BAB 10

Romance Completed 5886

“Pak Long hargai kesudian kamu terima Mel, walaupun kamu berdua sepupu.
Tetapi ada sesuatu yang Pak Long nak beritahu kamu. Lebih kepada
mengingatkan sebenarnya. Kamu tahu Mel ada asma dari kecil lagi. Memang
dia nampak sihat, tetapi bila penyakitnya datang, ada masanya dia akan
jadi sangat lemah. Dan apa yang Pak Long khuatir adalah keupayaannya
menjalankan tanggungjawab kepada kamu. Pak Long bukan menidakkan
kemampuan dia. Sebaliknya Pak Long risau, kalau-kalau dia tak dapat
memenuhi keinginan kamu. Jadi, sebelum bernikah ni, Pak Long nak
khabarlah, andai kata dia tak mampu jadi isteri yang sempurna, janganlah
kamu sakiti dia. Dia dah tak ada siapa-siapa Zif, selain Pak Long ni.
Esok atau lusa Pak Long dah tak ada, kamulah satu-satunya harapan Pak
Long untuk menjaga Mel,” Tubir mata Faisal bergenang saat menyudahkan
amanat yang disampaikan kepada bakal menantu.

“Pak Long jangan risaulah. Saya terima Mel apa adanya. InsyaAllah, saya
akan cuba menjaga dia sebaik mungkin,” Razif menggenggam tangan Faisal,
seolah-olah melakarkan sebuah janji.

Di sebalik dinding antara ruang tamu dan ruang rehat rumah pusaka itu
ada sebatang tubuh yang menyandar diri. Telinganya mendengar segala isi
perbualan. Matanya laju menitis sendu.

Terasa lama di bilik mandi, Melissa menyudahkan apa-apa yang patut
kemudian melangkah keluar. Terkuak pintu kamar mandi, Melissa
terpandangkan Razif yang sedang duduk di birai katil. Razif hanya
bertuala. Melihat Melissa keluar, Razif pula melangkah masuk ke dalam
kamar mandi. Dia hanya menonong. Tidak pula berkata-kata, jauh sekali
untuk bertanya apa-apa. Sementara menunggu Razif, Melissa mula
menyediakan ruang untuk bersolat. Dua helai sejadah dihamparkan. Melissa
pula sudah siap sedia memakai telekung. Kain pelekat, ketayap dan baju
tanpa kolar berwarna putih disediakan untuk Razif. Siap semua, Melissa
bergerak ke arah katil dan mengemaskan apa-apa yang patut. Sudahnya dia
sendiri yang mencipta takkanlah mahu meminta suaminya mengemas pula.

Razif keluar dari bilik air. Melissa hanya memerhati. Razif memakai
pakaian. Melissa mengalih pandangan ke arah lain. Siap Razif menyidai
tuala, Melissa bangkit dari duduk. Razif mengambil ruang sejadah di
hadapan, manakala Melissa sudah siap sedia di belakangnya. Tangan
diangkat seraya lafaz takbir bergema. Sujudlah dua orang hamba kepada
Tuhannya di hening subuh.

“Ya Allah, dengan menyebut nama-Mu Yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang, hidupkan kami dalam iman, matikan kami dalam iman, serta
masukkan kami ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah, ya Tuhan
kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa kesalahan kedua ibu
bapa kami, serta kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka
mengasihani kami semasa masih kecil. Ya Allah, akhirilah umur kami
dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur
kami dengan kesudahan yang tidak baik. Wahai Tuhan kami, Kau kukuhkanlah
kasih-sayang antara kami sebagaimana kukuhnya cinta kasih antara Nabi
Adam dan Siti Hawa. Kau satukanlah hati kami, Ya Allah. Kau
permudahkanlah bahtera pelayaran rumah tangga kami. Kau semaikanlah
benih cinta di dada-dada kami yang lahir dengan ketakwaan kepada-Mu. Kau
permudahkanlah laluan kehidupan berumah tangga ini kepada kami. Kau
kurniakanlah zuriat yang soleh dan solehah buat penyambung generasi
kami. Hanya kepada-Mu kami meminta, perkenankanlah permintaan kami Ya
Allah,” Panjang doa Razif sesudah menunaikan solat fardu pada pagi itu.

Melissa yang mengaminkan doa sudah tersentuh benar hatinya. Tangan Razif
dicapai lalu dikucup. Razif pula membalas dengan kucupan kasih di dahi
Melissa. Melissa memejam mata. Lama bibir Razif di situ. Seketika
kemudian Razif membaringkan kepala di pangkuan Melissa. Melissa terkejut
dengan tindakan spontan Razif, tetapi dia hanya merelakan. Lagipun Razif
memang berhak, bahkan lebih dari itupun lelaki itu boleh lakukan.

“Kenapa Mel buat macam tu?” Tanya Razif memecahkan kebisuan di antara
mereka. Tangan Razif mula menggenggam jemari Melissa. Merah tangan
isterinya itu. Indah warna merah inai menghiasi kulit tangan Melissa
yang putih mulus.

“Buat apa?” Melissa membalas dengan pertanyaan kembali. Dalam hati hanya
Tuhan saja yang tahu. Apakah Razif sudah dapat meneka perbuatannya
semalam dua ini? Secepat itu?

“Mel, tak perlu pura-pura. Saya tahu awak, masukkan benda dalam minuman
saya semalam kan? Saya nampak, tetapi saya biarkan saja. Kalau awak
letak racun sekalipun saya akan minum Mel. Tetapi kenapa sampai buat
macam tu? Aju Razif lagi.

Melissa masih lagi diam.

“Dan pagi tadi. Saya tak kisah awak tanggalkan pakaian saya, tapi perlu
apa sampaikan awak letak gincu semua tu? Apa yang awak takutkan sangat?
Kalau awak tak mahu, saya takkan paksa Mel. Bukan sehari dua kita kenal.
Awak rasa terpaksa terima saya, ya?” Razif masih lagi mencuba untuk
dapatkan sebuah jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience