“AKIDAH ISLAM IALAH mempercayai bahawa hanya ada satu tuhan di alam ini, iaitu Allah. Andai dikatakan ada dua atau lebih tuhan pastinya dunia ini tidak seaman begini. Ini disebabkan setiap tuhan tersebut pasti hendak menunjukkan kekuasaan masing-masing. Dalam kehidupan kita sehari-harian pun, kita dapat melihat bagaimana negara kita ditadbir. Tidak ada di dunia ini atau di negara mana pun dilantik dua atau lebih Perdana Menteri. Demikianlah akidah Islam ini. Keistimewaan Islam ialah ia meraikan fitrah atau sifat tabii manusia. Di antaranya keinginan untuk mendapat anak. Walau setinggi mana pun ilmu agama seseorang umat Islam, ia dituntut untuk memenuhi fitrah ini. Sempurnanya Islam kerana syariatnya menepati fitrah manusia.” Halimah Ng tersenyum di penghujung bicara di kelas dalam bangunan PERKIM tersebut.
NJ
Selepas bersurai Umar Lim atau Ah Seng mampir kepada Halimah.
“Baru kini hatiku berasa begitu tenang, Halimah,” akui Umar Lim jujur.
Halimah Ng tersenyum. “Alhamdulillah. Allah telah bukakan pintu hidayah-Nya kepada kau, Umar.”
“Alhamdulillah ... ” Umar Lim menghulur sekeping kad bersampul kuning kepada Halimah.
“Datanglah pada hari pernikahan aku nanti,” senyum Umar Lim. “Aku buat kenduri sederhana sahaja.”
“Oh! Sudah siap kad? Alhamdulillah,” sambut Halimah. “Insya-Allah aku akan hadir dengan Abang Haji nanti.”
Halimah Ng masuk ke dalam kereta Proton Wira yang sedang menantinya di tempat parkir. Haji Kamaruddin sedang menanti di tempat pemandu. Perlahan-lahan kereta itu pun meninggalkan bangunan PERKIM tersebut.
***
“ISLAM ISTIMEWA BERBANDING DENGAN agama lain kerana persoalan akidahnya jelas dan bertunjangkan dalil dan hujah yang kuat.”
Suara Doktor Rahimin Affandi bergema di dalam Dewan Kuliah Utama. Sebahagian pelajar-pelajar mengangguk-angguk mendengar penerangan pensyarah. Tidak kurang juga yang terangguk-angguk dikuasai kantuk yang mencengkam. Mencapai makam Saidina Ali. Itu yang sering diselorohkan oleh para pensyarah kerana Saidina Ali kebiasaannya akan memejam mata untuk menghayati setiap bait-bait pengajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Usai kuliah para mahasiswa dan mahasiswi beransur-ansur meninggalkan dewan kuliah dengan keperluan masing-masing untuk dilunaskan. Dahlia berjalan beriringan dengan Arni. Di samping mereka, beberapa teman sekuliah turut sama bersaing langkah sambil berbincang sama ada mengenai isi kuliah tadi ataupun perkara-perkara luar yang boleh dikongsi bersama. Sampai di pertengahan jalan mereka berpisah.
Dahlia membisu di samping Arni. Berbagai-bagai perkara menyibukkan ruang fikirnya. Terbaru dia dipanggil mengadap Fellow Mahallah Saiditina Khadijah, Ustazah Mumtazah Abd Halim untuk menjawab tohmahan berkenaan naluri songsangnya terhadap kaum sejenis. Terpempan Dahlia dibuatnya apabila perkara itu sudah sampai ke pengetahuan penyelia Mahallah Saiditina Khadijah sendiri.
“Jika perkara ini terbukti benar saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan ke atas awak.”
Amaran yang diungkap pensyarah itu masih bergaung di anak telinga. Arni sendiri maklum akan hal itu dan dia dapat mengagak bagaimana perkara itu boleh menjadi besar sebegini dan memancing perhatian penyelia. Pasti ia datang daripada orang yang dipercayai penyelia juga. Mungkin Kak Zakiah sendiri yang memaklumkan akan hal tersebut. Timbul sesal di hati kerana mudahnya fitnah sebegitu dipercayai oleh naqibah itu. Tuduhan ke atas Dahlia dan juga dirinya sendiri sangat keterlaluan dan seharusnya diselidik sebaiknya sebelum dimaklumkan kepada penyelia. Sepatutnya kisah Saiditina ‘Aishah difitnah direnung dan diambil iktibar bersama. Menuduh wanita yang baik tanpa bukti kukuh adalah satu kezaliman dan si penuduh boleh disebat lapan puluh kali.
Dalam periwayatan hadis Islam amat menitikberatkan kesahan hadis yang disampaikan dengan menyelidik peribadi para penyampai hadis tersebut. Islam amat mementingkan integriti di dalam semua aspek. Keutuhan Islam tidak dapat digugat kerana kaedah periwayatan hadis ini, demikian yang diakui oleh sebahagian orientalis.
“Kau pergi usrah petang ini?” Pertanyaan Arni memecah kebisuan di antara mereka.
“Malas,” balas Dahlia sambil memutikkan senyum tawar.
Arni sudah mengagak jawapan itu yang akan terlontar dari dua ulas bibir sang sahabat. Dia turut ponteng daripada usrah. Apa ertinya kehadirannya andai dia dipandang serong oleh ahli usrah serta naqibah sendiri. Jenuh juga dia mereka alasan yang dirasakan langsung tidak diendahkan oleh naqibah dan ahli usrah. Ketidakhadirannya lebih diharapkan.
***
KESEDIHAN, PENDERITAAN DAN MUSIBAH dirasakan manis bagi insan yang bertakwa. Melaluinya jiwa rasa terdidik untuk hampirkan diri kepada Allah. Rasa hina dan tidak berdaya membina rasa kerdilnya diri di hadapan-Nya. Kesedihan yang dialami menumbuhkan rasa lazat dengan cinta yang membara buat Sang Pencipta. Betapa hidup ini amat sepi andai saban hari tidak pernah diduga dengan musibah. Betapa hati mereka yang amat mencintai Sang Pencipta begitu bimbang andai mereka tidak lagi diuji. Ujian melambangkan kecintaan Pencipta buat hamba-Nya.
Ujian-Nya bukan untuk membinasakan manusia. Sebaliknya, demi membina jiwa kental di dalam hati serta memantapkan keyakinan hamba akan kasih sayang-Nya. Nabi Ayyub alaihissalam diuji dengan kematian anak, kemiskinan serta penyakit yang hanya mensisakan hati dan lidah baginda untuk sentiasa berzikir kepada Allah. Bagaimana akhirnya Allah mengurniakan rahmat buat baginda setelah baginda bersabar menghadapi semua ini dengan mengembalikan semula semua yang dihilangkan-Nya.
Kesabaran itulah yang harus dihayati dalam kehidupan insani. Hidup tanpa duka bagaikan lagu tanpa irama. Kedukaan, kesedihan dan kesengsaraan untuk menyedarkan kita akan pentingnya nikmat kegembiraan dan kebahagiaan. Manusia yang tidak mengenal erti kesedihan tidak akan rasa bersyukur dengan nikmat kegembiraan. Manusia yang tidak pernah memahami erti kesakitan tidak akan menghargai nilai kesihatan yang diberi.
Manusia yang bertakwa dapat melihat kasih sayang Allah dalam setiap ketentuan-Nya. Mereka dapat membaca hikmah di sebalik ujian senang ataupun susah. Mereka dapat melihat pertolongan Allah dalam setiap detik kehidupan yang berdegup. Mereka dapat melihat kelemahan diri di celah-celah pujian melangit manusia yang tumpul mata hatinya. Mereka sentiasa bermuhasabah diri di dalam setiap puji dan keji.
Gema irama hidup ini tidak kan berhenti tanpa arahan Ilahi. Dahlia menyedut udara penuh segar. Buku motivasi islamik itu ditutup seiring lirikan matanya kepada jam di atas meja. Malam sudah semakin lewat untuk dia terus berjaga. Mata dan jasadnya perlu direhatkan jua. Dia merenung perjalanan hidupnya selama ini. Banyak yang tidak difahaminya dahulu kini mula membuatkan dia mengerti. Bukan semua kepahitan itu menjanjikan suatu yang buruk buat kita dan bukan semua yang manis itu merupakan petanda ia kan memberi kebaikan. Hidup ini perlu disuluh dengan mata fikir yang tenang beserta panduan daripada-Nya. Mungkin ini yang dimaksudkan naqibahnya, Kak Zakiah: Hidup tanpa redha-Nya bagaikan jasad yang tidak bernyawa.
***
SEMINGGU LAGI DIA BAKAL bergelar seorang suami merangkap seorang imam juga ketua kepada sebuah ‘masjid’. Sudah hampir sebulan dia mengikat pertunangan dengan gadis pilihan keluarga. Ibu dan ayahnya mendahulukan wang mereka untuk perbelanjaan kenduri kahwinnya. Mereka bimbang gadis itu terlepas kepada orang lain andai tidak cepat meminang dan mengahwinkan dengannya. Lagipun, dia bakal menamatkan pengajiannya pertengahan tahun ini.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan orang yang berbuat baik dan ikhlas kepada-Nya. Mungkin berita gembira buatmu sudah tiba, dan inilah hadiah dari-Nya di atas kesabaranmu.” Kata-kata itu sering bermain di dalam fikiran dan menjadi tunjang utama untuknya menerima perancangan keluarga buatnya. Bukankah Rasulullah SAW juga menerima pilihan Allah untuk mengahwini Saiditina ‘Aisyah yang membawa kepada kebahagiaan hingga ke hujung nyawa baginda? Hanya Pencipta memahami kehendak hati hamba-Nya.
Kepada kawan-kawan akrab telah dimaklumkannya. Namun, apabila disoal siapakah bakal suri hatinya itu Aiman hanya tersenyum memberitahu tenang bahawa ia merupakan pilihan ibu bapanya. Jawapan itu mengundang pelbagai reaksi dan tidak kurang juga yang menzahirkan persepsi masing-masing.
“Kau ini biar betul, terima bulat-bulat sahaja pilihan keluarga kau.”
“Kau sudah gila! Serah sahaja nasib kau kepada ketentuan keluarga.”
“Kau yakin kau akan bahagia dengannya?”
“Kau boleh setuju sedangkan kau langsung tidak pernah bertemu dengannya?”
“Aku hanya menyerah nasibku kepada ketentuan Allah.” Itu jawapan yang sering dituturnya apabila ditujah dengan pelbagai soalan daripada kawan-kawannya. “Jangan lupa datang ke majlis aku nanti.”
***
“AIMAN AKAN BERKAHWIN?”
“Siapalah agaknya gadis bertuah tu?”
“Aduh, terlepas sudah seorang jejaka warak Melayu terakhir!”
Dahlia membisu sahaja mendengar pelbagai reaksi dan komentar siswi-siswi yang meminati bakal suaminya itu. Kepada Arni pun belum dikhabarkan berkenaan perkahwinannya itu. Nantilah.
“Siapalah agaknya bakal isteri hero UIA tu?” Datang soalan daripada Arni. Dahlia tahu soalan itu hanya lebih kepada kemuskilan diri yang disuarakan. “Alangkah bahagianya andai aku dapat bersuamikan lelaki seperti Aiman!”
“Kau berminat?”
“Hm?” Kening Arni terangkat mendengar soalan daripada Dahlia.
“Aiman. Kau minat dia juga?”
Arni mengoyak senyum. “Siapalah aku…Dahlia. Hanya kagum dengan peribadinya.”
“Kenapa tanya?” Arni menyoal semula.
“Cara kau cakap...”
“Semua orang minat akan Rasulullah. Namun, tidak semua layak menjadi isteri baginda. Bukan begitu?” Arni mengemuka hujah seraya memintas ujaran Dahlia.
Dahlia tersengih lebar. “Semakin hebat cara kau bercakap sekarang!” puji Dahlia.
Arni tertawa. “Betul apa aku cakap! Bukan begitu?” Arni mengangkat kedua-dua kening berkali-kali. Dahlia tergelak.
“Cuma aku perasan sesuatu!” tutur Arni.
Dahlia masih ketawa.
“Kau pun minat Aiman, betul tak?” duga Arni.
Tawa Dahlia termati. Pandangan tertikam pada wajah sang sahabat.
“Aku?” Dahlia berpura-pura tidak faham.
“Aku perasan. Kau selalu perhatikan dia.”
Muka Dahlia berubah rona.
“Kau suka Aiman, kan?” Arni menghimpit bahunya ke bahu Dahlia sehingga Dahlia terhimpit ke dinding surau. Jemaah lain sudah lama meninggalkan surau itu, memberi peluang untuk mereka bersembang berdua.
“Apa kau mengarut ni?” Dahlia buat endah tak endah dengan soalan Arni, lantas melipat kain telekungnya.
“Aha, betullah tu!”
Dahlia mengangkat kepala, menentang pandangan Arni.
“Ya, aku suka Aiman dan aku akan berkahwin dengannya tidak lama lagi.”
Mulut Arni ternganga. Merenung terus sahabat yang tanpa disangka mengutarakan pernyataan itu.
Share this novel