BAB 2

Romance Completed 5886

Alunan zikir dan selawat membuatkan isi dewan yang sebentar tadi hingar
menjadi sunyi sepi. Derap kaki yang melangkah semakin jelas kedengaran.
Puji-pujian kepada Tuhan begitu menusuk kalbu dan pendengaran. Melissa
mengangkat kepalanya sedikit. Walau akalnya sudah dapat menebak akan
perihal semasa, tetapi sepasang matanya masih mahu lagi melihat.
Biarlah. Biar saja mata ini melihat lelaki itu buat kali terakhir
sebelum ijab dan kabul terlafaz sekali gus mengubah segalanya di dalam
hidupnya. Dia sedang melangkah gagah. Dengan persalinan baju Melayu
lengkap berwarna coklat muda, Fakhrul Razif tampak kacak. Songkok yang
berhias kerongsang pula elok terletak di atas kepala. Jarang pasangan
pengantin memilih rona lain selain putih untuk majlis pernikahan, tetapi
yang lain itulah dipilih lelaki itu. Katanya warna coklat ada magisnya
yang tersendiri. Pabila ditanya, tidak pula diberikan jawapan. Sekadar
dihadiahkan sekuntum senyuman yang tersirat seribu makna.

“Fakrul Razif Bin Ahmad Kamal, aku nikah dan kahwinkan dikau dengan
Melissa Zahra Binti Mohamed Faisal yang diwalikan bapanya kepadaku
dengan mas kahwin RM111.11 tunai”

“Aku terima nikahnya Melissa Zahra Binti Mohamed Faisal dengan mas
kahwin RM111.11 tunai...”
“Sah?”
“Sah!”
“Alhamdulillah...”

Seraya kedengaran pujian syukur ke hadrat Ilahi usai terzahirnya ucap
ijab dan kabul. Dan tanpa sedar ada halus mutiara yang bergenang lalu
berjuraian di pipi Melissa. Pengapitnya yang menyedari, tergesa-gesa
mengambil tisu muka dan mengelap titisan itu. Titisan air mata yang
biasa ditumpahkan kaum wanita saat dinikahkan. Namun tiada siapa yang
tahu mengapa titisan itu menitis. Seumpamanya dia, Melissa Zahrah!
Barangkali tetamu yang melihat menyangkakan dia terharu. Tetapi apakah
benar tangisannya itu kerana terharu?

Fakhrul Razif berjalan menghampirinya. Lelaki itu kemudian menapak naik
ke dalam pondok yang dihias indah itu. Disarungkan cincin berlian di
jari manis Melissa. Kemudian Melissa pula menyarungkan cincin platinum
ke jari manis Razif. Usainya, Razif mengucup dahi Melisa lama. Satu,
sebab itu permintaan juru kamera yang merakamkan detik-detik bahagia
mereka. Kedua, entah kenapa, sudah jadi suatu yang klise untuk pengantin
lelaki mengucup dahi pengantin perempuan semasa upacara pembatalan air
sembahyang. Habis tu nak buat gaya apa pula? Takkan nak bercumbuan di
depan orang ramai!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience