Family Series 4463

"Nenek ingat sepupu kamu sahaja yang pandai dan berjaya. Tak sangka pula, keturunan orang kampung pun boleh berjaya." perli Datin Rosmah.

Wajah Encik Fariz sedikit berubah, tetapi dia masih tersenyum mendengar sindiran Datin Rosmah tadi. Puan Laila dan Encik Fariz berlagak seolah-olah mereka tidak mendengar perlian Datin Rosmah. Mereka terus bersalam dengan Datin Rosmah dan membawa beg pakaian masuk ke dalam rumah.

Perlahan-lahan, Qaseh melepaskan pelukan. Dia membawa beg pakaiannnya masuk ke dalam bilik dengan perasaan sedih dan berkecil hati. Dia berbaring di atas katil dan merenung ke siling. Air mata berlinangan laju.

Qaseh berasa terlalu sedih dengan kata-kata neneknya tadi. Qaseh menangis teresak-esak seorang diri. Selepas tangisannya reda, dia mengambil diari yang tersimpan di dalam beg pakaian. Di situlah tempat dia meluahkan segala rasa sedih yang terbuku dalam hati. Qaseh terus meluahkan rasa kecil hati dalam diarinya sambil menangis. Air matanya jatuh setitis demi setitis di atas kertas.

Dear Diary,


Betul telahan aku. Nenek langsung tiada perasaan bangga terhadap pencapaian aku. Kalau dibandingkan dengan sepupu aku yang lain, macam langit dengan bumi. Mengapalah nenek tidak sayangkan aku? Apa yang dia tahu cuma Ammar, Danial, Imani dan Alia. Mereka semua yang baik! Jadi, aku ini siapa? Macam aku ini bukan cucunya.


Apa yang aku buat semua tidak kena. Tiada apa pun yang dapat membanggakan nenek. Cuma ibu dan ayah sahaja yang sayang aku! Sudahlah aku selalu dibuli oleh Ammar dan Danial. Kerja rumah mereka, semua aku yang kena buat! Mentang-mentanglah aku ini lurus, semua orang pergunakan aku! Tidak apa, sabar Qaseh. Aku kena dengar cakap ibu, aku kena sabar, tabah menghadapi dugaan. Allah s.w.t akan membalas segala kebaikan yang aku buat.

Qaseh Dhuha

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience