19 :Apa-apa pun boleh

Romance Series 13583

Carl melepaskan pelukannya bila dia yakin Eliza sudah tidak berada di situ lagi. Pilu hati Carl melihat air mata Mary yang tidak henti-henti mengalir seperti air terjun. Pada mulanya, esakan Mary tidak kedengaran tetapi lama kelamaan semakin kuat memenuhi ruangan bilik sakit hingga Carl terdiam. Terhingut-hingut bahu Mary menangis. Tiba-tiba, dia buntu.

"Huhu...sakit..sakit.." Rintih Mary dengan tangisan tanpa henti.

Mata Mary terpejam meratapi nasibnya yang malang ditampar oleh teman wanita Carl. Ahh...dia tidak menyangka dia diperlakukan sebegini. Kenapa hidupnya selalu dirundung malang jika bertemu dengan manusia seperti Carl dan Eliza?

"Kenapa kau bawa perempuan tu ke sini? Huhu..." Nada Mary sedikit marah disusuli dengan tangisan yang masih bersisa. Dalam kesakitan sempat lagi dia merungut di depan Carl.

Matanya masih terpejam dan air mata tetap laju membasahi pipinya yang mula merah menonjolkan kesan tapak tangan yang melekap elok di wajahnya. Dia tidak sanggup memandang lelaki itu. Kenapa lelaki itu selalu melihat sisi dirinya yang memalukan?

Walaupun dia malu dan segan dilihat oleh Carl dalam keadaan sebegini, tetapi perasaan sedih dan sakit ditampar lagi menebal menghuni di hatinya. Dia tidak mampu menjadi gadis kuat seperti yang selalu dia pamerkan di khalayak ramai. Kenapa dia perlu kisah? Ini semua salah Carl!!!

Carl yang melihatnya menjadi serba salah. Jelas terlihat di pipi Mary berbirat dengan kesan jari-jemari yang tersusun sebaris memenuhi pipi gebu gadis itu. Ahh...sakit hati Carl bila memikirkan pelakunya. Otaknya berfikir, urusan Eliza ditolak ke tepi dahulu dan akan dibereskan kemudian. Fokusnya sekarang adalah Mary.

"Bukan aku yang bawa dia ke sini. Dia sendiri yang datang." Jelas Carl memperbetulkan tanggapan Mary terhadapnya.

"Tak kira! Semua ni salah kau. Kalau kau tak datang pompuan tu tak datang tampar aku. Huhu...sakit..." Rengek Mary lagi dalam tangisan.

Dia takut untuk menyetuh pipinya yang terasa kebas dan sakit. Dia hanya mampu bertahan tetapi mulutnya tidak henti merintih.

Carl mengeluh. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Memang salah dia pun, lambat bertindak. Tidak pula dia tahu Eliza sekejam itu. Melihat pipi Mary yang semakin memerah menyayatkan kembali hati lelakinya. Carl bangun dan terus melangkah keluar dari bilik itu.

Mary yang terdengar pintu biliknya terkatup rapat semakin menguatkan lagi tangisannya. Terasa dirinya diabaikan.

Kurang asam jawa betul! Apa motif kau datang sini? Baik tak payah datang! Kan makan penampar je aku malam ni. Marah Mary di dalam hati.

Tangisannya makin kuat bergema. Dia sudah tidak peduli. Di sini tiada siapa yang tahu dia merana atau dicederakan. Mungkin ini kekurangannya berada dalam bilik sakit persedirian. Kalau apa-apa berlaku tiada siapa yang tahu. Memang ada butang kecemasan tapi dalam keadaan seperti ini kemudahan itu sudah tidak berguna lagi bagi Mary. Hatinya tengah bersedih.

Carl kembali membuka pintu bilik sakit yang dihuni oleh Mary. Tangisan Mary yang semakin menjadi-jadi membuatkan hati Carl bertambah risau. Jururawat yang lalu-lalang berdekatan dengan bilik Mary cuba membantu tetapi diberi isyarat oleh Carl bahawa dia boleh uruskannya. Jururawat itu hanya menganggukkan kepala.

Carl segera berada di sisi Mary. Dia duduk kembali di birai katil berdekatan dengan Mary. Di tangannya kemas menggenggam sebekas ubat krim yang diberikan oleh jururawat. Dari mula dia keluar hingga dia datang kembali, Mary masih menangis dengan matanya terkatup rapat. Cuma tangisan Mary saja yang semakin lantang kendengaran.

"Kenapa ni? Makin sakit ke?" Tanya Carl agak tergesa-gesa. Bimbang ada kesan sampingan.

Serta-merta Mary berhenti menangis apabila dia mendengar suara Carl. Matanya yang terkatup rapat kini terbuka luas.

"Kenapa kau ada kat sini?" Tanya Mary pelik. Matanya yang penuh dengan linangan air mata terkebil-kebil memandang Carl. Dia tidak percaya lelaki itu masih di sini dengannya. Dia kira Carl sudah pulang jadi dia hanyut melayan perasaan sedihnya hingga dia tidak sedar kehadiran lelaki itu.

"Tak mungkin aku tinggalkan kau dalam keadaan macam ni. Aku pergi ambil ubat. Pipi kau dah merah berbirat aku tengok. Kalau tak rawat aku takut makin teruk nanti." Balas Carl. Matanya tepat ke arah pipi Mary.

"Uwahhh...." Mary kembali menangis bila mendengar kata-kata Carl. Dia sudah tidak segan silu di hadapan Carl. Muka dia...Macam manalah dengan muka dia sekarang ini?

"Sudahlah tu. Meh aku sapukan ubat." Pujuk Carl.

Mary tidak mempedulikan Carl. Kadang-kadang dia menepis lembut tangan Carl yang cuba mengesat air matanya dengan sapu tangan. Hampir 5 minit juga Carl setia menanti agar tangisan Mary kembali reda.

Sapu tangan yang sudah lencun di letak tepi. Sedih sangat nampaknya hingga sapu tangan itu boleh diperah. Siapa yang tak sedih, ditampar dua kali cik abang oii....Carl membuka penutup krim dan cuba menyapu pada pipi Mary tapi terus ditepis oleh Mary.

"Jangan sentuh! Sakit." Marah Mary. Dia menjeling ke arah Carl.

"Kalau tak sentuh macam mana nak sapu ubat? Dah merah sangat tu." Pujuk Carl lagi. Tidak dipeduli jelingan gadis itu.

"Biar aku buat sendiri." Kata Mary lalu cuba mengambil sapuan krim yang ada pada tangan Carl tetapi tidak berjaya.

"Kau tak nampak, biar aku je sapu. Tepi bibir kau tu ada luka sikit." Pelawa Carl tanpa putus asa. Mungkin terkena kuku panjang Eliza. Fikir Carl.

Mary mengeluh kecil. Patutlah dia berasa pedih di bibirnya. Malangnya lah....nasib aku. Gerutu hati Mary.

Melihat Mary hanya mendiamkan diri, Carl terus bertindak. Dioles krim itu di pipi Mary dengan berhati-hati dan perlahan. Takut gadis itu mengaduh sakit tetapi lain pula yang jadi. Mulut Mary seperti mulut murai tidak berhenti bercakap.

"Ganas-ganas aku, aku tak pernah tampar orang apatah lagi cederakan orang. Sewel punya perempuan. Dia ingat dia siapa? Suka-suka hati tampar orang. Kau patutnya jaga dia jangan jadi liar tak tentu pasal...bla...bla...bla..." Bebel Mary tidak puas hati tanpa henti.

Carl hanya mendiamkan diri mendengar bebelan Mary sambil jari-jemarinya tekun melakukan tugasnya. Bebelan Mary seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tidak diambil hati langsung. Dia tahu gadis itu sedang marah tapi tidak mampu lakukan apa-apa, hanya mulut mungilnya sahaja yang lancar melepaskan berdas-das tembakan tanpa henti.

"Aku minta maaf bagi pihak Eliza. Aku pun tak sangka jadi macam ni." Hanya itu yang mampu dia katakan setelah dilihat Mary berjeda seketika. Bekas krim itu ditutup kemas.

"Dah okay?" Tanya Carl merujuk kepada perasaan Mary.

"Apa yang okay? Makin bengkak lagi hati aku ni, ada la...Nanti aku dah sihat, biar aku pergi tampar muka dia pula. Dia tak rasa lagi penangan tangan aku." Janji Mary lalu meneliti telapak tangannya seolah sedang membayangkan apa rasanya jika tapak tangannya pula melayang ke pipi perempuan yang meroyan tadi.

"Mary, kau jangan cari dia." Pesan Carl lembut. "Kalau kau boleh elak daripada berjumpa dengan dia, kau elak." Nasihat Carl lagi.

Dia tahu nasihatnya tidak akan diendahkan oleh Mary tetapi dia tetap ingin menasihati gadis itu. Walau sekejap, dia kenal Mary bagaimana. Lihat saja apa yang berlaku antara dia dan Mary. Eliza pun begitu. Semakin lama dia kenal Eliza semakin terserlah perangai gila wanita itu. Kalau dirinya sering diganggu tidak mustahil Mary pula menjadi mangsa seterusnya. Lihat saja apa yang berlaku hari ini membuat Carl termenung panjang kalau memikirkannya.

"Kenapa pula? Kau ingat aku takut dengan perempuan macam tu?" Tanya Mary seperti mencabar. Dia bertentangan mata dengan Carl.

Carl pula melepaskan keluhan kecil mendengar pertanyaan Mary.

"Bukan sebab tu. Eliza tu jenis gila dan obses. Apa kau dapat kalau lawan dengan orang gila macam tu?" Carl pula bertanya cuba mencelikkan minda gadis itu.

Gila? Hanya satu perkataan membuatkan hati Mary resah, kata-kata Carl yang selebihnya seolah dengar tidak dengar saja. Biar betul? Aku tengok macam normal. Sayang, muka cantik tapi gila. Manusia zaman sekarang, luar nampak elok tapi dalaman mental. Merinding seketika tubuhnya.

"Patutlah kau tinggal dia. Tak patut kau buat dia macam tu. Macam mana lah dia tak naik angin. Yang jadi mangsanya aku." Kata Mary serkap jarang. Nadanya sedikit sinis.

Tiba-tiba dia berasa simpati dengan keadaan Eliza. Walaupun Eliza tidak berperikemanusian menamparnya sesuka hati tapi dia yang waras tak akan nak berlawan dengan orang ada masalah mental seperti itu.

"Boleh tak kita jangan bertekak pasal dia? Aku bukan boyfriend dia. Masing-masing sedar benda tu. Cuma dia tak faham bahasa." Jelas Carl lagi. Carl tahu Mary sudah salah faham tentang kesihatan mental Eliza tapi dia diamkan saja. Betul atau tak, bagi Carl, Eliza tetap ada masalah mental.

Mary memandang jelek ke arah Carl. Lelaki kalau bagi alasan memang power-power je. Carl hanya mengabaikan pandangan Mary.

Melihat riaksi wajah Carl yang bersahaja membuatkan Mary mengeluh kecil. Seketika dia berfikir, walau apapun yang berlaku, dia tidak boleh menafikan Carl telah banyak membantu dirinya jadi dua patah perkataan itu disebut dengan hati yang rela.

"Terima kasih." Ucap Mary sepatah. Pandanganya di hala ke hadapan tidak memandang wajah lelaki yang berada di sisinya.

Hatinya kini sudah tenang tetapi tubuhnya pula yang berasa penat. Nak marah-marah, benda dah jadi. Tiada apa yang boleh dia lakukan saat ini. Lagipun, dia tidak mahu menjadi manusia yang tidak tahu diuntung atau tidak tahu berterima kasih apabila orang lain berbuat baik kepadanya, jadi ucapan keramat itu dilontarkan jua kepada lelaki itu.

"Sama-sama." Balas Carl. Dia tersenyum kecil. Terasa dirinya dihargai.

"Tadi aku rasa kau ada bawa sesuatu." Tegur Mary setelah beberapa saat masing-masing berdiam diri.

Suasana yang agak kekok memaksa otak Mary menjana idea apa yang perlu dia bualkan dengan Carl dan akhirnya dia teringat Carl ada membawa sesuatu untuknya. Memang itu yang dinanti-nantikan saat dia tahu Carl melangkah masuk ke bilik sakitnya tapi kehadiran tetamu yang tidak diundang menyebabkan dia lupa semua itu.

"Oh! Lupa. Memang aku ada bawa sesuatu untuk kau. Mana dia yaa??" Tanya Carl kepada dirinya sendiri sambil matanya meliar mencari beg makanan yang dibawa tadi.

Dia hampir terlupa dia ada bawa buah tangan kepada gadis itu. Nasib baik Mary peringatkan dia. Dia mengambil beg makanan yang jatuh di lantai. Ini mesti disebabkan dia terlepas ketika dia cuba melindungi Mary daripada serangan Eliza tadi. Dia memeriksa keadaan di dalam beg tersebut. Syukur, makanan tersebut dalam keadaan yang baik-baik saja.

"Sorry, terjatuh tadi. Aku dah periksa. Elok lagi." Kata Carl lalu dibawa makanan tersebut kepada Mary.

"Kau bawa apa?" Tanya Mary ingin tahu.

Dia tidak sabar untuk melantak. Perutnya tiba-tiba rasa lapar. Coklat yang dibawa Daniel tadi, tidak habis dijamah. Makanan hospital pula, memang ada disediakan tapi faham-faham jelah. Makanan hospital sama ada kerajaan atau persedirian sama je. Dia kurang berselera tetapi kalau makanan yang dibawa oleh Carl terus terbuka seleranya.

"Puding roti bakar. Kau lapar?" Tanya Carl. Tangannya sudah bersedia untuk menghidangkannya untuk Mary.

Mary menganggukkan kepala dengan perlahan. Tidak mahu kelihatan dia terlalu sawan bila mendapat makanan daripada lelaki itu. Carl tersenyum melihat riaksi Mary.

"Kau tak takut makan dessert malam-malam? Nanti gemuk." Usik Carl.

"Kalau tahu makanan tu menggemukkan kenapa kau bagi aku juga? Tak nak bagi, cakap jelah."

"Alah...usik sikit tak boleh."

"Pasal berat badan ni sensitif."

"Okay. Sorry, aku salah." Balas Carl sambil mengangkat sebelah tangannya tanda dia menyerah kalah. "Tak nak lah tengok kau marah-marah. Nah, makan ni. Biar, cool down sikit." Pujuk Carl lalu dihulurkan bekas makanan tersebut kepada Mary.

"Ke nak aku suapkan?" Usik Carl lagi bila Mary lambat mengambil bekas itu dari tangannya.

"Terima kasih jelah. Tak payah susah-susah, tangan aku okay lagi." Tolak Mary sedikit kasar. "Bak sini, makanan tu." Pinta Mary bila Carl masih main tarik tali dengannya.

Orang lelaki ni bagi betis nak peha. Dah bagi peha nak seekor ayam pula. Banyaklah cekadaknya. Cukuplah kau dah sapu ubat kat muka aku. Aku bukan tahap OKU lagi tak mampu buat apa-apa. Bisik hati Mary.

Carl hanya menjongketkan bahunya tanda dia tidak kisah. Dia tersenyum manis melihat Mary begitu selera bersantap di depan matanya. Kali pertama dia melihat gadis itu makan masakan dia secara langsung.

"Kau suka?" Tanya Carl. Mary hanya menganggukkan kepala. Mulut gadis itu penuh dengan makanan.

Gila, tak suka? Hari-hari dapat makan sedap macam ni siapa yang tak suka? Gemuk pun tak apa. Bisik hati Mary. Ehhh...tak boleh-tak boleh. Dah gemuk nanti nak kurus balik, susah. Mary mula berfikir dua tiga kali.

"Nanti aku bawa makanan yang lagi sedap untuk kau." Janji Carl kepada Mary sambil tersengih. Mary menganggukkan kepalanya beberapa kali.

Bagus-bagus. Baik betul lelaki ni. Suka bagi aku makanan. Sementara aku ada di hospital ni, biar aku pulun semua makanan yang dia bawa untuk aku. Lepas ni kalau dah keluar hospital tak dapat merasa dah. Fikir Mary. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu.

"Hmm...Kalau macam tu boleh aku request sesuatu?" Kata Mary sambil menunjukkan muka comelnya. Yalah nak minta sesuatu kena tunjuk muka baik.

"Boleh." Balas Carl dengan lembut. Dia tersenyum. Jarang sekali dia melihat Mary lembut hati dengannya. Adakah Mary sedar atau tidak, suara gadis itu kedengaran manja di telinga Carl bila meminta sesuatu, kerana itu dia tersenyum lebar.

"Apa-apa pun boleh?" Tanya Mary meminta kepastian.

"Apa-apa pun boleh." Jawab Carl dengan yakin. Mary sudah tersengih lebar.

"Aku teringin lah nak makan nasi putih, ikan patin gulai tempoyak." Mary membuat permintaan.

Bila lagi, dia boleh ambil kesempatan atas kebaikan lelaki ini? Inilah masanya. Hehehe....alang-alang dia sukarela nak bagi aku makan, baik aku gunakan peluang ini sebaik yang mungkin.

Carl tertelan air liur mendengar permintaan Mary. Mak aihhh...Pintalah segala jenis makanan daripadanya. Nak apa? Masakan western, Jepun, Itali, patsri, dessert, semua dia boleh buat tapi bukan masakan kampung. Dia tidak pernah mencuba memasak masakan kampung. Masak lah jawabnya!!! Aku dah janji tadi, tak akan nak tolak balik.

"Esok hujung minggu, so tak ada masalah lah kan? Sebagai papasan aku kena tampar." Kata Mary bila dia lihat Carl seperti enggan memenuhi permintaannya.

"Boleh. Apa salahnya." Cepat-cepat Carl menjawab. Melihat wajah Mary yang sedikit masam bertukar menjadi manis seperti air gula membuatkan dirinya kembali bernafas lega.

Matilah nak...Rintih hati Carl sambil otaknya ligat mencari cara untuk memenuhi permintaan gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience