TERGOPOH-GOPOH Nurul Ain berlari ke ruang pejabat Nirmala. Nafas panjang ditarik sedalam mungkin sebelum melangkah masuk bilik itu. Seumpama hendak berjumpa dengan ketua segala ahli sihir.
Sebaik sahaja mendepani Nirmala, Nurul Ain tidak angkat muka pun. Dia menunduk. Dalam kepala, berputaran segala kemungkinan kesalahan yang dilakukannya hari ini.
“Hari ini awak hantar bunga kat Coffee House. Mereka nak dalam masa dua jam dari sekarang.” Nirmala mula memberi arahan. Dia membelek beberapa helai kertas di dalam sebuah fail hitam berkulit keras.
“Dengar tak?”
“Dengar,” sahut Nurul Ain. ‘Eleh, kalau tak ada aku, memang tak berhantarlah bunga-bunga kau tu,’ desis Nurul Ain di dalam hati. Dengan cara itu sahaja dia berani hendak meluahkan perasaan marahnya terhadap Nirmala.
“Nisa dah packing bunga-bunga tu. Tak banyak mana pun,” sambung Nirmala lagi.
Terangguk-angguk kepala Nurul Ain, meski dalam kepala, terbit pelbagai persoalan. Nama kedai tersebut cukup asing di pendengaran.
“Buat apa lagi kat sini? Pergilah hantar bunga tu. Nanti lambat, aku juga yang kena marah,” bebel Nirmala.
Nurul Ain berlalu pergi. Sampai di luar pintu yang tertutup rapat, Nurul Ain mencekak pinggang. Naik juling matanya merenungi pintu kayu itu. Sakit hati! ‘Sabar Nurul Ain. Sabar. Nirmala itu bos kau. Kau siapa hendak marah-marah macam ini?
Lebih baik engkau ikut sahaja apa yang dia arahkan.’ Nurul Ain memujuk diri sendiri.
“Nah, ni bunga tu.” Anisa menghulur dua bekas plastik berisi bunga-bungaan segar yang dibungkus dengan kertas suratkhabar. Nurul Ain mengambil plastik itu dengan muka masam mencuka.
“Tak matilah kalau lambat sikit hantar tempahan tu. Lagipun... tak ada pula customer yang marah-marah. Okey aje, kan? Dia pula yang terlebih risau.” Nurul Ain mengomel geram. Pada Anisa sahajalah dia melepaskan rasa tidak puas hati.
“Nak buat macam mana? Dia tu bos. Aku pun selalu juga kena marah. Lagilagi kalau stock bunga datang lambat. Aku lebarkan aje telinga. Ni, telinga aku dah naik bernanah tahu. Bukan kau sorang yang macam tu.”
Nurul Ain ketawa. Kadang ketika hati dijentik gelihati mengenangkan perangai Nirmala. Konon berstatus anak saudara, langsung tunjuk besar kepala.
“Bos kecil!” Mereka berkata serentak. Kedua-duanya suka menggelar Nirmala dengan nama itu- bos kecil.
“Eh, apa nama kedai tu? Coffee... coffee.” “Coffee House,” beritahu Anisa.
“Area mana Coffee House tu?”
Terjuih-juih mulut Anisa menghala ke depan.
“Sana?” soal Nurul Ain. Dia menuding jalan yang membelok ke sebelah kanan. Anisa mengangguk.
“Alah, sekangkang kera jauhnya pun nak suruh cepat-cepat hantar,” rungut Nurul Ain.
Anisa sekadar senyum kecil. “Kau masuk jalan situ, lepas tu belok kanan. Terus aje. Kedai tu baru buka. Tak silap aku baru dua minggu kut beroperasi. Comel gila kedai dia. Ala-ala Coffee Prince gitu.” Bersemangat Anisa bercerita tentang kedai itu. Semalam dia berkesempatan singgah ke sana.
“Kau kirim salam aku dekat mamat yang jaga kaunter ya.” Meleret senyum nakal Anisa.
Nurul Ain jongket kening. “Mengada!” cebiknya. Anisa tertawa kuat.
‘ZAKRI.’ Berdesir suara hati memerhatikan tanda nama yang dipin kemas pada baju lelaki tersebut. Barangkali, lelaki inilah yang diminati Anisa agaknya. Dia terus menempa mata pada roman manis lelaki berkenaan.
“Kau kalau tengok dia senyum, gerenti pengsan!” Bergema bicara Anisa yang sempat dititip padanya. Sejurus itu, dia tertawa kecil. Apa pun yang dibicarakan Anisa, segalanya kelihatan gah.
“Ini pesanan cik tadi.” Zakri mengunjuk sebekas plastik kepada Nurul Ain.
Unjukan itu bersambut. Sekeping wang kertas merah diberikan kepada Zakri.
Selang beberapa saat, baki wang dikembalikan.
“Terima kasih,” ucap Nurul Ain, selajur melentur otot muka, membentuk sebuah senyuman.
Bekas itu dibelek-belek. Bau harum semerbak minuman itu memecahkan liur sendiri.
“Cepat sikit balik. Mak kau dah bising. Asyik tercari-cari kau. Itulah, susah kalau jadi anak kesayangan ni.” Suara di hujung talian sana kedengaran begitu dekat. Sempat juga Anisa mengenakan dia dengan gelaran ‘anak kesayangan.’
Nurul Ain menjeling jam di tangan. “Lima belas minit lagi aku sampai. Suruh nenek kau tu sabar sikit.”
“Eh, mak sendiri tak nak mengaku.”
Herot bibir Nurul Ain terjongket ke atas. “Dahlah. Kang aku lambat, kena marah pula. Nenek kau tu suka membebel, tahu!” selorohnya.
Corong telefon bimbit gamat dengan hilai tawa Anisa. Sejurus panggilan itu berakhir, Nurul Ain menghela nafas panjang. Dalam apa jua hal, Nirmala tidak pernah bersabar. Bukankah sabar itu sikap terpuji? Malah diumpamakan sebahagian daripada iman.
Entah mengapa, tubuhnya tiba-tiba terasa melayang selepas terlanggar sesuatu dengan begitu kasar sekali. Belum pun dia sempat menahan diri, dia sudah jatuh menyembah bumi.
“Miss, are you okay?!” Seorang gadis datang menerpa.
Nurul Ain terangguk-angguk dalam kekeliruan. Sepasang kasut hitam berkilat menggamit pandangan. Berjarak kira-kira tiga meter darinya. Leret mata menjulang sehingga ke atas.
“Boleh bangun tak?” Gadis pelayan tadi menyoal kembali.
“Boleh,” sahut Nurul Ain. Berbantukan gadis pelayan itu, dia kembali memijak lantai dengan stabil. Mujur hanya dua tiga orang pelanggan pun waktu itu.
Masing-masing sekadar mengerling sekilas dan tumpuan ke arahnya langsung lenyap.
“Thank you.” Bibir dipaksa mengukir senyum bagi melindungi rasa malu.
‘Kopi!’ Nurul Ain menggelabah. Mana terbangnya secawan kopi untuk
Nirmala tadi? Berpusing-pusing dia di situ.
“Cari ni?”
Bersinar-sinar bebola mata Nurul Ain melihat unjukan cawan kertas warna coklat terang, berketinggian lebih kurang empat inci. Alangkah terkejutnya dia, saat bekas itu bertukar tangan, isipadunya seakan telah ghaib.
“Dah kosong?!” Terbeliak mata Nurul Ain.
“Ya.. tumpah. See?” Tengku Hanif menuding ke arah sebuah komputer riba di atas meja kayu, berhampiran tempat mereka berdua berdiri. Permukaan putih papan kekunci komputer itu tampak comot.
Serta-merta, Nurul Ain jadi gelabah. Komputer riba diangkat tinggi. Sisa air kopi keluar melalui celah-celah lubang badan komputer riba tersebut.
“Macam mana boleh jadi macam ni?” Keluhan itu seakan memenuhi rengkungan.
“Sorry,” ucapnya perlahan. Kepalanya semakin tunduk ke bawah. Bagai ada batu besar tergantung melenturkan batang leher.
“Maaf.” Nurul Ain tidak berani angkat muka walau sedikit. Dia sedar, ada mata-mata yang memerhati. Dan di hujung ceruk kedai ini, dua orang pekerja sedang berbisik sesama mereka sambil melorong pandangan ke arahnya. Nurul Ain ketap bibir.
Tengku Hanif tidak berkata sepatah pun. Bahkan ralit menempa paras itu.
“Tak apalah. Benda dah jadi,” lanjutnya seraya mencapai tisu dan kesan-kesan kotoran dan sisa air manis tadi dilap semampu boleh.
Nurul Ain ketap bibir. Seluruh jiwa dicengkam rasa bersalah. Apatah lagi melihat ketenangan lelaki tersebut, menambah beban sendiri. Walhal sepatutnya dia sudah berlapang dada kerana tidak dimarahi di khalayak ramai.
“Encik!” Dia pantas menghalang.
Langkah Tengku Hanif membeku.
“Biar saya bayar ganti rugi.” Nurul Ain menawarkan diri.
Naik tinggi kening Tengku Hanif. “You... mampu ke?” duganya. Muka kembali menghadap lantai.
“It’s okay. No need to bayar ganti rugi atau apa-apa pun.”
Mata terkebil-kebil sebelum pandangan di angkat menjulang rias tenang itu.
‘Benarkah?’ Hati berdetak detik.
“Tapi...” Lidah terasa bersimpul di hujung.
“Macam ni lah...” Jeda seketika. Komputer riba diletak atas meja.
“Kalau betul you nak bayar ganti rugi, I ada cadangan.” Jari-jemarinya bermain di sekitar dagu. Sedang leret mata kekal membidik roman kecut sang gadis. Lantas tanpa diduga telah menjemput serumpun perasaan gelihati. Cuma lekuk di muka tetap tiada memberi sebarang reaksi.
‘Kau yang cari bala, Ain.’
Ulas bibir Tengku Hanif menjadi tumpuan utama. Desir suara lelaki itu turut sama berdengung di anak telinga.
Dia kesal.
TELEFON bimbit dilambung tinggi ke udara. Apabila sudah bosan, dia menekan nombor-nombor yang melekat di atas permukaan alat komunikasi tersebut, sehingga akhirnya terbit satu gabungan nombor-nombor dan perlbagai simbol.
Hati bagai ditimpa batuan besar. Cukup memberati dada. Setiap helaan nafas yang terhembus seumpama begitu payah hendak melepasi rengkungan.
“Ain...” Sapaan lembut itu mengejutkan Nurul Ain. Dia menoleh. Terbias seraut roman lembut milik Suriani. Wanita itu tersenyum mesra memandangnya.
“Sejuk dekat luar ni,” rumus Suriani. Punggung melabuh duduk hampir di sisi Nurul Ain.
“Nak hujan, bu. Tu, guruh pun dah berdentam-dentum.” Nurul Ain pula membalas, seraya menjulang dada langit nan hitam. Tiada secebis biasan cahaya pun mampu meruak dari celah-celah kepulan awan.
“Adik mana, bu?” soalnya. Panjang leher mencari kelibat Ashikin.
“Mana lagi kalau bukan melekat depan tv.”
Terbit senyum kecil di pinggir bibir. Tanpa sedar, dia mengeluh berat.
“Ain ada masalah?” Suriani menduga.
Pantas dia menggeleng. “Tak adalah, bu. Ain penat aje.”
Suriani menyentuh lembut jari-jari Nurul Ain, Kemudian digenggam erat.
“Jangan sembunyi dari ibu kalau Ain ada masalah,” tutur wanita itu. Begitu lembut menyentuh kalbu Nurul Ain. Wanita mulia itu tidak pernah jemu membuatkan dia rasa disayangi. Tidak pernah jemu memberikan sepenuh perhatian kepadanya.
Sekali lagi, dia menempel senyum manis. Penuh keterpaksaan.
“Ain okay aje, bu. Cuma...” Lidah seakan beku seketika. Pandangan beralih ke sisi. Paras sang ibu ditatap lama sebelum leret mata kembali terbuang ke merata arah.
“Abah. Ain teringat pada abah,” katanya seraya menunduk kepala. Jari-jemari saling bersulam, direnung tanpa jemu.
“Perangai abah dengan Ain, serupa.” Suriani sembunyi senyum.
Nurul Ain kepit kening. “Apa yang sama?”
“Kalau ada masalah, suka pendam seorang diri. Lepas tu, duduk melangut macam sekarang ni, kan?” Dia menduga dalam senyum yang enggan padam. Sedikit sebanyak, relung jiwa yang tiada pernah kering dengan kerinduan, mulai berombak halus.
Paras Nurul Ain dihiasi bunga-bunga senyum nan menguntum. Biar pada dasarnya, lukisan wajah Abdul Halim terselit dicelah-celah rimbunan keserabutan akal fikiran, jiwa lebih gusar memikirkan kejadian lewat tengahari tadi.
Share this novel