Bab 4

Romance Completed 2646

DAHLIA DIPELUK ERAT oleh Mak Ngah Halimah. Dia bersyukur amat dapat bertemu lagi dengan Dahlia. Lebih disyukuri, kedua ibu bapa Dahlia tidak lagi memusuhi hubungannya dengan Dahlia. Mereka datang untuk meminta maaf atas semua prasangka mereka selama ini terhadapnya.

“Kesudian Encik Hakim dan Puan Zulaikha ke teratak saya ini amat saya hargai. Terima kasih!”

Mereka berbalas senyum.

“Ke mana Haji Kamaruddin?” soal Encik Hakim.

“Abang Haji ke rumah saya dulu. Hendak melihat kebun di belakang rumah.”

“Oh, masih ada kebun di sana!” sambut Puan Zulaikha.

“Hari ni Mak Ngah masak apa?” Dahlia mencelah.

“Kari ikan,” jawab Halimah Ng. “Kenapa? Lia teringin hendak makan kimchikah?” soalnya menduga.

Dahlia tersengih.

“Iyalah tu!” giat Halimah Ng.

“Kimchi itu apa?” Puan Zulaikha bertanya.

“Sayur masakan orang Cina,” jelas Halimah Ng.

“Dahlia pulang ke asrama bila? Nanti Mak Ngah masakkan untuk Lia bawa bekal.”

“Esok, Mak Ngah. Betul Mak Ngah hendak masakkan untuk Lia?”

“Betullah. Mahu?” soal Halimah Ng lagi.

“Mestilah mahu. Sudah lama Lia tidak makan sayur kimchi.”

Encik Hakim dan Puan Zulaikha hanya tersenyum melihat gelagat anak tunggal mereka.
***

ARNI BERJALAN MENUJU ke arah Syaza yang ketika itu baru meletakkan gagang telefon awam yang memang sudah sekian lama tersedia di dalam kawasan kampus UIAM untuk kemudahan pelajar-pelajarnya.

Nafas Arni turun naik tatkala dia berhadapan dengan gadis itu. Ada perasaan marah berapi-api di dalam dada Arni.

“Awak tak ada kerja lainkah selain daripada memfitnah orang?” marah Arni.

Syaza berpura-pura tidak dengar.

“Kalau pun awak minat kepada Kak Zakiah, janganlah buat cerita yang bukan-bukan!” nasihat Arni.

“Kenapa?” soal Syaza. “Awak pun berkenan kepada Kak Zakiah? Hendak menguratnya?” Syaza ketawa dengan penuh jengkel.

Api amarah mula membara di dalam diri Arni. Melampau betul kata-kata Syaza itu pada pandangannya.

“Awak jaga tepi kain awak sendiri! Tidak perlu susah payah ambil tahu hal saya!” marah Syaza.

“Awak!” Suara Arni bergetar menahan marah. “Awak melampau!”

Arni segera berlalu meninggalkan Syaza. Difikirkan dengan menasihati Syaza, dia akan menurut. Sebaliknya, dirinya pula dituduh yang bukan-bukan.

Arni terdengar perbualan Syaza dengan Kak Zakiah ketika dia secara kebetulan melewati kerusi yang diduduki mereka di pinggir taman mini Mahallah Saiditina Aisyah. Adu domba yang dibuat oleh Syaza bagi Arni melampau sangat. Sehinggakan sanggup memfitnah Dahlia dengan mengatakan Dahlia menganggap Kak Zakiah ibarat teman lelakinya. Ikutkan hati yang mendidih ingin ditampar sahaja Syaza. Menyakiti Dahlia adalah ibarat menyakiti dirinya sendiri.

“Kau ni kenapa? Bad mood?” soal Dahlia apabila mendapati keruh di wajah Arni.

Arni berdiam diri. Hanya dengusan amarahnya kedengaran. Dahlia tahu Arni sedang marahkan seseorang.

Dahlia menyuakan air bandung kesukaannya kepada Arni. Arni mengisyaratkan bahawa dia tidak mahu. Dia duduk di atas kerusi bersebelahan Dahlia. Masih dalam usaha mencari ketenangan.

“Kau ada musuh,” ujar Arni setelah reda sedikit perasaannya.

“Musuh?” Dahlia mengerut dahi.

“Ya.” Arni mengangguk. “Tidak perlulah aku beritahu siapa. Cuma, nasihat aku: kau harus berhati-hati. Jangan cepat percayakan orang.”

Dahlia tergelak. Inilah kali pertama dia melihat wajah Arni begitu serius berbicara.

“Kenapa kau gelak?” soal Arni, memasamkan muka.

“Cantik juga kau ketika serius begitu!” ujar Dahlia jujur.

“Isy, kau ini! Aku seriuslah, sebab apa yang aku cakap perkara serius. Terpulang kepada kaulah, hendak percaya atau tidak.”

“Aku pun serius apa.”
Yalah tu!

“Aku sendiri terdengar Syaza bersembang dengan Kak Zakiah ... ops!” Arni menekup mulut. Dia sudah terlajak kata.

“Syaza?” soal Dahlia balik.

“Aku ... aku ... ” Arni teragak-agak. Bimbang andai disebabkannya, hubungan Dahlia dan Syaza keruh.

“Kau tidak perlu berdalih. Beritahu aku, apa sebenarnya yang mereka bualkan?” desak Dahlia.

Arni serba salah. Kalau tidak diberitahu, berkemungkinan nanti Dahlia fikir dia sengaja mereka-reka cerita. Ya, dia perlu beritahu.

“Hari itu semasa selepas hadiri usrah, aku ... ” Arni mula bercerita.

Arni sedang bersiap untuk keluar dari surau, tempat di mana usrah bersama naqibahnya, Kak Hanum diadakan.

“Arni?”

Suara Kak Zakiah menyebut namanya dalam nada menyoal menarik perhatian Arni. Terlihat Kak Zakiah dan Syaza sedang berdiri di luar surau itu. Mereka sedang bercakap mengenai aku, desis hatinya. Dia mengundur kembali masuk ke dalam surau, kemudian menghendap melalui pintu yang terbuka.

“Ya, Arni.” Suara Syaza pula kedengaran. Mereka tidak perasan akan kehadiran Arni yang sedang mencuri dengar perbualan mereka dari dalam surau itu.

“Dahlia hanya rapat dengan Arni. Ini adalah kerana hanya dia dapat memenuhi keinginan Dahlia.” Terdengar suara Syaza melanjutkan bicara.

Keinginan Dahlia? Arni mengerut dahi. Apa maksudnya? Arni mula berfikir-fikir. Dia masih memasang telinga.

“Bagi Dahlia, Arni ibarat teman lelakinya.”

Arni terkejut. Bagai tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Dia kenal benar. Itu suara Syaza. Ini sudah melampau!

“Ya Allah! Tidak sangka Dahlia dan Arni ... ” sahut Kak Zakiah, namun bicaranya tidak habis.

“Itulah, akak. Saya bimbang andai nanti Dahlia cuba goda akak pula. Orang yang bernafsu songsang begitu bukan pernah puas.”

Arni yang mendengar, mula menyala bara amarahnya. Hatinya berkata-kata, ingin menangkis tuduhan Syaza. Sebetulnya, Arni masih belum terlepas daripada kejutan mendengar fitnah yang dicetus oleh Syaza.

Air muka Dahlia berubah setelah mendengar apa yang diceritakan oleh Arni. Arni dapat melihat api kemarahan dari kornea matanya. Bibir Dahlia turut menggeletar mengepung marah. Terkejutnya bukan kepalang! Tidak disangka Syaza yang begitu lembut bicaranya, yang begitu manis katanya, yang begitu sopan tingkahnya, bersikap begitu! Rupanya gadis itu masih belum berubah.

“Aku pun tidak sangka,” ujar Arni. “Aku fikir dia seperti kau, tetapi rupa-rupanya jauh panggang daripada api.”

Dahlia tersenyum tawar. Arni tidak tahu sejarah di antaranya dengan Syaza. Mungkin Syaza berdendam dengannya. Itu sahaja kesimpulan yang dapat dikatakan.

“Aku ada satu rancangan,” Arni meluahkan cadangannya. “Bagaimana kalau begini ... ” Arni menjelaskan rancangannya.

Di fikiran Dahlia, mula terbayangkan wajah Syaza. Bagaimana agaknya reaksi Syaza apabila mereka berhadapan dengannya nanti?

“Kamu semua sepakat untuk kenakan aku,” tuduh Syaza. Datang imaginasi itu di ruang fikiran.

“Kenakan kau?” ujar Dahlia memutikkan senyum. “Baik, aku bawakan saksi pertama.”

Muncul Arni dengan wajah seriusnya. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Sepandai-pandai kau memfinah, akhirnya dapat kami bongkar juga,” ujar Arni dengan penuh gaya.

“Alahai! Kalau sekadar bawa saksi begini, tidak ada siapa akan percaya. Kalau diberitahu kepada Kak Zakiah pun, dia fikir kamu berdua bersekongkol.”

“Oh, jadi kau tidak mengaku bahawa kau telah memfitnah aku?” soal Dahlia geram.

“Aku mengaku,” sengih Syaza. “Namun, apa gunanya. Hanya kamu berdua sahaja yang dengar. Haha!”

“Haha!” Giliran Arni pula ketawa. Syaza terhenti ketawa, hairan dengan tingkah Arni.

“Kau nampak ini!”

Arni mengangkat telefon itu betul-betul di hadapan wajah Syaza.
“Aku telah merakamkan apa kau cakap tadi!” Gelak Arni disambut dengan ketawa Dahlia.

“Kau ... kau!”

“Apa? Apa kau hendak buat?” soal Arni menduga.

“Ini!” Sekali libas sahaja, Syaza sudah merampas telefon bimbit tersebut. Pantas dicarinya butang delete dan rakaman itu terpadam. Syaza senykmum kemenangan.

“Tidak boleh!” sangkal Dahlia, tidak bersetuju dengan rancangan Arni. Segala bayang imaginasinya tadi lenyap.

“Bagaimana pula kalau begini ... ” Arni mengusulkan cadangan lain.

Fikiran mereka kembali kepada aksi Syaza ketawa dengan pengakuannya. Pada masa yang sama, Arni merakam pengakuan Syaza tentang fitnah yang dibuatnya. Kemudian, senyap-senyap mereka menyimpan rakaman itu untuk diperdengarkan kepada Kak Zakiah.

“Mungkin cara begitu lebih baik,” simpul Dahlia.

***

“SEDAPNYA!” SUARA-SUARA RAKAN dormnya memuji.

“Sayur apa tadi?” soal Naimah.

“Kimchi.” Sekali lagi Dahlia memberitahu.

“Siapa masak? Mama Lia berbangsa Cina ya?” soal Syahnaz.

“Mana akak tahu sayur kimchi masakan orang Cina?” soal Dahlia balik.

“Kak Syahnaz kau ini penggemar drama Cina,” beritahu Kak Syaima’.

“Oh, begitu!” tingkah Dahlia.

“Siapa masakkan?” Syahnaz kembali kepada pokok persoalan.

“Jiran Lia, juga ibu angkat Lia. Mak Ngah Halimah. Dia berbangsa Cina.”

“Oh, Cina Muslim!” sambut Naimah dan ahli-ahli dorm yang lain.

“Boleh beri resepi?” soal Syahnaz.

“Hmm ... boleh, tetapi ada pengerasnya,” ujar Dahlia sambil tersenyum.

“Pengerasnya apa?” Syahnaz bertanya terus. Dahlia ketawa.

“Lia bergurau sajalah, akak! Nanti Lia tanyakan Mak Ngah Halimah resepinya,” ujar Dahlia.

“Oh, sudah pandai kenakan orang sekarang, ya!” balas Syahnaz.

Dahlia tersengih, kembali menyuap nasi. Jauh di sudut hatinya, dia sebenarnya terkenangkan Syaza yang masih memusuhinya. Kenapa awak masih benci akan saya?
***

DAHLIA MENGAMBIL TELEFONNYA dari almari bajunya. Dia menyembunyikan di dalam kain kerudungnya. Berjalan keluar dari kamar. Dari jauh dia sudah nampak kelibat gadis itu. Dahlia sudah bersedia dengan rancangannya. Dia tidak tahan lagi dipulaukan. Menunggu dan terus menunggu membuatkan hatinya sakit. Berkali-kali dia mengajak Arni menjalankan rancangan memErangkap Syaza itu, namun sering kali jua dia disuruh bersabaR oleh Arni.

Dahlia berjalan menuju ke arah kelibat itu. Melihatkan gadis itu keseorangan, dia tersengih. Inilah peluang aku!

“Assalamualaikum, Syaza,” Dahlia memulakan perbualan.

“Waalaikumussalam.”

“Kau lapang?”

“Lapang?” Syaza mengerutkan dahi.

“Ya.”
“Hmm okey!” Syaza mengangkat bahu. “Ada apa kau hendak cerita dengan aku?”

Dahlia senyum walaupun dirasakan tidak ikhlas.

“Aku hendak bercakap sesuatu dengan kau,” ujar Dahlia perlahan. “Berkenaan Kak Zakiah.”

“Hmm?” Dahi Syaza terangkat. “Kenapa? Apa hal dengannya?”

“Aku sudah tahu apa yang kau buat di belakang aku. Kau fitnah aku bukan?”

“Apa kau merepek ni?” soal Syaza berpura-pura terkejut.

“Aku sendiri dengar apa yang kau ceritakan tentang aku kepada Kak Zakiah.” Dahlia meledakkan tipu dayanya.

Syaza terdiam lama.

“Ikut suka akulah hendak cerita apa pun, yang kau sibuk kenapa?” Syaza melawan.

“Kau kata aku suka Kak Zakiah seperti perasaan seorang perempuan kepada lelaki. Kenapa kau biadap sangat, hah?”

Syaza tertawa. “Akhirnya terbongkar juga tembelang aku. Ya, aku sengaja buat begitu. Kau tahu kenapa?”

“Ya, kenapa?” Dahlia menyoal balik.

“Sebab kau telah membuatkan nama aku buruk dahulu. Disebabkan kaulah aku dibuang dari Maktab Mahmud. Kau ingat semudah itu aku akan lupakan semua tu?”

“Apa yang berlaku bukan salah aku. Kau sendiri yang mencipta reba. Kau seharusnya insaf dan sedar. Bukannya menuding jari kepada orang lain,” Dahlia cuba menghulur nasihat.

“Siapa kau hendak nasihatkan aku. Sampai bila-bila pun aku akan terus benci kau, kau faham tak?”

Dahlia beranjak jauh. Kenyataan yang berlaku di hadapannya memberi sedikit kejutan kepadanya. Walau bagaimanapun, apa yang penting rancangannya sudah berjaya! Mungkin dengan memperdengarkan rakaman ini Kak Zakiah akan percaya kepadanya semula, dan mungkin Kak Zakiah dapat menasihatkan Syaza. Sesungguhnya dia tidak suka membesar-besarkan perkara ini.

Zup! Sekelip mata telefon di tangan Dahlia sudah berada di dalam genggaman Syaza. Mata Dahlia terkedip-kedip. Syaza menyeringai bangga.

“Kau ingat semudah itu kau boleh perangkap aku?” Sebelah kening Syaza terangkat. Serentak itu, Syaza segera mencari-cari rakaman Dahlia tadi, lalu mencari butang delete. Rakaman itu terpadam sepenuhnya.
Kemudian telefon tersebut dilemparnya semula kepada Dahlia. Arni berlalu dengan senyuman yang begitu menjengkelkan.

Oh, Tuhan! Tidak kusangka dia begitu licik.

***

“APA YANG DIBUALKAN tadi?” soal Zakiah kepada Syaza.

“Dengan siapa?” soal Syaza, berpura-pura tidak faham.

“Dengan Dahlia,” jawab Zakiah.

“Dia marahkan saya kerana bocorkan rahsianya,” tutur Syaza sambil menayangkan wajah sedihnya.

“Apa lagi katanya?” soal Zakiah terus.

“Dia kata, kalau saya tak bersihkan namanya, dia akan kerjakan saya,” Syaza memanjangkan lagi cerita dustanya.

“Sampai begitu sekali!” Zakiah mengucap panjang.

“Entahlah, akak. Saya takut sangat.”

“Tidak mengapa,” ujar Zakiah, menenangkan Syaza. “ Nanti akak akan nasihatkannya.”

Selesai sesi usrah petang itu, Zakiah mencari kelibat Dahlia. Dahlia datang mendekati setelah dipanggil Zakiah. Difikirnya Zakiah sudah sedar siapa sebenar Syaza.
“Lia, akak mahu Lia berterus-terang dengan akak.” Zakiah sebolehnya menyusun ayat dengan baik.

“Kenapa Lia sampai sanggup mengugut Syaza? Sampai hendak memukul?”

“Hah?”

Dahlia tercengang.

“Sudahlah, Lia. Jernihkan kembali perasaan Lia. Jangan kerana nafsu, Lia sampai sanggup hendak memukul ahli usrah sendiri.”

“Maaf, akak. Lia tidak faham apa maksud akak.” Jujur Dahlia mengakui. “Sepatutnya akak selidik dulu, bukannya buat tuduhan melulu begini.”

“Lia, sudahlah! Tidak perlu terus bersandiwara begini,” nasihat Zakiah terus.

Dahlia yang baru hendak mengorak langkah, berpaling merenung tajam ke dalam anak mata Zakiah.

“Siapa yang bersandiwara sebenarnya? Siapa yang memulakan angkara? Siapa yang terus terima segala tuduhan orang lain terhadap Lia?”

Zakiah terkedu dengan ujaran berani Dahlia. Melihat sahaja susuk tubuh remaja itu berlalu.
dalam hati kecilnya.

***

AIR MATA MENGALIR penuh keinsafan. Jiwa yang kerdil dipasrahkan kepada-Nya. Sungguh dia sering terleka. Terlalu mengikut rasa hati. Namun, rasa fitrah ini masih bernyawa. Adakah ini ujian-Mu, ya Tuhan?

Seputar kenangan lampau menjelma satu persatu di layar memori. Saat dia mula menjalin hubungan dengan gadis itu, berhubung tanpa rasa berdosa dan akhirnya membuat keputusan untuk memutuskan hubungan. Dia tahu andai hati mencinta tidak semestinya orang yang dicinta itu memang jodoh kita, walaupun tangan tidak bertepuk sebelah. Sungguh misteri soal jodoh ini.

Siang tadi ibunya menghubungi. Katanya, ingin menjodohkannya dengan seorang gadis. Kata putusnya didambakan dan Aiman memohon penangguhan. Biarlah dia bertanya kepada Sang Pencipta. Biarlah Kekasih Agungnya itu yang membuat keputusan. Biarpun hati masih belum bebas daripada cinta lampau, mungkin masanya sudah tiba. Mungkin ini caranya untuk menghentikan cinta yang tidak pasti di hatinya. Mungkin.

Oleh kerana itu, dia bangun di sepertiga malam untuk bermunajat. Perkara rutin yang biasa dilakukannya. Cuma kali ini diiringi istikharah. Setelah tangisan dihamburkan lewat solat taubat yang dilakukan setelah tahajjud, dia bangun untuk solat istikharah pula. Hati bulat menyerah nasib diri buat-Nya. Aiman sedar walau apa pun usaha yang dilakukan andai tiada keizinan Dia yang Maha Pencinta segala yang diimpikan tidak kan terjadi. Biarlah ia bertentangan dengan kehendak hati, namun reda-Nya sentiasa bersama. Hanya itu penghidup jiwa yang sepi. Hanya itu penglipur jiwa yang dahaga. Sesungguhnya hanya Dia mengetahui segala.
Sesudah puas berdoa dengan penuh pengharapan dan tawakal dia merebahkan diri. Lalu, kantuk menyerkup dan membawanya ke alam mimpi.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan orang yang berbuat baik dan ikhlas kepada-Nya. Mungkin berita gembira buatmu sudah tiba, dan inilah hadiah dari-Nya di atas kesabaran-Mu.” Wajah seorang ustaz yang mulus datang menghulur bicara. Seorang ustaz yang amat dikenali di Malaysia kerana kesolehannya.

Aiman tersedar. Wajah ustaz sirna daripada pandangan. Mungkinkah ini petanda baik? Telapak tangan diserkup ke dada. Ada ketenangan berganda di situ.

***

“DAHLIA SUDAH BERSEDIA?”

Soalan yang dihulurkan membuatkan dia tercenung. Pandangan mata abah dan mama serius menagih jawapan. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan tersebut. Sesungguhnya cinta silam masih lagi lekat dengannya bagaikan bayang-bayang.

“Berikan Lia sedikit waktu,” tutur Dahlia sudahnya. Sehingga kini persoalan itu masih berlegar di ruang tafakur. Membuatkan dia terkadang lebih banyak menghabiskan masa pada menungan yang panjang.

“Pihak lelaki merancang hendak menjalinkan ikatan dengan secepat mungkin. Mereka benar-benar berharap Dahlia terima pinangan mereka. Mereka sangat berkenan akan Lia.”

Hmm.. Bagai tidak percaya di usia yang baru mencecah sembilan belas tahun ini dia sudah dilamar oleh seseorang yang tidak dikenali. Adakah ini solusi-Mu wahai Tuhan untuk menghentikan dambaan tanpa sedar hati ini terhadap kasih silam?
Semalam mama menelefon bahawa ibu si lelaki akan datang berjumpa dengannya sendiri untuk membincangkan perkara ini dari hati ke hati? Aduh, jawapan apakah harus diberi di saat hati masih ragu-ragu? Perkahwinan bukannya suatu permainan seperti sahibba atau catur yang harus mempertaruhkan nasib pada kepakaran masing-masing. Ia merupakan sesuatu yang perlu dibina dengan ilmu dan juga kerelaan hati. Kerelaan hati itulah yang masih belum ditemui di dalam dirinya.

Seperti yang diberitahu ibu lelaki itu hadir ke Mahallah Saiditina Khadijah, tempat Dahlia bermukim. Pertemuan itu mengingatkannya kepada pertemuan sebelum ini di rumahnya sendiri. Ya, perempuan itu pernah bertandang ke rumahnya ketika dia balik bercuti.

“Makcik bukannya hendak mendesak Lia. Makcik cuma hendak dengar pendapat Lia atau apa-apa saja yang Lia ingin luahkan.”

Dahlia diam tanpa bicara.

“Makcik tahu perkara ini terlalu drastik, tetapi inilah usaha makcik untuk satukan kamu berdua.”

Dahlia terasa ayat itu lain benar. Dia mengangkat kepala memandang wajah wanita itu. Bagai ada sesuatu tersirat daripada kata-kata tersebut.

“Anak makcik perlukan Lia, tetapi makcik tidak tahu sama ada Lia sudi terimanya atau tidak.”

Hati Dahlia tertanya-tanya siapakah gerangan anak wanita itu. Lambat-lambat Puan Nafizah menyerahkan suatu buku catatan kecil kepada Dahlia. Tertera tarikh di situ 28 Jun 2012 dengan tulisan yang amat dikenalinya. Dia menatap tulisan tersebut. Tanpa sedar air mata gadisnya mengalir.

Oh Tuhan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience