Bab 7

Romance Completed 2646

INDAHNYA KEHIDUPAN ANDAI melodi cinta ini terus berlagu dengan kapasiti keinsafan yang tidak kan berkurang sampai bila-bila. Itulah yang disuarakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW mengenai rasa cinta dan insaf yang berkurang dan bertambah kerana bimbang diri termasuk di dalam golongan munafik.

Dia tercatuk di situ, tenggelam dalam menungan. Pandangan matanya tidak kabur, namun impian yang dibina bagai samar-samar untuk digapai. Terkadang terasa gerun memikirkan masa depan. Semakin jauh melangkah, semakin banyak kerikil dan ranjaunya! Membuatkan diri bagai tidak berdaya untuk meneruskan langkahan.

“Hidup tanpa reda Ilahi bagai jasad tidak bernyawa.”

Kata-kata itu menerjah masuk ke dalam lautan renungan. Sekilas raut wajah penuturnya bertamu di mata. Wajah Kak Zakiah bertudung litup. Biarpun hati masih perit dengan tuduhan melulu si kakak, namun kata-kata nasihatnya datang juga memujuk rasa. Suatu kata yang masih ada auranya sehingga kini.

Sukarnya untuk meraih reda Ilahi. Semakin diri menghampiri dan mengabdi, semakin kuat ujian mengacah. Alhamdulillah di atas keadaanku ini; sepatutnya itu yang dituturkan. Kesabaran Nabi Ayub a.s harus menjadi ikutan. Insan-insan yang hampir dengan-Nya terlalu kuat cubaan yang diberi. Setiap cubaan mengandungi hikmah tersendiri. Apa yang perlu kita lakukan ialah terus menabahkan hati dan bukan berusaha mencari hikmah di sebalik ujian tersebut. Mungkin kita tidak dapat melihat hikmahnya pada hari ini. Mungkin esok, lusa, tulat atau setahun, dua tahun dan seterusnya baru kita diperlihatkan dengan hikmah di sebalik getir yang kita harungi. Bersangka baik dengan Tuhan, itu yang perlu disemat di dalam hati.

“Sayang.. Bila bangun?”

Suara sang suami memulangkan diri ke dunia realiti. Segarit senyuman dihadiahkan buat insan tercinta itu.

“Baru sahaja.” Dahlia menjawab pendek.

“Solat malam ya?” soalnya.

Senyum lagi. Dahlia mengangguk.

“Lama tak buat,” beritahu Dahlia walau tidak ditanya.
Aiman tersenyum biarpun matanya masih dikuasai kantuk. Tanpa sedar tubuh dibaringkan semula dan si suami kembali tenggelam dalam lena. Dahlia tersenyum melihat. Bahagia menjengah.

Itulah ‘syurga’ hatinya buat ketika ini, yang membuatkannya tersenyum senang biar diri dicalar duri cubaan. Salah satu ketenangan kurniaan Tuhan yang harus disyukuri. Alhamdulillah ya Allah.

***

ARNI MENGERLING REDUP wajah itu. Ada sesuatu dipendam, Arni dapat rasakan. Dahlia menoleh. Pandangan Arni ditentang.

“Kau okey?”

Soalan itu bergayutan seketika tanpa jawapan sebelum dibalas dengan anggukan beserta senyuman.
“Kau ada masalah?”

Dahlia menggeleng.

“Kau marahkan aku?”

Dahlia tersenyum.

“Tiada apalah,” Dahlia menjawab juga.

“Jika fasal cerita yang bukan-bukan tentang kita… tak perlulah kau hiraukan. Rasanya setelah kau kahwin, desas-desus tu sudah semakin kurang. Mungkin tidak lama lagi terpadam langsung.”

“Kau sendiri bagaimana?” Dahlia menyoal tidak terduga.

“Aku?” Arni bertanya semula. “Aku macam ada sedikit rasa malas.”
Raut wajah Dahlia menunjukkan sedikit tercengang.

“Malas berfikir,” sambung Arni merekahkan senyum.

Renungan Dahlia masih tajam.

“Alah, tak perlu risaukan aku!” ujar Arni.

“Kau tahu tadi...” Arni memulakan cerita, dengan gaya dan nada untuk menarik perhatian Dahlia.

“Hm?”

“Kak Hanum datang jumpa aku...” Arni terus bercerita. “Dia tanya: Kenapa lama tak hadiri usrah? Dia ajak aku pergi usrah seperti biasa. Dia juga tanyakan kau.”

“Habis, apa kau cakap?”

“Aku senyum saja, kemudian cakap: Insya-Allah!”

“Kenapa kau tak cakap seperti kau selalu cakap dengan aku? Aku tak ‘hingin’ pergi usrah itu lagi.” Duga Dahlia menyeringai menampakkan gigi.

“Aku memang hendak cakap begitu pada mulanya, tetapi seperti aku cakap tadi. Aku ada sedikit rasa malas hendak bercakap begitu.” Arni menyengih balik.

Dahlia tercenung. Kak Zakiah pun ada berjumpa dengannya, mengajak untuk mengikuti usrah. Adakah patut dia memenuhi ajakan itu? Dahlia akui di saat begini jiwanya perlukan ayat-ayat penyejuk perasaan. Motivasi yang jitu untuk meneguhkan hati. Lagi pula, memang dia merindui mutiara-mutiara nasihat daripada naqibah usrahnya itu. Ucapannya mendamai jiwa. Hati akan terubat sedikit...tenang. Jiwa gelora kembali tenteram.

“Sebenarnya Kak Zakiah juga datang berjumpa denganku.” Dahlia turut membuka cerita.

“Hm?” Perhatian Arni kembali kepada Dahlia.

“Dia pun seperti Kak Hanum, ajak aku kembali ikuti usrah.”

“Kau pergi?” Arni menyoal dingin.
“Belum lagi.”

“Belum lagi? Maksudnya kau memang hendak pergi?”

Dahlia diam sedetik, melihat Arni.

“Kau rasa bagaimana?” Dahlia menyua pertanyaan. Arni turut merenung Dahlia, sebelum membalas jawapan.

“Aku pun tidak tahu perasaan aku bagaimana. Pecah berderai ke? Remuk-redam ke? Hancur lumat ke? Sekiranya kau rasa hati kau sudah bercantum semula, dan ada keinginan untuk pergi, itu hak kau.”

“Aku pun tidak tahu sama ada bekas ‘jahitan’ itu telah sembuh atau belum,” ujar Dahlia.

“Hm? Jahitan?” Giliran Arni pula tercengang dengan ujaran sahabatnya itu. Mata membulat dengan tanda tanya.

Dahlia menyengih, sebelum menjelaskan.

“Jahitan hati yang telah pecah berderai atau remuk-redam atau hancur lumat.”

Tangan Arni menampar dahi sendiri. Dia tergelak. Baru faham. “Pandai juga kau buat lawak.”

“Namun sebenarnya… aku rindu juga hendak hadiri program-program seperti itu kembali. Jiwa ini rasa sangat kontang sekarang,” beritahu Dahlia setelah tawa Arni usai.

Arni terdiam mendengar. Dahlia kembali menyambung.

“Walaupun aku agak kecewa dengan sikap mereka sebelum ini, aku tetap akui nasihat-nasihat mereka banyak juga membantu aku.”

***

HARI INI DIA ponteng usrah lagi. Seperti biasa alasan yang digunakan ada banyak kerja kursus, ada ujian, kuiz atau tutorial. Hendak menadah telinga setiap masa dengan kata-kata nasihat yang tidak langsung tergiur oleh jiwanya, itu bukan sikap dirinya yang sebenar. Syaza masih jelak dengan perkara-perkara yang baginya terlalu ideal itu. Jiwanya mahu bebas. Dia perlukan liburan, bukannya nasihat atau ungkapan yang paling tepat ocehan dan leteran berjela yang sungguh melemaskan hati dan perasaannya.
Maka kerana itulah dia sering berkunjung ke kelab-kelab malam bersama-sama rakan sekepala dengannya. Itulah kebahagiaan sebenar mengikut takrifannya. Dapat menari, dapat mendengar lenggok lagu, terkinja sana sini. Jiwa hanya akan terasa puas dan gembira selepas membuat semua itu.

“Kau masih dengan budak berhingus itu?” tanya Mira. Kepala terangguk-angguk mengikut rentak lagu.

“Budak berhingus mana?” Syaza menyoal balik. Menyedut jus oren dari gelas ‘ramping’ yang selalu diisi dengan pelbagai minuman di situ. Menjadi pantang-larang Syaza dan kawan-kawannya menyentuh pelbagai jenis arak yang biasanya menjadi sajian wajib di setiap kelab malam. Maruah diri perlu dijaga. Tidak sanggup kesucian mereka terkorban dek kesilapan langkah sendiri. Mereka begitu berhati-hati untuk menerima sebarang pelawaan dan sebagainya. Setiap lelaki didampingi sekadar untuk ‘dicukur’ wang ringgitnya.

“Fauzi.”

“Ah, kau pun tahu aku jenis tidak lama melekat!”
Mira ketawa.

“Aku tahu, maka oleh sebab itu aku bertanya.”

“Jadi, kau dengan siapa pula sekarang ini?” Mira bertanya semula.

“Syy! Sekarang ia masih lagi rahsia.” Gaya dialog salah satu iklan di tv dituturnya dengan perkataan yang sedikit berbeza. Syaza terkekeh-kekeh. Mengenyit mata.

“Nani nampak sangat cergas malam ini!” Syaza memusing topik. Mira menoleh melihat si teman.

“Hm, baru dapat yang baru!” ulas Mira.

“Kau pula?” Soalan Syaza dituju buat Mira.

“Aku...aku masih belum ‘bersalin’.”
Syaza tergelak dengan jawapan spontan Mira. Dia menokok. “A’a..betul! Belum sampai masa ‘meletup’ lagi.”

Mereka gelak bersama. Masing-masing memahami ‘meletup’ yang dimaksudkan sama ada bertengkar atau berpisah, sementara ‘bersalin’ ialah mendapat teman baru. Gerak-geri mereka menjadi perhatian seseorang yang entah sejak bila berada di situ.

***

RUPANYA BEGINI RENTAK HIDUP adik usrahnya. Andai bukan kerana tuntutan kursus praktikal jurusan dakwah yang diambilnya di universiti, Zakiah tidak akan menjejakkan kedua-dua belah kakinya ke tempat hiburan tersebut.

Tersentap sungguh jiwa apabila terpandangkan wajah itu berada di tempat begitu. Tidak terduga gadis yang perwatakannya begitu ‘solehah’ di hadapannya boleh bergelak tawa tanpa segansilu di kelab malam itu. Tempat yang sangat dijauhi oleh insan-insan yang benar-benar mahu meluruskan hati untuk Tuhan. Kiranya tidak mustahil apa yang disampaikan gadis tersebut beserta lagak dan gerak-gerinya selama ini hanya omongan dan lakonan. Sehinggakan tatkala si gadis memuntahkan fitnah yang mengaibkan seorang daripada adik-adik didikannya, dia amat percaya itulah cerita benar yang seharusnya diketahuinya sejak dahulu dan begitu kuat dianutinya sampai ... Sampai satu saat dia baru sedar dan nampak jelas betapa bodohnya dia selaku naqibah pembimbing menerima sesuatu cerita tanpa diselidik terlebih dahulu. Betapa dungunya dia menghukum si adik yang begitu taat dan setia dengan mempercayai cereka tersebut. Betapa liciknya gadis bernama Syaza itu.

Menderu rasa bersalah, bertimpa-timpa menghempap hati Zakiah. Bagaimana mungkin dia boleh tersilap membuat penilaian? Semalam dia ternampak gadis itu, Dahlia bersendirian di suatu sudut surau kepunyaan Mahallah Maryam. Kelihatan tangannya mengesat mata. Entah kesulitan apa dihadapinya kala ini. Paling dikesalkan, salah satu kesulitan itu berpunca daripada dirinya sendiri selaku naqibah pembimbing. Wajah gadis itu menagih kepercayaannya jelas tertayang-tayang pada mata ingatannya.

“Lia tidak buat benda-benda keji begitu, kak. Percayalah!”

Oh Tuhan! Benarlah firman-Mu. Apabila datang kebenaran maka terpadamlah kebatilan, dan sesungguhnya kebatilan itu pasti kan lenyap.
***

HATI MASIH MENANGIS. Hati masih merintih. Jiwanya terdera, walau di satu sudut yang lain hati damai bahagia. Kebahagiaan dikecapi bersadur kesedihan. Begitulah gambaran jiwanya ketika ini.

Gadis itu masih tersenyum, walau sesekali rona mendung pada latar milik wajahnya dapat jua dicekupi kornea. Dahlia… cubaan hidupmu masih jua menderu. Aku tidak tahu berapa kali kalbumu tersayat pilu. Biarlah aku cuba mengesat kesedihanmu, biarpun aku jua terkadang turut dirundung murung.

“Abang cubalah rasa puding ni!” Tangan Dahlia menghulur sepiring puding jagung yang telah dipotong-potong. Aiman terpanggil dari dunia maya monolog hatinya. Pantas menyambut huluran sang isteri.

“Siapa beri?” Lontaran soalan itu seiring gerak tangan.
m “Lia buat,” akuinya. “Cubalah rasa!”

Aiman mencedok sedikit sebelum disuap ke rongga mulutnya.

“Bagaimana?” Dahlia begitu teruja, bertanya.

Wajah Aiman berkerut seraya memejam kedua-dua kelopak mata. Sebelah matanya terbuka setelah beberapa detik.

“Kenapa?” Dahlia bagai tidak sabar.

“Masam,” beritahu Aiman.
“Masam?” Dahi Dahlia berkerut, mempamerkan rasa hairan dari benaknya. “ Basi ke? ” Dia segera mencedok sedikit potongan puding tersebut untuk dirasa. Dahlia begitu bersungguh mengamati rasa puding itu. Kemudian wajah Aiman menjadi sasaran panahan korneanya.

“Sedap je!” ulasnya tanpa dipinta.

Aiman tersengih menjelaskan. “Wajah sayang yang masam.”

“Ye ke?”

“Senyumlah sikit,” giat Aiman.

Dahlia mengoyak sengihan lebar.

“Begini?” Sengaja membuat memek muka lucu.

“Tak. Begini! ” Aiman pula menyengih.

Meletus tawa Dahlia. Dia tidak dapat menahan rasa lucu. Wajah Aiman sebiji benar dengan wajah cimpanzi yang suka menyeringai menunjuk gigi di zoo. Aiman bahagia melihat.

“Abang tidak mahu, biar Lia habiskan,” getus Dahlia sesudah habis tawanya.

Tanpa diduga Aiman terlebih dahulu menyambar piring puding tersebut dan menyantapnya hingga licin dalam beberapa minit sahaja.

“Terima kasih.” Aiman menghulur kembali piring kosong kepada Dahlia.

Dahlia memuncung mulut. “Orang ingat hendak makan sama-sama. Sedikit pun tak tinggal kat kita.”
Aiman sekali menyeringai lebar. Ala-ala sengihan cimpanzi seperti tadi.

“Ingat elok sangat senyum begitu. Mujur…”
“Mujur abang tak senyum macam tu waktu kita mula-mula jumpa. Kalau tidak, dari awal lagi Lia tak akan pandang muka abang sedikit pun he...”

Aiman tersengih bangga dapat memintas ujaran itu dan menghabiskan ayat seperti yang selalu dituturkan si isteri. Sudah biasa dengar!

“Wek!” Dahlia menjelir geram. “Malas layan abang!” Dia berlalu dengan ayat itu.

Ha! Ha! Ha! Tawa Aiman meledak. Hati terhibur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience