14 || Hari Pendaftaran

Fantasy Series 2900

Luz menggosok jarinya yang bersih. Kasar, pantas hingga terasa sakit dan pedih pada kulit nipisnya. Tapi ia masih tidak mampu menghilangkan bekas darah yang berlumuran di tangannya tadi. Seperti ia melekat selamanya sebagai satu simbol - darah pernah tumpah, yang Luz tidak lagi suci tetapi telah dikotori. Tubir matanya bergenang saat memori lima belas minit yang lalu terlayar di mindanya semula. Apabila mengenangkan itu, sekali lagi Luz menggosokkan tapak tangannya yang sudah merah.

"Luz."

Ada sepasang tangan menghentikan tingkahnya. Tangan yang sasa dan dingin, sama seperti suhu pada malam itu. Luz memerhati dalam diam apabila tangan itu menyatukan jemari mereka lalu digenggam erat. Serta merta Luz terasa hangat, selesa dan selamat namun ia tidak lama. Wajahnya diangkat lalu mata mereka bertemu - satu cerminan di dalam laut hitam yang sama seperti dirinya.

"Itu bukan salah awak," suara yang jarang sekali didengarnya berkata. Dia menunduk, menutupi ekspresi wajahnya. "Saya yang buat, bukan awak."

Tapi itu masih tidak dapat membuang rasa bersalah itu. Disebabkan dia, satu nyawa melayang. Hanya kerana dia tidak mendengar arahan Ayriex.

"Kalau bukan sebab awak, mungkin saya yang mati. Kita terpaksa, demi nyawa kita."

Air mata Luz mengalir. "Kalau saya dengar cakap awak, benda ni-"

"Shh," Ayriex mengenggam erat jemari halus itu. "Awak hanya perlu ingat, kalau bukan dia yang mati, awak, saya atau kanak-kanak alf itu yang jadi mangsa. Ia adalah tindakan untuk selamatkan diri."

Luz mendiamkan diri. Kata Ayriex ada benarnya. Tiga nyawa berbanding satu tapi adakah itu boleh menjustifikasikan apa yang telah mereka lakukan? Walaupun Luz merasakan tiada sekelumit pun simpati pada alf itu, tapi setiap nyawa di dunia ini sangat berharga. Mungkin dia tidak kisah, bagaimana pula dengan keluarga Bosco? Isterinya? Anaknya?

Wajah yang basah dengan air mata diraup kasar. Luz benar-benar buntu. Apa yang sudah dirangka tidak berjalan lancar. Sekarang ini dia risau sekiranya kematian Bosco akan memberi kesan pada kemasukan mereka ke akademi.

"Luz! Ayriex!"

Mereka berdua menoleh ke kanan, bertemu mata dengan dua rakan mereka yang sedang tersenyum kegembiraan. Luz rasa ada sesuatu tersekat di kerongkong, sesuatu yang berat menghempap dadanya.

"Kenapa tak cari kami? Penat kami tunggu di luar," rungut Stom, memerhati dengan pelik sikap rakan-rakannya yang mendiamkan diri. Selalunya Luzlah yang paling banyak cakap. Dia ingatkan gadis itu akan gembira apabila mereka berjaya masuk, tapi lain pula reaksi yang ditunjuk.

"Hei, kenapa ni?" Tegur Rho. Dia dapat rasakan ada sesuatu telah berlaku apabila Luz dan Ayriex tidak muncul di tempat yang ditetapkan. Bahkan dari tempat mereka menunggu, sayup-sayup kedengaran jeritan dari arah rumah terbiar itu.

"Apa yang dah berlaku?" Rho masih cuba bertanya. Matanya melilau, bersilih ganti memandang Ayriex dan Luz tapi bila pandangannya menangkap tompokan warna gelap di baju kuning Luz, dadanya berdebar.

"Apa ini, Luz? Darah siapa ni?" Rho menarik baju Luz, mahu memastikan apa yang dilihatnya. Dirasanya kain lembut itu. Masih basah, bermaksudnya baru. Adakah...

"Darah? Siapa yang cedera?" Jerit Stom, mula panik.

"Ayriex?"

Luz menjeling Ayriex. Remaja itu, yang begitu payah membuka mulut mengeluh. Rambut hitamnya ditolak ke belakang, mendedahkan mata segelap langit malam.

"Saya...-" Ayriex menelan air liur, menggosok belakang tengkuknya.

"Kami terbunuh seseorang."

Ayriex merenung tajam Luz yang tenang, Rho dan Stom terpaku. Ia sesuatu yang langsung tidak dijangka oleh mereka berdua.

Rho menjilat bibirnya yang kering. "Siapa?"

Luz menarik nafas. "Bosco. Pemilik kereta kuda yang kami naik."

"Bagaimana-"

"Dia mahu menyerang saya sebab saya lepaskan kanak-kanak alven itu," jawab Luz pantas. Dia mahu melepaskan segalanya sekarang, biar dadanya ringan. Sekarang ia masih sarat dengan rasa bersalah dan berdosa.

"Awak lepaskan mereka? Luz, mereka tiada kaitan dengan kita. Kenapa awak..." Stom hilang kata-kata. Dia dah agak gadis itu akan lakukan sesuatu tanpa berfikir panjang jika tidak dipantau. Sebab itu Rho sentiasa bersamanya. Hanya Rho saja yang dapat mengawal Luz.

"Ayriex, awak biarkan?" Stom menjeling remaja itu. Memang Ayriex sentiasa kalah dengan rayuan Luz tapi dia ingat remaja itu akan lebih bertegas.

"Jangan salahkan Ayriex! Saya yang paksa dia."

"Ya, ya, awak ingat saya tak tahu Ayriex sentiasa ikut cakap awak," gerutu Stom dengan keluhan.

"Saya kasihan melihat mereka. Bila tengok muka kanak-kanak itu, saya teringatkan masa silam kita. Saya terbayang keadaan kita waktu dipulaukan, waktu sebelum kita bertemu dengan Trevor."

Bila Luz sudah buka cerita sedih, Stom hanya mampu mengeluh. Bukan dia tidak kasihan, tipulah kalau dia tidak merasa apa-apa saat terpandang wajah penuh luka dan kotor itu. Namun itu bukan misi mereka. Tambahan lelaki alf itu rapat dengan pengawal dan askar biru. Jika mereka tersilap langkah, nyawa mereka akan melayang. Sudah tentu rakannya itu tidak fikirkan tentang hal itu.

"Maafkan kami," gumam Ayriex.

Rho menghela nafas panjang. Apa yang dah terjadi mungkin ada sebabnya. Hendak marah pun tidak guna. Yang penting sekarang mereka cari jalan penyelesaian. Rho tidak mahu peristiwa itu menjadi penghalang kepada misi hidup mereka.

"Terangkan pada saya. Dari mula sampai akhir," katanya tegas.

Maka Luz menceritakan dari awal hingga akhir, bila mereka larikan diri dari rumah itu dan meninggalkan mayat Bosco di tengah halaman.

"Kanak-kanak alven itu macam mana?"

"Mereka dah bersembunyi. Saya dah arahkan mereka untuk keluar dari Carnia pada esok hari," jawab Luz.

"Saya harap mereka akan pulang semula ke pangkuan keluarga mereka." Rho berfikir-fikir. Dia sebenarnya risaukan kanak-kanak yang masih dipenjara di rumah itu. Mengikut ingatannya, ada lima orang lagi yang terkurung.

"Kita kena jadi kuat," kata Rho tiba-tiba, menarik perhatian yang lain. "Bila kita dah jadi askar, kita boleh selamatkan kanak-kanak yang senasib dengan kita."

Luz merenung Rho dengan mata berkaca. Dia menganggukkan kepala, lega dan sesal bercampur baur.

"Kamu berdua, jangan lupakan apa yang berlaku hari ini." Rho mengenggam tangan Luz dan Ayriex. Senyuman terukir di wajah tampan itu. "Ingat, yang suatu ketika dahulu kita pernah lemah dan tidak berkuasa. Ingat yang kita selalu dibuli dan diasingkan. Tapi ia takkan kekal lama."

Rho berdiri, menghulurkan tangan kepada dua rakannya. Luz dan Ayriex menyambut, berdiri di sisi Rho. Sekelip mata, mereka berdua dalam pelukan remaja itu. Stom di sebelah tersenyum senang.

"Terima kasih, Rho," ucap Luz. "Maafkan kami Stom."

"Saya dan Stom maafkan kamu berdua," balas Rho, melepaskan rangkulan.

"Yalah, yang penting kamu berdua selamat."

"Baiklah. Sekarang ini kita perlukan fikirkan cara untuk bertahan sehingga hari pendaftaran terakhir."

"Kita akan tidur di mana malam ni, Rho?" Soal Luz, memerhati suasana gelap dan sunyi di sekitar mereka.

"Semasa dalam perjalanan ke sini, saya teringat kita ada melalui sebuah jambatan yang besar. Buat sementara waktu, kita bersembunyi di bawahnya. Saya yakin tiada siapa yang akan pedulikan kita selagi kita tak tunjukkan muka. Stom, makanan yang Edra bekalkan masih banyak?"

Stom memeriksa beg sandangnya, diselongkor sebelum akhirnya mengangguk.

Rho tersenyum kelegaan. "Bagus. Kita buat macam apa yang dirancang."

"Baik, Rho."

Selepas itu, mereka berempat merayau di lorong-lorong sepi sehingga terjumpa jambatan yang dimaksudkan. Mereka duduk di atas lantai batu, berhimpit demi menahan kesejukan bayu malam. Air sungai yang mengalir menerbitkan bau kurang enak namun mereka tahan. Tidak mampu menahan rasa ngantuk, mereka akhirnya tertidur di bahu masing-masing.

Suara riuh dan bunyi kereta kuda melintasi jambatan itu membangunkan mereka. Ayriex yang sentiasa bangun awal mencuit setiap bahu rakannya yang masih lena dibuai mimpi.

"Dah pagi," beritahu Ayriex. "Sembunyikan rambut."

Luz dan Stom tergesa-gesa menaikkan jubah yang terjatuh waktu mereka tidur. Makanan yang dibekal oleh Edra dikeluarkan lalu mereka berempat menikmati sarapan pagi dibawah panahan mentari yang indah warnanya. Kuning keemasan tanpa diganggu oleh kepulan awan. Peliknya, ia tidak panas seperti di Diondell. Luz dapat rasakan tubuhnya hangat dan selesa.

Selepas itu, apa yang mereka cuma buat hanyalah berehat dan memerhati keadaan sekeliling dengan waspada. Mujur tiada siapa yang turun ke bawah jambatan. Jadi selamatlah mereka sehingga ke hari yang seterusnya.

"Dah sedia semua?" Rho membetulkan pakaian di tubuh tingginya, rambut yang sudah panjang diikat dan jubah pemberian Trevor dibetulkan. Kepalanya digelengkan melihat tingkah Stom dan Luz yang kelam-kabut mengemaskan beg mereka.

"Bertenang," katanya seraya ketawa kecil. "Kita masih ada banyak masa."

"Saya terlalu cemas! Macam-macam yang saya fikirkan," keluh Stom.

Rho menghampiri Luz. "Letak di depan, biar semua alven nampak." Rho membetulkan insignia milik Luz agar ia jelas kelihatan di pandangan semua alven. "Dan yakin yang kita akan berjaya masuk, seperti yang dikatakan oleh Ratu Pari."

Mendengarkan itu, mereka bertiga menghela nafas panjang.

"Saya tak cemas," kata Ayriex tiba-tiba.

Stom menjeling. "Tipu! Awak tak dapat tidur malam tadi, kan? Sikit-sikit awak bergerak. Macam mana saya nak lena?"

"Itu sebab nyamuk. Saya gatal."

"Sudahlah!" Gumam Stom yang faham benar isi hati Ayriex. Remaja itu memang tidak mudah meluahkan apa yang difikirkannya, tapi ia jelas kelihatan dari gerak-geri dan tingkah lakunya.

"Baiklah kamu berdua." Rho memanggung kepala, dia perasan matahari sudah tegak di kepala. "Kita bergerak sekarang."

Dengan jubah menutupi kepala, mereka menyusuri jalan yang penuh dengan alven. Sesekali tubuh mereka dihimpit dalam lautan alven yang menuju ke arah yang sama.

"Kau pernah tengok Putera Stieves? Kacak kan?"

"Ya! Bukan saja parasnya sempurna, tapi juga sayapnya! Sememangnya ahli Elit Bersayap yang termuda. Aku dengar dia akan turut sama dalam ujian kemasukan ini."

Perbualan antara dua gadis alven di sisi mereka menarik perhatian Luz. Nama Stieves seolah pernah didengarinya tapi dia lupa. Pun begitu, bila terdengar perkataan sayap, terus ingatannya berputar pada alf bersayap yang melawati Diondell.

Adakah alf yang sama?

"Bagaimana agaknya ujian kali ini?" Kata seseorang dengan keluh kesah.

"Abang aku gagal ujian tahun lepas tapi dia mahu cuba lagi. Katanya memang susah!"

"Kalau begitu dia mesti tahu prosesnya," balas rakannya, ada iri hati pada nadanya. "Beritahulah aku."

Stom yang terdengar mendekati dua remaja alf itu secara senyap dengan niat mahu memasang telinga. Mana tahu dapat maklumat percuma. Sedikit lagi mahu hampir, bajunya ditarik seseorang. Dia menoleh, menghadap muka Rho yang sedang mengecilkan mata.

"Apa awak nak buat?"

"Er, tak ada apa-apa," jawab Stom tersekat-sekat. "Saya nak-"

"Jom gerak, nanti awak hilang," arah Rho yang tidak lepas memandang rakannya itu. Dia tidak mahu rakan-rakannya menimbulkan masalah sebelum mendaftar.

"Yalah, yalah." Stom memuncungkan bibir.

Dari jauh mereka sudah nampak Akademi Xavier yang menjadi sebutan. Dindingnya tinggi hingga tidak kelihatan bangunan di dalamnya tapi dari atas pokok di luar Carnia, jelas kelihatan bangunan tinggi yang indah dan megah. Di dua tiang terukir simbol matahari beserta dua bilah pedang ditengahnya. Banjiran alven di depan pagar yang bertutup menyebabkan mereka sukar untuk bergerak.

"Hei, jangan tolaklah!"

Luz menundukkan kepalanya. "Maaf, maaf. Tumpang lalu."

"Kau ingat kau seorang saja yang nak lalu? Apa? Hebat sangat ke sampai tak sabar sangat?" Luz terdengar pertanyaan sinis daripada alf yang tidak sengaja dilanggarnya tadi tapi tidak diendahkan. Rho sudah memesan agar tidak mencari masalah.

"Ceh, berkelubung macam hantu! Entah apa yang nak disembunyikan?"

"Mungkin mukanya tidak cantik. Biarlah!" Balas rakannya lalu mereka ketawa besar.

Luz menggigit bibir. Dia tidak nampak wajah alf itu kerana dilindungi oleh penutup jubahnya. Mahu saja dia membalas namun sekali lagi ditahan. Sebelum mereka diterima masuk, dia akan cuba bersabar. Lagipun, cercaan dan cacian sudah menjadi perkara biasa.

"Pendaftaran akan dibuka sekejap saja lagi," ucap seorang alf yang lengkap berpakaian askar biru. Di dadanya tersemat tulisan perak 'Elit Kesatria' beserta satu simbol insignia yang tidak pernah dilihat. Dia berdiri di antara dua meja panjang yang dijaga oleh enam orang alven.

"Hari ini adalah hari terakhir, bermaksud sebarang penyertaan selepas jam 6 petang ini tidak akan dilayan. Sebaik saja mendaftar, sila masuk melalui pagar ini dan mengikut arahan yang seterusnya."

Habis berucap, alf itu menghilangkan diri disebalik pintu pagar yang tinggi dan bertutup. Suasana menjadi kecoh semula, masing-masing tidak sabar. Seorang lagi alf berpakaian askar biru mengambil tempat namun lebih rendah kedudukannya berdasarkan strap di bahu. Rambut coklatnya disikat kemas ke belakang, hidungnya mancung dan bibirnya merah tebal, menampakkan kecomelannya.

"Saya Louise Matris, alf yang akan mengendali hari pendaftaran hari ini," suaranya nyaring, tidak padan dengan tubuh yang kecil.

"Dia! Bukankah dia datang bersama dengan alf bersayap itu?" Bisik Stom.

"Ya, saya baru teringat. Alf itu sentiasa berada di belakang alf bersayap, seperti sudah kenal lama," komen Rho dengan analisisnya.

"Sebelum itu saya mahu kamu semua buat enam barisan."

Habis saja berkata begitu, hampir semua alven yang berada di situ bertolak-tolakan, berebut untuk berada di barisan paling hadapan. Alf yang bernama Louise itu hanya melihat, atau lebih tepat lagi memerhati tanpa riak.

"Aku dululah berdiri di sini!"

"Tak, aku yang lebih cepat!"

Perlahan-lahan mereka berempat keluar dari barisan yang tidak tentu bentuknya, menjauhkan diri. Luz menoleh ke kiri dan kanan, dan perasan ada beberapa orang alven juga yang mengekalkan jarak daripada rusuhan itu. Mata Louise seakan menjeling ke arah mereka buat sesaat sebelum menarik nafas panjang.

"BERHENTI!" Louise menjerit, menyebabkan semua alven terpaku. Pastinya tidak menyangka alf itu akan mngeluarkan suara yang begitu kuat dari tubuh kecil itu. Wajahnya masih tenang, seolah itu adalah perkara biasa buatnya.

"Jangan bergerak dari tempat kamu berdiri dan ambil tiga langkah ke belakang."

Meskipun ada yang menggumam tidak berpuas hati, tapi semuanya akur dengan arahan itu. Mereka menapak ke belakang hingga akhirnya tinggal Louise saja berdiri di depan meja.

Louise menoleh ke arah mereka. "Yang berdiri di sana."

Mereka berempat saling berpandangan, kerisauan terlakar di wajah. Rho memberanikan diri bertanya. "Kami?"

Alf itu mengangguk. "Kamu semua yang berdiri di tepi sana."

Lambat-lambat mereka berempat berjalan, mengikuti alven yang turut sama berdiri di sebelah mereka.

"Kamu boleh mendaftar dahulu."

"Hah?" Air liur terasa kerin di tekak Rho. Mengikut rancangannya, mereka akan mendaftar selepas hampir kesemua alven masuk ke dalam akademi supaya tidak ramai yang tahu identiti mereka. Lain yang diharapnya, lain pula yang terjadi!

Suara rungutan dan penuh cemburu kedengaran apabila alven yang berdiri di tepi tadi mendaftarkan nama. Dari dua puluh orang itu, ada seorang gadis yang punya ketinggian sama dengan Rho, parasnya sangat cantik dari rambut perang coklatnya yang beralun lembut, kulitnya yang mulus dan bersih dan pakaian yang mahal. Matanya memandang bosan, seolah pendaftaran ke akademi itu sesuatu yang tidak menarik.

"Kalau aku tahu tadi, lebih baik aku berdiri di tepi," rungut seseorang lantas dipersetui yang lain. Luz dapat rasakan semua mata tertumpu ke arah mereka tatkala mereka beratur di bahagian hujung sekali.

"Kamu berempat! Ada banyak lagi meja pendaftaran yang kosong, jangan berkumpul di sana," tegur Louise, mengumpan bisikan halus yang menyindir.

"Tak pandai menulis agaknya."

"Kalau begitu tak layaklah mereka masuk ke sini," kata seseorang lagi.

Louise yang terdengar rungutan itu menghampiri mereka berempat. "Ada siapa yang tak pandai menulis dan membaca?"

Pantas mereka menggelengkan kepala.

"Jadi? Kenapa berkumpul di sini?" Louise yang menyedari jubah yang menutup kepala mereka mengerutkan dahi. Jari telunjuknya diarah pada Rho lalu digoyangkan. "Turunkan jubah. Kami perlu tengok semua pelajar sebelum mendaftarkan diri."

Luz termengkelan, begitu juga dengan yang lain. Mereka berpandangan sesama sendiri, masih kaku berdiri. "Rho, bagaimana?" Bisik Luz takut-takut.

"Biar saya yang uruskan," ucap Rho. Perlahan-lahan dia menurunkan jubahnya lalu mendedahkan rambut perang dan wajah tampannya. Lantas bisikan memuji dan kagum bergema terutamanya dalam kalangan gadis-gadis alven. "Stom, giliran kamu."

"Ehh?" Dengan wajah terpaksa dan pucat, Stom mengikut arahan Rho. Tidak seperti alf itu, Stom menerima reaksi pelik disebabkan warna rambutnya. Sepanjang masa itu dia menundukkan kepala, tidak mahu anak matanya dilihat.

"Jingga kemerahan?" Gumam Louise, berfikir-fikir. "Mereka berdua?"

"Ah, er, mereka tidak boleh terkena cahaya matahari," Rho memberi alasan yang langsung tidak munasabah. Luz tahu Louise tidak mempercayainya kerana alf itu sudah bercekak pinggang di depan mereka.

"Jadi maksudnya mereka ada penyakit?" Tanyanya tegas.

"Er, tak. Cuma-"

"Berpenyakit maksudnya mereka tidak layak untuk belajar di akademi ini."

Serta-merta tubuh Luz jadi kejung. Mereka sudah berada di penghujung tebing. Rho kehilangan idea dan dia dan Ayriex akan kehilangan satu-satunya peluang untuk belajar.

"Kami tidak sakit." Satu suara seakan berbisik berkata, tegas dan penuh yakin. Pandangan Luz ditutup oleh sebatang tubuh yang sering melindunginya.

Ayriex berdiri di hadapan Louise, jubah hitamnya berterbangan ditiup angin. Pandangannya ditala pada wajah Louise yang sedang mengerutkan dahi - pelik mungkin dengan sikap mereka yang berahsia. Ini adalah waktu yang perlu mereka hadapi. Mahu tidak mahu, mereka tetap perlu juga mendedahkan identiti mereka.

Perlahan-lahan, jubah dikepalanya ditarik ke bawah, serta-merta mendedahkan rambut dan matanya yang hitam. Dan seperti dijangka, jeritan mula kedengaran dan suasana mula menjadi kecoh.

"Alf kegelapan!!"

Ada alven yang lari, ada yang mengeluarkan magi masing-masing. Mereka berempat merapatkan diri apabila sekumpulan askar biru tiba-tiba muncul lalu mengelilingi mereka.

"Oh, baguslah. Lebih ramai yang muncul," gerutu Stom.

"Bagaimana kamu boleh masuk ke sini?" Tanya Louise, mukanya merah dan anak matanya bergerak-gerak tanda ketakutan. Yalah, siapa yang tidak takut apabila berhadapan dengan alven kegelapan. Sejak peperangan itu, mereka ditakuti dan dibenci. Alven kegelapan sangat berbeza dari segi magi kerana mereka tidak memanipulasi tenaga yang ada disekeliling, tetapi berunsur kegelapan yang lebih bahaya dan licik.

Tapi mereka tidak ada magi seperti itu. Luz tahu kerana dia sudah mencuba banyak kali untuk mengawal magi naun hampa. Begitu juga dengan rakan-rakannya. Oleh itu dia yakin magi mereka nanti adalah dari Alven Cahaya,

"Tuan, kami adalah alven cahaya-"

"Bohong! Kalau kamu alven cahaya, bagaimana dengan rakan kamu ini? Saya percaya gadis itu juga sama? Sebab itu kamu berjubah ya? Dasar licik!" Kata-kata Rho dipotong kasar. "Bagaimana kamu dapat masuk ke Carnia? Kamu gunakan magi licik kamu itu?"

"Tidak!" Balas Rho, sudah tidak tahu hendak kata apa lagi. Mereka dikepung di kiri dan kanan. Tersilap langkah, mereka akan maut diserang pedang yang terhunus di tangan Louise.

"Tolonglah dengar penjelasan kami. Kami adalah-"

"Tuan, tangkap saja mereka! Serahkan pada General untuk uruskan!" Cadang salah seorang askar.

"Tidak apa, saya boleh uruskan."

"Tuan, dengar dulu apa yang kami nak cakap!" Ini tidak seperti yang dibayangkannya. Ratu Pari sangat yakin tentang kemasukan mereka, jadi apa yang silapnya? Ramalan pemeringah itu kah atau masa yang tidak sesuai?

Tidak. Rho teringat sepucuk surat yang diberi oleh Ratu Pari sebelum mereka berangkat. Katanya, 'dia' yang dimaksudkan itu akan tahu maksud surat itu. Namun melihat alven didepan mereka, Rho tahu dia itu tiada di sini. Hanya ada satu cara saja untuk menarik lebih banyak perhatian.

"Kamu semua, keluarkan senjata masing-masing."

Rakan-rakannya memandang dengan mata terbeliak.

"Apa maksud awak, Rho? Mereka akan bunuh kita!" Bisik Stom penuh kerisauan.

"Kita kena tarik perhatian supaya alf yang berkuasa di sini keluar. Itu saja caranya," beritahu Rho.

"Saya memang menanti saat ini." Ayriex mengeluarkan dua belatinya, wajahnya terbias kegembiraan.

"Apa-apa sajalah!" Getus Luz yang sudah pasrah. Yakin Rho ada rancangannya sendiri, Luz mengeluarkan lastiknya dan mengambil beberapa biji batu yang disimpan dalam poket seluar.

"Mereka ada senjata, tuan!"

"Jangan risau," kata Louise. "Itu senjata budak-budak. Belati dan lastik? Hah, mereka tidak dapat mengalahkan pedang kita. Keluarkan senjata semua. Siapkan magi!"

Louise tersenyum sinis, keyakinan menari di dalam mata coklat pudarnya.

"Jangan biarkan mereka hidup di tanah ini."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience