8 || Ratu Pari

Fantasy Series 2900

Stom berlari anak ke arah Rho. Luz dan Ayriex yang pada mulanya bingung kemudian faham dan terus mendapatkan dua alven itu.

"Tengok!" Stom membuka genggamannya, membiarkan api biru itu terapung di atas telapak tangannya.

Remaja berambut perang itu hanya tersenyum. Dia menepuk lembut bahu Stom yang masih tersengih riang. "Saya tahu awak mampu lakukannya."

Stom tersipu malu.

"Maaf Ayriex, Luz. Saya tak dapat beritahu awak rancangan saya takut wisp itu tahu," kata Rho.

Luz tersenyum lebar. "Tidak apa. Kami faham, Rho. Yang penting kita lepasi ujian ni. Berbaloi jugak berlari ke sana ke sini."

"Tahniah Stom. Lepas ni bolehlah Rho bagi awak tugas utama," kata Ayriex, menyebabkan wajah remaja berambut merah itu bertukar pucat.

"Awak tahu jantung saya tak henti-henti berdegup sebab terlalu cemas? Saya rasa nak muntah!" Bangkang Stom yang masih mengingati detik bila dia diberi tugas yang sangat penting.

Mereka ketawa tapi apabila terdengar suara berdecit, tawa mereka mati.

"Tahniah alven muda," ucap wisp itu. Dia mendekati Rho seolah merenung. "Macam mana awak tahu?"

"Saya pernah baca buku tentang makhluk mistik dan dalam buku tu tak ada pulak menyatakan wisp adalah makhluk yang pantas atau ada keupayaan menghilangkan diri. Jadi saya perhati setiap kemunculan awak dan perasan ia ada tempo tersendiri. Awak akan muncul setiap tiga minit di 10 tempat yang berbeza dan mengulanginya lagi. Saya cuma perlu fokuskan tempat seterusnya awak akan muncul dan pengakhirannya? Macam yang awak tahu," terang Rho panjang lebar.

Rakan-rakannya yang lain memandang dengan kagum termasuklah wisp itu tadi.

"Bijak," pujinya. Dia kemudian bergerak ke arah mereka bertiga. "Ketangkasan yang mengagumkan, sikap tidak berputus asa dan kesanggupan menerima tugasan walaupun takut. Tahniah, awak berempat berjaya melepasi ujian ini."

Mereka berempat bersorak riang.

"Satu saja yang awak tidak tahu iaitu bukan saya saja yang berada di sini sekarang ini," ucap wisp itu tiba-tiba.

"Apa maksud awak?" Tanya Rho.

"Jawapan awak hampir betul, cuma..." Sebaik berkata begitu, hutan gelap itu diterangi cahaya biru yang muncul dari balik daun-daun dan pokok, menimbulkan suasana yang sungguh cantik seperti dikelilingi bintang di angkasa.

"Wah, cantiknya!" Ujar Luz yang teruja dengan pemandangan indah itu. "Mereka ini ahli keluarga awak?"

"Ya. Seperti yang dikatakan oleh rakan awak ini tadi, wisp bukan makhluk yang pantas bahkan kami lebih lambat daripada serangga. Hanya cara itu saja yang dapat kami fikirkan supaya ujian itu sukar untuk dilepasi."

"Kenapa sanggup bersusah-payah begitu?" Tanya Rho tidak faham.

"Oh, sebab tidak semua layak bertemu dengan Ratu Pari," jawabnya. "Hanya yang terpilih saja akan kami layan dan hanya yang layak saja dapat bertemu dengan baginda."

"Kejap! Maksudnya awak tahu kami akan datang-"

"Sudah tentu," wisp itu memintas kata Rho. "Kami sudah menerima arahan untuk melayan kamu."

"Dari siapa?" Desak Rho. Bagaimana  kehadiran mereka boleh diketahui? Adakah betul Ratu Pari memiliki kuasa melihat masa silam dan masa depan seseorang?

Wisp itu ketawa. "Kalau awak nak tahu, awak perlu bertemu dengannya sendiri. Alf muda, awak tahu apa keupayaan wisp?"

Rho berfikir sejenak, sedar yang wisp itu sedang menyoalnya. "Penunjuk arah?"

"Betul, tapi keupayaan sebenar kami adalah 'kunci'."

Mereka berempat mengerutkan dahi. "Kunci?"

"Ya." Selepas berkata begitu, wisp yang terapung mengelilingi mereka tiba-tiba menuju ke satu arah, membentuk satu putaran sebelum berpecah menghasilkan bentuk gerbang yang besar.

"Wah, macam dalam dunia fantasilah!" kata Luz teruja. Dia kini yakin yang dia tidak menyesal mengembara keluar dari bandar Diondell. 

Selepas pintu gerbang itu terhasil, wisp itu mengeluarkan cahaya biru yang terang dan menyilaukan sehingga memaksa mereka berempat menutupkan mata. Tidak lama, ia beransur malap dan mata mereka membesar melihat apa yang wujud di tengah bentuk pintu itu.

"Adakah itu alam pari-pari?" tanya Stom tidak percaya. Di tengah pintu itu kelihatan sebuah tempat yang berwarna keemasan dan disimbahi cahaya. 

"Kalau awak nak tahu, masuklah."

Mereka berempat melangkah masuk dengan rasa teruja bercampur takut. Mereka takut rahsia kelahiran mereka dan sebab mereka ditinggalkan tidak seindah yang mereka sangka.

"Semoga berjaya, alven muda," ucap wisp itu.

"Terima kasih banyak-banyak." Luz, Ayriex, Stom dan Rho menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih. Kemudian, mereka melalui pintu lutsinar itu selepas memperkuatkan hati.

Masuk saja, perkara pertama yang mereka nampak adalah deretan rak buku yang tingginya mencecah siling bilik luas itu. Di setiap dinding penjuru bilik yang berlekuk-lekuk ditutup dengan rak yang penuh dengan ribuan buku. Mereka memerhati dengan rasa kagum dan takjub terutamanya Rho yang sememangnya sukakan buku.

"Banyaknya buku! Rho, awak mesti suka tinggal dalam bilik ni kan?" Luz mengusik Rho yang masih memandang dengan mulut ternganga. Cahaya yang melimpah dari chandelier di atas kepala mereka membuatkan seolah bilik itu diperbuat daripada emas. Ia bersinar dan menyilaukan mata.

"Ini istana Ratu Parikah?" Stom meneliti bilik yang hanya ada rak dan buku. Keluasannya sangat besar hinggakan dia takut untuk merayau jauh kerana takut sesat.

Rho menapak ke arah rak di depannya. Jari runcingnya menyentuh buku-buku yang tersusun rapi. Ada pelbagai warna, ketebalan dan ketinggian. Dia cuba untuk menarik sebuah buku namun gagal.

"Buku itu bukan untuk dibaca."

Mereka berempat terkejut. Serentak mereka menoleh ke belakang dan apabila melihat figura yang berdiri di hadapan mereka kini, masing-masing terlopong.

"Selamat datang ke istana beta. Beta ialah Ratu Pari, pemerintah hutan Moonhaven," ucapnya dengan suara gemersik.

Ratu Pari tidak seperti yang Rho bayangkan. Dia mengandaikan pari-pari adalah makhluk kerdil, bersayap dan memiliki telinga yang runcing. Namun makhluk yang sedang tersenyum ke arahnya kini mempunyai ketinggian yang sama dengan mereka, bahkan rupa parasnya tidak jauh berbeza melainkan sepasang sayap yang terletak elok di belakangnya. Ia tidak ubah seperti sayap askar elit tetapi lebih cantik kerana dihiasi butiran permata di permukaannya.

Matanya yang berwarna biru muda pucat seperti kaca merenung mereka dengan mesra. Kulitnya yang cerah dan putih seperti salji bersinar dibawah sinaran cahaya. Rambut perang emas hijau yang panjang hingga ke lantai beralun lembut setiap kali dia berjalan.

"Er, selamat sejahtera, tuanku. Kami adalah-"

Ratu Pari memotong percakapan Rho. "Beta tahu. Beta telah menanti kehadiran kamu berempat."

"Jadi betullah tuanku boleh melihat masa silam dan masa depan?" Tanya Luz.

Ratu Pari hanya tersenyum. Dia berjalan ke arah satu sudut melengkung yang juga dipenuhi rak buku. Ruang yang gelap itu automatik terang sebaik saja mereka melangkah masuk.

"Kamu tahu apa ini?" tanyanya lembut.

"Buku, tuanku," jawab Stom aneh. Sekali lihat saja mereka tahu itu adalah buku. Kenapa Ratu Pari bertanya soalan yang remeh temeh?

"Ini bukan sebarang buku," katanya. Dia melambai tangannya lembut dan serta-merta, sebuah buku yang tersimpan di rak terbang ke arahnya. Ia terapung di antara mereka berempat. Ratu Pari menggerakkan jarinya lagi dan kali ini, ia terbuka beserta dengan cahaya yang keluar di antara celah muka surat.

"Ini adalah rekod kehidupan seseorang alf." 

"Maksud tuanku..."

"Ya, segala maklumat tentang perjalanan kehidupan sehingga hari kematian tercatat dalam buku-buku yang ada dalam bilik ini," jelasnya.

"Tentang kami?" Stom bertanya tidak sabar. "Pasti ada kan?"

"Sudah tentu," jawab Ratu Pari tenang. Mereka berempat berpandangan sesama sendiri dengan gembira.

"Tapi beta tidak boleh tunjukkan sebab ianya adalah rahsia kehidupan."

Sinaran mata mereka terus malap mendengarnya.

"Sedikit pun tak boleh?" Luz mencuba nasib. "Kami cuma nak tahu kenapa kami dilahirkan dan siapa ibu bapa kami. Tuanku tahu kan kami tak sama seperti yang lain?"

"Beta tahu."

"Jadi kenapa? Kenapa kami berbeza?" Luz rasa mahu menjerit. Mereka datang dari jauh, menempuhi padang pasir yang panas terik dan berlawan dengan makhluk kegelapan semata-mata mahu mencari jawapan kepada kelahiran mereka. Tapi semuanya sia-sia?

"Tidak sia-sia alf muda," kata Ratu Pari seakan dapat membaca apa yang bermain di fikiran Luz. Luz menggigit bibirnya, tiba-tiba takut untuk memikirkan sesuatu yang dapat dibaca oleh pemerintah Moon Haven itu.

"Beta akan memberikan tiga peluang kepada kamu, tapi dengan satu syarat."

"Apa syaratnya?"

"Kamu perlu melepasi ujian."

Luz sudah menjangkakannya. 

Sejak mereka bertemu dengan wisp itu, dia sudah belajar satu perkara tentang dunia luar iaitu tiada benda percuma diberikan tanpa balasan. Mendengarkan permintaan Ratu Pari itu, Luz mengagak apa yang dimahukannya adalah sesuatu yang lebih besar dan sukar berbanding ketika mereka mahu bertemu dengan pemerintah makhluk pari-pari itu. Suaranya yang serius bergema menghantar rasa gentar di setiap derianya, meluncur laju ke jantung. Dadanya berdegup kencang saat mata hitamnya bertemu dengan mata biru pucat itu, memandang dengan gerun akan pantulan dirinya dalam iris itu.

"Tidak ada benda percuma di dunia ini. Pertukaran perlu untuk mendapatkan apa yang kamu hajati dan pengorbanan perlu untuk menunaikan apa yang kamu inginkan," ucap Ratu Pari penuh makna. 

"Apa yang tuanku mahukan?" Suara Stom kedengaran, lebih tenang namun ada getaran di hujung nadanya. Luz menjeling teman-temannya. Ayriex sepertinya merenung ke dalam mata Ratu Pari itu, tidak bersuara tapi wajahnya serius. Rho pula seperti kebiasaannya, berada dalam mod berfikir, mengetuk permukaan dagunya sambil mata merenung ke lantai.

"Kamu bersetuju dengan permintaan beta?" Tanya Ratu Pari dengan tiba-tiba, seolah sedang bercakap dengan salah seorang antara mereka. Dahi Luz berkerut. Tiada siapa yang bersuara melainkan Stom dan mereka belum lagi mengemukakan apa-apa balasan, jadi bagaimana mereka mahu bersetuju dengan permintaannya?

Aneh sungguh, fikir Luz.

"Tuanku belum tanya lagi apa yang kami boleh berikan, macam mana kami mahu bersetuju?" Tanya Luz dengan berani tapi Ratu Pari tidak membalas, sebaliknya Luz sedar sepanjang tempoh itu, pandangan makhluk mistik itu tidak berganjak dari wajah Ayriex. Luz memandang remaja lelaki itu bersilih ganti dengan Ratu Pari.

"Ayriex?" Panggil Luz tapi Ayriex seolah berada dalam dunia lain, tidak mempedulikan suaranya. Sekejap-sekejap wajah pucat itu berkerut dan adakalanya terbias amarah, namun segera berubah selepas beberapa ketika.

Stom dan Rho yang menjadi pemerhati sejak tadi cepat-cepat meluru ke arah Ayriex selepas faham dengan situasi sebenar. Rho berlari ke depan Ayriex, mendepangkan tangannya seperti mahu melindungi Ayriex daripada bahaya.

"Apa yang tuanku mahukan dari dia?" Soal Rho kasar. Mereka bertiga memegang tubuh Ayriex yang masih kaku tidak bergerak walaupun puas digoncang oleh Stom.

"Beta mahukan sesuatu daripada dia dan hanya dia yang mampu berikan apa yang beta mahu," jawab Ratu Pari dengan tenang, tidak terkesan oleh tindakan agresif mereka bertiga.

Luz menjadi panik. "Apa yang tuanku mahu dari Ayriex?"

Ratu Pari tersenyum, sayapnya berbunyi setiap kali dia bergerak. Dia menapak perlahan ke arah mereka berempat, dan dekat sahaja, jemari runcingnya mengusap lembut rambut kasar Luz. Lagak seorang ibu, Ratu Pari memberikan pandangan lembut kepada mereka hingga lenyap segala rasa amarah yang menguasai diri sebentar tadi.

"Ini adalah rahsia kerana ia adalah syarat perjanjian yang sudah termeterai sebaik sahaja Ayriex bersetuju dan dia baru saja melakukan hal itu."

"Apa perjanjian itu?" Tanya Luz tidak puas hati. Ratu Pari sepatutnya mengemukakan permintaannya kepada mereka berempat secara terang-terangan, bukannya secara sulit.

"Beta bersetuju memberikan petunjuk tentang salasilah dan asal usul kelahiran kamu berempat, manakala Ayriex bersetuju memberikan apa yang beta mahu. Itu saja," tenang Ratu Pari menjawab seolah apa yang dimintanya bukanlah satu perkara besar. Tetapi kalau ia adalah perkara kecil, kenapa Ayriex kelihatan terkejut dan marah?

Setelah beberapa ketika, Ayriex bergerak daripada tempatnya, seolah baru bangun dari tidur yang lena. Matanya berkelip, bibirnya terbuka sedikit seolah mencari udara. Luz memapah Ayriex, membawa remaja itu untuk duduk di lantai.

"Awak bagaimana?"

Ayriex mengangguk kecil. "Saya tak apa-apa," keluhnya, mengelap peluh yang jatuh di dagu. Matanya terus mencari wajah Ratu Pari, merenung tajam.

"Saya dah bersetuju dan serahkan apa yang tuanku mahu, sekarang giliran tuanku pula untuk kotakan janji," kata Ayriex.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience