Bab 8

Romance Completed 2646

“TASLIAH.”

“Tasliah?”

Aiman memandang wajah Dahlia. Dahlia mengangguk

“Nur Tasliah,”ungkapnya lagi.

“Siapa?”

“Anak Aiman.” Dahlia mengorak senyum.

“Aiman yang mana?” Dahinya berkerut-kerut.

“Aiman suami Puan Dahlia.”

Mati kerutan di dahi Aiman. Merenung Dahlia.

“Tidak mungkin...”

“Tidak mungkin Lia mengandung?” Dahlia menghabiskan ujaran Aiman. “Memang pun.” Dia sendiri menjawab soalan tersebut.

Aiman terpinga.

“Memang pun Lia tidak mungkin mengandung.” Dahlia menjelaskan sekali lagi.

Aiman merenung Dahlia semula.

“Apa maksud Lia sebenarnya?”

Dahlia tersengih. Melebar. Soalan yang dinanti-nantikan semenjak tadi.

“Maksud Lia, abang kena kahwin selepas ni. Lia sudah simpan nama tu sekian lama. Lia hendak namakan anak abang dengan nama itu.”

Aiman memandang Dahlia tidak berkedip.

“Kenapa pandang Lia begitu?”

“Siapa suruh Lia beri cadangan begitu kepada abang?” Soalan isteri dibalas dengan soalan.

“Tiada siapa suruh. Lia ...”
` “Jangan merepek! Abang tidak akan berkahwin lagi.” Pantas Aiman memangkas perkataan isterinya.

“Tetapi ...”

“Abang cakap abang tidak akan berkahwin lagi. Tidak akan!” Aiman menegas.

“Lia ...”

“Sudah! Itu keputusan abang. Jangan paksa abang buat sesuatu yang abang sendiri tidak suka.”
“Lia sayang abang.” Dahlia cuba menjelaskan.

“Jika betul Lia sayang abang, jangan beri cadangan yang bukan-bukan.”

Muktamad jawapan daripada Aiman. Dahlia tercenung. Tangan sasa milik Aiman segera meraih isteri tersayang ke dalam pelukan.

***

“NUR TASLIAH.” DAHLIA TERSENYUM.

“Aku berharap untuk memberi nama anak aku dengan nama ini. Nur Tasliah binti Muhammad Aiman.” Sengihannya terus merekah.

“Apa maksud tu?” Arni bertanya.

“Cahaya yang menghiburkan.” Dahlia menuturkan maksud nama itu dengan penuh bahagia. Arni mencenung Dahlia tajam.

“Kau sudah mengandung?”

“Belum. Kau boleh tolong aku, kan?”

“Tolong?” Arni menyoal semula.
“Tolong lahirkan anak aku?”

Arni tersenyap. Wajah itu begitu mengharap. Ha! Ha! Ha! Terburai tawa Arni.

“Kau buat lawak cipan ke apa?” Arni hendak meneruskan tawa, namun terbantut demi terpandangkan kesungguhan pada wajah Dahlia.

“Kau jangan buat muka serius begitu, Lia!”
Meletus pula tawa Dahlia tanpa dijangka. Tawa dibuat-buat sebenarnya.

“Kata sanggup korbankan jiwa raga demi sahabat. Aku minta tolong lahirkan anak aku pun sudah cuak.” Dahlia memuntahkan tawanya sekali lagi.

Arni merenung temannya yang sedang galak ketawa.

“Apa masalah kau sebenarnya?” Keseriusan pada wajah Arni menyebabkan tawa Dahlia termati.

“Saja-saja. Sesekali hendak uji kesetiaan kawan.” Dahlia menjawab. Mata Arni meluruti wajah itu.

“Sejak akhir-akhir ini aku lihat sikap kau lain,” luah Arni.

“Lain?” Dahlia bertanya balik.

“A’aa!” Arni mengiyakan.

“Mungkin petanda aku hendak ‘pergi’ kot!” ulas Dahlia.

“Hah! Mulalah melalut!” marah Arni.

Biarpun begitu Dahlia masih tersengih di hadapan Arni.

“Aku tahu kau memang sangat sayangkan daku,” tutur si sahabat akhirnya, mencuit pipi Arni. Arni mengaduh menepis. Dahlia ketawa.

***

KENAPA LAMA KAKAK TIDAK lihat kamu, Lia? Ajakan akak tidak bersambut. Merajuk benarkah kamu? Kak minta maaf, sayang. Kak telah menyakiti hatimu, sayang.

Demikian rintihan hati Zakiah setiap kali dia mengadakan usrah. Dua adik bimbingan tidak hadir. Dahlia dan Syaza.
Syaza? Biarkanlah. Segumpal amarah masih menyerbu di ruang atma. Dia sungguh tidak dapat memujuk hati untuk memaafkan gadis itu kali ini. Teruk benar fitnah yang diciptanya. Entah kenapa gadis itu dengki sangat dengan Dahlia. Apa salahnya?

“Arni pun tak datang,” beritahu Hanum tanpa dipinta.

“Kena beri dia masa untuk berfikir, tapi jangan jemu untuk terus ajaknya ke majlis ilmu ini,” tutur Zakiah.

Senyum Hanum membunga.

“Insya-Allah. Jangan salahkan diri sendiri pula.”

Zakiah membalas senyum, biarpun di dalam hati dia masih bersedih.

“Assalamualaikum, kak. Maaflah…”

“Tak mengapa.” Zakiah memangkas ujaran si gadis. “Akak tahu Syaza sibuk. Banyak kerja, tambahan peperiksaan akhir semester sudah hampir.”

Syaza senyum. “Saya minta maaf banyak-banyak!” Menunjukkan wajah bersalah sekali lagi.

Hati Zakiah jengkel melihat. Pandainya berlakon!

“Tak apa.” Zakiah berlalu dengan ayat itu.

“Jangan sesekali mengatakan ‘kalau’ aku buat begini begitu apabila sesuatu telah berlaku. Terimalah ia sebagai takdir dan qadak qadar Allah. Perkataan ‘kalau’ hanya membuka peluang syaitan membisikkan keraguan di hati kita.” Ungkapan ceramah salah seorang ustaz di masjid yang selalu dikunjunginya menerjah. Membujuk hati untuk tidak terus salahkan diri.

“Ya Allah Kau berikanlah taufik dan hidayah-Mu kepadaku.”
***

CERITA-CERITA NABI DAN RASUL di dalam al-Quran adalah untuk menghiburkan Rasulullah SAW. Allah hanya menyebut cerita-cerita yang boleh membantu dan menguatkan hati Rasulullah dalam meneruskan perjuangan dakwah baginda.

Kasihan Rasul... ketika baginda diasak dengan pelbagai ancaman kuffar Mekah, Abu Talib ‘pergi’ meninggalkan baginda. Juga kekasih tersayang baginda, Khadijah yang selalu meyakinkan Rasul ketika baginda ragu-ragu. Rasulullah SAW, ceritamu menjadi inspirasi untuk kuteruskan hidup ini.

Oh Tuhan, pimpinlah aku untuk lebih mencintai-Mu dan Rasulullah melebihi segala. Oh Tuhan, aku tidak kan mampu mengharungi cubaan yang Kau berikan kepada baginda. Hanya inspirasi, itu sahaja yang mampu kukutip. Aku yakin ya Allah Kau tidak kan menguji hamba-hamba tersayang-Mu jika mereka tidak mampu, kecuali mereka yang Kau murka dan mencabar-Mu. Oh Tuhan, tabahkanlah hatiku. Janganlah Kau bolak-balikkan hati ini. Kau lorongkanlah aku kepada kebenaran dan hindarkanku daripada kebatilan.

Dahlia memejam mata sejenak di kafetaria tersebut. Esok dia bakal bertemu doktor untuk mendengar lagi pandangan doktor mengenai penyakitnya. Kalau bukan kerana insan-insan yang Allah anugerahkan untuk mendampinginya kini, dia mungkin tidak mampu ‘berdiri’ sehingga kini.

Aiman, suami tersayang
Mama dan abah
Mak Ngah Limah
Arni
Alhamdulillah ya Allah atas anugerah ini.

Dahlia bangun perlahan-lahan. Setelah membayar harga makanan tadi dia beredar dari kafetaria itu. Fikirannya menerawang. Sehingga tidak sedar dia sudah melangkah ke mana.

“Gadis manis!”

Dahlia terkejut dan baru tersedar di mana dia berada demi mendengar suara itu.

“Hendak ke mana, sayang?”

Lelaki bermisai nipis itu mampir.
Dahlia cuak. Dia melangkah dan kemudian memecut langkah. Tidak semena-mena dia terlanggar seseorang.

“Kenapa?” Suara bertanya itu membuatkan Dahlia terus memeluk lelaki yang dilanggarnya tadi.

Pandangan Aiman tepat menusuk ke mata lelaki di hadapannya. Dia meleraikan pelukan Dahlia.

“Kurang ajar sangat…” Belum sempat Aiman menghabiskan ayat, lelaki yang ditenungnya itu terus angkat kaki.

“Kenapa sayang?” Aiman kembali meraih isterinya.

“Lia takut.”

Aiman tersenyum. Membiarkan Dahlia memeluk erat.

“Jangan takut. Abang ada. Allah pun ada.”

“Abang?”

“Ya.” Aiman memandang isterinya penuh kasih.

“Tolong hantar Lia hingga ke asrama,” pintanya.

“Memang abang hendak hantar pun.”

Dahlia senyum. Sungguh indah! Detik hati Aiman. Senang melihat senyuman itu mekar di bibir Dahlia.

***

ARNI MELIHAT SAJA ADEGAN ITU. Wajah dua kekasih yang sudah bersatu.

Hm..sampai juga jodoh Dahlia.

Dia melihat sekali lagi.

Kenapa Dahlia macam bersedih?

Dahlia ada masalah?
Soalan-soalan itu bergumam di dada. Merenung dan terus merenung … Dahlia…? Dia masih berfikir. Dapat rasakan sesuatu pada kelainan sikap sahabatnya itu.

“Arni!”

“Mak oii!!!” Terpacul ayat itu dari bibir mulus milik Arni.

“Awak kenapa?”

Gadis itu beria-ia bertanya.

“Awak minat Dahlia lagikah?” Syaza tersengih.

Arni tengok wajah Syaza.

“Awak ni kenapa? Tiada kerja?”

“Ada. Tanya khabar awak.”

Arni tengok lagi muka Syaza sekilas.

Pelik betul!

Terdetik perkataan itu di hatinya melihat perangai Syaza.

“Kasihan awak kan … Ditinggalkan ‘kekasih hati’ .”

Ada aku kisah!

Serasa bagai hendak dihumban sahaja kata-kata itu kepada ‘pengacau tidak rasminya.’

Geram benar.

Dahlia dan Aiman telah beredar jauh dari pandangannya.

“Sabarlah awak! ‘orang kalau dapat gading bertuah, memang begitu’. Awak cari sahajalah ‘teman wanita’ lain.”

Pang!!!

Secara tidak sengaja itu yang menujah ke muka Syaza. Dia memang tidak dapat menahan sabar lagi. Tidak dapat.
Arni beredar

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience