BAB 4

Romance Completed 5886

Penat. Penerbangan dari Bayan Lepas ke Kuala Terengganu memakan masa
lebih kurang tiga jam. Dari Kuala Terengganu ke Pulau Perhentian pula
sudah tentu turut memakan masa. Sudahnya habis tulang belulang pengantin
baru ditikam kepenatan. Dan kini, kedua-duanya tersadai di dalam bilik
sebuah calet terkemuka di Pulau Perhentian. Coral View Island Resort
yang terletak di Perhentian Besar menjadi pilihan. Deluxe Sea View
menjadi pilihan untuk berteduh selama tiga hari dua malam. Sekejap
sahaja tempoh bulan madu Fakhrul Razif dan Melissa Zahrah di Pulau
Perhentian kerana sesudah itu mereka akan ke rumah sanak –saudara
sebelah ibu Razif di Besut dan usainya baharu mereka akan meneruskan
percutian ke kota cinta Paris.

Melissa sudah terbaring lesu di atas katil kelamin di dalam bilik itu.
Tidak ada masa baginya untuk melihat panorama di sebalik dinding kaca
yang tersedia. Jangankan melihat, menyingkap tirai pun tidak dilakukan.
Letih. Mungkin disebabkan perjalanan. Boleh jadi juga kesan pil yang
ditelannya malam semalam. Mujur Razif tidak bertanya apa-apa. Bahkan
segalanya berjalan seperti elok-elok sahaja. Dia dan Razif tetap
berjemaah Subuh pada pagi tadi, sebelum dia sibuk membantu menyiapkan
hidangan sarapan pagi. Riuh mulut-mulut yang mengusiknya hanya dibiarkan
sepi. Hanya Razif yang melayan seolah-olah sudah ada yang telah berlaku
antara mereka berdua di ranjang raja sehari semalaman itu.

“Mel...”

Suara Razif memecah kesunyian yang melatari suasana bilik yang suram.

Melissa malas untuk menyahut. Walaupun matanya terpejam namun dia masih
sedar dan tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga. Biarpun penat tetapi
ikatan yang halal ini bisa saja memungkinkan Razif mendekatinya bagi
mencari tuntutan yang satu itu. Meski dia maklum Razif bukanlah seorang
lelaki yang suka memaksa tetapi realitinya kucing mana yang akan menolak
ikan? Apatah lagi ikan itu cukup istimewa dan dihidangkan khusus tanpa
sebarang halangan.

“Melissa...”

Suara lelaki itu kedengaran begitu hampir. Meremang bulu tengkuk
Melissa. Bila masa Razif memanjat katil kelamin itupun, Melissa tidak
sedar. Yang pasti, hidung mancung milik Razif sekarang ini sudah
bergesel dengan rambutnya yang mengurai menutupi sebahagian wajahnya.
Melissa kaget. Dia jadi kaku. Tidak tahu reaksi seperti apa yang perlu
dipamerkan. Kalau dia membalas perlakuan Razif dengan pelukan atau suara
yang menggoda, maka anggap sahaja Melissa Zahrah sudah hilang ingatan
terkena amnesia. Sudahnya, Melissa pantas bangun! Tertegak di atas katil!

“Erk, saya nak mandi. Nak Maghrib dah ni. Nanti terlepas pula waktu,”
Melissa membuka mulut. Dia sudah bangkit dari katil. Menuju ke sudut
bilik mengambil kain tuala. Sekilas wajah Razif yang masih terbaring
diperhatikan.

“Tak nak ajak saya mandi sekali ke?” Tanya Razif selamba.

Merah muka Melissa. Tak tahu hendak menjawab apa. Sudahnya, dia
cepat-cepat masuk ke dalam bilik mandi. Lagak sudah serupa lipas kudung.
Masuk saja di dalam kamar mandi itu, pintu dikunci rapat. Bahagian
belakang badannya disandarkan pada pintu yang sudah tertutup. Sambil itu
fikirannya ligat. Malam semakin hampir menjelang. Apa yang perlu dia
lakukan? Adakah malam ini juga dia mahu menelan pil tidur? Jika
diteruskan rancangan itu sekalipun, apakah Razif mampu bersabar
memerhatikan sahaja tubuhnya terdampar di peraduan. Tadi pun sudah ada
tanda-tanda miang keladi lelaki itu. Baik daripada renungan mahupun
kata-kata. Suara Razif kedengaran semacam sahaja. Seakan-akan mahu
menggoda Melissa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience