BAB 12

Romance Completed 12177

Tepukan gemuruh dari orang ramai menyebabkan Safina tersentak. Tadi dia hanyut merenung Redza. Lelaki itu nampak lain. Nampak sedih. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadanya. Lagu tadi ditujukan khas buatnya ke? Jangan berangan Fina! Redza cuma terpandang kau. Bukannya dia tuju lagu tu untuk kau. Sila jangan perasan!

“Fina…” Redza berbisik. Mikrofon di tangannya membolehkan semua orang di dalam dewan mendengar. Langkah kakinya semakin menghampiri Safina yang masih lagi kaku memandangnya.

Safina kaku. Entah mengapa. Kakinya seolah-olah digam. Tak boleh nak bergerak. Denyut jantungnya pula semakin laju bila Redza semakin dekat.

“Fina…” sekali lagi Redza berbisik halus bila dia sudah berdiri di depan Safina. Betapa dia bahagia menyebut nama itu berulang kali di bibirnya.

Safina diam. Suaranya seakan tak keluar. Kenapa aura Redza rasa sangat berbeza saat ini? Dan hatinya mahu terlompat keluar bila Redza tiba-tiba menghadiahkan senyuman. Senyuman manis yang tak pernah Redza pamerkan kepadanya.

“Mungkin kau perlu tahu sesuatu malam ni. Sesuatu yang mungkin akan mengubah persepsi kau terhadap aku. Sesuatu yang mungkin akan mengubah kehidupan kau selepas ini. Dan sesuatu yang mungkin akan mengubah kehidupan kita selepas ini.”

‘Kita? Kenapa ada kita?’ Safina ingin bertanya tapi lidahnya seakan dipasung.

Redza menarik nafas panjang. ‘Ya Allah. Kau berilah aku kekuatan untuk luahkan segalanya kepada Fina malam ini. Jika benar dia tercipta dari tulang rusukku, jika benar dia jodoh yang tercipta untukku dan jika benar dia cinta pertama dan terakhirku….kau permudahkanlah segalanya untukku. Aku mohon kepadaMu Ya Allah…’

“Fina…” Untuk kali ketiga Redza menyebut nama wanita pujaannya. Wanita idaman kalbu. Dia pandang mata Fina dalam-dalam. Dia berdoa supaya dia dapat menatap mata indah itu sepanjang hidupnya.

Safina pula hanya menanti. Dia tak tahu kenapa dia begini tetapi dia rasa ada sesuatu yang ingin Redza sampaikan kepadanya.

“Aku minta maaf. Aku minta maaf sebab aku selalu kutuk kau, hina kau dan jatuhkan air muka kau masa kita sekolah dulu. Aku tahu perbuatan aku memang teruk. Dan aku juga tahu… perbuatan aku tu juga yang buat kau makin jauh dari aku.”

‘Memang kau teruk! Baru nak sedar ke? Hati aku sakit sebab kau!’ hati kecil Safina berbicara.

“Semua yang aku buat tu bersebab. Semuanya sebab aku cintakan kau…”

“Apa kau cakap ni Redza?”Suara Safina bergetar. Kakinya melangkah setapak ke belakang. Dia terkejut.

Redza geleng kepala. Dia turut melangkah setapak ke hadapan bila Safina mula menjauhkan diri.’Fina… bagi aku peluang luahkan semuanya dulu.’

“Dengar dulu cakap aku Fina. Aku tak merepek dan aku tak gila bila aku cakap aku cintakan kau. Perasaan ni dah lama hadir. Bukan baru lagi, bukan lapan tahun tapi dah sepuluh tahun Fina.” Redza dah tidak ambil pusing dengan kawan-kawannya yang turut mendengar luahan perasaannya. Dia hanya nampak Fina sahaja sekarang ini.

Safina makin tergamam.

“Aku suka kau dah lama Fina. Sejak kau pindah masuk sekolah kita lagi. Tapi kau tak pernah nak berkawan dengan aku! Aku buntu… aku tak tahu cara apa lagi untuk dekati kau sebab kau tutup semua peluang dari aku berkawan dengan kau. Jadi, aku tak ada cara lain selain daripada selalu cari gaduh dengan kau sebab aku tahu,hanya dengan cara itu baru kau akan nampak aku. Dan memang aku berjaya! Kau nampak aku… tapi kau tetap jauh dari aku.”

“Stop! Aku tak nak dengar lagi.” Safina tutup telinga dengan tangan. Ini semua mimpi. Mustahil Redza sukakannya. Ini memang tak masuk akal!

“Aku tak main-main Fina.” Redza masih tenang. Memang dia dapat jangka ini respon yang akan diberi oleh Safina.

“Kau nak apa lagi Redza? Tak cukup ke dengan apa yang kau buat dalam hidup aku? Kau nak aku betul-betul tersungkur kat kaki kau baru kau berhenti? Itu ke yang kau nak?!” Safina menjerit sedikit. Dia tak boleh nak hadam semua yang baru Redza luahkan. Redza hanya berlakon. Ya… Redza hanya berpura-pura di depan semua orang!

“Aku nak kau Fina! Kenapa kau masih tak faham lagi? Aku cintakan kau!”

“Tipu… Kau penipu. Kau memang berdendam dengan aku dari dulu lagi. Kau benci aku… kau memang benci aku!” Safina menjerit lagi. Dia ingin lari. Dia ingin pergi dari sini. Dia ingin hilang dari pandangan ramai. Sumpah! Lepas ni dia akan terus ghaib dari semua yang mengenali dirinya.

“Fina, stop! Dengar cakap aku dulu.” Redza kalut bila Safina melarikan diri. Redza terus mengejar Safina yang keluar dari dewan menuju ke jalan raya. Dan dia semakin berdebar bila Safina melintas tanpa melihat kiri dan kanan.

“Fina!”

“Pergi! Aku benci kau Redza, aku…” kata-kata Safina terhenti bila dia nampak sebuah kereta laju ke arahnya sebelum dia dirempuh dan tercampak jauh. Badannya sakit. Sayup-sayup dia nampak Redza berlari ke arahnya sebelum tubuhnya di bawa ke dalam rangkulan Redza. Dia dapat rasakan air mata Redza yang menitis ke mukanya sebelum semuanya menjadi gelap…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience