Dahlia masih ingat bagaimana rasanya melalui hari-hari yang mendatang selepas ditinggalkan Aiman. Perasaan itu ibarat ombak, ada ketika reda dan ada ketika bergelombang hingga menyesak dada. Malam-malamnya kala para penghuni asrama sedang nyenyak dibuai mimpi, Dahlia menangis sendirian menahan rindu yang mencengkam terhadap Aiman. Seandainya dia tahu sebegini seksanya menanggung perasaan kerana cinta akan seorang lelaki, dia tidak akan menghampirinya walau sepicing.
Kenapa aku masih terkenangkannya sedangkan kutahu dia begitu kejam? Begitukah keadaannya apabila seseorang sudah disambar cinta? Masih merindu, walau kekasih hati beralih cinta? Sepatutnya aku tidak akan bersedih dengan semua ini. Sepatutnya aku tidak perlu membuang masa untuk memikirkan manusia seperti Aiman itu.
Tuhan ... sungguh aku sangat lemah. Sekilas ingatannya kembali kepada teman baiknya di Maktab Mahmud, Suhaili.
“Kenapa hendak dikenang lagi kalau orang tidak suka?” suara Suhaili dua tahun lepas kembali segar di pendengarannya.
“Entahlah. Aku pun tidak tahu kenapa perasaan aku begini ... ” balas Dahlia lemah.
Suhaili mengait tangan Dahlia. Digenggamnya erat.
“Sekurang-kurangnya kau tidak hanyut,” ujarnya.
Dahlia diam menunggu ujaran Suhaili selanjutnya.
“Kau harus bangun, Dahlia. Kau masih ada cita-cita yang perlu kau kejar. Kau masih muda, belum masanya untuk berfikir soal pasangan hidup. Entah Aiman, entah orang lain yang Allah janjikan sebagai jodoh. Kenapa kita harus mensia-siakan masa untuk berfikir tentang soal yang tidak pasti? Sedangkan perkara itu perlukan lima atau sepuluh tahun lagi untuk difikirkan.”
“Masa sudah suntuklah, Su. Tinggal tiga bulan lagi SMRAMM bakal menjelma,” Dahlia bersuara lemah.
“Sejak bila kau lemah begini!” marah Suhaili. “Kau harus berusaha hingga ke titisan terakhir. Berpantang maut sebelum ajal!”
“Maksudnya?” soal Dahlia.
“Kau harus tunjukkan kepada Aiman bahawa kau tidak mudah lemah dengan apa yang dia buat kepadamu. Kau harus tunjukkan bahawa tanpa cintanya kau masih mampu berdiri, malah lebih baik dan lebih teguh daripada sebelum ini. Kau juga harus berusaha demi insan-insan yang jauh lebih menyayangi dirimu daripada Aiman yang kau harapkan, iaitu ibu bapamu dan Mak Ngah Halimah. Jangan kau sia-siakan kesempatanmu dipilih untuk belajar di Maktab Mahmud ini.”
Suhaili senyap seketika, kemudian kembali menyambung. “Mungkin Tuhan mahu kau mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku, supaya kau tahu bahawa cinta remaja itu lebih banyak mudaratnya daripada kebaikan.”
Dahlia terpana. Dia sedar yang dia amat beruntung pada ketika itu kerana mempunyai seorang teman seperti Suhaili!
***
“SAYA MINTA MAAF kerana selalu bersangka buruk dengan awak, Halimah.” Puan Zulaikha menghulurkan permohonan maaf. Ketika itu mereka bertembung di masjid selepas menghadiri kuliah agama.
“Saya tidak sepatutnya terima semua cerita orang tentang awak tanpa usul periksa, maaf kerana tak melayan awak sebagai saudara sesama Islam yang sepatutnya.”
Halimah Ng tersenyum.
“Saya faham. Terima kasih kerana akhirnya menerima saya sebagai saudara seislam.”
“Saya dengar awak sudah menjadi pengajar di PERKIM,” Puan Zulaikha bersuara.
“Saya cuma membantu setakat yang mampu,” tutur Halimah Ng merendah diri.
“Dengar kata salah seorang penduduk Cina yang tinggal di kampung kita telah memeluk Islam,” Encik Hakim pula menyampuk.
“Oh, Ah Seng!”
“Awak kenal?” soal Puan Zulaikha.
“Dia kawan saya. Nama Islamnya Umar Lim. Dia banyak membantu saya sebelum ini. Dia akan berkahwin minggu depan. Alhamdulillah. Allah telah bukakan hatinya untuk menerima Islam,” terang Halimah Ng.
“Dia pun salah seorang pelajar Halimah?” soal Puan Zulaikha.
“Ya.” Halimah mengukir senyum. Dia terdiam sekejap. Matanya terarah kepada kereta Proton Wira yang sedang menantikannya. Dia berpaling kembali menghadap kepada Puan Zulaikha.
“Jemputlah datang ke rumah!” ajak Halimah Ng.Lain kali, insya-Allah kami akan pergi,” sambut Encik Hakim.
Halimah berlalu pergi menaiki kereta Proton Wira biru itu sebelum mengangkat tangan sama-sama dengan Haji Kamaruddin di tempat pemandu. Puan Zulaikha dan Encik Hakim membalas sambil mengangguk.
***
“SEORANG KAWAN KAMU telah menceritakan kepada kamu bahawa dia telah menipu di dalam peperiksaan, dan dia meminta supaya kamu merahsiakannya. Kemudian, tiba-tiba kamu menceritakannya kepada pensyarah. Pada pendapat kamu ... wajarkah tindakan tersebut?” soal Zakiah, merenung setiap wajah anggota usrahnya.
Semua diam tanpa bicara. Tidak lama kemudian, Husna mengangkat tangan.
“Bagi saya, tidak patut. Jika saya buat demikian bermakna saya telah melanggar janji dan tidak amanah.”
“Orang lain?” soal Zakiah.
“Saya rasa patut. Dia tidak amanah dengan ilmu dan sijil yang akan diterimanya nanti juga tidak berkat,” Naimah tampil memberi pendapat.
“Siapa setuju dengan pendapat Husna?” soal Zakiah, mahu mencongak. Tiga orang daripada ahli usrah bersetuju dengan pendapat Husna.
“Pendapat Naimah pula? Siapa setuju?”
Syaza, Dahlia dan seorang lagi ahli usrah sahaja yang mengangkat tangan.
“Ya, akak pun sependapat dengan Naimah. Jika kita biarkan sahabat kita menipu di dalam peperiksaan, akibatnya nanti ditanggungnya sendiri. Andai kita kasihankan sahabat kita, begitulah caranya. Kita harus laporkan kepada pihak yang sepatutnya supaya dia tidak ulang lagii kesalahannya dan sijil yang diperolehinya itu benar-benar hasil daripada usahanya. Barulah hidup mendapat keredaan Allah. Hidup tanpa reda Allah bagaikan jasad tidak bernyawa.” Zakiah berjeda seketika melihat respons adik-adik usrahnya. “Bagaikan jasad yang tidak bernyawa? Maksud akak?” Dahlia terlebih dahulu menyuakan kemusykilannya.
Zakiah menghadiahkan senyuman yang paling manis buat adik-adik usrahnya sebelum menjawab soalan.
“Jasad yang tidak bernyawa. Jasad yang tiada roh. Tiada kemanisan, kebahagiaan dan ketenangan di dalam hidup. Bukankah hati hanya kan hidup dengan ingatan kepada Allah beserta rasa cinta yang padu buat-Nya? Sentiasa bersangka baik dengan semua ketentuan-Nya dan sabar dengan setiap ujian seiring rasa yakin dengan kebaikan yang akan dikurniakan di sebalik ujian tersebut.”
Kesemua mereka mengangguk-angguk. Syaza menjeling Dahlia kemudian turut juga berpura-pura mengangguk-angguk.
***
“BOLEH TAK SYAZA beri keterangan kepada Ustaz Khairul Basyar? Akak sudah beritahu ustaz mengenai hal Dahlia dan Farid. Jangan risau, ustaz tidak akan ambil apa-apa tindakan terhadap Syaza jika Syaza sudi bekerjasama. Lagipun, Syaza sudah sedar. Akak tahu,” ujar Fairuz.
“Akak masuk sekali, boleh?” pinta Syaza.
“Mana boleh. Ustaz hendak jumpa Syaza seorang sahaja,” balas Fairuz.
Syaza menggeletar di luar bilik guru disiplin. Seumur hidupnya, belum pernah dia menjejak kaki ke bilik itu. Siaplah aku kali ini!
Tuk! Tuk! Tuk!
“Ya, masuk!” suara kuat Ustaz Khairul Basyar kedengaran hingga ke luar.
Syaza menolak daun pintu, kemudian melangkah ke dalam bilik itu.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Ustaz itu menjawab.
“Hmm ... anti lah Syaza?”
Syaza mengiakan sambil mengangguk bagai belatuk.
“Anti lah teman wanita pertama Farid?”
“Tidak. Saya pun tidak tahu yang keberapa. Dulu sahaja saya ada hubungan dengannya,” jawab Syaza dengan penuh sopan.
“Sudah kena ‘cerai’?” duga Ustaz Khairul Basyar. Tersenyum sedikit.
“Saya sudah menyesal, lalu buat keputusan untuk putuskan hubungan dengannya.”
“Oh, begitu!” Ustaz Khairul Basyar terangguk-angguk.
“Kenapa anti hendak bongkarkan hubungan Farid dengan Dahlia?” Ustaz Khairul Basyar terus menjurus ke tajuk asal.
“Sebab saya sudah menyesal dan ... ”
“Bukan kerana cemburu?” Pertanyaan Ustaz Khairul Basyar memangkas ujarannya.
“Dulu, memang. Sekarang ... ”
“Anti hendak membalas dendam?” Sekali lagi soalan ustaz itu menyekatnya daripada meneruskan bicara.
“Saya cuma hendak membantu pihak pengawas.”
“Anti hendak bantu apabila Dahlia buat kesalahan. Ketika anti buat kesalahan, tidak pula anti hendak bantu.”
Ustaz Khairul Basyar menyambung, “Ana dapat rasakan anti tidak bercakap benar.”
Kepala Syaza terangkat. Terencat segala yang direncanakan di dalam mindanya. Peluh dingin mula muncul.
***
SYAZA MENANGIS TERESAK-ESAK. Gerun benar apabila teringatkan tengkingan Ustaz Khairul Basyar tadi. Tangannya yang masih berbirat dirotan guru disiplin itu direnungnya.
“Anti fikir ana tidak tahu apa yang anti buat di belakang ana?”
Tubuhnya terenjut menggeletar ketakutan.
“Berani sungguh anti ni! Berani sungguh anti ceritakan kisah rekaan anti kepada ana! Sudahlah anti buat kesalahan besar, anti hendak memperdayakan ana pula.”
“Ss ... saya mm ... minta ma ... maaf, ustaz.”
“Ana tidak tahulah kenapa ada juga spesies seperti anti ini di dalam Maktab Mahmud!”
“Sss ... saya bb ... berjanji tt ... tidak akan bu ... bu ... at lagi.”
“Hulur tangan!”
Ha? Syaza terpinga.
“Hulur tangan anti!”
Lambat-lambat Syaza menjulurkan telapak tangan kanannya.
“Tangan kiri!”
Syaza menarik balik tangan kanannya dan menjulurkan telapak tangan kirinya pula.
Pap!
Rotan milik ustaz itu singgah ke telapak tangan Syaza. Syaza mengaduh.
Pap!
Lagi sekali telapak tangannya dirotan. Pedihnya usah dikata!
Pap!
Tiga kali telapak tangannya disebat.
“Beginilah! Ana akan panggil ibu bapa anti datang ke sekolah. Nanti ana fikirkan sama ada hendak membenarkan anti terus belajar di sini atau tidak. Anti faham?” “Ya ... ya.”
***
PERHIMPUNAN PAGI ITU menyaksikan seorang pelajar puteri dipanggil naik ke pentas. Orang itu ialah Syaza bt. Karim. Dahlia memandang terus ke wajah seterunya itu, bagai tidak percaya.
Terasa bahu kanan Dahlia disentuh lembut. Dia berpaling. Kak Fairuz! Kak Fairuz tersenyum kepadanya.
“Maaf kerana tidak mempedulikan Lia selama tiga minggu ini. Akak ada urusan penting yang hendak dibereskan ketika itu.”
Dahlia turut tersenyum. Sekilas dia menjeling kepada Suhaili yang memandang dari depan barisan. Suhaili kembali menghantar pandangannya ke hadapan.
“Inilah ‘heroin’ sekolah kita.” Ustaz Khairul Basyar mula bercakap melalui mikrofon di tangannya. “Di antara ‘jasanya’ ialah, membuat fitnah kepada kawannya sendiri, bercinta dengan pelajar lelaki dari sekolah luar dan membuat pengakuan bohong kepada saya dan juga Ketua Pengawas Puteri mengenai isu penangkapan salah seorang pelajar puteri bersama-sama dengan sekuntum bunga ros dari teman lelaki ‘heroin’ ini.”
Syaza cuba menyembunyikan wajah dengan menundukkan kepala.
“Eh, angkat kepala anti! Kenapa ditundukkan?”
Syaza mengetap bibir menahan malu.
“Setelah dipanggil teman lelakinya dan juga kawan-kawannya, maka terbukti yang pelajar puteri yang disangkakan mempunyai hubungan dengan teman lelaki ‘heroin’ kita ini tidak bersalah. Belum pernah ana jumpa seorang gadis yang begitu berani sepertinya. Petang ini, ibu bapanya akan datang ke sekolah. Keputusan sama ada hendak menyingkirkannya dari sekolah ini atau tidak akan dibuat petang ini.”
Ustaz Khairul Basyar menoleh kepada Syaza.
“Ya, ‘heroin’ Maktab Mahmud Alor Setar. Ada apa-apa pesanan hendak disampaikan? Mana tahu ada amanat terakhir.”
Syaza menggeleng. Air matanya jatuh satu persatu.
***
SAKITNYA HATI MENGENANGKAN semua itu. Masih. Dendam itu berganda di hati. Andai bukan kerana gadis bernama Dahlia itu, dia tidak akan dibuang Maktab Mahmud. Andai bukan kerana Dahlia, dia tidak perlu bertukar sekolah untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Syarifah Rodziah. Andai bukan kerana Dahlia, dia tidak akan mendapat malu sebesar itu.
Di atas sebab itulah dia berusaha sehabis daya agar dapat menempatkan diri di universiti. Sebagai bukti bahawa gadis yang telah dimalukan ini mampu bangkit semula. Namun, dia tidak menyangka dia akan bertemu semula dengan Dahlia. Seterusnya, menghidupkan semula rasa iri hati dan dendam yang belum padam.
Ha!Ha!Ha! Hati Syaza ketawa mengenangkan hembusan fitnah yang direkanya sendiri. Cerita negatif yang disalut di dalam perbualannya dengan Kak Zakiah. Dia yakin lakonannya menjadi. Sudah dia berusaha menjadi gadis sebaik mungkin. Pada Syaza, lakonannya cukup sempurna.
“Saya tengok Dahlia itu lain macam sahaja, akak.” Syaza masih ingat saat dia suarakan cerita rekaannya itu buat pertama kalinya.
“Lain macam?” Zakiah mengerut dahi. “Lain macam bagaimana?”
“Lain macam! Seperti ada perasaan lain terhadap akak.”
Zakiah memandang terus, menanti penjelasan lanjut.
“Cara dia pandang akak, cara dia bercakap … ”
Syaza yakin sangat yang naqibah usrahnya itu sudah terkesan dengan ceritanya. Dalam diam hati Syaza tersenyum.
***
DAHLIA SUNGGUH TIDAK FAHAM. Kenapa dia merasakan seolah-olah Kak Zakiah cuba mengelak daripada bertemu dengannya? Apatah lagi untuk duduk bersembang seperti biasa. Sesekali timbul desakan hati untuk bertanya terus, namun dia bimbang andai semua ini hanya perasaannya sahaja.
Semalam semasa perjumpaan usrah mereka, dia dapat rasakan layanan dingin daripada Kak Zakiah. Apakah aku tersilap cakap dengannya? Ataupun dia terasa dengan tingkahku? Dahlia sebolehnya mencari kesalahan diri yang membuatkan Kak Zakiah tidak lagi semesra dulu Dia dapat rasakan ada sesuatu yang membuat Kak Zakiah bersikap begitu.
Sebaliknya, Kak Zakiah kian karib dengan Syaza. Tidak mungkin dia lupakan cetusan fitnah yang cuba diadakan oleh Syaza di sekolah dulu. Memang. Syaza pernah menjadi seterunya. Namun, Syaza sekarang sudah tidak memusuhinya lagi. Syaza sekarang baik dengannya. Cuma Arni bagaikan tidak mahu mesra dengan Syaza. Kenapa ya?
“Entah! Aku rasa dia seperti tidak ikhlas berkawan dengan kita.” Itulah yang diluahkan Arni apabila ditanya sebab dia dingin dengan Syaza.
“Tidak baik kau bersangka buruk dengannya,” tingkah Dahlia, kurang setuju dengan pendapat Syaza.
“Bukan bersangka buruk, cuma berhati-hati,” ulas Arni.
Dahlia bingkas dari katil berbalut kain bercorak hati warna merah susu. Sudah semalaman dia di kampung, namun ibunya belum memberitahu tujuan dia dipanggil balik. Dia mengintai dari dalam bilik. Dari atas rumah dia dapat mendengar suara orang tengah berbual. Dia mula menapak anak tangga turun ke tingkat bawah. Kakinya diatur perlahan-lahan agar tidak mengganggu perbualan orang di tingkat bawah. Di antara suara yang bertingkah itu adalah suara milik ibu dan ayahnya sendiri.
Dahlia terjenguk-jenguk mengintai dari atas tangga. Rasa ingin tahu gerangan orang yang yang bersembang membuak. Dahlia membetulkan tudung kepala dan baju yang dipakainya sebelum berjalan ke ruang tamu. Sehiris senyuman dihadiahkan kepada tetamu sebelum dia menyalami tetamu tersebut dengan penuh sopan.
“Ini siapa?” soal tetamu tersebut.
Puan Zulaikha tersengih, diikuti Encik Hakim.
“Inilah Dahlia.” Puan Zulaikha memperkenalkan.
Tetamu itu, Puan Nafizah menyeluruti wajah si gadis. Manis! hatinya memuji. Dahlia yang berasa serba tidak kena menghadiahkan lagi sekuntum senyuman sebelum berlalu masuk ke ruang makan. Hatinya dipagut kehairanan dengan cara pandangan perempuan yang hampir sebaya ibunya itu. Sedetik dia abaikan sahaja rasa pelik itu.
Share this novel