BUKAN kali pertama dia injak kaki masuk ke ruang kerja Tengku Hanif, namun entah kenapa, kali ini turut sama membukitkan satu perasaan yang cukup asing. Rasa yang benar-benar membuatkan jiwa diamuk gelisah. Setiap lekuk paras lelaki itu terpeta sudah dalam ingatan. Seluruhnya.
“Ada apa-apa lagi?” aju Tengku Hanif. Tidak berkelip mata dia membelah renungan Nurul Ain.
Nurul Ain tersentak. Kepala digeleng laju. Pada saat kaki hendak melepasi pintu, dia kembali menghampiri Tengku Hanif. Sampul surat diunjuk kepada lelaki itu. Dan anak mata enggan menjamah setiap inci muka yang entah bagaimana riaknya. Unjukan itu bersambut.
“Kenapa pulangkan balik?” Tengku Hanif meletak sampul tadi ke tengah meja. Dia menompang dagu. Liar mata mengamati empunya badan yang berdiri tegak umpama tiang elektrik.
“Banyak sangat tu, Tengku. Saya ambil sebahagian aje.” Jujur Nurul Ain memberitahu.
Tengku Hanif bersandar. “Kalau orang dah bagi, ambil. Buat apa pulang balik?”
“Bayaran tu tak setimpal dengan apa yang saya buat. Bukan bertungkus-lumus pun macam orang lain, tup tup dapat gaji banyak,” ujar Nurul Ain.
“Ambil.” Sampul itu ditolak ke arah Nurul Ain.
“Tak apa, Tengku. Saya tak mahu duit tu.” Bersungguh dia menolak.
“I nak you ambil duit ni.” Suara itu agak tinggi. Memaksa. Buru-buru dia capai sampul kertas itu kembali.
“Terima kasih.” Ucapan itu bagai tersekat-sekat di kerongkong. Halus dan hampir tidak terkeluar pun.
“Sepatutnya you dapat lebih dari ni.” Sorot mata melekap pada skrin komputer semula.
“Hah?” Nurul Ain tercengang.
Tengku Hanif meleret senyum. “You layak untuk dapat lebih.”
Kepala sendiri jadi bercelaru. Satu pun ayat Tengku Hanif tidak mampu dicerna dengan baik.
“Tengku...” Kaki masih berpijak di tempat sama.
“Yes?” Tengku Hanif menjulang paras empunya diri yang memanggil.
“Mmm...” Liur ditelan kesat.
Wajah Tengku Hanif mulai dilatari kerutan. Dalam. “Kenapa?” Nafas dihela panjang. Bagaimana hendak dilontar pertanyaan itu?
“I’m waiting.” Kening dijongket tinggi.
“Kerja tea-lady tu, masih available tak?” Rengkungan terasa menyempit ketika itu. Seolah deru nafas tersekat daripada terlepas keluar.
Punggung terus diangkat meninggalkan kerusi empuk. Langkah dikemudi melepasi hujung meja. “Why?”
“You nak apply?” Tengku Hanif menyoal lagi.
Belum pun sempat telan liur, Tengku Hanif buka mulut kembali. Langsung bejat lidah dia hendak bergulung memutar bicara.
“Hari tu, I dengar you cakap dekat Suhaimi yang you dah ada kerja tetap.
Dekat kedai bunga tu, kan?” Tengku Hanif pamer riak hairan.
“Bukan untuk saya. Tapi kawan saya. Urgent nak kerja,” beritahu Nurul Ain. “Siapa?” Tengku Hanif berpeluk tubuh.
“Kawanlah.”
“I know kawan. Tapi siapa?”
Pandangan dijulang tinggi, membalas renungan Tengku Hanif. Sekali lagi, perasaan dilanda ‘sesuatu’. Tuhan, kenapa dengan dia?
“Abaikanlah Tengku. Biarlah kawan saya tu cari kerja sendiri. Kang saya tak dapat kerja part-time dekat sini pula, ye tak? Saya keluar dulu, Tengku.” Segera dia meminggirkan diri dari sorot pandangan Tengku Hanif. Pintu ditutup rapat. Tiada lagi udara dingin menyelubungi namun hati dia masih sama seperti tadi. Disentuh
‘sesuatu’ yang terlalu aneh.
“TOLONGLAH Kak Mala. Takkan sampai kena berhenti bagai?” Anisa merayu. Airmata gadis itu mulai bertakung, memenuhi tubir mata yang kian rabak. Kata putus Nirmala seolah satu hukuman pancung mandatori!
Nirmala pekakkan telinga. Fail atas meja diselak kasar. “She get what she want.”
Anisa ketap bibir.
“Tak adil bagi dia!”
Mencerlung tajam mata Nirmala, menujah busur tajam ke arah Anisa.
“Habis, adil untuk aku lah? Dia yang cari fasal. Tak tahu berdisiplin. Daripada tabur duit bayar gaji dia yang kerja macam tu, baik aku gaji orang lain,” marah Nirmala.
“Aku tahulah dia ada kelulusan apa tu... jurutera apa entah! Tapi jangan nak besar kepala pula. Dekat sini, kau ada master atau PhD sekalipun, tak ada hak istimewa, tahu?” Melengking tinggi suara Nirmala, seolah hendak dia telan sebutir demi sebutir. Relung dada semakin menyempit.
Tidak sampai lima minit, Anisa sudah terkocoh-kocoh mendapatkan dia yang duduk terpunduk di penjuru kedai, berskala kira-kira lima meter dari ruang kerja
Nirmala.
“Ain!” Anisa menerpa. Terus beradu pelukan. Gadis itu mengogoi hambur tangis yang bukan sedikit. Seumpama pemecatan dia membawa makna ‘mati’ atau hukum penggal kepala.
“Nisa...” Dia memanggil lembut. Belakang badan Anisa dielus.
“Jangan berhenti,” larang Anisa. Esak tangisnya terus bergema di jendela telinga.
“Kalau kau tak ada, aku tak boleh hidup!” Anisa sembam muka ke bahu Nurul Ain.
“Overlah kau Nisa.” Nurul Ain berkata, lantas tertawa gelihati.
Anisa mendongak. “Kau tak sedih?” Airmata dikesat kasar.
Nurul Ain menjongket bahu. Kemudian, Anisa ditarik agar mengekor dia ke ruang belakang kedai. “Aku kena berhenti kerja aje, bukan kena hukum gantung.” Mata dibulatkan.
Anisa mencebik. Lambat-lambat dia hela nafas berat.
“Dia tak patut buang kau.”
“Itu kata kau, tapi dia? Dan memang patut aku kena buang. Kan ke aku selalu hilang?”
Kerlingan nipis membidik paras Nurul Ain. “Kau nak kerja mana lepas ni?” “Allah yang bagi rezeki, Nisa. Nanti ada lah bahagian untuk aku.” Nurul Ain mengukir senyum yang pastinya tidak mencuit sedikit pun hati Anisa.
“Kau sedar tak yang kau ni sebenarnya bodoh?” Selamba Anisa mengungkap kata sehingga naik juling mata Nurul Ain merenungnya. Bibir sudah terketap rapat.
“Cantik bahasa!” Nurul Ain mencekak pinggang. Jelas, Anisa telah kembali ke kondisi asal.
“Mahu tak bodoh? Dah belajar tinggi-tinggi, ada sijil bagai tapi tak nak pun apply kerja setanding ilmu dalam dada kau tu.” Jari telunjuk Anisa tertuding-tuding ke dada Nurul Ain.
Nurul Ain memilih untuk diam. Hanya ulas bibirnya melentur senyum halus.
‘Walau apa pun terjadi, Ain anak abah. Selamanya puteri kesayangan abah. Jangan tinggalkan ibu mahupun adik. Selain abah, Ain adalah kekuatan untuk mereka.’
Bisikan suara yang berdengung dalam kepala seumpama turut berhembus bersama kewujudan Abdul Halim di sisi. Mata dipejam seketika. Serta-merta, dia dihambat rasa rindu. Tuhan, moga dia bahagia di sana.
“Atau senang, kau kerja jadi full-time tea lady. Bukan ke kau part-time aje kat sana, kan?”
Terus celik mata dia tatkala rangkulan ingatan beberapa hari lalu membenamkan bicara Anisa bersama. Setelah difikir masak-masak, dia telah lontarkan hajat hati namun melihat penerimaan Tengku Hanif, terus diputar lidah sendiri. Untuk kawan, kononnya.
Tangan kanan menyeluk poket seluar. Empat keping wang kertas berwarna ungu ditarik keluar. Rezeki tidak terduga. Lihat, Tuhan sudah berikan sesuatu untuk dia walhal permintaan itu hanya diluah pada setiap penghujung solat.
SURIANI terpaksa menurut. Kerja-kerja tadi ditinggalkan begitu sahaja.
“Kan Ain dah cakap dekat ibu, dah banyak kali ingatkan, jangan sibuk-sibuk buat kerja apa pun. Doktor bagi ibu cuti untuk ibu berehat. Ni nak juga ambil upah masak nasi lemak.” Nurul Ain melipat lengan kemeja yang dipakai sampai ke pangkal siku. Sudip dicapai. Sambal tumis ikan bilis dalam kuali dikacau perlahan.
“Bukan banyak pun. Tiga puluh bungkus aje. Ibu bukan apa, kesian dengan Kak Leha kamu tu, Ain. Asyik bertanya aje.” Mata garfu dileret secara memanjang pada timun. Kemudian dipotong nipis.
“Ibu...” Nurul Ain tarik nafas. Dia menoleh. “Ibu belum sihat. Kaki tu, bukan kuat mana. Nanti dibuatnya tersadung ke, apa ke, kan susah. Alah, nasi lemak ibu ni, kalau Kak Leha nak, tunggulah sampai ibu betul-betul sihat. Lagipun, ibu dapat cuti dekat dua minggu ni, boleh rest cukup-cukup. Nanti bila dah jumpa balik kerja-kerja ibu dekat office tu, tak sempat dah nak rehat. Jadi gunakanlah masa cuti ni puaspuas.” Nasi dalam periuk dijenguk sekilas. Bau harumannya menusuk rongga hidung, lantas menerbitkan rasa lapar yang membuar-buar.
“Ibu lagi rela hadap sakit kepala, stress bagai dalam office tu, hadap kerja tu daripada hadap bebelan Ain dan adik.”
Nurul Ain menoleh. Hampir bertaut keningnya. “Ibu ni...!”
Sudahnya, Suriani ketawa kecil. Dia tahu, Nurul Ain terlalu risau walhal kecederaan yang dialami kian beransur pulih.
“Ain ni macam abah.” Otot muka dilentur, membentuk sebuah senyuman halus.
Bejat segala tindakan Nurul Ain sebaik kata-kata sebegitu tenang menerobos masuk ke dalam jendela telinga.
“Tu, tengok sambal tu. Nanti hangus.” Suriani mengingatkan dalam nada bergurau.
Buru-buru Nurul Ain capai sudip. Tidak sempat hendak melayani perasaan pilu tatkala nama abah disebut ibu.
“Ibu rindu abah?” Dia menyoal perlahan.
Suriani mengambil bekas berisi telur rebus. Kulit telur-telur itu mahu dibersihkan sebelum dibelah menjadi dua bahagian.
“Siapa tak rindu suami, Ain? Ibu selalu berdoa agar Allah temukan kami di syurga nanti. Anak-anak ibu juga,” tutur Suriani.
Bibir Nurul Ain bergerak-gerak seperti hendak menyatakan sesuatu namun seumpama ada bijian batu besar tersekat di kerongkong. Sesekali dia memaling muka, memerhatikan paras ibunya sekali imbas.
“Eh, Ain ni tak kerja ke hari ni?” Suriani memandang jam dinding. Kalut mendengar omelan Nurul Ain tadi, dia jadi lupa. Nurul Ain pulang lebih awal daripada kebiasaan. Jarum jam baru berdeting menunjukkan angka tiga petang.
“Kerja. Separuh hari aje,” bohong Nurul Ain.
“Kenapa separuh hari?” Suriani hairan.
“Rasa macam tak sihat.” Dia berdalih lagi.
Naik tinggi kening Suriani. Lihat zahirnya Nurul Ain, tampak segar-bugar.
Bibir diketap bagi menyembunyikan kegusaran sendiri. Berkata bohong bukan kelaziman baginya meski sesetengah ‘idealogi’ menyelitkan bohong sunat. Benarkah dia bodoh kerana tidak menumpahkan ilmu yang dia punya ke tempat yang sepatutnya? Jujurnya, dia enggan berjauhan dari ibu dan Ashikin. Dia tidak mahu kesibukan kerja menjadi batu pemisah yang bakal menjarakkan hubungan antara mereka. Bagi mata yang melihat, pasti usaha dia selama ini bagaikan sia-sia. Atau mungkin, rezeki itu belum ditemukan lagi.
“Biar Ain tolong ibu bungkus nasi lemak ni.” Dia menawar bantuan. “Pukul berapa Kak Leha nak nasi ni, bu?” lanjutnya.
“Dalam pukul 5 petang nanti. Katanya ada buat majlis kecil untuk budakbudak kelas agama dia tu.” Suriani menghulur bekas berisi telur yang sudah dibelah dua kepada Nurul Ain.
Suriani menoleh ke belakang. Dahinya berkerut.
“Kenapa, bu?” soal Nurul Ain. Hairan memerhatikan ulah wanita itu.
“Ibu dengar ada orang beri salam,” beritahu Suriani.
“Ain tak dengar apa-apa pun.”
“Ada. Ibu dengar. Ain pergi tengok kejap sana.”
Nurul Ain patuh. Terkocoh-kocoh dia berlari anak menuju ke pintu utama. Tombol besi dipulas dan pintu dibiar merenggang luas.
“Encik cari siapa?” Nurul Ain menyarung selipar jepun. Langkah dikemudi mendekati pintu pagar.
“Puan Suriani ada?” Lelaki tersebut mengaju soalan juga.
“Ain... siapa yang datang?” Gema suara Suriani menderu keluar dari bukaan pintu itu.
“Ni ha...” Nurul Ain menoleh. Kaki berundur menjauhi lelaki tadi.
“Siapa?” Suriani muncul di tengah pintu.
Sebaik terlihat kelibat Suriani, lelaki tadi lekas menguntum senyum.
“Assalamualaikum, Kak Su,” sapa Zakaria.
Seumpama ada rantai besi sedang menarik kuat kakinya merunduk ke dasar lantai sehinggakan dia pegun di situ. Tidak mampu bergerak walau seinci.
“Zakaria datang cari mak. Sejak kamu dan arwah Halim berpindah ke sana, dia tak dapat nak hubungi kamu sekeluarga. Bila ada orang datang cari dia dan bertanyakan hal Nurul, dia buka mulut ceritakan semuanya. Jadi, sekarang ni... dia nak pastikan bahawa Nurul Ain memang ada bersama kamu, Su.”
Dada tiba-tiba sahaja menyempit. Dengungan bicara Hajah Ramlah sudah mula mencarik-carik hatinya.
“Zakaria...” Suara dia kedengaran cukup halus. Terus terbang dibawa bayu yang bertiup hangat.
Share this novel