BERITA TENTANG SEORANG mahasiswa UIAM telah menyelamatkan salah seorang mahasiswi UIAM sendiri daripada gangguan seksual di atas bas Rapid KL tersebar luas. Sesungguhnya dia tidak pernah mengangankan bahawa namanya akan menjadi terkenal setelah itu. Pertolongan yang dihulur adalah atas rasa perikemanusiaannya sebagai insan biasa. Impian sebenarnya ialah memiliki perasaan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi segala. Dapat melihat alam, makhluk dan segalanya dengan pandangan yang diredai Allah.
Tuhan, indahnya cinta yang kau benamkan dalam hati ini. Lebih indah daripada cintaku kepada Dahlia. Aiman meraup wajahnya. Itulah rutin hariannya. Bangun untuk bertahajud, solat sunat taubat, hajat dan witir. Kadang-kadang ditambah dengan membaca dan menghadam terjemahan al-Quran.
Tuhan, aku datang kepada-Mu sebagai hamba yang kerdil. Aku rindu kepada-Mu. Juga rindu kepada Junjungan Besar Nabi-Mu. Tuhan, terimalah aku sebagai hamba-Mu. Lestarikanlah selalu rasa kasih ini dan juga rasa kehambaanku. Inilah bahagia sebenar yang kucari, ya Allah.
Aiman melipat sejadah. Segunung keinsafan yang bersenandung di jiwa terus bernadi. Tangan mencapai nota dan sebuah buku untuk ditelaah.
***
LAGU ‘LANGKAH TERCIPTA’ nyanyian kumpulan U.N.I.C. kedengaran di gegendang telinga. Dahlia mengubah posisi baringannya. Semenjak subuh tadi, dia begitu. Sengaja hendak hiburkan hati dan memanjakan diri setelah menelaah pelajaran sebelum waktu Subuh.
Memang menjadi kebiasaan Dahlia bangun seawal tiga atau empat pagi untuk menghafal atau membaca buku. Sebelum menelaah, dia mewajibkan dirinya bersolat tahajud, taubat, hajat dan apa sahaja yang dimampu. Itulah penawar hati daripada Allah yang menghiburkan jiwa tika dihimpit derita.
Rindunya kepada Rasulullah juga bernadi. Dia mula mengerti erti cinta sejati Allah terhadap hamba-hambaNya. Mungkin ini hikmahnya kenapa dia ditakdirkan untuk belajar di Maktab Mahmud dan kemudiannya di universiti ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM). Kuharap aku tidak hanyut lagi. Masa muda ini sepatutnya kugunakan sebaiknya. Di antara perkara yang akan ditanya ketika di akhirat ialah masa muda - ke mana ia dihabiskan?
Hati kian dekat dengan cinta-Nya. Hati kian merasa kasih terhadap kalam-Nya. Hati kian tersentuh dengan al-Quran. Ya Allah, sesungguhnya cinta-Mu terlalu indah untuk diperikan.
***
Dahlia rasa tidak selesa dengan pandangan mata lelaki di dalam LRT itu. Namun, dia tidak khabarkannya kepada Arni. Dahlia berpura-pura melihat pemandangan di luar cermin tingkap. Walau bagaimanapun, dia dapat rasakan yang mata itu masih setia memandangnya.
Aiman juga perasan renungan seorang lelaki terhadap Dahlia. Dia kenal lelaki itu! Haris, pernah menjadi seorang pemain bola sepak terhandal dari sebuah sekolah terkenal di Melaka. Paling banyak mempunyai kekasih. Maklumat itu diketahuinya daripada sahabat-sahabatnya yang satu negeri dengan lelaki itu. Rasa cemburu bertunas di hati. Dipandangnya dari jauh reaksi lelaki itu dan juga Dahlia. Bimbang juga kalau-kalau lelaki itu berjaya ‘memerangkap’ Dahlia untuk dijadikan kekasihnya.
Turun dari LRT, Dahlia segera menyaingi Arni. Mereka hendak membeli barang-barang keperluan harian. Dahlia rasa ada sesuatu tidak kena. Bagai diekori seseorang. Dahlia berpaling ke belakang. Lelaki itu!Haris tersenyum kepadanya. Dahlia kaget. Perlukah dia membalas senyuman itu? Dia cuba berlindung di sebalik Arni. Arni perasan perubahan air muka Dahlia.
“Kenapa Lia?” soalnya.
“Tidak ada apa.” Dahlia sebolehnya tidak mahu Arni dapat meneka gelodak hatinya. Namun, dia tidak cekap menyembunyikan perasaannya.
“Aku tahu, kau bimbangkan sesuatu.”
Dahlia menarik tangan Arni. Kejap. Dia berbisik, “Ada orang ekori kita.”
Arni terkejut benar. Dia berpaling ke belakang. Aiman? Kelihatan Aiman sedang berdiri tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Arni tersenyum.
“Hero universiti kita tu, agaknya dia sukakan kau.” Arni masih tersengih-sengih.
Dahlia terpegun dengan ujaran tersebut. Dia berpaling, melihat siapa gerangan di belakangnya. Aiman menunduk tatkala pandangan Dahlia tersuluh kepada wajahnya. Dadanya terasa bergetar. Jantung mengepam darah laju. Apa yang Aiman buat di sini?
Terpempan Aiman dibuatnya kala Dahlia dapat menyedari kehadirannya. Memang sedari tadi dia mengekori Dahlia. Hanya untuk memastikan Dahlia selamat. Walaupun dia sedar masa depannya dengan Dahlia kian kabur, rasa prihatinnya terhadap keselamatan Dahlia tidak mampu ditepis.
Sesungguhnya jauh di sudut hati dia tidak rela gadis kesayangannya diganggu oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Memang dia cemburu, tetapi cemburunya bertempat. Dia dapat bezakan antara pandangan biasa seorang lelaki dan sebaliknya. Biar sampai mati pun dia tidak akan reda andai Dahlia akhirnya menjadi milik Haris.
***
“Err...Assalamualaikum.” Datang sapaan tidak disangka daripada lelaki yang tidak pernah dikenalinya. Dahlia mendongak melihat raut wajah itu yang menghulurkan senyuman tanpa dipinta. Sesungguhnya hati amat tidak suka akan senyuman itu.
“Waalaikumussalam,” Dahlia menjawab jua salam tersebut.
Boleh awak tolong beritahu saya jalan ke Pusat Islam?” Permintaan itu dinyatakan oleh si lelaki.
“Hm? Mmm… okey. Dari sini awak perlu jalan terus dan ambil kiri dan kemudian ikut jalan tersebut dan Pusat Islam berada di sebelah kanan jalan tersebut,” beritahu Dahlia jujur.
Lelaki tersebut menghadiahkan senyuman tanda terima kasih.
“Terima kasih ya. Saya Haris, siapa nama awak?”
“Aa… Saya Dahlia,” Dahlia memaksa diri memutik senyum.
Dahlia merenung lelaki itu dari belakang, dan tanpa diduga seseorang hadir mencapai gelas minumannya dan mencurah air ke singki. Mata Dahlia terbelalak melihat tindakan lelaki tersebut.
“Apa awak buat ni?” Segunung kemarahan dihamburkan jua, sementelahan didapati lelaki itu adalah Aiman.
“Saya cuma hendak selamatkan awak,” jujur pengakuan Aiman.
“Apa?” Dahlia terpinga.
“Kenapa ni?” Arni yang datang dari tandas sudah kembali ke meja.
“Aiman!” Arni tertegun.
“Tadi lelaki yang datang bercakap dengan Dahlia telah masukkan sesuatu ke dalam air ni. Saya cuma hendak tolong. Okey, saya pergi dulu.”
Dahlia hanya memandang susuk tubuh Aiman dengan perasaan berbaur.
“Lia, apa yang terjadi sebenarnya?”
Dahlia mengangkat gelas kosong untuk ditunjukkan kepada Arni.
Arni merenung Dahlia menanti penjelasan.***
Dahlia menghabiskan cuti semester itu di rumahnya di Baling, Kedah. Sengaja dia keluar berjalan-jalan petang itu untuk melihat-lihat sekitar kampung. Udara segar dihirupnya penuh enak. Tanpa sedar kakinya membawa dirinya ke rumah lama Mak Ngah Halimah Ng. Tampak halaman rumah itu masih bersih. Mungkin ada orang menjaganya. Sedetik segala kenangannya bersama Mak Ngah Halimah Ng kembali berputar di ruang liga ingatannya. Sungguh. Dia masih merindui untuk menatap wajah penuh keibuan wanita itu.
Pangkin di hadapan rumah itu sering menjadi tempat dia dan Halimah Ng duduk bersembang pelbagai topik, dan seperti biasa Mak Ngah Halimah akan tetap mendengar apa sahaja yang diperikannya biarpun topik yang diceritanya tidak semenarik mana pun.
Di bahu Mak Ngah Halimahlah akan dihambur segala kesedihan, kegembiraan dan segalanya. Apabila dimarah mama, di bahu itu jugalah dia akan mengadu. Mak Ngah Halimah memang seorang pendengar yang setia. Selepas itu, dengan lembutnya Mak Ngah Halimah akan menasihatinya dan memberi kata-kata penyejuk hati.
Dahlia menyeka air yang mengalir tanpa sedar dari kolam matanya. Rindu yang mendalam itu masih dapat dikepung baik, cuma kekadang ia akan meruap juga dan diluahkan dengan rembesan mutiara gadisnya atau hanya kesedihan mencengkam. Mak Ngah, kalaulah Mak Ngah masih ada di sini!
Dahlia tersedar dari lamunannya tatkala telinganya dicuit suara ketawa yang amat biasa didengarnya. Dia mendongak jauh ke hadapan. Kelihatan wanita itu, berbaju kurung kemas lengkap bertudung bawal sedang asyik berborak dengan seorang lagi wanita. Dahlia menggosok-gosok matanya berkali-kali, bagai tidak percaya denganapa dilihatnya. Benarkah?
Dahlia nampak wanita itu mula menghilang diri di dalam kereta Proton Wira biru tersebut. Tanpa berlengah dia cuba mengejar. Dia yakin wanita itu ialah Mak Ngah Halimah yang dirinduinya.
“Mak Ngah!”
Mukanya tersembam ke tanah apabila tanpa sedar kakinya tersadung banir pohon ketapang besar itu. Hatinya menangis dan dia turut teresak-esak.
“Mak Ngah…”
***
Puan NAFIZAH menatap tulisan tangan itu dengan hati tersentuh. Rahsia hati si anak kini di hadapan mata sendiri. Suatu nama tertulis di situ. Sedetik dia mencari-cari nama itu dari ruang memorinya. Namun, dia gagal. Yakinlah dia yang Aiman tidak pernah menyebut atau menceritakan kisah berkenaan insan yang mempunyai nama tersebut.
Aku masih berusaha tidak mencintaimu, Dahlia. Semakin dicuba semakin karib ingatanku kepadamu. Aku hanya mampu memerhatimu dari jauh. Aku tidak mampu menyekat diriku dari terus mengambil berat soalmu. Bukan juga aku mengharapkan kau membalas cintaku atau kerana ingin menebus rasa bersalahku, juga bukan kerana simpati. Namun, inilah caraku Dahlia untuk menghiburkan hatiku yang masih sayang akan dirimu.
Puan Nafizah merenung ke hadapan. Mungkinkah ada sesuatu yang dia tidak tahu berkenaan anak lelaki seorangnya ini? Mak!”
Panggilan itu menyentap menungannya. Dia menoleh mengadap anak sulungnya, Sofiya yang sedang berdiri di muka pintu bilik bersama anaknya, Nafiesa yang baru berusia dua tahun. Sofiya terpegun melihat buku catatan harian milik adiknya, Aiman yang berada bersama sang ibu.
***
“SOFI PUN TIDAK MENYANGKA yang Aiman masih menyimpan perasaan buat gadis itu. Sofi buat semua itu untuk kebaikannya juga. Dia masih terlalu muda ketika itu untuk fikirkan soal pasangan.”
Puan Nafizah mendengar penjelasan Sofiya dengan berlapang dada. Dia merenung raut wajah anak sulungnya itu.
“Ya, itu dulu. Namun, sekarang dia sudah berhak untuk berfikir semua tu. Sofi pernah berjumpa dengan Dahlia?”
Sofi menggeleng. “Kenapa mak?”
“Mak rasa mak perlu berbuat sesuatu. Mak hendak berjumpa dengan Dahlia itu.”
Sofi memandang wajah ibunya dengan penuh tanda tanya.
***
Aiman berjalan di taman itu. Pelbagai bunga bermacam-macam warna meralitkan mata memandang. Dahlia tersenyum di sisi. Mereka terhibur dengan pemandangan yang cukup indah itu.
Pandangan Aiman tertancap kepada seekor rama-rama yang datang singgah di kelopak bunga ros yang berkembang mekar. Pandangan Aiman kembali ke sisinya. Dahlia tiada! Aiman kaget.
“Dahlia!”
Aiman terbangun dari tidur kala dinihari itu. Dia beristighfar. Mimpi tadi kembali menjelma di dalam layar ingatannya. Lantas, dia bingkas dari pembaringan menuju ke bilik air. Air dingin pukul empat pagi membasahi anggota wuduknya. Seperti biasa, sekurang-kurangnya dua rakaat tahajud didirikannya sebelum menelaah pelajaran.
***
PANGGILAN TELEFON DARI KAMPUNG yang diterimanya tadi menghulur tanda tanya di ruang benak Dahlia. Permintaan supaya dia pulang sekejap ke kampung kerana ada hal yang hendak dibincangkan. Itu yang diberitahu ibunya dan dia langsung tidak bertanyakan hal apa yang hendak dibincangkan.
Kertas nota subjek Pembangunan Sosial itu ditatap kembali. Cuba menjemput khusyuk di dalam pembacaannya. Terasa ada tangan mencapai bahunya. Dahlia berpaling. Wajah prihatin Arni mengundang damai di ruang atma.
“Apa yang kau fikirkan?”
Dahlia diam tanpa jawapan.
“Kau masih teringatkan orang tu?” Soalan tersebut membuatkan Dahlia terkesima. Kemudian, menundukkan wajah lemah.
“Kau pun tahu dia pernah permainkan kau dan kau harus selalu ingat sapa yang dia telah buat kepada kau. Jadi, tak perlulah kau kenang lagi.” Sesungguhnya Arni tidak tahu bahawa orang yang dimaksudkan itu adalah Aiman.
“Aku bukan harapkannya dan aku tidak lagi simpan apa-apa lagi perasaan kepadanya,” protes Dahlia.
“Betul ke?” soal Arni menduga.
“Kau tak percaya?” soal Dahlia dengan nada tinggi.
“Okey! Okey! Aku percaya,” Arni mengalah. “Aku cuma hendak kau tahu yang aku ni sahabat kau dan aku bersedia berkongsi sebarang cerita dan masalah dengan kau kerana aku sayangkan kau.”Dahlia terpana dengan ujaran Arni.
Inilah sahabat yang begitu tidak disukainya sejak mula dan tanpa disangka sekarang begitu akrab dengan jiwanya. Aku pun! Ujaran itu hanya bernadi di ruang dada Dahlia.
Share this novel