LUFIYA angkat muka, menjulang paras manis yang sedang mengulum senyum padanya. Perlahan-lahan otot wajah turut membentuk segarit senyuman kecil.
Unjukan mug seramik berwarna merah hati diambil.
“Buat susah-susah Ain aje. Kak Fiya boleh ambil sendiri nanti,” ujar Lufiya. Entah dari mana datangnya gadis manis itu, dia tidak tahu. Kata Tengku Hanif, pekerja sementara yang menggantikan tempat Mak cik Leha selaku tea lady di jabatan mereka.
Bersama kuluman senyum yang belum mati, Nurul Ain membalas, “Dah kerja saya, Cik Lufiya.”
“Panggil Kak Fiya aje.” Lufiya mengingatkan.
Nurul Ain ketawa kecil. Kepala diangguk berkali-kali tanda faham.
“Tengku ada dalam tak?” Bibirnya terjuih ke depan.
“Ada. Ain nak jumpa dia ke?” Tumpuan Lufiya kembali terarah pada Nurul Ain.
Nurul Ain menuding jari telunjuknya pada cawan kosong di atas troli. Satusatunya cawan yang tinggal.
“Oh, nak kasi Tengku? Masuk ajelah.”
“Boleh ke?” Nurul Ain tampak ragu-ragu.
Meletus tawa kecil Lufiya. “Tengku tak makan oranglah,” selorohnya.
Dalam keterpaksaan, Nurul Ain leret tawa juga. Lambat-lambat dia menghampiri pintu bilik yang tergantung plat besi berwarna keemasan, dengan ukiran nama Tengku Hanif di atasnya.
Terimbau bagaimana teruknya badai yang menghempas jiwa, tatkala sepasang kakinya menjejak lantai lobi bangunan berketinggian lapan tingkat ini. Peluh-peluh dingin begitu rakus menggigit dahi, sehingga panasnya sampai ke kepala.
Perasaan itu bertambah runcing pada ketika tubuh kakunya berada dalam ruang pejabat lelaki tersebut. Sepanjang masa dia tenung lantai. Hanya sesekali angkat muka, namun enggan menentang atau membalas pandangan Tengku Hanif. “As you wish, I hire you jadi tea lady secara part time dekat sini. As long as tak ada pengganti, you kekal dalam jabatan ni. Is it okay?”
“Buat teh aje?”
“Yes. Hidang teh untuk semua pekerja I. Tak ada masalah, kan?”
Separuh masa itulah yang merunsingkan hati. Benar kata orang, terlajak perahu boleh diundur namun terlepas kata, telan juga meski memeritkan anak tekak.
“Kenapa tercegat dekat situ lagi, Ain? Masuklah.” Panjang leher Lufiya menjenguk Nurul Ain.
Kelam-kabut Nurul Ain pulas tombol pintu selepas disergah Lufiya. Apabila pintu merenggang sedikit, dingin suhu di dalam sana sudah mampu mengelus kulit tangan.
“AIR apa tu?” Tengku Hanif menyoal tanpa memandang Nurul Ain. Begitu tekun menghadap kertas kerja dan beberapa dokumen yang mesti disiapkan sebelum pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah keesokan harinya.
“Kopi,” jawab Nurul Ain. Bukaan mulutnya cukup kecil sehingga suara yang dilontar, segan-segan hendak terhambur keluar.
Tengku Hanif mendongak. Anak mata meratahi paras Nurul Ain yang menunduk kepala. Jari-jari gadis itu saling bersulaman.
“Mmm...” Cangkir kopi dicicip sedikit. Seperti mana air tangan Mak cik Leha dan Lufiya, Nurul Ain tidak kurang hebatnya. Terasa air kopi hangat itu begitu selesa menyusuri anak tekak.
“Sedap.” Pujinya seraya menguntum senyum kecil yang tidak mampu disingkap Nurul Ain.
“Tengku nak apa-apa lagi tak?” Ringan mulutnya menyoal.
“Why? Ada apa-apa lagi yang you nak hidang untuk I? Ada kuih?” Rendah suara itu menutur bicara.
Lekas Nurul Ain geleng kepala.
“Kalau macam tu, saya keluar dulu.”
“Thank you for this coffee.”
Terangguk-angguk kepala Nurul Ain. Sedikit pun tidak memicing roman sang lelaki itu. Laju-laju dia menebar langkah meninggalkan ruangan tersebut.
“Nurul Ain, tunggu sekejap.”
Pengemudian kaki tidak sempat melepasi pintu. “Ya?”
“Sekejap lagi, you naik level tujuh. Pergi cari Datuk Awang Kader,” suruh Tengku Hanif.
Berkerut-kerut dahi Nurul Ain.
Tubuh disandar ke kerusi. Kedua belah tangannya menyilangi dada. “Hantar air dekat Datuk,” lanjutnya dalam sekali nafas.
TIDAK lepas mata Sabrina meleret pandang ke arah seorang gadis yang baru sahaja memintas langkahnya. Lama dia memerhati sehingga hati tertarik untuk mengekor jejak gadis tersebut. Seumpama ada magnet mendesak dia berkelakuan begitu. Langkahnya semakin pantas. Tangan diunjuk ke depan, menyentuh bahu gadis yang berjarak beberapa inci sahaja.
Nurul Ain berpaling. Terkebil-kebil mata dia membelah renungan Sabrina.
“Auntie!”
Nurul Ain menoleh.
Sabrina melambai tangannya ke udara.
“Sorry Auntie Na. Tersangkut dalam jammed tadi.”
“It’s okay, sayang.” Sabrina menarik Kathy ke dalam pelukan. Sesudah itu, mereka saling berlaga pipi.
‘Ini sarung nangka ke manusia?’ Atas bawah diperhatikan perempuan tadi. Baju yang tersarung di tubuh itu cukup mendedahkan segala lekuk nan memikat. Tidak cukup dengan itu, bahagian peha dan lengannya pula sengaja dibiar menjadi santapan mata-mata sang arjuna.
“Tengok apa?” sergah Kathy. Bulat mata dia menerkam renungan Nurul Ain. Nurul Ain juling mata ke atas. Tidak luak kalau dia yang tengok.
Sabrina menggeleng kepala memerhatikan gelagat Kathy. Perlahan-lahan dia bersuara, “Menantu saya ni kepala angin sikit.”
Spontan, Nurul Ain tertawa halus. Langsung tidak mengusik gegendang telinga Kathy.
“Tak apa, puan.” Dia menyahut santun.
“Auntie, jomlah kita jumpa uncle. Nanti boleh ajak Hanif keluar lunch sekali.” Kathy melurut rambutnya yang panjang mengurai. Disisip atas bahu kanan.
“Hmmm...” sahut Sabrina, ala kadar. Sedang mata dia masih menitip pandangan ke arah lenggang gadis tadi. Sesuatu telah mengusik dasar hatinya. Sesuatu yang begitu dalam terpunduk di dalam sana dan enggan digali kembali di sepanjang hayat.
“Betul ke Auntie Na nak I jadi isteri Hanif?” Dalam senyum melipat, Kathy sengaja membangkitkan hal yang telah diusul Sabrina beberapa minggu lalu. Mekar kembang dada jadinya. Sehingga sukar untuk dia melelapkan mata saban malam garagara terbayangkan Tengku Hanif.
“Kalau dah jodoh, tak ke mana, kan?” Tangan Kathy diusap lembut. Lentur senyum Kathy semakin melebar.
“Kenapa tiba-tiba auntie nak satukan kami? Bukan sebelum ni, ramai anakanak dara kawan auntie kenalkan dekat Hanif.” Wajah Kathy membentuk kerutan halus.
“Dah semua dia tak nak. Jadi, dia nak Kathylah agaknya,” senda Sabrina.
“Serius?” Buntang mata Kathy.
Sabrina ketawa lagi. “Agaknya lah kut.”
“Auntie ni, saja nak buat I sakit dada.” Jari-jemarinya bertaut rapat, diangkat mengelus dada.
“Yang penting auntie tetap nak Kathy jadi isteri anak teruna auntie tu. Lagipun, Kathy bukan orang lain. Ada bau-bau bacang juga, kan?”
Tersipu-sipu Kathy jadinya. Status isteri kepada Tengku Hanif memang diidamkan. Bukan kerana harta, perasaan dia sendiri menggunung terhadap lelaki itu. Cuma Tengku Hanif tidak pernah ambil peduli.
“Paling penting sekarang ni, Kathy kena pandai ambil hati Hanif tu. Biar lembut hati dia. Biar dia suka dekat Kathy. Kalau Hanif buat perangai, Kathy jangan merajuk lebih-lebih. Nanti dia cepat bosan.”
Kathy tekun mendengar. Setiap butir bicara itu tersimpan kemas dalam kepala.
‘JEMPUT minum, Datuk.’
Nota kecil bertulis rapi dengan karbon pensel dibaca berkali-kali. Dia kehairanan.
“Datuk, petang ni Datuk ada meeting dengan Mr. Low.” Sufiah membelek buku berkulit kuning terang. Di dalam buku itu, tersimpan segala memo-memo penting majikannya. Dari sekecil-kecil perkara, sehinggalah sebesar-besar urusan, tidak pernah tertinggal untuk dicatatkan ke dalam buku berkenaan.
“And tomorrow, Datuk ada lawatan ke tapak pembinaan dekat Nusajaya.
Tengku Hanif dan Encik Irfan pun turut serta.” Bahagian kedua cantingan nota disuarakan. Kemudian dia membelek helaian seterusnya.
“Sufi.”
“Ya, Datuk.” Sufiah memandang lelaki separuh usia itu.
“Awak ke yang buatkan minuman ni?” Awang Kader menyoal. “Nota ni sekali?” Kertas kecil itu ditunjuk pula kepada Sufiah.
Pantas Sufiah menggeleng laju. Ada senyum halus menghinggapi pinggir bibirnya.
“Tea lady Tengku Hanif,” beritahu Sufiah.
“Bukan Leha dah berhenti ke? Atau dah dapat orang baru?” Nota kecil itu diletak kembali atas meja. Disisip bawah piring seramik yang menjadi alas cangkirnya.
“Orang baru.” Ringkas Sufiah berkata.
“Dah sejuk air tu, Datuk. Lama dah dia datang letak,” lanjut Sufiah lagi.
Naik tinggi kening Awang Kader. “Sampai ke sini tea lady tu hantar air?
Bukan dekat jabatan Hanif aje ke? Kita kan ada Alina.”
Sufiah jongket bahu. “Atas arahan Tengku katanya.”
Bertambah dalam kerutan merauti wajah Awang Kader.
“Papa.” Terjengul muka Tengku Hanif disebalik regangan pintu.
“Hah, Hanif! Masuklah.” Awang Kader berdiri. Kebiasaan cara dia menyambut sesiapa pun, walau anak sendiri.
Tengku Hanif melangkah masuk mendekati ayahnya. Senyuman manis Sufiah dibalas mesra.
“Saya keluar dulu, Datuk, Tengku.” Sufiah memohon undur diri.
“Sufi, selain perkara yang awak sebut tadi, ada apa-apa lagi yang perlu saya tahu?” Sempat Awang Kader mematikan langkah setiausahanya.
“Itu aje, Datuk. Yang lain-lain nanti saya inform Datuk.” Seulas senyuman dititip lagi.
“Bukan main jauh lagi tea lady kamu ukur jalan, sampai ke office papa.” Awang Kader mengunjuk nota kecil yang disisip bersama cangkir kopi.
“Nota?” Anak mata meneliti setiap abjad yang membentuk rangkai ayat.
Serta-merta, otot pipi jadi lentur. Senyumnya kecil namun tampak jelas merauti wajah.
Nota itu dikembalikan kepada Awang Kader.
“Did you meet her?” usul Tengku Hanif.
“Mana sempat papa jumpa tea lady tu, Hanif. Masuk-masuk aje, dah ada secawan kopi atas meja. Sekali dengan nota ni,” beritahu Awang Kader.
“Yang kamu suruh orang tu hantar minuman dekat papa, kenapa? Sufiah ada.”
“Papa...” Tengku Hanif bersandar tubuh. Pandangannya melorong tepat ke paras lelaki separuh usia itu.
“Nama dia Nurul Ain.”
Awang Kader terkebil-kebil. “Nurul Ain?” Tengku Hanif angguk kepala.
“Nurul Ain,” ulangnya.
“Nurul... Ain...” Ulas bibir Awang Kader bergerak-gerak, menghembus nama itu dalam hela nafas cukup halus.
Pandangan keduanya bersatu.
“Hai uncle. Eh, Hanif pun ada juga.” Suara manja Kathy mengejutkan dua beranak tadi yang begitu ralit membungkus perasaan dalam gumpalan suasana sepi.
Kemunculan Kathy diekori rapat oleh Sabrina.
“Hanif pun ada juga.” Lebar senyuman wanita itu. Anak bujangnya dirapati. Bahu pemuda itu dielus lembut.
“Kita keluar lunch sama. Kathy pun ada sekali ni.” Sabrina pantas mengusul cadangan.
Tengku Hanif tidak memberikan sebarang tindak balas. Sekadar menyepikan diri di tengah-tengah ruang perbualan tersebut. Sesekali leret ekor mata Awang Kader menembusi paras Tengku Hanif. Dia sedar, Tengku Hanif tidak pernah suka Kathy lebih daripada seorang kawan. Namun, sejak akhir-akhir ini, Sabrina menunjuk minat sangat mendalam merencanakan hubungan antara anak muda itu dan Kathy.
Share this novel