Prolog 2

Romance Completed 2646

Hati terasa bagai dilambung-lambung. Jiwanya bagai berkembang mekar. Begini rupanya perasaan apabila dilamun cinta.

“Kita bukannya buat dosa. Kita hanya berkenalan dan kemudian saling menyukai di antara satu sama lain,” tutur Aiman dengan nada yang begitu menggetarkan jiwa remaja Dahlia.

“Eh, sapa kata saya suka awak!” Dahlia membalas, cuba menunjuk ego.

“Oh, awak tidak suka sayalah! Habis, kenapa awak asyik call saya?” Aiman membalas pula dengan soalan menguji.

“Err ... awak yang suruh!” bidas Dahlia.

“Awak yang mahu kan?” soal Aiman menduga.

“Saya cuma nak jaga hati awak. kan awak pernah tolong saya?”

“Oh, nak jaga hati saya pula! Sampai hampir setiap hari awak nak jaga hati saya?” soal Aiman lagi.

Dahlia terdiam, tidak tahu hendak membalas apa lagi.

“Awak suka saya kan?” Aiman terus bertanya.

“Mmm ... entah!” balas Dahlia.

“Betul la tu! Kan?” giat Aiman.

“Eh, awak ni tak malulah!” balas Dahlia.

“Ya, memang saya tak malu. Saya tak malu mengaku yang saya sudah jatuh hati kepada awak.” Jawapan tegas Aiman itu membuatkan jiwa Dahlia terasa kembang berbunga. Indah sungguh kata-kata itu bagi Dahlia!daripada Aiman. Jiwa Dahlia terbuai seketika, namun kemudian dia tersentak.

“Eh, ada orang datang!” Dahlia segera menyangkut gagang telefon awam itu ke tempatnya. Dia segera mencapai buku dan menuju ke salah sebuah kelas untuk studi. Bibirnya menguntum senyum mengenangkan bicara Aiman tadi. Sungguh indah perasaan ini!

***

“AIMAN KENA SEDAR. Aiman masih terlalu muda untuk berfikir bab kahwin masa ni. Apatah lagi, Dahlia yang baru usia enam belas tahun.” Suara kakaknya menasihati kembali memancingnya untuk terus berfikir.

“Aiman betul-betul sayangkannya.” Suara Aiman pula bertingkah.

“Tak. Aiman tak sayangkannya. Andai Aiman sayangkannya Aiman tak akan heretnya untuk terus hanyut dalam perasaan cinta yang tak pasti.”

“Aiman yakin dengan perasaan Aiman terhadap Dahlia,” balas Aiman.

“Aiman jangan lupa, kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Penentu segala apa yang bakal berlaku hanya Allah. Aiman bercakap seolah-olah Aiman tak belajar agama. Perasaan cinta yang ada di dalam hati bukan penentu yang pasti bahawa Aiman adalah jodoh buat Dahlia dan begitulah sebaliknya.”
Akuilah apa yang Aiman lakukan bertentangan dengan peraturan sekolah. Aiman fikir peraturan di sekolahitu adalah untuk menyusahkan kita? Aiman kena ingat, peraturan di sekolah bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk kebaikan semua pelajar. Jangan hanya melihat sesuatu perkara untuk setahun dua ini sahaja. Aiman perlu merenung jauh ke hadapan. Fikirlah Aiman, bukan mudah untuk dapat belajar di Maktab Mahmud. Hanya orang terpilih saja. Jika Aiman terus dengan keputusan Aiman, sia-sia saja penat lelah Aiman selama ini. Bagaimana pula kalau pihak sekolah dapat tahu? Tak mustahil Aiman akan digantung sekolah, malah lebih parah lagi Aiman mungkin akan dibuang terus. Ketika itu, mana Aiman hendak letak muka? Kalau Aiman tak kisah pun, cuba fikirkan mak dan ayah. Mana mereka nak letak muka? Dahlia juga tak akan terlepas daripada menerima hukuman. Aiman mahu?”

Aiman merenung jauh ke dalam kegelapan malam melalui tingkap yang sengaja dikuaknya. Dia mula menilai kembali setiap keputusan yang diambilnya sebelum ini. Di dalam hati cinta buat gadis itu masih bernadi.

“Cinta bukan bermakna kita boleh buat sesuka hati.” Suara kakaknya kembali menyinggah ke ruang fikir.

***

AIMAN MERENUNG TELEFON bimbitnya yang sedari pagi tadi berdering. Dia sudah dapat meneka siapa pemanggil tersebut. Dia sudah menghafal nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu. Itu nombor telefon awam di kawasan Asrama Sayiditina Khadijah. Dia sudah buat keputusan. Dia yakin itulah yang sebaik-baiknya. Dia mahu menjadi orang yang bertanggungjawab.Betul kata kakaknya, cinta bukan bermakna kita akan patuh kepada semua kehendak orang yang dicintai. Cinta bermakna kita melakukan sesuatu demi kebaikan orang yang dicintai walaupun bertentangan dengan kehendaknya atau kehendak sendiri. Cinta bermakna kita sanggup mengenepikan perasaan kita supaya orang yang dicinta tidak hanyut dan kita tidak terus menghanyutkannya.

Kebanyakan remaja sekarang lari daripada konsep cinta yang sebenar. Cinta mereka sarat dengan kepentingan diri dan sanggup meminggirkan ibu bapa demi mencapai kehendak sendiri. Cinta mereka tiada peraturan dan undang-undang. Hanya bertuhankan nafsu dan perasaan. Itulah yang memeningkan kerajaan dan masyarakat sekarang. Berapa ramai anak-anak zina yang dilahirkan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di dalam tong sampah, sungai, longkang, malah ada yang dihumban dari bangunan yang tinggi? Cinta mereka menjadikan mereka manusia berhatikan syaitan. Perikemanusiaan sirna dari hati mereka.

Itulah keputusannya. Keputusan yang jitu dan unggul. Dahlia harus dilepaskan.

***

Ya, sekejap lagi dia akan menelefon Aiman. Aiman berjanji akan menyambut panggilannya pada malam ini. Apa yang perlu dibuat oleh Dahlia, ialah mencari waktu supaya tiada sesiapa mengetahui yang dia menelefon Aiman.
Dahlia melihat kiri, kanan. Mana tahu, ada orang yang mengekorinya. Dia mencapai gagang telefon awam di dalam kawasan asrama di Maktab Mahmud itu.

Tut! Tut! Tut! Klik! Terdengar panggilan diangkat.

“Assalamualaikum,” Dahlia memulakan bicara.

“Waalaikumussalam.” Terdengar salamnya dijawab.

“Boleh saya bercakap dengan Aiman?”

“Ya, saya. Aiman bercakap”.

Serentak itu rasa gemuruh memerangkap diri. Dahlia menarik nafas dua tiga kali sebelum menyambung bicara.

“Aiman, kenapa Aiman tak pernah jawab setiap kali saya call sebelum ini? Betul ke Aiman…Aiman sebenarnya ada hubungan istimewa dengan Kak Fairuz?” soal Dahlia.

Diam.

“Aiman?”

“Awak percaya?” soal Aiman balik.

“Hampir percaya.” Jujur pengakuan Dahlia.
Dahlia, saya tak jawab call bukan hanya kerana Fairuz, tapi juga kerana ... ” Aiman menggigit bibir sebelum meneruskan percakapan. “ ... kerana saya dah bosan.”

“Bosan?” Dahlia terkejut benar dengan kenyataan itu. Hatinya tertanya-tanya. Apa maksud Aiman?

“Ya, bosan. Saya dah bosan dengan awak. Jadi, sekarang saya akan berusaha untuk dapatkan Fairuz pula. Sorry… kerana sebabkan awak terperangkap dalam permainan cinta saya sendiri.” Aiman sengaja ketawa. “Saya bukan jenis yang setia kepada seorang perempuan, awak tidak tahuk? Kesian awak …”

“Awak penipu! Saya benci awak! Benci!”

Dahlia tersandar ke dinding asrama selepas meletakkan gagang. Dia teresak-esak menangis. Jiwanya begitu sakit dengan pengakuan ‘ikhlas’ Aiman. Tidak sangka! Sungguh tidak disangka! Ya Allah …

***

Aiman terduduk di atas katil bujangnya. Air mata menurun setitis demi setitis. Betul. Dia amat menyayangi Dahlia. Maka, kerana itulah dia sanggup membohongi Dahlia. Supaya gadis itu cepat dapat melupakannya. Namun, sebenarnya jiwa kelakiannya begitu terhiris. Dahlia ... maafkan saya. Ya Allah, betulkah apa yang aku lakukan ini?

Aiman mencari surat-surat dan kad-kad pemberian Dahlia. Dia nekad. Dia akan membakarnya sendiri. Semuanya demi kebaikan. Ya, kebaikan. Walaupun hatinya sakit. Ubat itu memang pahit. Dahlia ... saya rasa bertanggungjawab kerana mengheret awak ke dalam permainan perasaan ini. Kalau bukan saya yang terlebih dahulu menghulurkan perkenalan, pasti kita tidak terjebak dalam perangkap cinta insani ini.

Dahlia ... saya tahu awak sangat sayangkan saya. Sedangkan saya lebih sayangkan masa depan awak. Saya buat semua ini supaya awak tidak terus terleka dan begitu juga saya. Andai ada jodoh kita, satu hari nanti mungkin kita kan bersama, sayang. Ya Allah …

Aiman memejamkan mata. Biarlah hari ini dia menangis sepuas-puasnya. Semoga esok dia dapat bangun dengan satu nafas baru. Insya-Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience