18 :Malang tak berbau

Romance Series 13583

Carl meletakkan keretanya di garaj berdekatan dengan hospital. Dia berjalan dengan tangan kanannya menjinjing sebuah beg yang berisi makanan. Dia tidak tahu mengapa dia sanggup meluangkan masanya untuk gadis 'dragon' itu. Rela memasakkan pelbagai jenis makanan hanya untuk gadis kafe yang baru dikenali.

Pada mulanya, melihat Mary seakan-akan ingin mengenyahkan seorang musuh tetapi sekarang perasaan itu sudah tiada lagi. Dia tidak mengerti apa yang berlaku pada dirinya tapi melihat bekas makanan yang diberikan kepada Mary sentiasa kosong membuatkan hati lelakinya gembira malah dia lebih bersemangat untuk memasakkan makanan untuk gadis itu walaupun mereka tidak pernah bercakap selepas kejadian malam itu.

Takdir yang diatur oleh Tuhan siapa yang tahu, akhirnya pagi tadi dia berpeluang untuk berbual dengan gadis 'dragon' itu walaupun dia tahu kedatangannya tidak dialu-alukan. Dia juga tahu Mary berpura-pura tidur bila dia datang melawat gadis itu. Bodohlah dia kalau dia percaya Mary tidur kerana tidakkah pelik setiap kali dia datang, Mary pasti tidur? Dia kadang-kadang cuba untuk datang lebih lewat atau awal daripada kebiasaan tetapi hasilnya tetap sama.

Bila dia teringat kejadian pagi tadi, hatinya akan ketawa dan bibirnya akan tersenyum. Dia rasa sangat lucu melihat gadis itu terkantoi dengannya. Pelbagai reaksi yang muncul di wajah gadis 'dragon' itu membuatkan dia geli hati. Jiwa lelakinya seakan tidak puas melihat wajah Mary yang seolah-olah sakit hati dengannya tetapi tidak mampu melakukan apa-apa. Sekurang-kurangnya, perasaan baru yang dia rasa kini lebih baik daripada dia menghamburkan rasa marah dan dendam kepada gadis itu.

Carl memberhentikan langkahnya, bila telefon bimbitnya tidak henti-henti bergetar dalam poket seluarnya. Dia menatap nama yang tertera di skrin telefonnya. Jika tidak memikirkan wanita itu adalah pekerja MERA Holdings sudah lama dia 'block' nombor telefon wanita itu.

"Ahh...tak habis-habis ganggu hidup aku. Apa masalah dia ni? Macam tak faham bahasa." Keluh Carl lalu menekan ikon panggilan berwarna merah di skrin. Dia tidak tahu berapa ribu kali dia mematikan panggilan wanita itu. Dia rimas tapi dia hanya mampu mengelak saja daripada wanita itu.

Carl terus membuka pintu bilik Mary setelah salam diberi. Dia agak tergamam kerana bukan dia seorang saja pelawat yang datang menjenguk Mary tetapi ada lelaki lain yang sedang berdiri teguh di sebelah Mary. Dia tidak tahu kenapa, tetapi saat matanya bertebung dengan lelaki itu dia sudah berasa tidak selesa dan nyaman.

Wajah lelaki itu nampak bersahaja tetapi sedikit bengis dan renungannya agak tajam ke arah Carl. Carl mengalih pandangannya ke arah Mary sambil tersenyum nipis tetapi gadis itu merenungnya seperti saat mula-mula hati mereka tidak sebulu bila bertemu.

Tajam menikam menyebabkan hati Carl mula kecut. Kenapa dia berperasaan seperti ini? Perasaan ini tidak seharusnya ada kerana perasaan ini menyebabkan hati lelakinya seolah tertunduk pada gadis 'dragon' itu. Bagi dia, perasaan ini sebagai satu penghinaan. Ego lelakinya tidak boleh menerima penghinaan yang menyelubungi dirinya.

Akal waras Carl kembali berfungsi apabila dia perasan tatapan Mary itu bukan hanya sekadar untuk dirinya tetapi seseorang yang tiba-tiba muncul di sisinya. Weh...kau buat apa kat sini pompuan?! Detik hati Carl sebal bila matanya bertentangan dengan wanita di sebelahnya.

Eliza menjeling ke arah Carl yang berada di sisi sambil tersenyum sinis. Hati Carl mula panas tetapi ditahan dari terus meletup. Dia sedar bukan hanya dia, Mary dan Eliza sahaja yang berada dalam bilik ini. Ada orang asing yang dia perlu jaga imejnya sebagai seorang lelaki. Carl menjengilkan matanya ke arah Eliza memberi amaran dalam diam bila tangannya dipaut tetapi wanita itu hanya buat tidak endah terhadap amarannya. Perempuan ni memang buat aku baran jelah. Marah Carl di dalam hati.

"Friends?" Tanya Daniel sepatah lalu mengalih pandangannya semula ke arah Mary setelah beberapa saat melihat dua orang pelawat yang tidak dikenali yang selesa berpaut tangan. Mungkin sepasang kekasih, fikir Daniel.

"Nope, just acquaintances." Balas Mary perlahan. Kepalanya ditunduk. Daniel hairan melihat tingkah Mary tetapi didiamkan saja. Dia hanya menganggukkan kepala lalu menghulurkan tangannya ke arah Carl.

"Daniel." Kata Daniel sepatah memperkenalkan diri.

"Carl." Balas Carl sambil menyambut huluran salam perkenalan daripada lelaki yang bernama Daniel.

Siapa dirinya yang sebenar pada Mary tidak diberitahu, membuatkan hati Carl tertanya-tanya. Siapakah lelaki itu yang kelihatan sangat matang dan segak bergaya pada pandangannya? Walaupun kelihatan sedikit berumur, ketampanan yang terserlah dari diri lelaki itu tidak dapat dinafikan.

Eliza yang berada di sisi Carl memberikan senyuman yang menggoda sambil menghulurkan tangannya kepada Daniel.

"Eliza." Dia memperkenalkan diri. Matanya tidak lekang meratah setiap pelusuk tubuh Daniel. Dia menggigit hujung bibirnya. Boleh tahan juga lelaki ini. Mesti duit dia berkepuk-kepuk dalam bank. Detik hati Eliza. Carl merenung jijik ke arah Eliza dalam diam. Dia sangat arif Eliza wanita seperti apa, jadi dia tidak hairan kalau melihat wanita itu berkelakuan seperti itu.

Daniel hanya menganggukkan kepala ke arah Eliza. Tiada senyuman atau kemesraan yang ditunjukkan oleh Daniel. Salaman yang dihulur oleh Eliza tidak disambut membuatkan Eliza berasa janggal lalu dia kembali memaut lengan Carl. Carl cuba melepaskan pautan itu tetapi pautan yang kemas menyebabkan Carl mengalah dalam diam. Dia tidak mahu keadaan menjadi kecoh jadi dia diamkan saja.

"Okay, Mary. I have to go now. Take care of yourself." Kata Daniel lalu mengusap lembut kepala Mary.

Mary memandang ke arah Daniel. Dia menggapai hujung jari Daniel dan memegang kemas jari lelaki itu seolah tidak mahu dilepaskan. Daniel pelik dengan tingkah Mary. Apa yang tak kena dengan Mary? Adakah gadis itu takut bersedirian? Tak mungkin. Hati Daniel tertanya-tanya.

Daniel suka menganalisa sesuatu perkara melalui apa yang terzahir saja. Selain daripada itu dia tidak suka merumit dan membebankan fikirannya dengan masalah-masalah tersirat atau tidak nyata. Jadi dalam hidupnya, jarang sekali dia menyibuk atau ambil tahu hal peribadi sesiapa. Jika hal itu mustahak, pasti individu itu sendiri yang datang memberitahu kepadanya. Jika tidak, dia anggap perkara itu tidak penting.

Tetapi kewujudan Mary sangat berbeza dalam hidup Daniel. Dia sangat sayangkan adik perempuannya itu walaupun perbualan mereka tidak terlalu mesra antara satu sama lain. Mary lah satu-satunya insan yang dia ambil berat walaupun keprihatinan dia agak terbatas. Daniel tidak tahu apa yang perlu dia lakukan saat ini bila Mary berkelakuan seperti itu.

Daniel mengeluh kecil. Mungkin kerana Mary sakit jadi gadis itu menjadi agak sensitif, fikir Daniel. Dia merapatkan kepala Mary ke arah bahagian abdomennya. Belakang bahu Mary ditepuk perlahan beberapa kali seolah-olah memujuk gadis itu.

"Esok kita jumpa lagi." Ujar Daniel lalu melepaskan dakapannya terhadap Mary.

Carl yang melihatnya hampir terbuntang matanya. Lelaki ini mahram dia ke bukan? Siap main peluk-peluk? Nak kata abang nampak tua sangat. Nak kata ayah, muda pula? Hati Carl berperang sesama sendiri. Apa yang dia yakin, dia tidak suka dengan apa yang dilihat di depan matanya.

Apabila berkaitan dengan Mary baru Carl terfikir mahram ke tidak tapi tangan yang bukan mahram melingkari tangannya, tidak pula dia fikir. Lelaki...lelaki...

"Nice to meet you both." Usai Daniel berkata begitu, dia terus melangkah pergi. Carl hanya membalasnya dengan senyuman kelat dibibirnya menghalang riak benci terpapar diwajah tampannya.

Eliza pula hanya membuat muka saat Daniel keluar. Perasaan malunya masih terasa jadi dia rasa meluat melihat Daniel. Berlagak! Desis hati Eliza.

Mary merenung dua merpati sejoli yang ada di depan matanya. Oleh sebab, hampir setiap hari Carl merasuahnya dengan makanan dia hampir terlupa siapakah lelaki ini yang sebenarnya. Melihat pasangan ini di depan mata membuatkan Mary kembali sedar dan ingatan apa yang berlaku di kafe dahulu mula terlayar dalam mindanya.

Kenapalah nasib aku malang hari ni? Daniel pun satu. Tak faham-faham bila aku bagi dia hint. Kalau bukan sebab jantan ni yang selamatkan aku, dah lama aku halau dua ekor belangkas ni. Bedik hati Mary.

Belum sempat Mary atau Carl bersuara, Eliza terlebih dahulu mengeluarkan kata-kata. Matanya tajam merenung ke arah Mary yang duduk bersandar di atas katil.

"Oh! I know you. You, perempuan kafe yang biadap tu kan?" Tanya Eliza dengan nada gediknya kemudian matanya kembali beralih ke arah Carl yang setia di sisinya. "You buat apa jumpa dengan perempuan ni?" Soalnya lagi seperti polis pencen. Mana mungkin dia lupa wajah gadis kafe yang biadap dan bermulut lancang itu.

"You jangan busybody boleh tak? You tu buat apa datang sini? Mengekor I pergi mana-mana." Kata Carl. Nadanya jelas menampakkan dia tidak suka dengan kehadiran Eliza.

"Eh! Salahkah I nak tahu boyfriend I pergi mana?" Tanya Eliza sambil tangan kirinya menyentuh dada bidang milik Carl manakala sebelah lagi tangannya masih setia memaut lengan lelaki itu.

Carl menepis tangan yang merayap di bahagian dadanya.

"Tskk." Carl berdecit. "Berapa kali I cakap pada you. I bukan boyfriend you!" Nada Carl semakin meninggi.

Sungguh dia rimas dan bosan dihimpit dengan karenah Eliza hampir sepanjang masa. Kalau di pejabat usah dikata, asyik menempel dan menganggu hidupnya saja. Dia akan berasa tenang bila pulang ke rumah atau datang ke hospital menjenguk Mary. Itu lebih membahagiakan dirinya.

Mary yang melihat Carl dan Eliza yang masih berkepit membuat muka menyampah. Sakitnya hati aku. Nak bergaduh, nak bercinta, nak berkasih sayang, macam dah tak ada tempat lain. Dekat hospital tempat aku rehat juga dua ekor belangkas nak menunjuk-nunjuk. Ada karang aku pelakung dua ekor ni sekejap lagi. Bebel hati Mary. Dia meluat.

Tak apa. Aku masih ada mulut yang berbisa. Biar aku attack belangkas-belangkas ni dengan mulut laser aku. Moga cepat korang berambus. Menyemak je. Bisik hati Mary.

"Bukan boyfriend, tapi pegang-pegang tangan. Peluk sana sini. Lelaki...lelaki...Habis madu sepah dibuang. Kalau kau orang berdua nak bergaduh, tolong blah dari sini. Sini tempat orang nak berehat dan menyembuhkan diri. Bukan nak saksi perangai belangkas kau orang berdua." Perli Mary perlahan tetapi butir bicaranya menyentap perasaan insan-insan yang mendengarnya.

Carl yang tersedar segera merentap kasar tangannya daripada terus dipaut oleh Eliza. Kenapa dia boleh tidak sedar tangan Eliza masih berpaut pada lengannya? Dia nampak senyuman sinis Mary terhadapnya. Entah kenapa, dia tidak marah dengan kata-kata Mary tetapi dia takut Mary mempunyai pandangan yang buruk terhadapnya.

Eliza yang mendengar kata-kata Mary jadi panas hati. Perempuan ni dari mula aku jumpa, mulut macam longkang. Ingat dia bagus sangat. Bisik hati Eliza.

"You jangan biadap perempuan! Suka-suka hati samakan orang dengan belangkas. Siapa madu habis sepah dibuang, hah?" Marah Eliza. Matanya mencerlung ke arah Mary.

Mary sikit pun tidak gentar dengan renungan itu. Baginya, itu hanya sekadar renungan kucing betina yang meroyan.

"Siapa yang termakan cili dia yang terasa pedas." Balas Mary selamba.

"Kau!" Jerit Eliza penuh geram lalu dengan pantas dia menerkam ke arah Mary, menarik rambut gadis itu ke belakang dan memberi tamparan yang berbisa sebanyak dua kali di kiri dan kanan pipi Mary hingga kepala Mary terikut sekali dengan pergerakan tangan Eliza.

Mary yang tidak bersedia, tidak mampu menghalangnya kerana ia berlaku dengan pantas sekali. Terbuntang mata Carl melihat Mary ditampar tanpa belas kasihan. Hampir terkeluar jantung dia melihatnya.

"Eliza!!!" Jerit Carl. Dia terus menerpa ke arah Eliza sambil sebelah tangannya menolak kasar tubuh Eliza dengan sekuat tenaga lelaki yang dia ada, manakala sebelah tangannya lagi mendakap tubuh Mary lalu disebamkan wajah gadis itu di dalam pelukannya. Menghadang wajah Mary dari sebarang serangan.

Walaupun sudah terlambat, tetapi Carl kecut perut melihatnya. Dia memeluk kemas tubuh gadis itu. Nafasnya sedikit tercungap. Dia tidak sangka Eliza sanggup mencederakan orang yang sakit. Hati Carl semakin membara dan panas bila dia berasa tubuh yang masih dalam dakapannya menggigil-gigil dan terdapat titisan air yang panas membasahi dada bidangnya.

Mata Carl mencerlung ke arah Eliza yang mengerang kesakitan. Walaupun keadaan Eliza kelihatan agak teruk tetapi tiada simpati yang terlahir di hatinya.

Eliza mengerang kesakitan kerana daya tolakan yang diterima bukan sikit hingga belakang tubuhnya mencium dinding dan dia jatuh tersungkur di situ. Sesak nafasnya seketika. Henyakkan yang dia rasakan ketika ini sangat berbeza saat dia ditolak kasar di dalam pejabat Carl. Ini lagi sakit! Belum kira kakinya yang sakit terkehel disebabkan kasut tumit tinggi yang dipakainya tidak mampu mengimbangi tubuh badannya daripada terpelanting ke dinding. Kau buat aku macam kucing kurap!

"Carl, you're crazy! You sanggup buat I macam ni? Semata-mata kerana perempuan sial ni!" Marah Eliza sambil berusaha bangkit dari tempatnya. Suaranya bergema dalam bilik sakit itu. Matanya terpacar dengan api kebencian. Dia sakit hati melihat Carl memeluk gadis bermulut longkang.

"You're the crazy one! Lunatic! Tampar orang yang tengah sakit. Baik you berambus sebelum I heret you macam binatang!" Tengking Carl memberi amaran.

Dia bukan lelaki kaki pukul apatah lagi pihak lawannya adalah seorang wanita. Jika ikut panas barannya, sudah lama Eliza arwah ketika ini dia kerjakan. Tidak pun kalau bernasib baik ditempatkan di ICU.

Renungan mata Carl yang membunuh ke arah Eliza membuatkan Eliza kecut perut. Hampir tergigit lidahnya kerana terkejut melihat reaksi Carl yang belum pernah dilihat sebelum ini. Dia tergamam terasa dirinya lemah untuk berkata-kata. Tubuhnya kaku.

"You tunggu apa lagi? Get out of here!" Halau Carl. Suaranya ditinggikan lagi bila dia melihat Eliza masih tidak beredar dari situ. Tubuh Mary masih kemas dipeluk. Dia takut Eliza akan menyerang Mary kembali. Eliza tersentak dengan sergahan itu.

"K..Kau tunggu pompuan!" Eliza memberi amaran dengan nada yang bergetar. Tidak sedikit pun dia memandang wajah Carl yang agak seram ketika itu.

Eliza melangkah keluar dari bilik sakit itu sambil berjalan terhincut-hincut. Ikut hatinya yang panas, dia mahu kerjakan gadis itu hingga terlantar tidak bergerak tetapi memikirkan Carl yang tidak akan berdiam diri jika dia lakukan sesuatu pada gadis itu dia batalkan niatnya. Tak apa hari ni hari kau pompuan. Esok lusa belum tentu kau bernasib baik. Janji Eliza di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience