Family Series 4463

"Bye! Jumpa lagi!" jerit Qaseh dari luar bas. Julia membalas lambaian Qaseh sambil tersenyum.

Seperti biasa, Puan Laila berdiri di hadapan pintu sambil menunggu kepulangan Qaseh. Qaseh berlari anak menuju ke arah ibunya sambil tersengih-sengih. Dia terus memeluk ibunya dengan erat.

"Mengapa kamu tersenyum? Senyum sampai ke telinga pula. Musykil ibu." tanya Puan Laila.

"Saya dapat nombor satu lagi!" jerit Qaseh, keriangan.

"Alhamdulillah. Ibu memang harap kamu dapat kekalkan prestasi. Setiap hari ibu berdoa untuk kamu." kata Puan Laila dengan penuh syukur sebelum mencium kepala anaknya.

Air mata kegembiraan kelihatan di birai mata Puan Laila. Qaseh adalah satu-satunya harapan dia dan suaminya. Puan Laila berasa bangga dengan kejayaan anaknya itu.

"Ibu, jadikah kita balik kampung pada petang ini?" tanya Qaseh kepada ibunya.

"Ya. Sekarang, kamu pergi mandi, kemudian kemaskan baju. Selepas itu, turun ke bawah untuk makan tengah hari." balas Puan Laila.

"Yes! Balik kampung... ooo... balik kampung..." Qaseh menyanyi dengan perasaan teruja sambil berlari naik ke biliknya.

Qaseh tidak sabar mahu berkongsi kejayaannya dengan nenek dan ahli keluarga yang lain. Dia masuk ke dalam bilik sambil menyanyi riang. Qaseh mencapai beg roda yang selalu digunakan ketika pulang ke kampung. Dia membuka almari baju dan memilih baju yang akan dibawa ke sana.

'Mahu pakai baju ini dengan tudung mana?' tanya Qaseh dalam hati.

Dia mahu kelihatan cantik dan kemas sepanjang berada di kampung. Dia tahu yang neneknya sangat mementingkan kebersihan dan kecantikan. Qaseh perlu memastikan baju yang dipakainya kelihatan cantik dan bersih. Barulah nenek akan berasa senang hati melihatnya.

Qaseh sibuk memadankan baju dan tudung yang akan dipakai. Apabila selesai, dia segera melipat dan memasukkan pakaian yang sudah dipilih ke dalam begnya. Dia juga mencapai diarinya lalu memasukkan ke dalam beg pakaian.

Selesai mengemas baju, Qaseh berasa lapar. Dia terus turun ke tingkat bawah dan menuju ke dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience