Family Series 4463

Pon! Pon!

Bas sekolah sudah sampai di hadapan rumah. Dengan tergesa-gesa, Qaseh terus bangun. Dia segera bersalaman dengan Puan Laila. Pipi Puan Laila diciumnya berhati-hati.

"Pergi sekolah elok-elok!" kata Puan Laila.

"Baik, ibu!" Qaseh segera berlari pergi ke arah bas sekolah yang sedang menunggu. Apabila sudah menaiki tangga bas, dia menoleh seketika ke arah ibunya sambil melambaikan tangan. Julia, kawan baik Qaseh, sedang duduk di kerusi hadapan bas itu. Dia menyapa Qaseh sebaik sahaja Qaseh masuk ke dalam bas. Julia mengajak Qaseh untuk duduk bersamanya. Qaseh menerima pelawaan Julia dan terus duduk di atas kerusi yang bersebelahan dengan kawannya itu. Mereka berdua berbual-bual dengan gembira.

"Qaseh, awak rasa nanti kita dapat nombor berapa, ya? Peperiksaan tempoh hari itu susahlah. Awak rasa saya boleh dapat nombor antara 10 yang terbaik ataupun tidak?" tanya Julia.

"Insya Allah, bukankah kita sudah belajar dengan bersungguh-sungguh? Awak pasti boleh dapat nombor antara 10 yang terbaik!" kata Qaseh, bersemangat.

"Betul juga! Emak saya selalu cakap, kita perlu yakin. Awak pandai. Saya rasa awak pasti dapat nombor antara lima yang terbaik," ujar Julia.

"Kita sudah sampai!" jerit Pak Ali, pemandu bas itu.

Bas berhenti di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Cyberjaya. Pelajar mula bangun daripada tempat duduk masing-masing. Seorang demi seorang melangkah turun dari bas dan berjalan memasuki kawasan sekolah.

KRING!

Loceng sekolah berbunyi kuat menunjukkan pukul 7:30 pagi. Qaseh dan Julia bergegas memasuki kelas. Qaseh meletakkan begnya yang berat itu dan segera menuju ke tapak perhimpunan. Tiba-tiba, rintik-rintik hujan mula turun.

'Mesti hari ini tidak ada perhimpunan. Bukankah sekarang ini musim hujan? Harap-haraplah tidak ada perhimpunan hari ini,' detik Qaseh dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience