‘MENARA GROUP merupakan sebuah syarikat anak tempatan yang begitu berjaya di dalam arena perniagaan hartanah. Perniagaan hartanah ini merupakan legasi keluarga Tan Sri Awang Khir yang mana kemudiannya diwarisi oleh anak lelakinya, Datuk Awang Kader. Kecekapan Datuk Awang Kader menguruskan Menara Group telah mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu di dalam negara ini.
Legasi keluarga itu, kini bakal diwarisi oleh satu-satunya anak lelaki Datuk Awang Kader iaitu Tengku Hanif. Beliau seorang yang sangat komited di dalam kerjaya sehingga mendapat kepercayaan bapa tirinya, Datuk Awang Kader untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Menara Group.’
Itu antara baris ayat yang tercetak di atas kertas dalam sebuah majalah tempatan. Tengku Hanif memerhatikan wajahnya sendiri yang terpampang di situ. Sesaat kemudian, majalah tersebut ditutup lalu ditolak ke tepi. Matanya terpejam rapat. Sedikit letih kerana seharian terpaksa menghadiri mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah syarikat dan beberapa pertemuan penting dengan pelanggan.
“Apa yang kau intai tu, Mi?”
Suhaimi mengeluh. Longlai langkah kaki diatur menghampiri Tengku Hanif.
“Lufiya...” Kedengaran sedih nada suara itu. Macam orang tengah frust menonggeng. Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif.
“Kenapa dengan kau ni? Tak laku jual minyak tadi?” senda Tengku Hanif. Bukannya dia tidak tahu Suhaimi begitu tertarik kepada setiausahanya. Pantang punya kesempatan, terus melekat depan Lufiya. Sebab itulah Suhaimi rajin benar datang melawat dia di bilik ini.
Keluhan halus meniti bibir Suhaimi lagi. Sejak kali pertama terpandang Lufiya, hatinya terdetik satu nada yang asing. Lama-kelamaan nada itu sebati dengan diri. Ada juga dia mencuba dekati Lufiya tetapi Lufiya tidak pula memberi sebarang respon. Ajak makan sekali pun, Lufiya enggan.
Tengku Hanif ketawa memerhatikan ulah sahabatnya. Duduk pun tidak senang. Sekejap kalih sana, sekejap kalih sini. Seolah ada sesuatu sedang menyakiti punggung.
Suhaimi mengerling ke arah Tengku Hanif. Mukanya beriak serius.
“Susah sangatlah nak mengorat setiausaha kau tu. Dah berbulan-bulan aku cuba, tak juga berjaya. Senyum aje. Cakapnya tidak,” rungut Suhaimi.
Pandangan mata Tengku Hanif dan Suhaimi melorong ke pintu yang merenggang luas. Tersembul Lufiya di situ. Dalam langkah penuh santun, Lufiya berjalan menghampiri Tengku Hanif. Suhaimi pula tidak lepas merenungi paras gadis yang telah menempah posisi istimewa dalam hatinya.
“Tengku nak minum apa-apa ke?” tanya Lufiya.
Tengku Hanif menggeleng kepala tanda tidak mahu. “Kau nak minum tak?” Giliran Tengku Hanif bertanya kepada Suhaimi pula.
“Cik Lufiya ke yang buatkan air tu?” Suhaimi mengambil peluang bercakap dengan Lufiya.
Tengku Hanif menepuk meja dengan kuat. Pantas Suhaimi mengalihkan pandangan mata. Tepat terpacak ke muka Tengku Hanif.
“Memang Lufiya yang buatkanlah. Kan tea-lady jabatan ni dah berhenti kerja.
Kau ni pun...” Dia angkat kening.
Suhaimi tersengih. “Tak apalah Cik Lufiya. Dapat tengok Cik Lufiya pun dah memadai. Hilang semua rasa haus.”
Lufiya melarik senyuman. Selepas itu dia meminta izin keluar. Dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki diperhatikan Lufiya. Sampai hendak terkeluar mata dari soket. Bila Tengku Hanif menegur lagi, barulah Suhaimi berpijak di bumi nyata.
“Kau nak ke mana?” tanya Suhaimi. Majalah itu tidak dipeduli lagi. Mengekor dia di belakang Tengku Hanif.
“Makan. Takkan nak jumpa perempuan kut? Dah dekat lunch hour dah ni.” Tengku Hanif menjawab, seraya bingkas bangun dan mencapai barang-barang peribadi miliknya.
“Perempuan? Siapa?”
Tengku Hanif dan Suhaimi terkejut. Masing-masing memanah pandangan ke arah sesusuk tubuh yang menyarung skirt pendek paras peha dan berkemeja tanpa lengan.
“Kathy?”
Kathy senyum melipat. Terus dia memaut lengan Tengku Hanif. Suhaimi pandang atas bawah.
“Yes... I’m here, Hanif. Why?”
“No, I mean...”
“Ke you terkejut tengok I datang sini jumpa you?”
Tengku Hanif membungkus rasa rimas sejauh mungkin. Tidak sesekali dia jatuhkan airmuka sesiapa pun di hadapan umum. Kathy dilayan sedaya mampu meski seluruh jiwa langsung tidak punya keikhlasan.
“Jom lunch,” pelawa Kathy dalam kuluman bibir yang melebar.
“I lunch dengan Suhaimi.”
“Great! Kalau macam tu, kita makan sekali. Bawa setiausaha you sekali.
Bolehkan, Fiya? I belanja.” Leret mata mencari paras Lufiya. Gadis itu sekadar tertunduk-tunduk cuba membilang reaksi sendiri.
“Thanks but no thanks. Kami rush nak jumpa client. Lain kali, boleh?” Dia masih berlembut.
Bibir merah milik Kathy mulai memuncung. Kerut halus juga ketara merayapi dahi mulusnya. Sambil berpeluk tubuh, dia berkata, “I tahu Hanif, you memang tak pernah ada masa untuk I, kan?”
“Lain kali tu, bila?” lanjutnya.
Segumpal nafas dilepaskan. Cukup berat. Lelah terasa melayani ulah Kathy. Saat ini, dia terlalu berharap, mereka kembali ke relung masa dahulu. Kathy yang memahami dan tidak terlalu menuntut orang sekeliling mengikut telunjuknya. Kathy yang ada dengannya sebagai seorang teman, tidak lebih dari itu. Kathy yang tertinggal lebih dua puluh tahun ke belakang.
“Mi..” Hujung jari telunjuk menuding jam di pergelangan tangan. Suhaimi terus mengangguk faham. Langkah temannya segera dibuntuti.
“Hanif!” Kathy berlari menyaingi langkah Tengku Hanif. Bungkam perasaannya apabila Tengku Hanif buat tidak endah seperti tadi.
“Hanif, your mum yang ajak kita lunch sama.”
Bejat gerak atur kakinya. “My mum?” soalnya seraya memandang Kathy yang tersenyum-senyum.
“Yes, your mum. And dia kata, ada sesuatu yang dia nak bincang.”
“Bincang?” Kecil mata Tengku Hanif membidik paras gadis itu.
Ulas bibir Kathy melentur senyum lebih lebar. “Us.”
Dahi Tengku Hanif berlapis-lapis. Kerutnya makin dalam. Jelas, Sabrina benar nekad hendak merencanakan penyatuan dia dan Kathy.
SABRINA tidak akan pernah berputus asa memujuk Tengku Hanif menerima dan melayani Kathy dengan baik. Daripada memadankan Tengku Hanif dengan orang lain, lebih baik dia memilih dalam kalangan keluarga mereka.
Langkah Tengku Hanif dibuntuti lambat-lambat. Sejak pulang dari makan tengahari bersama Kathy, Tengku Hanif tiada menutur bicara walau sebutir pun.
Mogok, barangkali.
“Kenapa dengan Hanif ni? Dari tadi mama macam cakap dengan dinding aje,” rungut Sabrina.
Tengku Hanif berpura-pura tekun membelek majalah sukan. Perasaan sebal melayani Kathy yang terlebih manja lewat tengahari tadi masih merajai hati. Jika akal waras tidak menduduki fikiran, sudah pasti Kathy ditinggalkan begitu sahaja. Bakal hilang sifat budimannya sekelip mata.
“Hanif tak suka apa yang mama cuba buat tadi.”
Berkerut dahi Sabrina. “Mama buat apa?”
Tengku Hanif menutup majalah itu. Dia berteleku di depan Sabrina.
“Mama cakap pada Kathy yang Hanif ni bakal suami dia. Jangan beri harapan palsu, ma.”
“Bukan harapan palsu, sayang. Hanif memang akan kahwin dengan dia nanti.” Lebar senyuman melatari wajah wanita itu.
“Hanif tak putuskan apa-apa pun, ma.” Tengku Hanif membidas tegas.
“Kamu yang tak nak mencuba.” Sabrina menuntas.
“Hanif tak layak untuk Kathy tu. Dia perlukan seorang lelaki yang bergandaganda lebih baik berbanding Hanif.”
“Atau Hanif rasa Kathy yang tak layak jadi isteri Hanif?” Tajam renungan Sabrina membelah hening pandangan anak terunanya.
Serta-merta, perasaan sendiri berbalut rasa serba-salah. “Bukan macam tu, ma.”
“Anak yang baik akan ikut cakap mama dia, macam Hanif, kan?” Sabrina memilih jalan untuk memaksa secara halus.
Pelipis dahi diurut perlahan. Denyutan keras menyengat tiba-tiba. Fikiran jadi semak memikirkan rancangan Sabrina yang bersungguh mahu menyatukan dia dengan Kathy.
Share this novel