Family Series 4463

Selepas siap berpakaian, Qaseh turun ke bawah sambil terenjut-enjut mengangkat beg baju.

"Mari! Saya sudah siap!" jerit Qaseh keriangan.

VROOM!

Kedengaran bunyi ekzos kereta Encik Fariz.

"Itulah, siapa suruh bersiap lama! Nasib baik kamu ini anak ayah. Kalau tidak, ayah sudah tinggalkan kamu di rumah!" usik Encik Fariz dengan muka garang.

"Maaf ibu, maaf ayah." kata Qaseh sambil berpura-pura bermuram. Dalam diam, hatinya berbunga-bunga kerana tidak sabar mahu pulang ke kampung. Dia tahu tidak mungkin ayahnya sanggup meninggalkannya di rumah seorang diri.

"Sudah! Mari kita bergerak sekarang!" kata Puan Laila, cuba menceriakan suasana.

Encik Fariz memandu menuju ke arah Lebuh Raya Lekas. Kampung Qaseh terletak di Bukit Baru, Melaka. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang dua jam. Sepanjang perjalanan, Qaseh melihat pemandangan di luar sambil termenung memikirkan perkara yang sangat berat dalam hatinya.

'Kalau Ammar dapat nombor satu, nenek beli hadiah yang mahal-mahal. Buat kenduri pula! Kalau giliran aku, bagaimana? Selama ini, aku dapat nombor satu pun, nenek langsung tidak buat apa-apa!' getus Qaseh, tertanya-tanya sendiri dalam hati. Rasa resah terpancar pada muka Qaseh.

Selepas satu jam perjalanan, akhirnya mereka tiba di R&R Pedas, Linggi. Mereka berhenti untuk solat maghrib. Qaseh dan Puan Laila pergi ke ruangan solat wanita.

"Ibu, cepatlah! Saya sudah tidak sabar mahu sampai ke kampung!" kata Qaseh.

"Sekejaplah, kita solat dahulu. Selepas itu, kita bertolak ke rumah nenek." kata Puan Laila.

Selepaa solat, mereka masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan ke kampung.

"Qaseh, mengapa kamu tidak sabar sangat? Selalunya kamu yang paling malas mahu balik kampung." soal Encik Fariz, kekeliruan.

"Saya dapat nombor satu!" jawab Qaseh.

"Oh, ya? Kamu tidak beritahu ayah pun. Tetapi, ayah tidak hairan! Anak ayah ini memang selalu dapat nombor satu, bukan?" kata Encik Fariz dengan nada bangga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience