BAB 6

Romance Completed 5886

Arah langkah pasangan pengantin baharu itu tidak menuju ke arah restoran
atau kedai makan. Sebaliknya Razif membawa Melissa ke arah pesisiran
pantai. Dari jauh Melissa sudah dapat melihat kewujudan sebuah meja
bulat yang beralas kain putih. Semakin hampir, semakin jelas segalanya
pada pandangan mata. Menu makan malam terdiri daripada makanan laut.
Ikan bakar dan air asam, ketam masak cili padi, ikan cencaru sumbat,
sambal sotong, kailan ikan masin, kangkung goreng belacan, sambal
belacan, budu dan nasi putih yang masih berasap.

Sumbing senyum kecil di penjuru bibir Melissa. Razif menyedarinya.

“Kenapa?” Tanya Razif.

“Tak ada apa-apalah,” Balas Melissa.

“Kalau tak ada apa-apa, takkan awak tersenyum,” Razif tidak mahu mengalah.

“Makanan ni semua. Dah nampak macam makan tengah hari pula. Dahlah duduk
tepi pantai, tetapi gaya macam makan dalam rumah,” Melissa sudah mula
duduk di kerusi berhadapan dengan meja bulat yang turut dihiasi dengan
lilin-lilin aroma terapi itu. Razif yang menarikkan kerusi itu untuknya.
Gaya jejaka budiman.

“Awak tak suka ke?” Razif bertanya lagi.

“Eh, tak adalah. Mana boleh tak suka pula. Saya kan tak boleh hidup
kalau tak ada nasi. Kebetulan siang tadi tak sempat nak jamah nasi,
dapat waktu malam pun jadilah. Tak adalah mengidam,” Melissa senyum
sahaja sambil menjawab pertanyaan suaminya itu.

“Aik, saya tak buat apa-apa pun lagi, awak dah nak mengidam?” Razif mula
mengarahkan bicara berbaur nakal.

Melissa tunduk. Malu. Sekilas dia memandang ke tepi. Pelayan masih setia
di situ. Razif juga memandang ke arah pelayan yang masih setia berdiri
berhampiran dengan meja. Kemudian dia bangun dan menghampiri pelayan
itu. Ada sesuatu yang disampaikannya. Saat emas seperti itu, tidak
diabaikan oleh Melissa. Clutch hijau tua yang dibawanya dibuka. Pil
tidur diambil dan dimasukkan ke dalam gelas minuman Razif. Malam ini
Melissa terpaksa menidurkan Razif dengan cara itu agar lelaki itu tidak
dapat menggaulinya. Seketika saat Razif berpaling, Melissa berpura-pura
melontarkan pandangan ke arah samudera yang sudah likat warnanya. Razif
kembali mengambil tempat bertentangan dengan Melissa. Manakala, pelayan
yang sedang menunggu sebentar tadi sudah berlalu pergi.

“Tak sangka kita berkahwin kan? Ingatkan masa kecil-kecil dulu saja main
pondok-pondok dan kahwin olok-olok semua. Alih-alih memang jodoh kita
dah ditetapkan,” Razif memulakan bicara sambil menjamah hidangan.

“Kenapa? Awak rasa terpaksa ke kahwin dengan saya? Ya, la. Perkahwinan
ini kan aturan keluarga. Mana tahu awak dah ada pilihan lain tetapi rasa
terpaksa atau ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan awak terima
cadangan ayah saya ni,” Melissa mula mengatur jerat. Pertanyaan yang
sedia diberikan pilihan jawapan itu mungkin boleh membantu memberikan
penjelasan sebenar di sebalik isi perbualan ayahnya dan Razif yang
berterusan menghimpit jiwa dan raga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience