Kampung Batu Tiga
Tanah Perkuburan Islam
JARI-JEMARINYA meleret perlahan di atas plat besi, tertera nama Nur Aminah dalam dua versi- jawi dan rumi. Serta terpahat sekali tarikh kelahiran dan kematiannya. Untaian nama itu direnungi dengan mata bergenang hangat. Kewujudan sang isteri seumpama bersemadi dalam jiwa, tidak pernah mati.
“Min...” Nama itu diseru penuh rasa rindu. Sendu yang tiada tertahan akhirnya merobek empangan dengan buraian airmata. Airmata lelakinya tumpah kerana memendam rindu terhadap Nur Aminah.
‘Abang.’ Elusan angin meyapa seakan turut membawa bisikan lembut itu.
Awang Kader menunduk kepala. Perlahan-lahan, dia katup mata. Rapat.
‘Abang...’ Bisikan itu hampir ke telinga. Serentak dengan itu, dia dirangkul paras Nur Aminah yang manis dan beriak tenang.
“LAMA ke bercuti dekat sini?” Malik melabuh punggung di atas pangkin, bersebelahan Sabrina. Rintik-rintik peluh mulai menggigit dahi. Biar waktu sudah menginjak jam lima petang, namun suasana persekitaran masih terik.
“Esok kami baliklah,” kata Sabrina.
Sorot mata Malik mendasari roman sang adik. “Kenapa cepat sangat?” “Abang Kader tu sibuk. Hanif pun sama. Masing-masing ada tanggungjawab kerja.”
Malik memalingkan muka. Dia membuang pandang jauh ke depan. Galak memerhatikan ulah anak-anak jiran bermain bola sepak di kawasan lapang, berjarak kira-kira lima belas meter dari kediaman mereka.
“Semua tu duniawi, Ina.”
“Atau Ina yang tak mahu?” lanjut Malik.
Sabrina menoleh. Pandangan keduanya bersatu sebelum Malik membawa mata jauh dari adiknya.
“Apak dah tua, Ina. Mungkin esok, mungkin lusa... apak dah tak ada.” Ada getar memagari bicara Malik. Hujung kaki terkuis-kuis daun mati atas tanah.
“Abang Malik nak cakap apa sebenarnya?” Sabrina merengus kurang senang.
Turun naik dada dia jadinya.
Helaan nafas dilepaskan perlahan. Kedengaran memberati rengkungan. “Ina tu, macam simpan dendam pada apak.”
Serta merta, otot muka melentur senyum. Sinis.
“Dendam? Siapa yang dendam dengan siapa, Abang Malik? Saya atau apak?” soalnya mendatar.
“Sampai bila pun, saya tetap pesalah di mata apak. Saya bukan anak yang baik bagi dia.” Keluhan itu benar-benar membuatkan Malik berasa kasihan.
“Apak memang macam tu. Ina tentu faham, kan?”
“Dengan saya aje apak macam tu. Dengan Abang Malik, Abang Burhan,
Abang Salihin... tak pun,” tuntas Sabrina.
Malik kunci mulut. Untuk sedetik waktu, dia merenungi paras Sabrina. Terlalu jauh jurang yang membentengi silaturrahim mereka. Wanita itu telah bawa hati, membina tembok setinggi langit, manakala Abdullah pula tidak pernah cuba merobohkan hijab tembok itu. Dibiar terus-terusan tiada berusik.
“Abang Malik! Ina!” Terjengul kepala Ainan, isteri Malik di tengah-tengah regangan jendela kayu. Kedua belah tangannya mengawang udara.
Malik menoleh ke belakang.
“Minum petang, bang.” Ainan memanggil lagi.
“Iyelah, abang datang ni,” sahut Malik.
“Mari kita masuk dalam, Ina. Tu, kakak kau dah buat minum petang.” Sabrina angkat punggung. Telapak tangan mengibas kain. Dari celah bukaan pintu, dia nampak Abdullah sedang duduk di atas kerusi malas dengan kedua belah tangannya berada dalam kedudukan qiam. Gerak kaki dikemudi laju tatkala renungannya berbalas. Tidak lagi menunggu Malik yang memanggil namanya berulang kali.
AJAKAN anak menantu tidak dihirau. Berkali-kali Malik turun naik tangga, namun dia tetap membekukan diri. Lebih senang mengitari pemandangan tenang pada waktu kian menginjak senja daripada duduk semeja dan membicarakan sesuatu yang kosong.
“Atuk...” Tengku Hanif duduk bersila hampir di kaki Abdullah.
Ulas bibir lelaki itu melentur senyum buat tatapan Tengku Hanif. Kemudian, anak mata kembali menebak ke luar pintu.
“Panjang betul atuk termenung,” tegur Tengku Hanif. Kaki tua itu diurut perlahan-lahan. Dari buku lali sampai ke pangkal betis yang diselubungi kain pelikat kotak-kotak, adunan warna merah dan biru tua.
“Kamu tu, dari pagi bawa ke petang, baru nampak muka. Menghilang ke mana?” Giliran Abdullah bertanya.
“Ada aje tuk. Dekat dalam bilik, buat kerja sikit.”
“Sampai ke sini kamu bawa kerja kamu tu?”
“Nak buat macam mana, tuk. Takut tak terkejar nanti.” Tengku Hanif tersenyum-senyum.
“Kalau kejar dunia, sampai bila pun tak pernah habis.” Abdullah menyandarkan kepalanya di kerusi. Urutan itu dinikmati dengan perasaan bercampurbaur. Fikiran dia dipenuhi dengan imbauan manis bersama arwah sang isteri. Sulima begitu bijak mengusir segala lenguh-lenguh tubuh dengan urutan lembutnya.
“Insya Allah, tuk. Hanif akan seimbangkan dunia dan akhirat.” Lontaran bicara itu dibalas tulus.
Herot bibir Abdullah melentur sebuah senyuman. Cukup halus.
“Assalamulaikum...” Tersembul susuk tubuh Awang Kader di sebalik regangan pintu. Selangkah demi selangkah, dia menapak masuk mendekati Abdullah dan Tengku Hanif.
“Waalaikumsalam.” Keduanya menjawab hampir serentak.
“Tak minum dengan pak long ke?” Soalan itu tertuju kepada Tengku Hanif.
“Sekejap lagilah, pa.” Tengku Hanif mengengsot ke penjuru ruang itu, memberi ruang kepada ayahnya duduk hampir di sisi Abdullah.
“Sibukkan kerja sangat anak kamu ni, Kader.” Sorot ekor mata menempa paras pemuda yang kelihatan santai dengan pagoda putih dan berseluar paras kepala lutut.
Kening tebal yang memayungi sepasang mata redup Awang Kader, hampir bertaut. “Balik kampung pun still berkepit dengan kerja?”
Tengku Hanif tersengih panjang. Kepala digaru walau tidak gatal.
“Pa, kita kan ada meeting dengan Nordin Group next week.”
“So? Bukan ke hari tu Hanif kata, segala dokumen yang diperlukan dah pun hampir siap.”
“Ada problem sikit, pa. Jadi sekarang ni, Hanif tengah gigih nak settle semua. Sebab tu sampai berkepit balik sini.” Tengku Hanif tersenyum kemudiannya. Asalnya amanah itu telah hampir diselesaikan mengikut waktu perancangan, namun ekoran kejadian tidak diingini berlaku, maka dia harus bermula dari awal.
Abdullah sudah tergeleng-geleng kepala. Bapa dan anak, sama sahaja. Tidak pernah berhenti fikir tentang pekerjaan masing-masing.
“Sudahlah tu. Tinggalkan sekejap hal-hal kamu. Apak dengar pun naik bosan,” rungut Abdullah.
Awang Kader tertawa kecil.
“Kamu dari mana, Kader?” Abdullah memerhatikan menantu yang paling dikasihi.
“Dari kubur, pak.” “Ziarah Aminah?”
Awang Kader mengangguk dalam senyuman halus. “Lama sangat tak ziarah kubur arwah.”
“Biar lama, asalkan tak terus lupa,” kata Abdullah. Bicara itu kedengaran mendatar.
“Tak mungkin saya boleh lupakan Aminah, pak,” tekan Awang Kader. Suasana jadi sunyi. Mendadak. Awang Kader ralit menempa pemandangan di luar jendela, manakala Abdullah selesa memejamkan mata sambil ulas bibirnya bergerak-gerak membutirkan kalimah suci, memuji Ilahi agar diberi kekuatan untuk terus bernafas di muka bumi dalam keadaan hati yang masih rapuh.
“AKU... rasa berdebar-debar,” gumam Nurul Ain.
Anisa di sebelah sekadar menoleh sekilas sebelum kembali memacak anak mata tepat ke skrin televisyen.
“Kenapa?” soalnya.
Nurul Ain mengusap batang tengkuk. Sukar digambarkan perasaannya saat ini. Seolah dibawa menelusuri ‘sesuatu’ dalam kewarasan yang cukup nipis.
“Entah...” Keluhan dilepaskan dalam paksaan. Dibiar udara hangat itu bergumpal dalam putaran angin.
Mulut Anisa yang ralit mengunyah kerepek ubi, langsung kaku. Sedang leret mata terus membidik paras Nurul Ain. Dia curiga.
“Ke...” Duduknya beralih posisi. Daripada menghadap peti televisyen, kini dia mendepani Nurul Ain. Kedua belah kaki berlipat, bersimpuh sopan.
“Ke kau teringat bos kau? Atau Encik Irfan?” Kening dijongket tinggi. Bulat mata Nurul Ain. Pantas sahaja telapak tangannya merempuh lengan Anisa.
“Sakitlah!” Anisa berdecit. Muncung sudah panjang sedepa.
“Padan muka!” cebik Nurul Ain.
Anisa menjelir lidah. “Untunglah ada dua pilihan depan mata.”
Nurul Ain menjuling mata ke atas. Kerepek ubi diambil dari tangan Anisa.
“Kau ni, makan tak ingat dunia. Cubalah berlagak macam tetamu sikit. Ini... kalah tuan rumah,” bebel Nurul Ain.
“Alah, mak kau cool aje. Siap suruh aku habiskan semua makanan dekat dapur tu,” tuntas Anisa. Bekas kerepek tadi dirampas semula dan dibawa ke dalam dakapan seperti enggan dilepaskan lagi. Nurul Ain menahan gelihati melihat ulah sahabat baiknya.
“Menyesal aku pelawa kau tidur rumah aku malam ni.” Sengaja ditekan rendah suaranya supaya ia kedengaran terlalu kesal.
Buraian tawa Anisa menjadi-jadi. “Nasiblah. Jangan terkejut kalau esok pagi kau bangun, tinggal botol dengan plastik aje kat dapur tu.”
Tangkas jari-jari Nurul Ain mengetam pinggang Anisa. Terjerit-jerit gadis itu menahan geli. Sehingga nyaris jatuh telungkup atas lantai.
“Dah!” Anisa angkat kedua belah tangannya, separas dada. Lelah menahan geli apabila jari-jari Nurul Ain ligat menggeletek pinggangnya. Hampir dia pengsan kerana kegelian!
Nurul Ain dabik dada. Gaya seperti memenangi pertandingan paling berprestij. Anisa dipandang sebelah mata sahaja. Selang beberapa saat, mereka berdua berpadu tawa.
“Shikin mana? Dah tidur ke adik kau tu?” Anisa tertoleh-toleh.
Nurul Ain menggeleng. “Dia teman ibu dalam bilik. Tahu ajelah adik aku tu, hati lembut. Selagi ibu aku tak elok, selagi itulah nak bersedih-sedih bagai.” Dia tersenyum-senyum mengenangkan ulah terlebih manja Ashikin.
“Bagus adik kau tu. Tak macam kau. Emak dalam bilik, kau hu ha hu ha dengan aku. Buat riuh rumah.” Mulut ditekup jari-jemari yang bertaut rapat. Halus tawanya mencuri keluar dari celah-celah jari.
“Sopan sangat kau ketawa, Nisa.”
“Haruslah. Kang ketawa macam kau, tak ada siapa nak buat aku jadi menantu.”
Spontan Nurul Ain menjegilkan mata.
“BILA mak?” Pintu ditutup rapat. Penuh berhati-hati, dia kembali melabuhkan punggung di atas hujung katil. Ashikin yang sudah lena dipandang sekali imbas.
“Katanya hujung bulan nanti.” Hajah Ramlah memberitahu.
Suriani terdiam. Lidahnya bagai tersimpul ketat. Kesakitan yang dialami seumpama lenyap seluruhnya tatkala Hajah Ramlah mengkhabarkan berita itu.
“Untuk apa?” Kedengaran dingin bicara itu.
“Kamu jangan risau, Su. Mereka cuma nak jumpa budak tu aje.”
“Ambil Ain dari saya? Macam tu?”
“Su... kenapa jauh sangat kamu berfikir? Kan emak dah kata, mereka hanya nak tengok Nurul. Mak pun tak akan benarkan kalau mereka nak ambil Nurul dari kamu. Macam mana sayangnya kamu pada Nurul, mak pun sama. Nurul tu dah mak anggap darah daging sendiri.” Hajah Ramlah memujuk lembut.
Suriani mengetap bibir. Pilu. Dadanya cukup sebu. Seolah jantungnya direntap kasar. Terlalu perit. Tiada apa yang mampu difikirkan lagi melainkan Nurul Ain akan dibawa pergi jauh darinya.
“Saya sayang Ain, mak.” Bergetar hujung suaranya.
“Mak tahu. Mak tahu kamu sayangkan Nurul. Tapi... Su mesti ingat lagi, kan... apa yang kita bincangkan bertahun dulu?” Kata-kata Hajah Ramlah membuatkan Suriani terpempam. Langsung kelu.
“Satu hari nanti, budak ni akan kembali menemui keluarganya, Insya Allah.” Paras seorang wanita separuh usia dan tutur bicaranya berdengung dalam kepala. Menzahirkan sebuah ingatan yang telah lupus dari fikiran. Kala itu, terbayang juga roman tenang kenalan arwah suaminya, Zakaria. Lelaki itulah yang menemukan mereka suami isteri dengan seorang bayi perempuan berusia empat belas bulan. Sudah tibakah detik itu?
“Sakitlah! Ngek betul kau ni!” Melengking tinggi suara Anisa mengejutkan Suriani. Sejurus itu, tawa Anisa dan anak perempuannya berpadu. Riuh-rendah jadinya rumah mereka.
Selajur, ulas bibir Suriani melentur sebuah senyuman kecil. Leretan yang hanya muncul sekejap waktu sebelum ia lenyap sebaik Hajah Ramlah kembali bersuara. Mengingatkan dia tentang ‘sesuatu’ yang sudah lama tersimpan dalam lipatan hidup mereka sekeluarga.
Share this novel