BAB 4

Romance Series 67589

KELAM-KABUT dia meluru ke pantry. Tanpa melihat skrin yang berkelip-kelip pun, dia sudah tahu siapa pemanggil di hujung talian.

“Kau ke mana? Kenapa lambat masuk? Tu, mak cik tu dah angin dah tu Ain oi!” Kedengaran mendesah gusar suara Anisa mengetuk jendela telinga.

Nurul Ain garu kepala hingga selendang yang melekap di kepala jadi senget.

“Aku... aku...” Kening hampir bertaut rapat. Ekor mata melirik jam di tangan sendiri. Sudah hampir mencecah jam sepuluh pagi. Sempat dia memanjangkan leher ke luar pantry. Kelibat Tengku Hanif dilihat sedang berjalan memasuki ruang pejabatnya.

“Lepas lunch.” Yakin dia memberitahu.

“Lepas lunch? Gila ke apa? Tadi kau kata nak keluar sekejap. Tiba-tiba hilang macam tu aje. Sakit telinga aku dengar mak cik tu membebel.” Anisa terus hambur rasa yang menjerut hati. Tidak senang duduknya dalam kedai itu.

Jauh di sudut hati, dia kasihankan Anisa. Namun, apa yang boleh dilakukannya? Sepasang kakinya sudah pun dirantai dengan besi dan bermangga sebesar gajah, atas kehendak dia juga.

“Serius, lepas lunch baru aku boleh masuk. Kau tunggu.” Nurul Ain meyakinkan.

“Problem betul kau ni, Ain. Cepat tau. Jangan lambat!” Anisa mengingatkan. Nurul Ain tersandar lemah ke dinding sebaik panggilan itu tamat. Berlegar pelbagai andaian dalam kepala. Jangan sampai dia dibuang kerja, sudah.

SEGALANYA bermula akibat kecelakaan yang berlaku di Coffee House beberapa hari lalu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur demi mengenangkan kesalahan sendiri. Tea lady, itulah jawatan yang disandang secara separuh masa.

Setelah ditimbang-tara, serta mendapat persetujuan Tengku Hanif, anggaran jam sepuluh pagi, dia harus menyediakan minuman untuk kakitangan di jabatan berkenaan, yang terletak di tingkat enam bangunan Menara Group.

Ya, itu sahaja tugasnya. Bebanan kerja yang terlalu ringan timbangan zarahnya, walhal ia cukup memberatkan bahu sendiri.

‘Untunglah manusia-manusia ni. Nak minum pun ada orang sediakan.’ Hati sering berbisik pada ketika tubuh badannya bergerak ke hulur hilir, menyorong troli sederhana kecil dari satu meja ke meja yang lain.

“YA ALLAH!” Teriakan itu nyaris meruntuhkan semangat Nurul Ain. Apatah lagi menyedari baju putih berjalur kelabu yang dipakai lelaki itu telah tercemar dengan air nescafe.

“Maaf! Maaf!” Buru-buru Nurul Ain mencapai beberapa helai tisu, lalu mengesat kesan kotor tersebut.

“Saya tak sengaja. Maaf,” tuturnya.

“It’s okay.” Irfan berkata tenang. Helaian tisu lembab itu diambil dari tangan Nurul Ain.

“Tak sengaja, kan?” lanjutnya. Segaris senyuman kecil menghiasi bibir.

Nurul Ain berundur beberapa langkah ke belakang. Menggigil tangannya. Cawan dan piring tadi dimasukkan ke dalam singki. Pili paip dipulas. Mencurahcurah air keluar dari bibir paip membersihkan kekotoran yang memalit barangan seramik tadi.

Irfan menghampiri singki. Tangan kanan disua ke bawah curahan air dengan kelima-lima jarinya bertaut rapat. Belum pun sempat dia membasahkan kesan kotor pada bajunya, Nurul Ain pantas menegah.

“Nanti kesan kotor tu bertambah teruk kalau basuh macam tu aje,” beritahu Nurul Ain.

“Really?” Tidak pula dia tahu sebelum ini.

“Encik letak ini sikit dekat baju tu.” Nurul Ain mengunjuk sebotol sabun tangan Dettol kepada Irfan.

“Sapu bagi bersih sikit, baru cuci dengan kain ni,” lanjutnya. Sehelai tuala lembab dihulur pula.

Terangguk-angguk kepala Irfan. Sesekali dia mengamati roman wajah sang gadis yang tampak begitu asing pada penglihatan.

“You pekerja baru ke?” ajunya.

Nurul Ain garu dahi. Status dia di sini bukan seorang pekerja, kerana istilah pekerja itu ada mereka yang berkhidmat dengan bayaran gaji. Dia? Bayar ganti rugi.

“Sebagai apa?” Irfan menyoal lagi. Kesan kotor tadi dibiar kering begitu sahaja.

Belum pun sempat menjawab pertanyaan Irfan, Nurul Ain terpaksa meminta diri. Berkali-kali dia tutur kata maaf atas perbuatan yang tidak disengajakan tadi.

Malah hendak memerhati wajah lelaki itu pun, tidak sempat.

ANISA mengerling Nirmala yang masih merutuk marah. Dalam hati, dia mengutuk sikap temberang majikan kecil mereka. Setakat anak saudara big bos pun, hidung sudah tinggi menjulang langit. Anisa mencebik geram.

Apabila Nirmala sudah beransur kembali mengurung diri dalam ruang pejabatnya, barulah Anisa terkejar-kejar mencari Nurul Ain di bilik sederhana besar, berhampiran stor di belakang kedai.

Hati kecilnya diruntun resah mengenangkan ulah Nurul Ain sebentar tadi. Terjerut jantung mendengar rungutan Nirmala, barangkali. Sebab itu, laju sahaja langkah Nurul Ain meninggalkan mereka.

“Ain!” Anisa memanggil.

Senyap.

Anisa menjenguk ke dalam bilik itu. Kelibat Nurul Ain tidak kelihatan di mana-mana.

Kepala digaru. ‘Mana pula minah ni pergi?’

“Ain!” panggilnya lagi.

“Apa?” Nurul Ain menyahut.

Anisa menoleh, mencari arah datangnya suara itu.

“Ya Allah!” Anisa nyaris hilang keseimbangan tubuh. Mujur sempat berpaut pada dinding.

Nurul Ain tersengih lebar. “Kenapa cari aku?”

“Kau ke mana?”

“Tandas. Sakit perut aku ni,” kata Nurul Ain sambil mengusap perutnya.

Buntang mata Anisa. “Kau memerut?” Nurul Ain angguk kepala.

“Lah, aku ingat kau .layan perasaan sedih tadi.”

“Sedih sebab kena marah dengan dia tu?” Nurul Ain muncungkan bibir ke depan.

“Setakat marah-marah macam tu, telinga aku dah kebal lah,” lanjutnya dengan iringan tawa yang ditahan-tahan.

Tergeleng-geleng kepala Anisa.

“Sebenarnya kau ke mana? Tiba-tiba hilang.”

Keluhan berat meluncur laju dari ulas bibir Nurul Ain. Pelipis dahi diurut lembut. Berdenyut.

“Aku tolong kawan aku,” dustanya.

“Siapa?”

“Ada lah.” Dia terus berahsia.

Anisa mencekak pinggang. Rias wajah sudah mempamer kerut tanda curiga.

“Sejak bila kau sibuk nak tolong kawan kau tu? Kawan?” Nada suara ditekan rendah.

“Alah, kau ingat aku ni tak ada kawan lain selain kau ke? Tolonglah, Nisa. Kawan aku tu tengah trouble gila.”

Dahi Anisa berkerut-kerut. “Kau yang trouble atau kawan kau tu?”

“Nanti aku ceritalah. Tapi sebelum tu, aku nak minta kau tolong aku. Tolong cover aku. Pandai-pandailah kau jawab kalau nenek kau tu tanya. Lagipun, aku pergi belah pagi aje.”

Buntang mata Anisa. “Belah pagi aje kau kata?”

“Please...” rayu Nurul Ain.

Anisa juling mata ke atas. Entah apalah yang dirahsiakan Nurul Ain.

SEBAIK ternampak kelibat Tengku Hanif, Sabrina pantas mengejar. Tidak sempat bertanya apa pun, nama Kathy dahulu yang meluncur keluar dari mulut wanita itu. Tengku Hanif hanya mampu menghembus nafas berat. Siang malam, jendela telinga disua dengan butiran nama itu, sehingga naik sempit ruang pendengaran sendiri.

“Hanif lupa, ma.” Tengku Hanif merebah tubuhnya di kerusi lembut, terletak di tangah ruang tamu berkeluasan dua puluh kaki. Mata dipejam rapat. Sebelah tangan menanggalkan butang satu per satu, sehingga mendedahkan bahagian dadanya.

“Macam mana boleh lupa? Kan mama dah ingatkan Hanif, petang ni jemput Kathy, pergi makan malam dengan dia. Entah berapa lama dia tunggu Hanif dekat rumah dia tu.” Bebelan Sabrina umpama tidak menemukan titik noktah. Berjela-jela.

“Hanif dari mana?”

“Dari office.”

Sabrina mencekak pinggang. “Mama call Lufiya tadi. Dia kata Hanif keluar awal. Even papa pun tak sempat nak nampak batang hidung Hanif tadi.”

“Hanif ada hal dekat luar. Tu yang balik awal.” Penuh tertib Tengku Hanif menjawab.

“Apa yang disibukkan sangat dekat luar tu sampai lupa Kathy?”

Tengku Hanif memaksa diri duduk tegak. Kedua belah siku terpacak di kepala lutut, manakala telapak tangan meraupi wajah. Jelas, dia keletihan.

“Mama, boleh tak kalau tak sebut nama Kathy?” Tengku Hanif menongkat dagu pula.

“Kenapa tak suka? Esok lusa, hari-hari kamu nampak Kathy, tahu.” Rambut dilurut perlahan. Hendak ditentang lebih-lebih, nanti dia digelar anak derhaka. Kalau hati sudah tidak suka, hendak dibuat bagaimana lagi?

Dia bingkas berdiri.

“Hanif naik atas dululah, ma.”

“Hah, itulah! Kalau cakap pasal Kathy, laju aje dia lari.” Sabrina mengigit bibir tanda geram. Kecil sahaja dia pandang Tengku Hanif yang sudah mula mengira anak tangga naik ke tingkat atas.

Sampai di anak tangga terakhir, Tengku Hanif berhenti melangkah. Kepala menjenguk ke bawah. Sayup-sayup kedengaran bebelan Sabrina. Spontan, dia ketawa kecil. Kalau Sabrina tidak putus asa memadankan dia dengan Kathy, dia juga sama. Bukan mudah untuk meruntuhkan hijab hati sendiri. Perasaan itu tidak pernah hadir untuk Kathy.

Sambil bernyanyi kecil, dia kembali mengira jejak menuju ke ruang peraduan. Pintu dikunci rapat. Sekarang, inilah dunianya. Terpinggir dari bicara berbaur desakan Sabrina, jauh dari bayang-bayang Kathy.

Tubuh dihempas longlai atas kamar lembut. Senyuman halus bergulir di ulas bibir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience