BAB 3

Romance Completed 5886

Hati. Tuhan menjadikan hati di dalam dada manusia. Dan di dalamnya
terisi segala macam rasa. Suka dan duka berpadu. Tawa dan tangis
bersatu. Sayang, hati itu tersembunyi. Lalu yang tahu segala kesahnya
hanya empunya diri juga Dia yang menciptakan hati. Malam ini merupakan
malam yang istimewa. Bagi jiwa-jiwa yang diselaputi rona asmara, ranjang
cinta akan menjadi saksi penyatuan dua jasad atas ikatan yang halal.
Tetapi saat-saat ini, hati Melissa Zahrah kosong. Tidak ada debar.
Apatah lagi teruja. Malah akalnya sendiri tidak dapat memproses akan
kehendak hatinya. Malam itu hatinya benar-benar kosong.

Perkahwinan ini memang aturan keluarga. Melissa Zahrah, anak yatim yang
sudah kehilangan ibu beberapa tahun yang lalu akibat kanser payu dara
rela dengan perancangan ayahnya. Fakhrul Razif, sepupu yang dikenali
sedari kecil. Bahkan mereka membesar bersama-sama. Tinggal dalam sebuah
rumah keluarga yang besar. Berkongsi permainan dan makanan. Malah,
Melissa dan Razif pernah bermain pondok-pondok dan berpura-pura sebagai
pasangan suami isteri. Ah, semua itu berlaku waktu dahulu! Saat-saat
usia masih belum kenal makna kehidupan yang sebenar. Tiada apa-apa yang
hadir dalam ruang minda mahupun tampuk rasa selain keseronokan mengisi
masa lapang bersama rakan-rakan seusia. Tetapi masa mengubah segalanya.
Tatkala masing-masing membesar dan membawa haluan sendiri, Melissa dan
Razif punya kehidupan tersendiri. Dan pertemuan hanya berlaku pada
masa-masa tertentu. Walau begitu, pertemuan itulah yang dibayangi
Melissa dalam mimpi-mimpi tidurnya. Kenapa? Biarlah hanya hatinya sahaja
yang tahu.

Melissa pantas menutup jendela. Cukuplah dia merenung purnama malam
sambil meladeni rasa hatinya. Jika ditanya pada hati, maka tentu sahaja
jawabnya dia rela dengan ikatan ini. Rasa suka pada Razif memang sedia
bercambah dari dahulu. Lantaran itu tiada istilah kahwin paksa dalam
kamus nikahnya. Cuma dia belum bersedia menjadi seorang isteri dalam
erti kata yang sebenar. Ada gusar yang sedang bercambah dalam jiwa. Ada
gelisah yang bersarang dalam minda. Ada resah yang sedang mendera sukma.
Membuat Melissa nekad dengan kata hatinya. Air suam di dalam jag diambil
lalu dituangkan di dalam gelas. Pil tidur di dalam laci di tepi katil
kelamin pula dicapai. Dua kapsul memadai untuk membuatkannya lena. Dan
Melissa pasti, Razif tidak akan berbuat apa-apa kepada jasad yang
bernyawa tetapi tidak ubah seperti bangkai. Dia yakin kerana dia tahu
siapa sebenarnya Razif. Cuma ada secebis harapan di dasar hatinya, agar
Razif mengerti akan tindakan ini saat segalanya terlerai pabila tiba
waktunya nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience