BAB 8

Crime Completed 8315

Hanis mundar-mandir di dalam bilik. Sampai bila dia nak tunggu Karl? Patut ke dia ikut apa yang Karl arahkan tadi supaya jangan keluar dari bilik ni? Hanis menggeleng kepala. Dia patut rebut peluang yang ada. Ini lah masa yang dia ada untuk larikan diri. Walaupun Karl yang menyelamatkannya dari dua orang penjahat tadi tapi dia masih tak tahu tujuan Karl. Dia masih belum boleh mempercayai Karl. Karl juga pernah mahu membunuhnya. Jadi, tidak sewenangnya dia akan percaya pada Karl.

Hanis menjengukkan kepalanya ke luar pintu. Dia memerhati keadaan sekeliling. Tak ada orang. Hanis lega. Dia rasa selamat. Pintu ditutup kembali setelah dia melangkah ke luar bilik. Hanis terfikir sejenak. Dia berkira-kira sama ada mahu turun menggunakan lif ataupun tangga. Guna tangga je la, lagi selamat kut. Fikirnya lagi.

Nasib baik dia pakai seluar dan sarung kasut sneekers. Kalau dibuatnya dia keluar rumah pakai heels tadi macam mana? Mesti lagi payah. Hanis berhenti sejenak. Peluh yang terbit di dahi dikesat dengan hujung lengan panjangnya. Penatnya! Lah…baru tingkat 21? Tinggi lagi rupanya. Baik dia guna lif tadi. Buat penat je.

Tiba-tiba pintu kecemasan dirempuh dari luar. Hanis tergamam. Tubuhnya ditolak kasar ke dinding. Lehernya dicekik kuat. Muka Hanis merah. Dia tak cukup nafas! Tangannya mencengkam lengan lelaki itu, cuba untuk leraikan tangan itu dari terus mencekik lehernya. Tapi dia gagal! Nafasnya semakin mencungap.

Bertenang Hanis… kau kena bertenang. Kau tak boleh mengalah. Kau tak boleh mati sia-sia macam ni. Hanis memberi semangat pada diri sendiri.

Hanis menyepak dengan kuat di celah kangkang lelaki itu. Lelaki itu terduduk. Mukanya berkerut. Hanis tak peduli bila lelaki itu menyumpah. Dia mengambil kesempatan itu dengan melarikan diri. Baru beberapa tangga Hanis terjerit bila kakinya ditarik dengan kuat. Dia jatuh tergolek. Kakinya sakit bukan kepalang terhentak macam tu.

Kepalanya dicengkam kuat sebelum dihentak ke dinding. Hanis dapat rasa yang darah mengalir di dahinya. Dahinya rasa sejuk bila ada objek hitam yang diletakkan di dahinya yang berdarah. Pistol? Hanis rasa macam nak pitam. Dia sempat lihat lelaki itu tersenyum jahat. Hanis meludah muka itu. Puas hatinya! Tak semena-mena pipinya ditampar kuat. Kepalanya terteleng ke kiri. Hanis membiarkan darah merah keluar dari celah bibirnya.

Sekali lagi pistol itu diletakkan ke kepalanya. Hanis kaku. Nyawanya betul-betul di hujung tanduk. Dia berharap agar ada seseorang yang datang menyelamatkannya. Karl… Hanis menyeru nama itu dalam hati. Rasa menyesal tak dengar cakap Karl tadi. Dia tak sepatutnya keluar dari bilik. Ini la padahnya bila melanggar arahan Karl. Karl dah mengingatkannya tapi dia ego. Suka ikut kepala sendiri. Hati Hanis sayu. Tubir matanya rasa panas.

Hanis tersentak bila lelaki itu rebah di tepinya. Darah mengalir keluar dari perut lelaki itu. Matanya terbeliak menahan sakit. Karl muncul di belakang. Dia menendang kepala lelaki itu kuat. Sejenak kemudian lelaki itu sudah tidak sedarkan diri. Pistol yang Karl guna diselitkan kembali ke pinggang. Hanis tergamam. Pistol kalis bunyi.

Hanis bangun dengan susah payah. Dia berpaut pada palang tangga. Dia gugup bila Karl menatapnya tajam. Hanis rasa bersalah. Memang salahnya.

“ Kenapa degil sangat ni? Aku dah cakap jangan keluar tadi kan?!” Karl menjerit lantang. Hanis dirasakan begitu kecil saat ini. Mujur dia sempat sampai tadi. Kalau tak, pasti dia sudah dihadapkan dengan tubuh kaku Hanis. Memikirkan kemungkinan itu saja sudah membuatkan darah menyirap ke kepala. Dia tak mahu Hanis mati! Dia tak tahu kenapa tapi apa yang dia tahu, dia mahu selamatkan Hanis dari ancaman Mike. Dia mahu Hanis terus hidup.

“ Maaf..ssa..saya..” Hanis menunduk. Tubuhnya menggeletar. Ya Allah…kalau lah Karl tak ada tadi… pasti peluru itu dah tembus ke kepalanya.

“ Sama ada kau percaya atau tak, hanya aku yang boleh selamatkan kau. Hanya aku yang mampu halang peluru-peluru tu dari terbenam kat kepala kau. Tapi kalau kau masih nak keluar dari sini, silakan. Aku tak akan halang. Lepas je kau keluar dari sini, aku tak akan sekali-kali selamatkan kau lagi.” Keras Karl memberi amaran. Dadanya berombak menahan marah. Disabarkan hatinya. Kalau dah pilihan Hanis untuk pergi, dia tak akan menghalang. Hanis bukan miliknya. Dia tak boleh paksa Hanis untuk mengikutnya. Tapi kalau Hanis percaya kepadanya, percaya yang dia mampu untuk melindungi Hanis, dia sanggup gadaikan nyawanya demi Hanis. Dia rela berjuang agar Hanis terus hidup biarpun nyawanya yang menjadi taruhan.

Hanis kembali terduduk. Kakinya lemah. Jiwanya rapuh saat ini. Dia membiarkan air mata mengalir di pipi. Hanis mula teresak. Dia betul-betul takut.

Karl mengeluh. Rasa macam dia terlalu bertegas dengan Hanis. Tapi kalau dia tak buat macam tu, Hanis akan mengambil ringan katanya.

“ Dah la. Kau dah selamat sekarang ni.” Karl mencangkung di hadapan Hanis. Hatinya tersentuh melihat luka yang berada di wajah putih itu. Darah dari dahi Hanis masih lagi mengalir. Karl tekap guna sapu tangan. Pipi Hanis merah, mungkin akibat tamparan lelaki tadi. Karl pandang lelaki yang masih terbaring tak sedarkan diri di tepi tangga. Mata lelaki itu terkatup rapat. Bibirnya pucat akibat pendarahan yang banyak. Karl tahu, tembakannya tadi tak akan membawa maut kerana dia hanya tembak di tepi perut. Langsung tak kena organ dalaman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience