Family Series 4463

Semakin lama, hujan turun semakin lebat. Kedengaran suara guru besar mengarahkan semua murid naik ke kelas. Beliau mengumumkan bahawa perhimpunan pada hari itu dibatalkan. Sesi perhimpunan ditangguhkan kerana hujan turun dengan lebat.

"Yes! Hari ini tidak ada perhimpunan!" jerit Julia dan beberapa orang murid kelas 4 Cemerlang.

Murid-murid Kelas 4 Cemerlang kecoh dengan hal masing-masing. Ada yang bermain kapal terbang kertas, ada yang sedang berbual, ada yang bermain catur, dan macam-macam lagi aktiviti yang dilakukan sementara menunggu cikgu masuk ke kelas. Maklumlah, mereka baru sahaja selesai menduduki peperiksaan. Qaseh dan Julia juga sedang rancak berborak dan bercerita.

"Qaseh, apa rancangan awak pada cuti sekolah nanti? Awak balik kampung ataupun awak akan bercuti ke tempat lain?" soal Julia.

"Saya akan balik ke kampung pada petang ini. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa dengan nenek saya." jawab Qaseh dengan gembira.

Belum sempat mereka menghabiskan perbualan, terdengar jeritan ketua kelas mereka, Imran, yang mengarahkan semua murid untuk bangun. Julia dan Qaseh segera bangun kerana guru kelas mereka, Puan Hazura sudah sampai.

Sebaik sahaja Puan Hazura masuk, guru itu melekatkan keputusan peperiksaan Kelas 4 Cemerlang di papan kenyataan. Murid-murid Kelas 4 Cemerlang bergegas ke papan kenyataan bagi melihat keputusan peperiksaan masing-masing.

"Saya takutlah mahu tengok keputusan saya. Qaseh, awak tolong tengokkan, boleh?" pinta Julia dengan nada risau.

"Ish, apalah awak ini! Mahu tengok keputusan sendiri pun suruh orang," balas Qaseh.

"Saya takutlah. Awak tolonglah saya, ya?" pujuk Julia lagi.

Qaseh bangun dan berjalan ke arah papan kenyataan. Dia melihat keputusan peperiksaan itu satu per satu dengan teliti sambil mencari namanya. Matanya terbeliak kerana terkejut apabila melihat lertas keputusan peperiksaan itu. Qaseh melihat namanya tertera paling atas. Dia berjaya mendapat tempat pertama.

Hati Qaseh melonjak gembira dengan kejayaannya. Dia terus mencari nama Julia pula di papan kenyataan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience