SUASANA PERKUBURAN ITU sepi. Hatinya begitu perit mengenangkan segala yang pernah berlaku di antara dirinya dan Dahlia. Rasa bersalah itu makin menghiris-hiris hati. Dahlia. Indahnya nama! Seindah dan seluhur hatimu. Dia akui dialah penyebab kesedihan ini. Dia langsung tidak tahu-menahu mengenai penyakit Dahlia. Dia bukanlah sekejam itu hingga sanggup ‘meragut’ nyawa seseorang. Andai dia tahu, dia mungkin tidak akan meneruskan niatnya tersebut. Sesungguhnya tiada kebahagiaan walau secalit pun daripada kemenangan ini. Sesungguhnya dia akui... Dia sebenarnya yang kalah. Dia kalah dengan dendam yang dipendamnya buat kesekian lama. Syaza mengelap titisan mutiara jernih. Jika bukan kerana gambar yang dieditnya dengan kepakaran komputer yang dimilikinya itu, pasti dia tidak perlu menanggung rasa bersalah teramat ini. Dia yang memecah masuk komputer riba Aiman untuk meletakkan gambar sesusuk tubuh lelaki yang berwajahkan Aiman menggenggam jemari seorang wanita asing.
***
SEMUA ITU HASIL rancangan Kak Zakiah, Kak Hanum dan Arni sendiri. Mereka sengaja mereka cerita mengenai kematiannya demi menginsafkan Syaza. Dahlia hanya akur kepada perancangan tersebut.
Dahlia tidak terkejut melihat gambar yang dijumpai di dalam komputer riba suaminya. Dia tahu dan kenal sangat susuk tubuh Aiman, sedangkan susuk tubuh di dalam gambar yang dijumpainya itu amat berbeza.
Dahlia masih menatap video kiriman Arni. Tidak tahulah kubur siapa yang menjadi tatapan Syaza ketika itu. Dia dapat tahu Syaza telah bertukar universiti kerana kesedihan di atas ‘kematian’nya.
“Hu, begitu nasib hamba Allah itu ya...”
Lelaki itu melepas nafas hampa.
“Lia pun tak sangka begini kesudahannya. Tidak sangka betul!,” tutur Dahlia menyangka Aiman turut melihat video yang sedang ditontonnya. “Lia ingat akhirnya Lia akan jadi seperti Hani di dalam drama televisyen itu. Kasihan sungguh dia! Sudahlah sakit. Kena hentam macam-macam. Terdera dan terus terdera... akhirnya?”
“Kembali ke rahmatullah,” tutur suaminya separuh berbisik. “Innalillahi raji‘un.”
“Innalillah kenapa? Bukankah itu hanya watak di dalam TV?” soal Dahlia yang kembali sembuh dari sakit barah otaknya. Bagai diberi nafas baru.
Mata Aiman masih di kaca TV.
“Orang cerita bab lain, dia masuk bab lain. Cuba tengok di TV ada apa?”
Mata Dahlia dialih ke kaca TV. Matanya membulat. Kelihatan seseorang sedang diheret keluar dari sebuah bas ekspres. Mungkin individu tersebut yang dimaksudkan suaminya melihatkan keparahan luka yang dialami individu tersebut.
“Bila accident ini berlaku?” Datang soalan daripada Dahlia.
“Semalam lagi.”
Share this novel