BAB 12

Crime Completed 8315

Karl mencelikkan mata. Telinganya menangkap suara Hanis. Dada Karl berdebar. Kenapa dengan Hanis? Pantas sekali Karl bangun dari baringan dan merempuh pintu yang tak berkunci. Hanis masih berada di atas katil. Tidurnya terganggu. Mukanya berpeluh. Sesekali kepalanya digeleng ke kiri dan ke kanan.

“ Tolong.. tolong jangan apa-apakan saya.” rayu Hanis dengan mata tertutup. Bibirnya ketar. Dahinya berkerut hebat seolah-olah sedang mengalami mimpi yang sangat mengerikan.

“ Hanis…” Karl menepuk perlahan pipi Hanis. Rasa risau tak dapat disembunyikan lagi. Hanis trauma! Hanis perlu sedar dari mimpi itu! Dia ada di sisi Hanis. Dia tak akan biarkan mereka melukakan Hanis walau sedikit pun.

“ Jangan… pergi dari sini. Saya tak salah. Jangan bunuh saya.” Hanis menepis tangan Karl. Dia masih belum sedar sepenuhnya.

“ Hanis, bangun. Awak mengigau ni.” Karl berusaha mengejutkan Hanis. Tapi Hanis masih memejamkan mata. Tiada tanda yang Hanis akan sedar dari tidurnya.

“ Jangan… “ Hanis masih lagi meracau. Air mata keluar dari celah kelopak matanya yang tertutup rapat. Suaranya lemah bagaikan orang yang sudah putus harapan untuk terus hidup.

“ Hanis… I’m here. Please wake up. Saya tak akan benarkan mereka apa-apakan Hanis. Hanis dengar tak? Saya tak akan izinkan mereka dekat dengan Hanis.” Karl menggoncang dengan kuat kedua belah bahu Hanis. Rasa nak pecah dadanya mendengarkan rintihan Hanis. Hanis menderita. Ini merupakan pengalaman yang paling ngeri dalam hidup Hanis. Menjadi buruan orang yang mahukan nyawanya! Dan dia tak akan biarkan Hanis laluinya seorang diri. Itu janjinya!

Hanis membuka mata. Terkejut bila muka Karl hampir dengan mukanya. Wajah lelaki itu keruh. Hanis bangun dengan tergesa-gesa. Menjauhkan diri dari Karl.

“ Kenapa awak masuk dalam bilik ni?” Hanis panik. Nasib baik dia tidur sopan tadi, tak ada terselak di mana-mana. Kalau tak, malu dia nak bertentang mata dengan Karl.

“ Baguslah awak dah sedar.” Karl menghembus nafas perlahan. Dia ingin mengesat air mata yang berada di tubir mata Hanis namun tangannya kaku di sisi. Apa pula kata Hanis nanti.

“ Kenapa?” Hanis mengerutkan dahi. Gaya Karl cakap macam ada sesuatu yang berlaku semasa dia tidur tadi.

“ Awak mengigau tadi. Awak mimpi buruk?” berhati-hati Karl bertanya.

“ Mimpi buruk?”

Karl menunggu bila Hanis terdiam berfikir.

“ Erm… mungkin. Saya tak ingat.” Berkerut-kerut dahi Hani cuba mengingat kembali tentang mimpinya namun dia gagal. Dia tak ingat.

“ Awak…awak okay?” Karl bertanya perlahan. Jantungnya masih lagi berdegup kencang. Karl meraup rambutnya ke belakang. Hatinya tak tenang selagi dia belum tahu sama ada Hanis okay atau tidak.

Hanis menganggukkan kepalanya. Karl nampak tertekan. Dia ke penyebabnya?

“ Tak apa lah kalau macam tu. Saya keluar dulu. Kalau nak apa-apa panggil je saya.” lega bila dapat tahu Hanis tak apa-apa. Dia je yang terlebih bimbang.

“ Awak cakap dengan saya ke Karl?” Hanis rasa pelik bila Karl menggunakan ganti nama saya dan awak. Karl sedar ke tak yang Karl sedang bercakap dengannya?

“ Awak tengok ada orang lain lagi ke dalam bilik ni?” Karl masih belum perasan kata ganti nama yang digunakannya.

“ Bukan… maksud saya, kenapa awak tukar ganti nama diri? Guna saya awak?” teragak-agak Hanis menjawab. Bukan biasanya Karl guna aku kau ke? Kenapa tiba-tiba malam ni guna saya awak pula? Ke… Karl yang mengigau ni?

Karl tersentak. Darah menyerbu ke muka. Macam mana pula dia boleh guna saya awak ni? Mesti Hanis pelik.

“ Aku keluar dulu.” Karl terus keluar tanpa menjawab pertanyaan Hanis.

Hanis menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik betul Karl ni. Dia memegang pipinya. Air mata? Dia menangis ke tadi? Mesti dia mengigau macam yang Karl cakap tadi. Patutlah Karl risau semacam. Hanis tersenyum. Karl risaukan dia? Hatinya tersentuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience