SEEKOR anak patung beruang diunjuk kepada Nani, si kecil berusia dalam lingkungan tiga tahun. Anak kecil itu menjadi penghuni paling muda di Rumah An-
Nur. Malah penghuni-penghuni yang lain menggelar Nani dengan panggilan ‘adik’.
“Tak mahu?” Nurul Ain tetap mengunjuk pemberiannya meski kepala Nani sudah tergeleng-geleng tanda enggan.
“Comel tau,” kata Nurul Ain lagi. Masih belum berputus asa menarik perhatian si comel Nani.
Anak patung beruang bermata bulat ditatap sendiri. Keningnya terjongket sedikit. Sesekali meleret pandangan ke arah Nani.
“Hai Nani! Nama saya Teddy. Nak kawan dengan Nani, boleh tak?” Kecil suara Nurul Ain seumpama terpunduk di kerongkong. Sengaja menukar nada agar kedengaran lucu. Apabila jari-jari kecil Nani mula menyentuh hujung kaki anak patung itu, Nurul Ain tersenyum lebar.
“Teddy?” Bibir mungil Nani terkumat-kamit.
“Ya, nama saya Teddy. Nak peluk Nani, boleh?” Nurul Ain bertindak mendekatkan anak patung beruang itu hampir kepada Nani. Sejurus itu, Nani terus mendakap barang permainan itu dengan begitu erat sekali.
Kepala Nani diusap-usap. Ralit sungguh memerhatikan si kecil yang mulai tenggelam dalam dunia penuh imaginasi. Anak patung beruang tadi diletak atas kereta kecil, lalu Nani menggerakkan kereta itu dengan sisipan bunyi enjin kereta. Nurul Ain tertawa senang.
Nani, anak kecil yang telah kematian kedua ibu bapanya, ekoran kejadian malang yang menimpa keluarga kecil itu. Mujur ada tangan yang datang menghulur bantuan. Puan Hajah Imani dan suaminya, Tuan Haji Rosdi – pengasas Rumah AnNur, berbesar hati mengambil Nani dan dijadikan salah seorang daripada dua puluh lima orang anak angkat mereka, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ratarata berusia dalam lingkungan tiga tahun sehingga enam belas tahun.
Tumpuan Nurul Ain beralih ke sisi, melorong pandangan ke arah dua orang budak lelaki yang mendatangi Badri.
“Abang, boleh tolong bukakan plastik ni?” Bungkusan plastik lutsinar itu diberikan kepada Badri.
“Sekejap ya.” Badri berkata, seraya melatari wajah dengan senyum kecil.
Bungkusan tadi diambil.
“Mari sini, biar Kak Ain yang tolong,” celah Nurul Ain. Bungkusan tersebut telah bertukar tangan. Penuh tertib, dia mengoyakkan plastik yang membaluti set permainan miniature robot Transformer.
Lebar senyuman keduanya. “Terima kasih kakak.” Ucapan keduanya bersatu. Masing-masing segera mengira jejak menemui rakan-rakan di anjung rumah.
“Seronok sangat dapat permainan baru,” rumus Badri.
Nurul Ain mengangguk. Leret mata menjamah segenap pelosok rumah sederhana besar yang telah diwakafkan untuk dijadikan tempat berteduh bagi kanakkanak yang kurang bernasib baik.
“Tentu banyak pahala yang Mak cik Imani dan Pak cik Rosdi dapat, jaga anak-anak kurang bernasib baik macam mereka.” Pandangan dilempar melepasi pintu utama. Di hujung sana, kelibat Puan Hajah Imani berlegar-legar melayani ulah anakanak angkatnya. Terserlah keikhlasan wanita itu mencurahkan kasih sayang. “Insya Allah, anak-anak tu juga nanti yang akan mendoakan kesejahteraan mereka,” lanjut Badri pula.
Nurul Ain mengangguk bersetuju. Andai dia diberi kesempatan, diberi kesihatan yang baik, dan rezeki yang melimpah ruah, sebahagian kemudahan itu akan disalurkan ke tempat-tempat seperti ini. Sekurang-kurangnya, habuan amal jariah itu akan berpanjangan meski nyawa sudah bercerai dari tubuh.
“Macam mana dengan keadaan ayah Bad?”
Lambat-lambat Badri melepaskan helaan nafas. Roman tenang tadi sedikit berkocak.
“Kakak, jom main dekat luar,” ajak seorang budak perempuan bertubuh sedikit gempal dengan sepasang lesung pipit menyerikan wajahnya kala mengukir senyum. Tumpuan pasangan itu terganggu serta merta. Malah pertanyaan Nurul Ain langsung lenyap.
Nurul Ain terdorong untuk bangun.
“Jom abang!” Budak perempuan tadi menarik Badri pula.
Una melepaskan tangan Badri. “Jomlah, Kak Ain.” Una merengek manja. Jari Nurul Ain ditarik.
“Iya, kita pergi main sana,” ujar Nurul Ain. Langkah diatur lekas membuntuti Una.
Badri sempat meleret mata, memerhatikan kemesraan Nurul Ain bersama anak-anak yatim berkenaan. Hanya apabila Nurul Ain mengawang tangan ke udara, menggamit dia datang mendekat, barulah punggung diangkat pergi meninggalkan kerusi rotan beralas kusyen lembut.
PINTU kembali ditutup rapat. Kerut-kerut kasar kian timbul, merauti wajah bersih Sabrina. Sesudah itu, dia bergegas ke tingkat bawah. Masih melikas mata, liar mencari kelibat si anak teruna.
“Cari apa tu, Na?” Panjang leher Awang Kader melepasi kerusi. Hairan melihat ulah isterinya.
“Abang ada nampak Hanif?” aju Sabrina.
“Ingatkan kenapalah tadi. Cari anak rupanya,” gumam Awang Kader. Tumpuannya beralih semula ke arah buku ilmiah dalam pegangan. Ayat-ayat yang tercetak kemas, dibaca dengan penuh khusyuk.
“Mana budak ni pergi?” Rakus jari-jari Sabrina mendail nombor telefon Tengku Hanif. Apabila panggilannya dibiar sepi, dia jadi marah. Membebel panjang lebar sehingga memutikkan rasa gelihati Awang Kader.
Ekor mata Awang Kader mencuri pandang ke arah isterinya. Senyum kecil meleret di ulas bibir. “Sudah-sudahlah tu, Na. Hanif tu dah besar panjang, budak lelaki pula tu. Hujung minggu macam ni, mestilah keluar jumpa kawan-kawan. Takkan nak terperuk dalam rumah? Nanti, bila budak tu tak panjang langkah, awak tanya. Ni... budak tu keluar, awak cari.”
Sabrina merengus geram. Selalu sangat Awang Kader berpihak kepada Tengku Hanif. Dalam segala hal, suaminya akan sentiasa berada di belakang anak muda itu dan menjadi penyokong paling tegar.
Punggung dilabuh berhampiran sang suami. Dia bersandar tubuh. Hati yang hangat kian sejuk.
“Saya bukan apa, bang. Ingat nak makan sama dengan Hanif tu. Hujung minggu macam inilah kita kena duduk berkumpul dengan keluarga,” terang Sabrina.
Spontan, kening Awang Kader terjongket tinggi. “Termasuk Kathy?”
Wajah sang suami dicari. Bulat mata dia merenungi paras beriak selamba itu. “Kathy tu memang keluarga kita, kan?”
Buku ilmiah ditutup, kemudian diletak atas meja di sebelah kerusi yang didudukinya. Hela nafas dilepaskan perlahan.
“Keluarga jauh.” Awang Kader menegaskan.
Sabrina mencebik. “Tetap keluarga. Tu, ibu ayah Kathy tu, saya dah anggap macam adik-beradik sendiri tahu.”
Meleret senyum kecil di pinggir bibir Awang Kader.
“Tapi takkanlah sampai nak kahwinkan Hanif dengan budak Kathy tu? Awak nampak, kan yang Hanif tak suka pun dekat Kathy.”
“Lama-lama nanti, sukalah tu,” balas Sabrina. Sudah bulat hati dia merencanakan pernyatuan Tengku Hanif dan Kathy. Tiada calon lain yang lebih layak melainkan anak dara tunggal keluarga Baki dan Mardhiha.
Tergeleng-geleng kepala Awang Kader. Nekad benar nampak gayanya.
“Alah, Hanif tu aje yang jual mahal sangat. Kathy tu, Na tengok dah cukup cantik dah. Manis, sopan, dan yang paling penting hormatkan orang tua.” Terkumatkamit mulut Sabrina ketika membela calon menantu pilihan hati.
Tawa kecil meletus, melepasi bibir yang terkatup rapat. “Celah mana yang sopannya Kathy tu? Baju yang dipakai macam tak cukup kain. Terdedah sana, terbuka sini. Macam tu awak nak buat menantu? Jangankan Hanif, saya pun tak mahulah.”
“Eh, abang ni. Dia pula yang lebih-lebih kritik bakal menantu kita,” gerutu Sabrina.
Awang Kader ketawa lagi. Melihat kesungguhan Sabrina yang dipandang sipi sahaja oleh Tengku Hanif, membuat hati dia digeletek. Kathy itu seumpama mengejar bayang-bayang sendiri.
“Letih pula saya asyik dengar awak sebut nama bakal menantu kesayangan awak tu, Na.” Awang Kader bingkas bangun.
Roman Sabrina langsung mencuka. Anak dan bapa, sama sahaja.
“Baguslah. Abang tak berkenan, Hanif tak suka, nanti biar Na doa-doa, Kathy tu jadi menantu dalam rumah ni.” Sabrina merengus geram. Pecah berderai tawa Awang Kader.
“Jodoh tu rahsia Tuhan tahu.” Senyum kecil muncul di pinggir bibir.
“Oh ya, petang ni keluarga Alisa datang singgah sini. Kebetulan dia ambil
Maisarah dekat asrama. Dah cuti sekolah, kan,” lanjut Awang Kader. Jam dinding dikerling sekilas.
Spontan, Sabrina menerpa ke arah suaminya. “Kenapa abang tak beritahu awal-awal?”
Awang Kader jongket bahu.
“Dah awak tu, tak berhenti cakap fasal Kathy, macam mana saya nak mencelah?”
Ulas bibir diketap rapat. Ada sahaja jawapannya.
“MASUKLAH ibu.” Irfan menghenyak punggung di atas katil. Tubuhnya disandar ke kepala katil. Sebelah kaki terjuntai membelah udara.
“Tak siap lagi?” Alisa mencekak pinggang. Irfan diperhati dari hujung rambut ke hujung kaki.
“Malaslah, bu,” sahut Irfan.
Tergeleng-geleng kepala Alisa.
“Kita kan nak singgah rumah Ayah Long sekali.” Alisa berkata lembut. Langkah diatur mendekati sang teruna yang tampak santai tanpa mempedulikan kehadirannya.
“Hanif pun ada. Sesekali luang masa dengan mereka.”
Daripada duduk, kini Irfan sudah terbaring dengan selesa sekali. Sebuah majalah sukan dibelek tanpa minat. “Fan nak rehatlah, bu. Lagipun Fan balik sini, nak berehat dengan ibu, ayah, Sarah. Kalau setakat nak jumpa Hanif, almost everyday dah nampak batang hidung dia dekat office tu.” Irfan masih berdalih.
Lambat-lambat, terlepas jua keluhan berat meniti bibir Alisa. Lengan kekar Irfan diusap-usap.
“Sampai bila Irfan nak macam ni?” Irfan buat tidak dengar.
Alisa mengeluh lagi. Kecewa sebenarnya. Dingin sikap Irfan sedia diketahui apa punca. Seolah punya jurang yang nyata memisahkan anak lelakinya dan anak teruna pasangan Awang Kader dan Sabrina.
“Ibu!” Ishak memekik lantang, memanggil sang isteri yang masih berkurung di tingkat atas.
“Dah lewat dah ni yang oi!” laungnya lagi.
Alisa berdiri. Pandangannya masih mengamati paras Irfan.
“Ibu pergi dulu ya. Ayah dah terpekik maca tarzan dah tu,” pamit Alisa.
Irfan tersenyum kecil. Pemergian ibunya dihantar menerusi ekor mata sahaja. Sebaik deruan enjin kereta kian menghilang dari pendengaran, Irfan bangkit, lantas meninggalkan kamar perbaringan. Kaki dibawa melangkah menghampiri sebuah meja sederhana kecil, bersebelahan almari baju. Laci pertama ditarik. Sebuah kotak diambil lantas dibuka perlahan.
Sesuatu yang berkilauan mengabui mata. Lantas menjebak fikiran dia untuk menelusuri ingatan lalu.
‘Gia.’ Berdesir nama itu menyentuh cuping dan tenggelam dalam ruang pendengaran.
“DAH besar dah Maisarah tu. Rasanya macam baru semalam Abang Long peluk cium dia.” Lontaran mata tepat membidik Maisarah yang begitu ralit mendengar sesuatu yang dibicarakan Sabrina. Sesekali Sabrina menunjuk salah satu bunga bonsai yang menjadi kesayangannya.
Alisa turut sama menoleh. Suaminya juga ada di sisi Maisarah. Sama-sama tekun membelek koleksi bunga bonsai kepunyaan si kakak ipar.
“Bila tengok Kak Na, mesti akan teringat dekat Kak Min.”
“Darah yang mengalir dalam tubuh mereka itu sama, Lisa.” Alisa kembali mencari wajah Awang Kader.
“Darah sama, tak bermakna luhur hati tu pun serupa. Tapi... Kak Na seolah jelmaan Kak Min,” rumus Alisa.
Awang Kader tersenyum cuma. Dalam hati, dia menitip syukur kerana Tuhan telah menganugerahi dia isteri-isteri yang luhur jiwa. Walau pernah satu detik dahulu dia kecewa dan merana kerana satu kehilangan, namun rasa itu terubat dengan kehadiran Sabrina. Biar yang pertama tiada terganti, yang kedua tetap di hati.
“Kalau anak abang pun masih ada, agak-agak budak tu dah besar mana?” Laju sahaja Alisa melontar keluar soalan yang berlegar dalam kepala.
Awang Kader diam tidak berkutik.
“Saya rasalah, budak tu mesti dalam lingkungan awal dua puluhan. Iyalah, beza lima tahun dengan Irfan tu.” Alisa tidak berhenti membutirkan bicara. Langsung tidak menyedari ulah Awang Kader membeku tiba-tiba di tempat duduknya.
“Abang...” Bicara itu ternoktah tanpa sempat dihabisi. Pandangannya tertancap pada Awang Kader. Terbersit rasa bersalah dicelah-celah kepingan hatinya. Renungan yang terarah padanya dibalas mesra. Tanpa mempamer rias pilu menakungi roman wajah, Awang Kader melentur otot muka. Senyuman terbentuk di ulas bibirnya.
“Cantik macam Kak Min,” ujarnya pula.
Mengangguk tidak, menggeleng apatah lagi. Bibir Alisa terkunci rapat.
Share this novel