seseorang tiba-tiba muncul, menerbangkan Cole hingga terpelanting jauh. Mata Luz terkebil-kebil melihat adegan yang begitu pantas itu.

"Siapa-" Ayat dua orang alven itu mati dan mata hampir tersembul melihat gadis yang bermuka garang, rambut perang pucat dan kurus tinggi berdiri di depan Luz.

"Tu-tuan pu-"

"Berambus. Kalau kamu mahu gagal terus, silakanlah buat kecoh," ucapnya garang.

Terkocoh-kocoh dua alven itu melarikan diri. Rakan mereka yang masih terbaring dibiarkan. Luz merenung gadis jelita itu lama. Dia teringat alf itulah yang bersama mereka berdiri di tepi waktu hari pendaftaran dan dia jugalah yang sentiasa keseorangan.

"Te-terima kasih."

Gadis itu cuma menjeling sekilas sebelum berlalu pergi. Riaknya langsung tidak berubah - wajah yang bosan dan tidak berperasaan.

"Semua alven berkumpul! Ujian akan dimulakan sekejap saja lagi!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience