BAB 1

Romance Completed 5886

Dewan D’ Lavender, Damansara seratus peratus sudah berubah wajah. Dewan
yang biasanya kelihatan seperti bangunan konkrit lain, sudah lain benar
rupanya. Dari luar tetap sama. Yang berbezanya ialah di dalamnya. Dewan
yang sederhana luas itu sudah dihias dengan begitu indah sekali. Nun di
hadapan dewan sudah didirikan sebuah pentas kecil. Ada dua tiga anak
tangga menjadikan ruang itu sedikit tinggi berbanding lantai dewan yang
sedia dihamparkan dengan permaidani. Pada bahagian atas ruangan ini
sudah dihias dengan bunga-bunga segar yang berjuntaian. Mawar putih dan
tulip putih diselang-selikan dengan melur juga sundal malam. Harumannya
begitu menikam rasa. Ruang pentas kecil itu pula sudah dialas dengan
permaidani baldu dari rona putih mutiara. Ada empat bantal yang tersedia
di situ. Tiga daripada bantalnya itu bersaiz sederhana dengan hiasan
minimum berwarna kelabu dan coklat. Manakala sebuah bantal lagi nampak
berseri dengan hiasan renda dan manik-manik, sekali gus menunjukkan
ruang itu tersedia buat insan yang istimewa. Bantal yang beralaskan
sarung berwarna putih dan kelabu itu juga sedikit besar dan lebih empuk.
Di situlah Fakhrul Razif akan bersila lalu menyambut tangan insan yang
bakal mewalikan seorang gadis yang sekian lama telah mencuri sekeping
hatinya.

Di penjuru kanan dewan pula tersedia ruangan untuk pengantin perempuan.
Sebuah pondok yang dibina dengan seni tradisional Melayu tersergam
megah. Binaan yang bersaiz sederhana yang terbuka pada pandangan mata
itu boleh memuatkan beberapa orang di atasnya. Melissa Zahra sudah
bersimpuh di atas sebuah bantal bulat yang menjadi alas di atas pondok
itu. Di sampingnya, ada seorang gadis yang menemani. Kepala Melissa
hanya menunduk. Tidak dipandang pada khalayak yang semakin memenuhi
ruang duduk di dalam dewan. Tanpa melihat pun, Melissa sudah tahu bahawa
kerusi-kerusi yang dihias dengan kain putih dan reben merah besar
bermotifkan mawar sudah sedia tersusun rapi di sudut kanan dan kiri
dewan untuk tetamu yang dijemput khas sempena upacara akad nikah pada
malam itu. Di antara kerusi-kerusi itu pula ada jambangan bunga yang
diletakkan di dalam pasu kristal besar. Mawar merah menjadi pilihan.
Kuntuman mawar merah pula tidak berkeseorangan apabila ditemani lilin
aroma terapi yang menyamankan seluruh isi dewan. Ya, nyaman itu
barangkali untuk tetamu yang hadir sedangkan di dalam hati pengantin ada
gejolak rasa yang tidak menentu. Adatlah, apabila gementar akan
menghukum kalbu bagi setiap insan yang bergelar raja sehari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience