13 || Perpisahan dan Tragedi

Fantasy Series 2900

Air mata Luz berlinangan turun. Dia memang mudah menangis bila berlakunya perpisahan. Emosinya akan terusik setiap kali ada ucapan selamat tinggal berlaku di antara mereka.

Tubuh kurus kecilnya sedang dipeluk oleh Ratu Pari, rambutnya diusap lembut seperti yang sering pari-pari itu lakukan. Mata hitamnya mengerling rakan-rakan yang lain dan semuanya sedang mengucapkan kata perpisahan kepada jurulatih masing-masing. Hanya Luz yang sukar mahu melepaskan Ratu Pari.

"Sudahlah, jangan menangis lagi." Ratu Pari mengelap jernihan mutiara di pipi mulus Luz. Sejak berada di Moonhaven dan dimandikan air yang mengalir jernih dari laut, kulit Luz tidak lagi kusam bahkan bersinar seperti Rho. Rambutnya terurus dan wangi, tidak juga lupa pakaian yang setiap hari bertukar. Luz merasakan dirinya seperti alven yang lain, yang normal - punya ibu yang sering menjaga keperluan mereka.

"Saya akan rindukan tuanku," ucap Luz dengan nada tertahan-tahan.

Ratu Pari hanya tersenyum tapi Luz merasakan senyumannya terselit kesedihan, tidak seperti selalu. "Jangan risau. Kita akan berjumpa lagi," katanya penuh makna.

Terkebil-kebil mata Luz cuba memahami. Belum sempat dia mahu bertanya lebih lanjut, suara garau Hayden menyentaknya. "Sudah-sudahlah peluk tuanku. Tuanku tak pernah peluk kami, awak tahu?"

Hayden merenungnya penuh cemburu. Edra juga begitu. Lambat-lambat Luz melepaskan pegangannya pada gaun Ratu Pari lalu menjarakkan sedikit tubuh mereka. Pipinya kemerahan menahan malu. "Maaf tuanku. Saya-"

"Tidak apa. Beta tidak kisah," ucap Ratu Pari. "Kamu sudah ucapkan selamat tinggal pada yang lain?"

Luz mengangguk laju. Otaknya ligat mengingati setiap makhluk yang sudah dipeluknya termasuk Even. Dia memandang sekeliling ruang bilik utama dimana Ratu Pari sering mengadakan mesyuarat. Setiap penjurunya penuh dengan makhluk mistik pelbagai jenis dan rupa. Luz lupa betapa ramainya makhluk yang sudah dikawannya sepanjang dia berada di situ.

"Baiklah, kamu berempat sudah bersedia?"

Mereka mengerumuni Ratu Pari semasa pemerintah itu mengarahkan Amber, ketua kepada makhluk wisp yang juga memyambut kehadiran mereka di saat menjejakkan kaki di Moonhaven.

Seperti sebelumnya, semua wisp yang ada melakukan putaran sehingga terhasilnya pintu yang menampakkan hutan belantara di dalamnya. Hati Luz semakin diruntun kesedihan. Dia rasa tidak mahu berganjak dari situ.

"Keluar saja dari sini, jalan terus dan kamu akan berjumpa dengan sebatang sungai. Itu bermakna kamu sudah sampai di sempadan Wilayah Air dan Carnia. Lalu padang, dalam masa setengah hari kamu akan sampai ke bandar itu."

Mereka hanya mengangguk, mendengar penuh teliti arahan dari Ratu Pari. Misi seterusnya adalah sampai ke akademi itu dengan selamat. Itu yang penting sebelum memikirkan adakah mereka akan diterima masuk atau tidak. Itu adalah hal terakhir yang akan Rho runsingkan tapi dia yakin mereka akan lulus ujian kemasukan.

"Ah, satu lagi." Ratu Pari menghulurkan jemarinya yang runcing dan seperti biasa, wujud satu objek dari tapak tangannya. Ia adalah sepucuk surat berwarna kuning coklat, dilipat kemas dan digam dengan cop merah lambang bulan sabit. "Beri ini kepada lelaki itu. Kamu akan tahu siapa dan dia akan tahu apa ini."

Tanpa banyak soal, Rho menyambut surat itu lalu disimpan kemas dalam begnya. Dalam beg hitam yang dihadiahkan oleh Frais kepadanya terkandung peta milik Trevor, buku berkenaan magi bertajuk 'Jenis-Jenis Magi' yang diberi Ratu Pari dan tiga helai baju dari peminatnya, Sylp si pixie.

"Selamat tinggal, semua! Terima kasih sekali lagi!" Mereka berempat melambai tangan lantas menjejakkan kaki ke dalam pintu gerbang.

"Jangan lupakan kami!"

"Datang lagi!"

Mereka melihat wajah-wajah yang menemani perjalanan kehidupan mereka selama dua minggu empat hari dengan senyuman. Mata Luz tertancap pada Ratu Pari yang sedang merenung dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

"Ingat semua!" Katanya kuat dengan tiba-tiba. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi, seolah suara telah dikunci. Mereka berempat terpaku. "Cahaya perlu lenyap untuk Alveria bersatu!"

"Hah?" Mereka berpandangan sesama sendiri, jelas tidak faham maksud pemerintah itu. Mahu menyoal, pintu antara dua dunia itu perlahan-lahan mengecil, lesap dan kemudiannya meninggalkan hanya Amber di dalam kegelapan.

"Apa maksud Ratu Pari?" Luz mencari Rho dalam kegelapan namun rakannya itu tidak menjawab.

"Aduh, gelapnya!" rungut Stom.

"Maaf, maaf." Amber berdecit seperti ketawa menyebabkan Stom naik angin.

"Awak ketawakan kami, kan?" Serang Stom tapi Amber hanya berdecit. Wisp itu mengeluarkan cahaya biru yang lebih terang dari tubuhnya, sekaligus menyinari kawasan hutan itu.

"Mari, saya tunjukkan jalan keluar."

Dengan pertolongan Amber, mereka cuma mengambil masa 20 minit saja untuk menemui jalan keluar. Simbahan cahaya mentari yang terik disambut Luz dengan senyuman lebar. "Ah, saya rindukan kepanasan ini."

Di Moonhaven, suhu pada setiap waktu adalah sejuk dingin. Meskipun terdapat cahaya matahari yang menyusup masuk atau di waktu Luz Luz bermandi-manda di laut, kepanasannya berbeza dari Diondell. Pada minggu pertama berada di situ, Luz terpaksa mengenakan dua lapis pakaian bila tidur. Selepas mempelajari (merayu) sedikit ilmu tentang magi dari Even, baru Luz tahu cara-cara untuk memanaskan badan menggunakan magi.

Bagaimanapun sejujurnya, Luz rindukan angin dan pasir, cahaya matahari dan kepanasannya. Dia seolah rasa kekurangan bila tidak dapat melihat matahari.

"Semoga kita akan berjumpa lagi, alven muda," ujar Amber sebelum lesap dari pandangan. Mereka termangu, merenung antara satu sama lain tanpa bicara.

"Saya tak tahu apa yang Ratu Pari maksudkan," Rho akhirnya memecah kesunyian, mengeluh panjang. "Baginda memang sentiasa berteka-teki. Sudahlah, lebih baik kita fokuskan pada perjalanan. Harap cepat sampai. Tinggal dua hari lagi sebelum tarikh akhir pendaftaran."

Mendengarkan itu, mereka bertiga akur lalu mengikut Rho tanpa banyak tanya. Seperti yang diajar oleh Ratu Pari, mereka hanya perlu berjalan lurus, melintasi kawasan yang penuh dengan pokok dan bunga. Sepanjang itu juga mereka tidak lupa untuk mengenakan jubah yang dihadiahkan oleh Trevor, masih takut sekiranya mereka ditemui alven yang lain lalu ditangkap.

"Saya dengar bunyi sungai!" kata Ayriex, lantas mereka berkejaran mengikut sayup-sayup bunyi air mengalir dari jauh. "Kita sudah hampir sampai."

Perasaan gembira, takut dan risau bercampur saat mereka duduk di gigi sungai untuk berehat. Bekalan makanan yang diberi Edra dibuka dan diagihkan bersama. Luz merenung set nasi dengan rindu yang mendalam pada pari-pari kecil itu. Baru setengah hari berpisah, dia sudah rindukan suaranya.

"Selepas melepas sungai ini, kita akan tiba di pintu gerbang Carnia. Kita tengok dulu bagaimana keadaannya. Kalau ketat pengawalan, kita terpaksa tunggu malam," cadang Rho sambil melahap ayam goreng. Yang lain cuma mengangguk, masing-masing kelaparan.

Habis saja makan dan berehat, mereka menyambung perjalanan. Semakin dekat, semakin ramai alven kelihatan dari pelbagai arah. Sememangnya kerajaan tertinggi dan terpenting, di luar pintu gerbang sudah kecoh dan riuh dengan suara yang berbual dan ketawa. Rho menelan air liur pahit.

Pintu masuk diawasi dengan ketat. Terdapat enam orang askar berbaju biru mengawal dan memeriksa alven yang masuk, termasuklah barangan yang dibawa.

"Nampaknya kena tunggu malam," keluh Rho. Ketika itu mereka sedang mengintip dari atas pokok tidak jauh dari situ.

"Ramainya alven!" Stom melopong melihat ratusan alven yang berpusu-pusu masuk ke Carnia. Pakaian pula pelik-pelik yang tidak pernah mereka nampak. Ada yang berselendang, berbaju kulit binatang, bertopi dan berjubah. Tapi apa yang tetap sama adalah warna rambut, mata dan kulit mereka.

"Lusa adalah hari penutup pendaftaran," Rho mengingatkan, matanya tidak lepas dari memandang askar biru yang mengawal. Dia ada bertanya serba sedikit dari Frais dan menurut pari-pari itu, askar yang berbaju biru adalah pangkat yang terendah sekali. Bermaksud keupayaan magi mereka di tahap yang sederhana. Pun begitu, Rho tidak berani menjamin kekuatan mereka sekarang mampu mengalahkan enam orang askar itu atau tidak. Lebih baik mereka memikirkan cara lain untuk masuk.

"Kita tunggu malam. Mana tahu mereka tertidur," Rho cuba bersikap positif. Kata-katanya disambut mimik muka tidak percaya oleh mereka bertiga. "Berfikiran positif bukankah lebih baik?"

Kerja mereka berempat sepanjang waktu itu hanyalah memerhati, mana tahu terjumpa alven yang dikenali walaupun peratusan itu amat tipis sekali. Siapa saja yang mereka kenal selain makhluk mistik di Moonhaven? Sudahnya masa dibuang begitu saja sehinggalah malam menjelma. Cuaca berubah dingin, memaksa mereka berempat untuk menyarung dua lapis pakaian. Mereka masih berada di atas pokok kerana lebih mudah mengintip pergerakan berbanding di atas tanah. Tiba-tiba kedengaran bunyi kuda dan roda pedati yang bergerak dari jauh.

"Ada alf!" Bisik Luz tidak sabar. Dari jauh kelihatan seorang alf sedang duduk di atas kereta pedatinya, dibelakang kereta itu terdapat sangkar besar. Tidak lama kemudian ada sebuah lagi kereta kuda yang sama menarik sebuah lagi sangkar.

"Saya ada idea," kata Rho, mengajak yang lain untuk turun. Mereka menyusup di celah-celah rimbunan pokok rendang dengan pergrakan yang pantas seperti yang diajar oleh Hayden. Kata pari-pari itu, teknik mengintip. Hampir saja dengan pedati, Rho mengarah Luz untuk mengeluarkan lastiknya.

"Sasar pada salah satu roda."

Luz mengangguk. Nafas ditarik dalam. Jemarinya meraba tanah lalu menjumpai seketul batu kecil. Cepat-cepat Luz menarik getah dan menunggu arahan seterusnya.

"Sekarang!"

Plak! Batu kecil itu terkena tepat di antara jejari roda yang bergerak menyebabkan pedati itu hilang pertimbangan. Suara kuda menjerit memecah kesunyian malam, diselang-seli dengan jeritan garau alf yang memacu pedati itu.

"Hei, tenang! Tenang!" Alf itu berulang kali menenangkan kudanya yang tidak tenteram. "Bosco, pergi periksa roda aku. Mana tahu terlanggar batu!" Alf itu menjerit pada alf yang berada di pedati di belakangnya.

"Lecehlah. Kenapa bukan kau sendiri yang tengokkan?" Dia menggerutu tidak puas hati namun masih menurut arahan. Alf itu berbadan gempal, berpakaian seperti pedagang dan bertopi hitam yang menutup wajahnya. Dia menghampiri roda yang dirosakkan oleh Luz tadi sambil mulutnya terkumat-kamit berkata sesuatu.

"Kamu berdua pergi ke belakang," Rho mengarah Luz dan Ayriex untuk menaiki pedati yang satu lagi manakala dia dan Stom akan mencari jalan untuk menaiki pedati yag sedang dibaiki itu. "Kita bertemu di dalam."

Luz dan Ayriex tergesa-gesa berlari dengan langkah yang paling ringan sekali untuk mengelakkan derapan kaki mereka didengari.

"Kita nak naik macam mana?" Soal Luz sebaik saja mereka menghampiri pedati.

"Kita-" Ayat Ayriex mati bila mata hitamnya tertancap pada apa yang diletak di dalam sangkar kayu itu. Luz yang menyedari aksi pelik remaja itu mendekati Ayriex namun bila dia melihat isi kandungannya, Luz rasa tidak percaya dan marah.

Di dalam sangkar itu terdapat beberapa orang kanak-kanak alven yang digari kaki dan tangannya.

"Apa ini?" Luz mendekati salah seorang kanak-kanak yang hanya merenung mereka dengan pandangan sayu. Tubuh kecil itu kotor dan berbau, rambut pula kusut-masai dan kering. Tapi yang paling menyayat hatinya adalah luka dan lebam di kulit nipis itu. "Apa yang mereka buat pada kamu?"

Luz menggigit bibirnya demi menahan amarah. Melihat saja kanak-kanak itu, dia terimbas kenangan sewaktu mereka berempat masih kecil, semasa mereka diasing dan dipulaukan oleh alven yang lain. Begitulah keadaan mereka -tidak terurus dengan luka penuh di badan. Tapi itu disebabkan mereka alven yang dianggap pembawa malang dan tersumpah. Jadi apa salah kanak-kanak yang tidak berdosa itu?

"Me-mereka mahu jual kami," salah seorang kanak-kanak berbisik lemah. Air matanya mungkin sudah kering.

"Jual?" Ulang Luz dengan rasa tidak percaya. Sejak bila alven boleh dijual?

"Mana ibu bapa kamu?"

"Saya diculik dari Kendall."

"Apa-"

"Luz." Ayriex menghalang Luz daripada berkata-kata apabila suara alf bernama Bosco itu mula kedengaran. "Mereka nak bergerak. Kita kena bersembunyi."

Dengan perasaan sebal, Luz mengekori Ayriex yang naik ke bumbung pedati. Mereka bernasib baik kerana waktu malam, maka tidak kelihatanlah tubuh mereka lebih-lebih lagi bila ditutup dengan jubah. Sepanjang waktu itu, Luz tidak dapat melupakan keadaan malang kanak-kanak itu. Kebenciannya pada dua alven itu meruap-ruap setiap kali terkenangkan luka di tubuh kecil itu.

"Jual 'barang' ya, Bosco?" Luz mendengar salah seorang askar bertanya. Dalam hatinya membentak geram. Mereka tahu apa yang dijual alven itu tetapi dibiarkan! Beginikah keadaan di Carnia? Kalau begitu suasananya, Luz lebih rela berada di Moonhaven selamanya.

"Ada 'barang' baru," kata Bosco dengan suara separuh berbisik. "Kau mahu?"

"Berilah murah sedikit."

"Tidak ada masalah," katanya sambil ketawa kuat. Luz terpaksa menahan dirinya dari menyerang alf itu. Beberapa saat kemudian pedati itu bergerak masuk tanpa masalah, meyakinkan Luz yang kesemua askar pengawal itu bersubahat. Mereka disambut oleh kesunyian dan kegelapan dan dalam kesamaran cahaya, Luz melihat bangunan dan rumah serba mewah dan indah terbina di setiap jalan yang Bosco lalui. Betapa berbezanya bandar dari Wilayah Luar dengan kerajaan utama.

Tubuh kecilnya tersentak apabila pedati tiba-tiba diberhentikan. Luz memanggung kepala dan dia sedar mereka berada di hadapan sebuah rumah yang lebih kecil dan jauh dari pusat bandar. Rumah itu seperti terbiar - rumput tumbuh memanjang dan daun kering memenuhi halaman rumah.

"Bosco, bukakan kunci bilik itu," arah alf yang memacu pedati pertama tadi.

"Yalah, yalah," Bosco menggumam, melompat dari pedatinya lalu masuk ke dalam rumah. Menyedari itu, Luz dan Ayriex cepat-cepat turun dari bumbung.

"To-long ka-mi."

Langkah Luz terhenti. Kemarahannya pada dua alven itu langsung terlupa sebaik saja mereka berjaya masuk. Meskipun ditegah oleh Ayriex, Luz segera menuju ke arah sangkar itu dan menyedari ia dikunci dengan mangga besi yang besar.

"Tunggu sekejap, saya akan selamatkan kamu semua," kata Luz dengan penuh yakin. "Ayriex, tolong carikan apa-apa senjata untuk membukanya."

"Tak perlu." Luz ingin melawan namun tidak jadi bila remaja itu mengeluarkan dua batang dawai pendek dari poket seluarnya. Seperti tahu apa yang dibuatnya, Ayriex mencucuk lubang mangga itu tanpa suara.

"Dari mana awak belajar benda ni?" Soal Luz kagum.

Ayriex menggumam perlahan, "...Haysen." dan menyambung kerjanya semula. Beberapa minit kemudian, mangga itu terbuka, menyebabkan kanak-kanak di dalam sangkar itu bangun semua.

"Sabar, satu persatu," tegur Luz apabila dia membantu setiap kanak-kanak itu untuk turun. "Kamu semua bersembunyi dahulu. Tunggu hingga ke pagi, selepas itu cari jalan untuk pulang."

Ikutkan hatinya, Luz mahu menghantar kanak-kanak itu pulang hingga ke rumah masing-masing tapi mereka ada misi yang perlu diutamakan.

"Terima kasih, kakak, abang," ucap kanak-kanak itu beserta senyuman yang mengharukan hati Luz.

"Hati-hati-"

"Apa ni?!"

Serentak Luz dan Ayriex menoleh, terkejut bukan kepalang melihat Bosco yang muncul di muka pintu. Wajah alf itu terkejut bercampur marah lebih-lebih lagi bila menyedari sangkar itu sudah kosong.

"Kamu berdua..." Dia menderam, matanya mengecil penuh bahaya. Topi dikepalanya dibaling di tanah dengn rasa geram. Bosco tidaklah segempal Encik Dunsten tapi dia mempunyai lemak di paha dan lengan. Usianya dianggar Luz dalam lingkungan 30-an.

"Berani kamu lepaskan mereka!" Bentaknya sebelum menyerang Luz yang masih tergamam di tepi sangkar. Luz tidak sempat melarikan diri apabila jubah yang menutupi kepalanya ditarik, mendedahkan rambut hitamnya.

"Apa ni? Alf kegelapan?" Mata Bosco merenung jahat Luz dan Ayriex. Kemudian dia ketawa berdekah-dekah, menghantar ngeri ke seluruh tubuh Luz. "Hari bertuah aku! Harga kamu berdua jauh lebih mahal dari budak-budak alven itu. Tidak sangka masih ada lagi alven kegelapan yang berani ke sini! Bodoh!"

Ayriex menyerang Bosco, mahu melepaskan Luz dari pegangan kejap alf itu namuj Bosco pantas mengelak, menolak Luz ke tanah lalu menahan pukulan Ayriex. Jelas alf itu mempunyai pengalaman dalam seni mempertahankan diri. Ayriex menghadapi kesukaran tanpa senjatanya. Kalau di tempatnya adalah Stom, mudah saja perlawanan itu.

"Luz, larikan diri! Cepat!"

Kaki Luz menggeletar, terasa melekat di tanah. Tangannya meraba poket seluar dalam usaha mencari lastik. Dia tidak sanggup tinggalkan Ayriex keseorangan, bertarung dengan alf yang seperti mahu membunuh mereka berdua.

Luz menarik getah lastiknya, cuba untuk mensasarkan pada kepala Bosco tapi dek kerana terlalu cemas, pegangannya terlepas menyebabkan batu itu terkena pada pipi alf itu. Bosco meraung kesakitan, jemarinya melekap pada pipi kanan.

"Kau!" Matanya mencerlung tajam, giginya menyeringai penuh amarah. Tidak mempedulikan Ayriex, Bosco menukar arahnya kepada Luz. Di bawah sinaran bulan, sesuatu berkilau di tangan Bosco.

"Luz!"

"Kakak!"

Luz tergamam. Suasana tiba-tiba menjadi gamat. Kanak-kanak perempuan yang disangkanya sudah melarikan diri datang berlari ke arahnya, Bosco mengacu pisau dan Ayriex berlari pantas. Dalam jeritan, satu suara menarik nafas kedengaran.

Luz terduduk di tanah. Matanya terkebil-kebil, memerhati sekujur tubuh yang terbaring di pangkuannya, berselang-seli ke arah sebatang tubuh yang berdiri di depannya. Cecair panas membasahi tangannya dan Luz merenung penuh ketakutan.

"A-Ayriex..."

****

A/N: Rasanya saya belum lagi pernah ucap terima kasih pada yang sudi membaca cerita fantasi pertama saya ni. Pada yang komen suruh update, terima kasih. Mood menulis sekarang tengah ada, so dalam dua tiga hari lagi chapter baru akan up. Tunggu ye !

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience