Kampung Sungai Sayong
“ALHAMDULILLAH... dia sihat.” Zakaria membantu wanita tua itu untuk duduk di atas pangkin kayu, terletak di bawah pohon rendang dengan daunnya merimbun kehijauan. Benar-benar membuatkan sesiapa pun merasa cukup tenang tatkala berteduh di situ.
Panjang senyuman Mak Wok. Wajahnya kelihatan berseri-seri, tidak seperti kebiasaan.
“Aku rasa nak jumpa dia,” luah Mak Wok.
“Nanti saya bawa Mak Wok pergi sana,” tawar Zakaria. Lekas digeleng kepala berkali-kali. “Aku tak mahu.” Zakaria mengerutkan dahi. Hairan.
“Kenapa? Bukan Mak Wok kata nak jumpa budak Nurul Ain tu?”
“Belum sampai masa,” jelas Mak Wok secara ringkas. Paras Zakaria, anak kenalan rapatnya, diperhati lama.
Zakaria melepas pandang ke depan. “Dulu... budak tu... dekat mana Mak Wok jumpa dia?”
Dia kembali mencari wajah berkedut Mak Wok.
Mak Wok sengaja mendiamkan diri. Mula membendung ingatan itu daripada menduduki fikiran.
“Mak kau apa khabar?” Perbualan itu dilencong ke penjuru lain.
“Sihat. Cuma itulah... kerap demam. Lepas tu, sakit-sakit sendi. Risau juga,” keluh Zakaria.
“Biasalah tu. Orang makin lanjut usia.” Senyuman yang terukir mempertontonkan gigi yang tinggal bersisa. Tidak teratur.
“Mak Wok pun kena jaga kesihatan. Tu, kebun getah tu... apa salahnya upahkan orang. Mak Wok bukan kuat lagi.” Zakaria mempamer keprihatinannya. Emak dia dan Mak Wok teman akrab sewaktu zaman muda hingga kini. Cuma sejak masing-masing kian dimamah usia, maka terbatas segala pergerakan.
“Aku kuat lagi, Zakaria,” tegas Mak Wok. Kelaziman dia memang keras kepala.
“Tak payahlah pak cik suruh mak ni duduk rumah diam-diam, tak ada dia nak ikutlah.” Damia mencelah seraya tersenyum kecil. Dulang berisi teko dan cawan putih diletak santun. “Minum, pak cik.” Cangkir kopi diunjuk kepada Zakaria. Zakaria mengangguk. Unjukan itu bersambut.
“Mak ni jenis keras kepala.” Damia tersengih-sengih. Sempat mengelak tatkala cubitan Mak Wok nyaris singgah di peha.
“Untung Mak Wok ada Damia.” Zakaria memandang Damia, kemudian kembali mencari paras berkedut Mak Wok.
Mak Wok mengulum senyum. “Alhamdulillah... keluarga Damia ni, aku dah anggap macam anak cucu sendiri. Kalau tak ada keluarga arwah Kibak Hasan, tak tahulah mana aku nak pergi.” Perasaan sebak dan pilu yang beradu menghempas dasar hati segera dibendung kukuh. Meski berstatus adik ipar, namun hubungan yang terbina bagai tiada hijab yang memagari.
Damia segera membawa mata ke kanan, menjulang roman wajah wanita tua itu. Dia tahu, Mak Wok cuba tampil kuat di depan Zakaria, malah di depan sesiapa pun, Mak Wok jadi wanita paling tabah. Namun dia menyedari satu hakikat, jiwa Mak Wok terlalu memendam beban yang dia tidak tahu di mana akarnya.
“ATOK dah makan?” Lekas dicapai sehelai tuala kecil yang disangkut berhampiran tingkap. Tangan yang bersisa air paip tadi, dilap sehingga kering.
“Dah. Lepas tu, Mia teman mak sekejap,” beritahu Damia. Tupperware merah jambu diletak atas meja.
“Mia dah makan sekalilah dengan atok tadi?” Sanium menghampiri anak daranya yang tampak sedang bermenung panjang.
“Mia?” Sanium menegur. Bahu itu dicuit-cuit.
Damia tersentak. “Ada apa umi?” ajunya. Sanium mengerut dahi.
“Mia berangan apa tu?” Soalan juga yang dilontar.
Spontan, Damia menghela nafas panjang. Seolah melepaskan satu hembusan udara yang menyempitkan dada.
“Umi... umi kenal siapa Dayang Nur Aishah?” Redup mata dia merenungi Sanium.
“Siapa?” Kening wanita itu hampir bertaut.
“Dayang Nur Aishah. Mak selalu cerita dekat Mia.”
Sanium berfikir sejenak. Cuba menelusuri ingatan sendiri, mana tahu ada terselit nama itu dicelah-celah memori lama.
“Kenapa tiba-tiba Mia sebut nama tu? Mia kenal?” Sanium kembali beransur ke singki. Ligat mencuci bekas itu dengan buih sabun.
Damia menggeleng. “Tak. Mia tak kenal tapi mak selalu cerita dekat Mia. Ke orang yang disebut-sebut tu keluarga mak?” Damia memandang Sanium. Dia mahukan penjelasan yang lebih terperinci.
“Entahlah, Mia. Seingat umi, atok Mia tu tak ada sesiapa. Kahwin dengan arwah suami dia tu pun, tak ada anak. Saudara-mara pun, tak ada. Bukan apa, atok tu dulu anak yatim. Hidup sendiri,” jelas Sanium.
Wajah dikerutkan. “Tapi, kalau dengar cerita mak, Dayang Nur Aishah tu macam ada hubungan istimewa dengan dia.”
“Atok tak cakap apa-apa?”
“Tak.”
Sanium berfikir kembali. “Mungkin ada lah tu, orang yang dia kenal.”
Damia enggan membalas walau sebutir bicara pun. Bagi dia, Dayang Nur Aishah itu terlalu misteri. Terlalu disayangi Mak Wok sehingga kewujudannya seakan ada di sisi wanita tua itu.
‘YA ALLAH...’ Mak Wok urut kepala lutut yang terasa lenguh. Sejak dua menjak ini, bahagian kaki terasa sakit benar tatkala menguruskan rumah yang tidak seberapa luasnya. Barangkali tubuh sendiri kian menghampiri keupayaan yang paling minimum di usia begini.
“Pandai Bang Amin mengurut.” Dengung suara sendiri merempuh ingatan.
Disertai bibit-bibit manis antara dia dan suami terus terpapar jelas.
“Abang kan belajar mengurut dari arwah emak.” Paras suaminya melekat kuat, seolah enggan minggir. Senyuman yang terlukis di wajah itu benar-benar menggamit rasa rindu yang tidak pernah berkesudahan.
Tangan dibawa ke dada. Perlahan-lahan ia bergerak mengelus dada. Perit saat mengenangkan pemergian suaminya dalam keadaan tragis. Apatah lagi kematian itu turut menjemput nyawa isteri bekas majikannya.
Sengaja dia dikerah meninggalkan rumah besar itu kerana dia tahu, dia tidak akan kuat untuk terus berlindung di situ. Kecaman itu turut bakal mengejar si kecil yang sengaja disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa. Kerana melindungi si kecil itu adalah kemestian bagi mereka.
SABRINA kerut muka. Paras suaminya diperhati tanpa berkelip mata.
“Kenapa tiba-tiba abang tanya?” soalnya kehairanan.
Awang Kader menjulang pandangan ke hamparan langit yang kebiruan, diselaputi dengan awan nipis memayungi daratan bumi.
“Tiba-tiba teringat dekat dia,” jawab Awang Kader. Sedikit demi sedikit, roman wajah wanita yang dipanggil Mak Wok terlakar jelas dalam kotak ingatan.
“Berat hati masa tu nak biarkan Mak Wok pergi,” lanjutnya lagi.
Sabrina sekadar merenungi wajah itu tanpa mengeluarkan apa-apa bicara pun.
“Dulu, masa Mak Wok tahu arwah Aminah mengandung anak kami, terus jadi macam pengawal keselamatan dah dia tu. Itu tak boleh, ini tak boleh. Sampaikan arwah ayah dan umi mampu geleng kepala aje.” Penceritaannya mendasari memori lampau yang setia terpunduk dalam belahan ingatan.
“Aminah pula...” Jeda seketika.
“Jenis keras kepala sikit.” Senyumnya lebar lagi. Enggan mati.
“Tahu. Arwah kakak memang macam tu.” Akhirnya Sabrina melontar suara.
“Aminah... saya rindukan dia. Terlalu.” Tanpa disedari, ayat itu meluncur laju, lantas memenuhi persekitaran mereka.
Menyedari keterlanjuran diri, Awang Kader lekas menarik tangan Sabrina. Entah mengapa, kali ini dia tidak mampu membendung rasa hati sendiri tatkala menelusuri lipatan kisah lalu. Benar-benar keterlanjuran menzahirkan segalanya.
“Saya faham, bang.” Pantas Sabrina berkata saat ulas bibir suaminya sudah bergerak-gerak hendak menyatakan sesuatu.
“Arwah Kak Min tak akan pernah ada ganti.”
“Siapa kata?” Awang Kader menuntas. Jari telunjuk menuding ke arah Sabrina. “Na, kan pengganti arwah.”
“Tapi tak sama. Kami orang yang berbeza.”
“Tak ada beza di mata saya, Na. Na atau arwah, dua-dua istimewa dalam hidup saya.” Awang Kader bertutur lembut. Yang telah dijemput Ilahi kekal mengisi hati, malah akan sentiasa dicintai. Yang kekal bersama dengannya sehingga hari ini, akan terus disayangi sepenuh jiwa.
CENGKAMAN itu terlalu utuh untuk dilepaskan. Puas dia meronta, namun lelaki itu terus membawa dia ke dalam rangkulan.
“Lepaskan aku!” jerkahnya.
“Kau ingat, kau siapa Sabrina?”
Sabrina menggagahkan tenaga sendiri. Kaki diangkat paras pinggang, lalu dihentak ke belakang. Tepat mengenai kepala lutut lelaki itu.
“Bodoh!” Lelaki tersebut menderam marah. Lekas mengejar larian Sabrina yang sudah mati sebaik menemui jalan buntu.
“Kau iblis!” Sabrina menempik garang. Airmata kian gila mencurah-curah keluar.
Tawa garau lelaki itu memenuhi segenap pelosok bilik tersebut.
“Kau sombong sangat, Rina. Kau ingat aku ni siapa, hah?!” Sabrina kembali dirangkul kuat. Rontaan serta jeritan Sabrina tidak diendahkan.
“Binatang!” Sabrina menjerit nyaring.
MATANYA serta-merta terbuka luas. Seiring dengan itu, detak jantung memacu deras. Seakan baru lengkap menyudahi larian pecut beratus meter.
Dia bangkit dari perbaringan, terus tersandar lemah di kepala katil. Muka diraup berkali-kali.
“Kau terpaksa aku sabitkan dengan kekejian tu.”
“Sanggup kau buat macam tu pada aku!”
“Aku mahukan kau, Sabrina.”
Kedua belah telinga ditekup rapat. Mata kembali dipejam. Enggan membenarkan sebutir bicara itu kembali menerobos pendengaran. Telah dia hapus segalanya. Telah dia buang semua tanpa sekelumit pun menghinggapi diri. Nyata, itu tidak akan pernah kekal. Sedang kebelakangan ini, kian kerap dia dijengahi sesuatu yang telah jauh ditinggalkan.
Share this novel