Bab 6

Romance Completed 2646

“KAU TIPU!” ARNI MELETUSKAN tawa, namun wajah serius Dahlia membantutkan.

“Kenapa? Kau rasa tidak padan?” Soalan Dahlia sekali lagi membuatkan Arni terpana.

“Kau.. kau biar betul!”

Sudahnya, Dahlia menghulur kad walimatul urus. Arni membelek kad tersebut sebelum kembali menatap wajah sahabatnya. Matanya terbuka luas.

“Akhirnya kau yang menjadi pilihan Aiman,” tutur Arni mengakui kebenaran perkhabaran Dahlia.

“Tolong rahsiakan perkara ini daripada sesiapa.” Permintaan Dahlia tersebut disambut dengan persetujuan.

Kini hampirlah saatnya dia bakal disatukan dengan jejaka pilihan keluarga juga hatinya. Dia menunduk di samping ahli keluarganya di dalam masjid tersebut, juga bersama Mak Ngah Halimah kesayangannya. Sebentar lagi dia dan Aiman bakal dinikahkan oleh imam masjid itu yang merupakan suami Mak Ngah Halimah sendiri.

Aiman terdiam membaca baris nama yang begitu dikenalinya di dalam borang nikah di hadapannya. Sedetik pandangannya tertancap pada wajah bakal suri hatinya. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan mimpi yang dialaminya lewat solat istikharah yang didirikan dengan penuh rendah hati dan tawakal.

Dahlia tersenyum menyambut sapaan insan-insan di sampingnya. Rasa gementar raja sehari turut dirasakan. Sesekali pandangan bertembung dengan bakal suami. Arni di sisi sesekali mengusik, begitu juga sahabat-sahabat satu sekolahnya dulu yang sempat menghadirkan diri. Jiwa manalah yang tidak gembira apabila diketahui diri bakal disatukan insan yang begitu dirindui sekian lama. Mungkin ini rahmat daripada Ilahi di atas kesabarannya selama ini, biarpun hati mengakui sabarnya terlalu banyak cacat dan cela.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan orang yang berbuat baik dan ikhlas kepada-Nya. Mungkin berita gembira buatmu sudah tiba, dan inilah hadiah dari-Nya di atas kesabaran-Mu.” Ayat itu terngiang-ngiang di cuping telinga dan hati terasa penuh kembang bahagia. Ketenangan itu mencambahkan kesyukuran yang tidak terhingga di jiwa.

Goncangan tangan Imam Kamaruddin disambut ucapan lafaz keramat daripada Aiman. Dalam beberapa minit status dirinya berubah menjadi suami kepada gadis itu, diiringi setitis air mata kesyukuran tidak terkata. Doa diaminkan.

Dahlia menyeka air mata syahdu yang berlinangan. Turut mengaminkan doa bersama keluarga dan sanak saudara.

***
“ADAKAH AWAK TAHU BAHAWA awak bakal berkahwin dengan saya?” soal Aiman.

“Kenapa awak bertanya begitu?” Datang pula soalan daripada Dahlia.

“Saya tidak mahu awak menerima saya kerana terpaksa,” jujur pengakuan Aiman.

“Awak nampak saya ini dalam keadaan terpaksa?” Dahlia menyoal kembali. Aiman memandang paras indah Dahlia beserta rambut sederhana panjang yang sedikit berombak. Sedetik dia seperti asyik sendiri. Kini mereka berada di dalam kamar Raja Sehari yang dirias indah.

“Saya cuma mahukan kepastian.” Aiman menjelaskan.

“Saya pun hendak tahu sama ada awak benar-benar menerima saya ataupun kerana awak simpati atau sebagainya?” Dahlia menghunus pertanyaan.

“Awak rasa?” Aiman menyoal sambil tatapan matanya terus ke dalam anak mata Dahlia. Lama. Membuatkan Dahlia tertunduk.

“Saya ...” Ayat Dahlia terputus dek sentuhan lembut jemari kasar Aiman di dagunya, lalu mengangkat wajah itu perlahan-lahan dengan jemarinya sehingga terdongak menatapnya.
“Saya ... saya sayangkan awak.” Ucapan lembut itu keluar dari dua bilah bibir Aiman yang membuatkan Dahlia terus terpegun.

***

SEGUMPAL RESAH SEMALAM SUDAH kian sirna diterangi cahaya bahagia yang mula menyerlah. Dahlia merenung penuh kasih wajah suami di sebelah yang sedang lena. Subuh tadi mereka telah solat subuh bersama sebelum si suami kembali merebahkan diri.

“Saya minta maaf atas apa yang saya lakukan terhadap awak sebelum ini.” Ujaran Aiman semalam kembali mengetuk gegendang telinganya. “Saya terpaksa berbohong dan kecewakan awak demi masa depan awak sendiri. Saya tidak mahu awak terus hanyut dengan perasaan kasih yang tidak pasti. Ya, saya sayangkan awak tetapi itu bukan jaminan bahawa jodoh saya dengan awak sehinggalah akhirnya Tuhan menetapkan semua ini untuk kita. Ini mungkin anugerah daripada kesabaran kita menahan perasaan dan menjaga batas-batas syariat selama ini.”

Pandangan mata Dahlia masih terus melekat pada wajah itu. Persoalan dan salah sangkanya sebelum ini terjawab. Begitu rupanya cara Aiman menghargai ketulusan kasihnya. Mengorbankan kepentingan diri demi sebuah kejayaan yang lebih unggul. Benar kata Aiman. Mungkin perkahwinan ini adalah anugerah dan hadiah Tuhan atas kesabaran mereka, juga ketabahan Aiman menelan kebencian Dahlia sendiri untuk sekian lama. Kesyukuran dipanjatkan dan hatinya begitu tenang kini.

***

“MUSTAHIL KAU TIDAK TAHU!” bidas Zulfa, temannya yang begitu sekian lama meminati Aiman. “Ataupun.. kau pura-pura tidak tahu?”
dah itu jodoh mereka aku hendak kata apa,” balas Arni.

“Kau mesti tertekan, kan?”

“Kenapa pula?” soal Arni. Mengerut dahi.

“Kekasih sudah dikebas orang.”

“Aku tiada perasaan langsunglah terhadap Aiman!”

“Bukan Aiman. Dah..”

“Hei, kalau kau hanya hendak mereka-reka cerita yang bukan-bukan tentang aku dengan Dahlia baik kau berambus!” Suara Arni meninggi.

“Marah nampak!” Zulfa menyengih. “Sabarlah Arni, aku rasa hubungan Dahlia dengan Aiman tidak akan lama.”

“Apa maksud kau?” Arni sedikit cuak.

“Maksud aku orang yang sudah biasa bernafsu songsang ini tidak akan pernah puas dengan nafsu biasa.”

“Kau pergi! Pergi!!!” Bentak Arni. Zulfa segera menjauh diri.

“Tak habis-habis hendak memburukkan orang!” dengusnya.

Hanum melihat perlakuan adik usrahnya itu dari tempatnya berdiri. Sebelum ini hatinya rasa damai dengan ketiadaan Arni di dalam setiap sesi usrah yang diadakan. Pendedahan tentang sikap jelek Arni yang dia sendiri tidak tahu sejauh mana kebenarannya membuatkan dia lebih selesa andai gadis itu tiada. Cuma akhir-akhir ini dia terasa yang dia begitu mementingkan diri. Andai benar adik usrahnya itu bersikap seperti yang diceritakan dia sepatutnya bertanggungjawab untuk membimbing gadis itu ke arah kebenaran. Dia sedar sikap acuh tak acuhnya terhadap Arni yang membuatkan gadis itu semakin menjauh diri. Betapa kesalnya hati!

Hanum masih terus memerhatikan Arni sehinggalah gadis itu berpaling ke arahnya dan dia segera mengalih pandangan lalu mengorak langkah. Berlalu pergi dengan hati libang-libu. Tadi ada juga dia merangka hendak menyapa adik usrahnya itu. Mungkin diri belum bersedia lantas dia segera membatalkan.

***
G SUFI DIKHABARKAN di dalam mimpi bahawa dia bakal berjiran dengan seseorang di dalam syurga nanti. Gembiranya hati dan dia pergi mencari jiran yang dimaksudkan sehinggalah dia bertemu dengan seorang lelaki di tempat maksiat sedang menogok arak. Alangkah terkejutnya sang sufi lalu memarahi si lelaki lantas meninggalkannya. Belum sempat dia meninggalkan tempat tersebut sang sufi ditahan oleh si lelaki yang dikatakan bakal menjadi jirannya di dalam syurga dan mengatakan sang sufi pentingkan diri. Kata si lelaki, sepatutnya lelaki sufi tersebut menasihatinya dan mengajaknya meninggalkan maksiat tersebut. Lelaki sufi tersebut terkesima dengan kata- kata si lelaki dan mula insaf.

Demikianlah kehidupan ini ada timbal baliknya. Islam tidak suka sikap individualistik. Hidayah Allah ini bukan untuk dinikmati sendiri-sendiri, sebaliknya perlu disebarkan kepada insan-insan lain. Jangan hanya berusaha menjadi baik untuk diri sendiri sahaja tetapi insan lain yang hanyut tidak diajak sama, malah memandang jelek kepada insan-insan yang masih bergelumang dosa. Begitulah ajaran sebenar Islam!

Zakiah merenung jauh ke dalam dirinya. Kata-kata Hanum meresap ke dalam atma. Betapa dia selama ini terlalu mengikut hati, tidak ambil peduli akibat daripada tindakannya. Rasa penyesalan itu meribut di hati. Dia perlu kembali membaiki apa yang tersalah dan itulah tanggungjawabnya. Tanggungjawab yang telah dia culaskan. Dia tidak perlu berpatah balik, sebaliknya meneruskan dengan melakukan perubahan terhadap apa yang telah ralat. Dia perlu membawa balik Dahlia ke jalan yang benar. Dia perlu bersabar untuk itu. Tindakannya selama ini telah membuat gadis itu terus tersasar. Benarkah?

Keraguan kadang menjenguk juga ke medan fikirnya. Tatkala mengetahui tentang perkahwinan Dahlia dengan Aiman, dia bagaikan mula menaakul semula cerita negatif berkenaan gadis itu bersama teman baiknya. Itulah juga yang disuarakan rakan akrabnya, Hanum.

“Jika benar itu fitnah, kita turut bersalah kerana kita seperti bersubahat sama. Namun, jika memang betul mereka terjebak dengan semua itu kita juga bersalah kerana tidak berusaha untuk mengheret mereka kembali ke jalan yang benar. Itulah tanggungjawab kita sebagai naqibah mereka.”

Pendapat itu baru kala ini dinyatakan. Baru kini rasa bersalah itu menjunam ke dalam kalbu seterusnya mencetuskan taufan yang terus membadai atma dan minda. Baru kini mereka dapat melihat jejak langkah mereka yang tidak selari dengan restu Ilahi. Betapa mereka harus segera membetulkan ralat itu. Ralat yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka sebagai seorang yang benar-benar menghayati, memahami dan mengimani Islam itu sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience