BAB 18

Romance Series 67589

SUFIAH yang baru sahaja muncul di ruang itu, memandang hairan ke arah Nurul Ain.

“Ain?” Sufiah meletak beberapa buah fail di atas meja.

Nurul Ain tersentak. Nyaris terlepas cawan dan jambangan bunga ditangan. Terkebil-kebil matanya menentang renungan Sufiah.

“Buat apa depan pintu ni? Tu, kopi untuk Datuk, kan? Pergilah masuk, letak macam biasa.” Sufiah berkata sambil bibirnya termuncung-muncung menghala ke pintu bilik Awang Kader yang tertutup rapat.

“Datuk ada dalam,” beritahu Nurul Ain.

“Dah tu, kenapa tak masuk?” Sufiah kembali ke tempat kerjanya. “Datuk tak makan oranglah, Ain. So, don’t worry,” senda Sufiah seraya melorek senyum lebar. Seumpama dipaksa-paksa bibir sendiri melentur senyum. Tombol pintu dipegang kuat. Entah mengapa, ada sesuatu mengganggu-gugat perasaan dia tatkala mengetahui kewujudan ‘orang besar’ di dalam sana.

“Assalamualaikum...” Kepala menjenguk ke dalam ruang serba dingin berkenaan. Penglihatan ditebar seluasnya.

Awang Kader mendongak.

“Datuk...” tegurnya sepatah. Cukup berhati-hati mengatur langkah menghampiri hartawan berkenaan. Cangkir kopi diletak santun di atas meja. Sejurus itu, dia lekas mengambil pasu kaca dan mula segera menuju ke bilik air yang terletak di sebelah kiri pejabat yang berkeluasan kira-kira dua puluh lima kaki. Buru-buru dia mencuci pasu kaca itu sebelum memasukkan kuntuman bunga yang lebih segar.

“Kamu... Nurul Ain?”

Bejat perlakuan Nurul Ain. Malah pasu kaca telus cahaya itu nyaris terlepas dari cengkaman.

“Aaa... saya?” Tubuh dibawa berpaling ke belakang. Terkebil-kebil perhatikan paras hartawan berkenaan di tengah pintu bilik. “Ya, saya Nurul Ain.”

Tiada reaksi selain daripada anggukan halus sebelum Awang Kader kembali menjejaki meja kerja yang tampak gah di tengah ruang itu.

Melihat gelagat lelaki separuh usia tadi, Nurul Ain jongket kening. Hairan sebenarnya. Tanpa berlengah, dia segera menyudahkan kerja membersihkan pasu kaca dan terus memasukkan beberapa tangkai bunga segar ke dalam pasu berkenaan.

“Datuk, saya keluar dulu,” pamitnya sebaik segala urusan telah diselesaikan.

Ketika hendak melepasi pintu pejabat, namanya diseru perlahan. Dia tidak jadi melangkah keluar.

Pandangan keduanya bersatu, menyalurkan dua bahasa yang berbeza.

“Terima kasih untuk kopi dan bunga tu. Kopi sedap, bunga pun cantik,” lanjutnya.

Nurul Ain tersenyum kecil berserta anggukan halus.

“HAI.” Irfan mengangkat tinggi tangannya.

Mengecil mata Nurul Ain. Kemudian raut wajahnya kian ditaburi kuntumkuntum senyum yang nyata cukup manis bagi santapan deria penglihatan Irfan.

“Dah nak balik ke?” soalnya seraya mengerling jam di pergelangan tangan. Mujur sempat dia menahan gadis itu daripada bolos dalam perut lif yang sudah menganga luas.

Kepala diangguk berkali-kali. “Alhamdulillah, dah selesai tugas untuk hari ni.” Dia menyelit di tengah-tengah manusia yang agak padat di dalam lif berkenaan. Irfan turut serta. Enggan tertinggal di belakang. Atau dalam bahasa mudah, tidak mahu melepaskan Nurul Ain turun bersendirian.

“Lunch, nak?” pelawa Irfan.

Nurul Ain jeling jam tangan. Sejurus itu, dia kembali mencari paras Irfan.

“Awal lagi ni, Encik Irfan.”

“Eh, sedang eloklah ni. Pukul sebelas pun, orang dah serve makan tengahari.

Sudi tak?”

“Lain kali, boleh?” Kedua belah telapak tangannya bersatu, diangkat mengenai hujung hidung, sambil mempamer seulas senyum kecil.

“Tak sudilah tu.” Rendah suara Irfan kedengaran menerobos gegendang telinga Nurul Ain.

“Eh, bukan tak sudi, Encik Irfan. Kan saya kata, lain kali. Lagipun, saya nak balik kedai bunga sekarang ni.” Dia berdalih.

“Actually, saya rasa pelik tengok style kerja awak. And I wonder sejak bila syarikat kami hire tea-lady secara part-time.” Kemusykilan Irfan dihambur secara terang-terangan. Keningnya yang lebat, memayungi sepasang mata itu kelihatan hampir bertaut pada ketika dia mengerutkan dahi.

Nurul Ain kemam bibir. “Ada iklan.”

“Iklan? Seriously?” Irfan nampak terkejut.

“Eh, takkan Encik Irfan tak tahu? Saya ni isi kekosongan tu untuk sementara aje.”

Lelaki itu kelihatan sedang berfikir. Tiada kata-kata yang dihambur keluar melainkan lirikan mata terus menerkam tajam ke arahnya.

“Okeylah, encik. Saya nak kena gerak ni. Lunch tu, insya Allah, lain kali kita pergi sama.” Ingin cepat-cepat dia pergi dari situ. Bimbang Irfan kian cekap membongkar kerjaya sementara dia di tempat ini.

“Promise?” Lelaki itu menuntut satu perjanjian. Laju sahaja Nurul Ain angguk kepala.

Persetujuan itu mampu membuat Irfan melorek senyum sampai ke telinga. Sebaik sahaja bayang Irfan menghilang, Nurul Ain kembali memacu langkah keluar dari bangunan setinggi lapan tingkat itu. Dipercepatkan langkah hendak sampai ke tempat parkir motosikal, berhampiran kawasan lapang yang diserikan dengan tumbuhan renek menghijau.

Ketika pandangan dijulang ke hadapan, mata disapa dengan susuk tubuh tinggi lampai milik Tengku Hanif. Anehnya relung jiwa seolah dihempas sesuatu tatkala terpandangkan Tengku Hanif sejak kebelakangan ini.

“Kenapa dengan aku ni?” keluhnya sendirian.

SEKEPING surat berwarna hijau muda, berbalut plastik lutsinar sedikit keras, diunjuk kepada Tengku Hanif.

“Dia masih membawa nama yang sama, hanya panggilan Nurul Ain itu diberi oleh arwah suami saya untuk dia,” jelas Suriani.

Unjukan itu bersambut. Setiap satu perkataan yang tertulis di situ, dibaca penuh ketelitian. Sijil kelahiran itu jelas menunjukkan siapa keluarga kandung Nurul Ain.

“Kamu... tak akan ambil dia dari saya, kan?”

Sorot mata Tengku Hanif mencari Suriani. Sejurus itu, dia menoles senyum kecil.

“Mak cik tetap keluarga dia. Seorang ibu yang dah bersusah payah membesarkan dia. Tiada apa yang lebih disyukuri bila dapat tahu dia masih hidup. Sekurang-kurangnya semangat dan kepercayaan yang dipegang ayah saya tu sebenarnya satu hakikat yang benar.” Tengku Hanif meletak sijil kelahiran milik Nurul Ain di atas meja. Tanpa pengesahan itu pun, dia sudah sedia maklum akan kesahihan latar belakang gadis itu.

“Insya Allah, dalam masa terdekat ni, saya nak bawa Nurul Ain berjumpa dengan ayahnya.” Pandangan di bawa mengitari roman tenang Suriani.

“Boleh?” Lanjutnya lagi dengan lontaran soalan yang menagih keizinan wanita berkenaan.

Lambat-lambat, Suriani mengangguk. Sampai bila Nurul Ain harus disimpan sendiri? Biar sedikit hatinya tercuit, enggan membiarkan gadis itu mengetahui siapa keluarga kandungnya, namun fikiran warasnya segera menegah. Itu hak Nurul Ain. Itu juga hak keluarga hartawan tersebut.

Otot muka Tengku Hanif melebar dengan senyuman kecil. Bukan sukar berurusan dengan wanita yang cukup dikenali hati budi.

Jam tangan dikerling sekilas.

“Encik...” Suriani mengunjuk gelas berisi air sejuk.

“Minum...” Wanita itu mempelawa.

LAMA dia memerhatikan sepasang kasut coklat gelap yang tersadai di atas lantai.

“Assalamualaikum, ibu!” Oktaf lontaran suara seperti kebiasaan. Andai diluar kelaziman, pasti jiran kiri kanan menjenguk kepala ke rumahnya.

‘Ibu ada tetamu?’ Hati berdesis halus, seiring tebaran anak mata melangkau sehingga ke hujung jalan sana.

“Insya Allah, mak cik tak apa-apa.” Kedengaran sayup-sayup bicara Suriani.

“Terima kasih.”

Naik tinggi kening Nurul Ain.

“Ibu...” Kasut lekas ditanggalkan dan terus memecut masuk ke dalam rumah. Belum pun sempat dia tatap paras Suriani, langkah yang diatur laju tadi langsung mati.

Tengku Hanif menoleh.

“Ain dah balik?” Suriani tersenyum memandang Nurul Ain yang kaku bagai tiang lampu.

Wajah Suriani dicari. Renungan itu seumpama memuntahkan kehairanan yang menghambat diri. Dia mula curiga. Perhitungan apakah yang membawa lelaki itu menjejak dia hingga ke mari?

NURUL AIN berpeluk tubuh, melontar pandangan ke hadapan. Leret mata sesekali menerjah paras ibunya.

“Ibu...” Dia mengerut muka, dan mula mengatur ayat yang sudah berderetderet memenuhi fikiran. “Kenapa dia boleh ada dekat sini?”

“Siapa?” Suriani menyoal kembali. Langkah dikemudi ke ruang tamu setelah kenderaan pacuan empat roda milik pemuda tadi meninggalkan perkarangan rumah mereka.

Nurul Ain mengetap bibir. “Tadi tu...”

“Ain kenal ke?”

Serta-merta, bibir terkunci rapat. Lambat-lambat menbuntuti Suriani dari belakang.

“Tak ada lah kenal sangat,” sahutnya perlahan.

“Maknanya... Ain kenal jugalah?” Roman wajah kelihatan berlapis-lapis. Renungan terus membidik paras Nurul Ain.

“Tu... dia tu customer kat kedai Kak Nirmala. Jadi pernah nampaklah. Lepas tu, setakat cakap-cakap macam biasa,” dalih Nurul Ain.

Dalam senyum, Suriani berkata, “Oh, ingatkan Ain kenal lelaki tu tadi.”

“Eh, tak kenal lah bu. Muka tak familiar pun.” Bersungguh dia menuntas. Suriani tersenyum lagi. Pipi Nurul Ain dielus penuh kasih. Apabila duduk sudah berlabuh atas kerusi, dia turut menggamit gadis itu agar berada hampir di sisinya.

“Tapi kan bu, apa yang orang tadi tu buat dekat sini? Cari ibu ke?” Ternyata kemunculan Tengku Hanif benar-benar membuarkan rasa terkejut yang amat. Lagi pula, sewaktu kaki itu hendak dibawa keluar melepasi pintu utama, reaksinya seperti telah lazim menempa mata. Malah perasaan yang datang menyapa turut menghimpit relung jiwa secara tiba-tiba. Jantungnya bagai ditusuk sehinga menembusi belakang tubuh.

“Dia tak datang cari ibu...” jelas Suriani.

Dahi Nurul Ain jadi berlapis-lapis. “Habis tu?”

“Nak jumpa Ain.” Suriani lekas bangkit dalam kepayahan. Kaki yang belum pulih sepenuhnya membataskan sedikit segala pergerakan.

Rahangnya jatuh. Bukaan mulutnya membentuk abjad ‘O’.

“Cari Ain? Buat apa?” Kedua belah kening yang menabiri sepasang mata bundar itu kian merapat.

Pelbagai andaian mulai merusuh dalam kepala. Penuh wasangka.

‘Siapa lelaki ini sebenarnya?’ Bunga-bunga curiga kian lebat menguntum dalam sanubari.

KAKI diinjak ke lantai bumi. Pada saat mata menempa jam di pergelangan tangan, dia menggetus perlahan, seraya menguak anak rambut sampai ke ubun-ubun.

“Hanif!”

Panggilan itu membuatkan dia berkalih ke belakang.

“You dari mana?” Kathy lekas memaut lengan Tengku Hanif.

“Kathy... please...” Pautan itu dileraikan secara paksa. Langkah diundur ke belakang beberapa jejak agar ada udara menghijabi antara mereka berdua.

“Alah, peluk sikit pun tak boleh ke?” Kathy berpeluk tubuh.

“Haram tetap haram. Takkan itu pun you tak tahu?” soalnya sinis.

Kathy menggigit bibir. Biar hati panas seumpama dipanggang atas bara api, namun melihat paras Tengku Hanif depan mata, perasaannya langsung nyaman.

“Emm... iyelah. I aje yang salah. You aje yang betul, kan?” Bibir mencebik tanda kurang senang.

“By the way, you dari mana?” Atas bawah dia perhatikan lelaki itu, yang masih bersikap acuh tidak acuh kepadanya. Pandang pun setakat hujung mata sahaja.

“You tanya I, you pula buat apa dekat rumah I?” Tengku Hanif membalas dengan soalan juga. Segera mengemudi kaki ke arah pintu kayu berukir seni halus, terbuka luas seumpama menggamit kepulangannya.

Kathy terkocoh-kocoh mengejar dari belakang. “Datang nak jumpa youlah.

Takkan nak peluk cium pokok-pokok semua?” tuntasnya bersenda.

“Lagipun, kalau I datang office you, buat sempit mata aje, kan? Jadi... I datanglah sini. Petang-petang having hi-tea dengan bakal keluarga mentua.” Kathy tampak ceria menimbulkan isu yang sedang hangat mengusik hati sendiri.

“Mummy you yang invite I,” jelas Kathy lagi.

“Seriously?” Tengku Hanif berdiri tegak, mendepani Kathy.

“Apa yang serius?” soal Kathy kembali.

Tengku Hanif sekadar geleng kepala, yang pasti mengundang riak curiga di hati kecil Kathy. Lantas gadis itu menghalang laluannya. Muka yang manis sudah naik mencuka.

“Apa? You ingat I yang terhegeh-hegeh, merangkak datang sini? Please!” cebiknya.

Spontan, lelaki itu hambur tawa. “You ni, bukan setakat merangkak, berguling-guling pun boleh jadi.”

Makin panjang muncung Kathy. Kaki dihentak-hentak sewaktu mengemudi langkah di belakang Tengku Hanif.

“Auntie! Anak auntie dah balik!” Kathy mendahului Tengku Hanif. Badan lelaki itu sengaja dirempuh kuat.

Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif melihat gelagat Kathy. Entah bila agaknya gadis itu akan berhenti menjadi bayang-bayang diri, tidak kira siang mahupun malam. Jujur, dia rimas. Kalaupun dia bertahan sampai saat ini hanya kerana perasaan hormat. Kathy seorang perempuan. Tidaklah dia terlalu zalim sehingga sanggup menolak mentah-mentah. Paling tidak, dia harus menanamkan kepercayaan kepada Kathy, bahawa antara mereka tidak akan pernah wujud ‘cinta’.

“There you are...” Sabrina berlenggang ke arah Tengku Hanif. Leret senyumya sampai ke telinga. Apatah lagi saat mata menyambar kedudukan Kathy bersebelahan lelaki muda itu.

“Sama cantik, sama padan. Boleh dah jadi menantu auntie,” ujar Sabrina lagi. Kathy tersipu-sipu. Lekas dilarikan tubuh daripada terus berdamping di sisi Tengku Hanif.

“Auntie ni!” Bahu wanita itu ditampar manja. Sabrina tertawa gelihati.

“Mari... ikut kami minum petang. Tu... Kathy ada belikan sesuatu untuk Hanif tau.” Lengan Tengku Hanif lekas disambar tanpa sempat lelaki itu mengelak. Maka diikutkan langkah sang ibu yang begitu bersungguh mahu dia duduk bersantai sama petang-petang begini.

“Nah... kuih seri muka.” Unjukan itu bersambut. “I tahu, you memang suka gila dekat kuih ni, kan?” Kathy tersenyum-senyum kemudiannya.

Tengku Hanif jongket kening. “Thanks.”

“Senang hati mama tengok kamu berdua.” Bicara sengaja disusun atur begitu halus supaya Tengku Hanif segera sedar, niat hati yang sudah tersemat tidak akan bubar sampai bila pun. Dia sudah nekad.

“Mama... please stop it.” Rendah Tengku Hanif menegur. Bukan dia tidak nampak riak wajah Kathy ketika ini. Kalau boleh, dia enggan membiarkan gadis itu terus memasang angan-angan. Kelak hancur hati itu jadinya.

“What? Dah betul hati mama senang, kenalah cakap.” Senyuman masih lebar menghiasi bibir.

Kathy tidak mencelah. Dia setia memasang telinga dan setiap patah perkataan yang meluncur laju dari mulut Sabrina kian menambah rasa bahagia. Walau dia tahu, setiap yang dilontar pasti ditepis Tengku Hanif semampu mungkin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience