BAB 19

Romance Series 67589

MEJA ditumbuk kasar sehingga menghasilkan bunyi dentuman yang kuat, menggegarkan seisi ruang kecil tersebut. Daripada berdiri, kini dia labuh punggung tanpa sekelumit perasaan senang pun. Mata melilau, menyingkap ke merata arah.

“Apa yang dia nak sebenarnya?” Kamal mengerut muka.

Mikail menggeleng.

Spontan, Kamal mendengus keras. Dia kembali berdiri.

“Leceh!” gumam Kamal lagi.

“Aku dah agak dah. Kadang-kadang nyawa manusia ni liat. Susah nak tercabut dari batang tubuh.” Mikail menompang dagu. Berbanding Kamal, dia lebih gemar jadi pembuat konklusi sahaja.

Kamal tampak sedikit lelah. Bukan seorang ‘Kamal’ andai diberi tugas untuk memantau semata-mata. Tangan yang pernah disimbah darah telah kering sepenuhnya. Malah kesan cecair likat tersebut tidak lagi mencemarkan anggota tubuh yang satu itu.

“Kalau kau peningkan kepala fasal maklumat perempuan tu, small matter aje.

Sekarang ni, semua hujung jari. Tekan sana, tekan sini, ha... terus jumpa.” Niat bercanda Mikail membuatkan Kamal naik berang. Kepala Mikail diluku tanpa sempat lelaki berjambang tersebut mengelak.

“Kau ingat aku main-main, hah?” Kamal menderam marah. Sudahnya Mikail terkulat dalam perasaan gerun.

“Alah kau ni... aku gurau aje kut.” Mikail menggaru kepala.

Jelingan tajam Kamal membaham renungan Mikail. “Nak tunjuk pandai sangat, kan? Pergi berhambus settlekan semua!” Mikail tersengih-sengih.

“Kan kau yang bos.” Pantas dia menuntas.

Kamal menggigit bibir tanda geram. Penumbuk sudah dikepal padu.

“Aku nak kau buat macam yang orang tu nak.”

“Aku?” Hujung jari telunjuk tepat bersentuhan ke hidung sendiri.

“Dulu kau tak sekolah?” Kamal mulai bengang. Bicara Mikail seumpama datang dari merata arah. Kalau kelaziman dia boleh ikut sama ketawa setiap kali Mikail membuarkan jenaka kurang bijak, kali ini tidak lagi. Muka sudah naik tegang.

Mikail terdiam. Dia tahu Kamal sudah tidak boleh dibawa bergurau. Kelak dia yang sakit.

“Okay... okay. Tapi sekarang ni, aku perlukan maklumat perempuan tu.

Mana?”

Kamal tunduk merenung jari-jari yang saling bersulaman. Dengusan keras melepasi deria bau. “Tunggu orang tu beri arahan pada kita. Faham?”

Mikail mengangguk laju. Putih kata Kamal, putihlah dia. Andai hitam disuruh Kamal, maka dia ikut terjun ke dataran tersebut tanpa berfikir panjang kerana dia lebih takutkan hukuman Kamal jika kehendak lelaki itu tidak dipatuhi. Hidup matinya telah bersemadi penuh di tangan lelaki berjiwa kering tersebut.

“BUKAN aku tak tahu fasal orang-orang Tun Akhbar tu cuba sabotage bisness arwah datuk dan papa dulu.” Tengku Hanif mencicip sedikit kopi yang terhidang depan mata.

Suhaimi mengangguk sebagai tanda dia turut bersetuju. “Sebab datuk kau lebih berjaya berbanding dia, kan?”

Tengku Hanif menjongket kening seraya melepaskan satu helaan nafas cukup berat.

“Bankrupt.” Tubuh bersandar malas kembali dibetulkan posisi duduk. Suhaimi menoleh ke belakang.

“Itu Badri.”

Mengecil mata Suhaimi. Dari jauh dia lihat seorang lelaki melambai ke arah mereka.

“Cucu Tun Akhbar, kan?” Suhaimi seakan tidak percaya.

Tengku Hanif mengangguk, seraya bingkas berdiri menyambut kedatangan Badri dengan seulas senyuman hinggap di hujung bibir.

“Hey.” Badri mengunjuk tangan.

“Encik Badri.” Padu genggaman masing-masing. Setelah itu, kedua-duanya mula berpelukan bagai kenalan lama. Suhaimi memerhati tanpa berkelip mata.

Struktur airmuka bersegi Badri direnung tajam.

“Encik Suhaimi, kan?” Hujung jari Badri menuding ke arah Suhaimi.

Suhaimi mengangguk, lantas turut sama berjabat tangan. Sesekali leret mata mencari paras Tengku Hanif. Sahabatnya itu sekadar tersenyum kecil dan bahu dijongket sekali.

TANGAN dijulang tinggi menampar udara. Selajur sorot mata memerhatikan pergerakan sebuah kereta mewah melepasi kawasan parkir di perkarangan hotel singgahan mereka bertiga.

“Saya jumpa Hanif.”

“Anak Sabrina?” Suara di hujung sana kedengaran keras menyambar anak telinga.

Pelipis dahi diurut lembut. “Tun, saya tahu apa yang saya buat,” tegasnya. Kali ini, Badri membiarkan sahaja setiap urat saraf yang berkumpul di ruang pendengaran menelan setiap patah-patah bicara itu. Baginya, setiap satu akan diserap dan kemudian akan hilang sekelip mata.

“Pastikan ayah okay. Sekejap lagi...” Anak mata berlari mendakap jarum jam di pergelangan tangan, sebelum dia menyambung, “Satu jam lagi saya sampai.” Talian diputuskan.

Dia melangkah lambat-lambat menghampiri kenderaan miliknya.

SABRINA menarik sehelai dress mini berwarna merah hati, lantas dipertontonkan kepada Kathy.

Sesuai untuk Kathy. Cantik.” Sabrina memadankan dress itu pada tubuh Kathy.

Kathy menatap lama pantulan dirinya di atas permukaan berkilat yang berketinggian kira-kira lapan kaki. Diamati dalam-dalam.

“Pandai Auntie Na pilih.” Dia memuji sekadar ingin mengambil hati. Walhal fesyen sedemikian ketara lapuk buat dirinya.

“Ini... biar auntie yang bayar. Istimewa buat bakal menantu auntie. Okay?” Sabrina tersenyum lebar.

“Sure, auntie. I love it!” Kathy ikut sama tertawa halus. Dia berlegar-legar di setiap ceruk butik berkenaan. Membelek beberapa helai busana yang lebih tertutup, labuh, dan kelihatan terlalu biasa bagi seorang Kathy.

Entah kenapa, bayang gadis itu kembali menduduki fikiran. Dia cuba membandingkan apa yang dia punya dan apa yang tidak ada pada gadis bernama Nurul Ain.

Ya... jelas. Cukup bersuluh.

Kathy mengatur gerak kaki mendekati cermin itu lagi. Kembali menyaksikan

‘keterbukaan’ pada tubuh sendiri. Persalinan yang dinilaikan mencecah ratusan ringgit, direka penuh gaya dan seni hebat, ternyata masih kekurangan sesuatu.

Aurat.

Hal itu tidak pernah dititikberatkan.

“Come.”

Gema suara Sabrina mengejutkan Kathy. Terkocoh-kocoh dia memaut lengan wanita itu.

“KENAPA senyap aje dari tadi? Kathy tak sihat ke?” Sabrina menyoal hairan. Kebiasaan Kathy akan bercerita tentang apa pun, gelak tawa juga mengisi sepanjang pengembaraan mereka di pusat beli-belah, sekarang ternyata hambar. Gadis itu lebih cenderung melayani relung perasaan sendiri.

“I’m okay.” Lentur bibir tiada punya seri.

“I don’t think so.” Jari telunjuk Sabrina bergerak ke kiri dan ke kanan. Senyum halus Kathy muncul juga. Gumpalan fettucine dalam sos carbonara disumbat ke dalam mulut. “I okay, auntie.”

“Yelah tu. Entah-entah anak bujang auntie ada cakap apa-apa dekat Kathy tak?” Sabrina curiga. Kening sudah jatuh ke bawah, nyaris bercantum.

Kepala menggeleng perlahan.

“Kathy, I hargai perasaan you tapi... you kena tahu satu perkara. Perkara yang

I rasa, you dah lama sedar tapi you sengaja buat tak endah, kan?”

“Apa maksud you?”

“I tak pernah cintakan you, Kathy. Sayang I pada you tak lebih dari seorang abang kepada adiknya. You tepuk tangan tapi tak bunyi.”

Air liur ditelan kelat. Seumpama cecair itu mempunyai duri-duri halus, lantas menyakiti anak tekak.

“Kathy sayang.”

Pandangan mata menjulang paras Sabrina. Wanita itu sedang mengulum senyum nipis. Menampakkan kemesraan yang bukan satu tempelan pura-pura semata.

Sebagaimana penerimaan Sabrina, dia mahu Tengku Hanif juga sama. Namun hakikat bahawa secebis pun kewujudan diri tiada menghuni relung jiwa lelaki itu, membuatkan dia tersedar daripada mimpi. Terhenyak kasar meski cara lelaki itu menolak jelas budiman. Tiada tutur kata kasar sehingga mencarik-carik hati. Tidak juga menendang dia bagai sebiji bola.

Ah, itu yang menambah rasa halus dalam dada. Bukan makin meminggir, malah ia kian giat menghempas dasar jiwa.

Tengku Hanif tidak pernah salah mentafsir. Sengaja ditulikan telinga, dibutakan mata, langsung tidak ambil pusing berkenaan kenyataan hati lelaki itu, malah lebih ligat dia mengejar. Kerana dia ingin buktikan bahawa status ‘adik’ mampu bertukar seluruhnya menjadi ‘permaisuri’.

“KAU kena kejar ‘permaisuri’. Lepas tu, checkmate!” Buah chess dipusingpusingkan, selajur objek kaca yang mempunyai kedudukan paling tinggi dalam kasta permainan tersebut dijentik jatuh.

“I won’t.” Badri menggeleng.

Bulat mata lelaki berjambang halus yang sejak tadi mengulum senyum kecil.

“Why?”

“Sebab aku tak nak,” jawab Badri. Cukup ringkas.

“Yelah, tapi kenapa?”

Dagu dipanggung menghadap Kaisah. Helaan nafas jelas benar memberati dada.

“Aku tak nak rumitkan keadaan.” Badri angkat punggung. Mula mengorak langkah meninggalkan Kaisah. Kaki dipacu memasuki rumah pusaka milik keluarga yang diwarisi secara turun-temurun. Sejurus itu, anak tangga didaki sehingga menemui sebuah bilik di bahagian kiri. Pandangan menebak daun pintu tersebut dan untuk beberapa saat, dia dirangkul pelbagai perasaan yang entah dari mana menjelma.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience