Penerangan yang disampaikan oleh Ketua Dorm 4 yang didudukinya membuatkan Dahlia bagai tidak dapat bernafas. Mereka perlu patuh kepada setiap peraturan yang ditetapkan oleh kakak-kakak senior selama seminggu sebelum secara rasmi mereka diterima sebagai penghuni dorm tersebut.
“Setiap penghuni baru dorm ini dimestikan mendapatkan sekurang-kurangnya sepuluh tandatangan kakak-kakak senior di kolej ini. Jadi, untuk mendapatkan tandatangan mereka kamu semua perlu patuh terhadap apa-apa pun syarat yang dikenakan oleh mereka. Terserahlah sama ada mereka hendak suruh menyanyi, berlakon atau sebagainya. Sesiapa yang gagal mendapatkan sepuluh tandatangan kakak-kakak berkenaan akan didenda, boleh?”
“Ya,” jawab mereka hampir serentak dengan nada lemah.
Alamak! Terlewat bangun. Dahlia bergegas ke katil Kak Syahnaz untuk melaksanakan tugasnya sebagai ‘ayam jantan’ sebagai ganti deringan jam loceng untuk bangunkan tuannya. Sebaliknya, Kak Syahnaz sudah tiada di pembaringan. Dahlia resah. Siaplah! Sekejap lagi pasti dia didenda oleh Kak Syahnaz.
“Ha, baru bangun!”
Badan Dahlia terlonjak sedikit akibat terkejut dengan sergahan tersebut. Kelihatan Kak Syahnaz sudah bertelekung untuk ke surau.
“Kenapa lambat?” soal Kak Syahnaz.
“Terjaga lambat,” tutur Dahlia.
“Kenapa terjaga lambat?” soal Kak Syahnaz lagi.
“Letih, sebab tu la ... ”Nah!” Cepat sahaja Kak Syahnaz memotong percakapannya. Sebaldi baju kotor diserahkan kepadanya.
“Ini untuk apa?” Dahlia bingung.
“Basuh! Denda bangun lewat.”
Dahlia menggeleng.
“Syaima’, kau tolong tengokkan budak ni basuh baju.”
“Baiklah,” sambut Syaima’ yang kemudian mengenyit mata ke arahnya. Dahlia terpana.
“Akak tahu, Lia mesti rasa tertekan dengan Minggu Haluan Siswa ini, bukan?” soal Syaima’ ketika mereka bersama-sama di dalam bilik air sesudah solat subuh berjemaah di surau sekolah.
“Tidaklah,” balas Dahlia sambil menenyeh sabun buku ke tempat kotor di baju di tangannya.
“Akak minta Lia jangan terasa dengan sikap Kak Syahnaz. Hanya dalam Minggu Haluan Siswa ini saja dia begitu.”
“Ya?” ujar Dahlia dalam nada soal.
Syaima’ mengangguk.
“Lia perlu belajar mencuci baju. Nanti Lia nak tinggal lama di mahallah ni. Akak hanya boleh bantu Lia waktu ini sahaja. Selepas ni, Lia perlu buat sendiri,” ujarnya lagi sambil tangan terus memberus pakaian milik Syahnaz tersebut.
Alhamdulillah, getus hati Dahlia tatkala Kak Syahnaz akhirnya menurunkan tandatangan yang diharapkannya. Sesuatu yang dia perolehi dari Minggu Haluan Siswa itu ialah kepentingan sabar dan sikap tidak berputus asa selain menghormati orang yang lebih tua.
***
MATAHARI MENINGGI DI atas kepala. Halimah Ng mencongak waktu. Sudah pukul dua belas lebih, desis hatinya lantas dia berjalan keluar dari kebun sayurnya. Itu sahaja yang termampu dilakukannya kala ini. Tanah sebidang itu hasil wakaf salah seorang warga masjid yang simpati dengan nasibnya. Sampai sekarang dia tidak tahu siapa gerangannya, kerana orang yang mewakafkan itu tidak mahu dikenali. Mungkin untuk menjaga keikhlasan diri. Rumah yang didudukinya ini pun hasil derma dan bantuan tenaga orang Kampung Charok Bemban di daerah Baling tersebut.
Sampai di rumah, dia mula memasak nasi. Hari ini hendak masak apa ya? Hatinya bertanya sendiri. Ha, kimchi!
“Kimchi?” Suaranya berganti dengan suara Dahlia.
“Sedapnya!” Sengihan Dahlia muncul di ruang mata.
“Kenapa mama Lia tidak pernah masakkan Lia kimchi, mak ngah?” soal Dahlia dalam keadaan mulut penuh dengan nasi. Terhibur Halimah Ng melihat Dahlia yang begitu berselera menjamah masakannya.
“Kimchi masakan orang Cina. Mama Dahlia orang Melayu. Tentulah dia tidak biasa masak,” jelasnya.
“Nanti mak ngah masak lagi sayur kimchi ini, ya?” ujar Dahlia sambil menyuap nasi ke mulut.
“Ya,” Halimah Ng tersenyum mengangguk. Namun kemudian, dia tersentak. Wajah Dahlia yang dilihatnya tadi hilang dari layar kornea.
Badannya tersentap-sentap menahan tangisan. Rindu kepada anak remaja itu masih bernadi. Mana mungkin semudahnya dia melupakan gadis yang dianggapnya seperti anaknya sendiri itu.
Tertayang di ruang matanya saat dia terlihat remaja itu menangis sendirian di dalam kawasan kebun sayurnya.
Halimah Ng menghampirinya dan bertanya, “Kenapa, nak?”
Remaja yang ketika itu baru berusia dua belas tahun mengangkat wajah melihat si penegur. Cepat-cepat dia mengelap butiran jernih yang sudah menghiasi pipi gebunya.
“Siapa nama anak?”
Remaja itu yang masih tersedu-sedu menjawab, “Dah ... Dahlia.”
“Oh, Dahlia!” Senyum Halimah Ng.
Kenapa Dahlia menangis? Ada orang marahkan Dahliakah?”
Remaja yang bernama Dahlia itu terangguk-angguk.
“Siapa marah?”
“Mama,” beritahu Dahlia.
“Dahlia buat apa sampai mama marah?” soalnya lagi.
“Lia cuma pergi ke rumah kawan dan balik petang. Mama marah. Mama pukul Lia.”
“Mama risaukan Lia! Sebab tu dia marah,” beritahu Halimah Ng, cuba memujuk.
“Habis, kenapa mama pukul Lia? Mama tak sayangkan Liakah?” Dahlia masih menagih jawapan daripada Halimah Ng.
“Dia pukul Lia kerana dia tak mahu Lia buat seperti itu lagi. Dia terlalu bimbangkan Lia.”
Dahlia merenung wajah kecinaan milik Halimah Ng.
“Mak cik ni orang Cinakah? Kenapa mak cik fasih cakap Melayu?” Datang soalan yang tidak terduga daripada Dahlia.
Halimah Ng tergelak. Baru beberapa detik, remaja itu sudah menukar topik.
“Panggil saya mak ngah, Mak Ngah Limah,” ujar Halimah Ng.Dahlia mengerut dahi, “Kenapa kena panggil mak ngah?”
“Sebab suami mak ngah dulu dipanggil pak ngah, dia anak kedua,” terang Halimah.
“Oh.” Dahlia membulatkan mulut.
“Jom singgah ke rumah mak ngah,” ajak Halimah.
“Assalamualaikum!”
Halimah tersentak dari kenangan lalu.
“Waalaikumussalam,” jawabnya.
Halimah Ng menjenguk keluar sambil mengesat titis air mata. Maznah tersembul di muka pintu.
“Oh, Maznah! Silalah masuk!”
“Aku ni sebenarnya bawa hajat. Hajat besar,” terang Maznah setelah duduk bersila di ruang tamu rumah Halimah.
“Hajat besar? Maksud Maznah?”
“Kau ingat Haji Kamaruddin?” tanya Maznah.
“Ya, imam itu.”
Dia hendak meminang kamu,” beritahu Maznah tanpa selindung-selindung.
“Apa? Betul ke ni?” Halimah terkejut besar. Dimintanya tempoh untuk memberi jawapan.
“Apa yang hendak ditunggu lagi, Halimah? Tumpang orang berkenan nilah, kita perlu terima. Nanti esok-esok siapa pula hendak jaga kamu?” Suara Maznah menyorot masuk ke liga fikirnya.
Mungkin inikah kurniaan Tuhan? Berkat solat sunat duha yang dilakukannya hampir setiap hari? Mungkin inikah caranya Tuhan hendak mengisi kesepian hatinya selama ini?
Haji Kamaruddin. Dia tahu imam itu baru kematian isteri. Almarhumah Hajjah Zainab itu memang baik dengannya. Tidak pernah mengungkit tentang asal usulnya. Dibuatnya seperti saudara sendiri. Mereka selalu bertemu di masjid, terutama ketika ada majlis ilmu.
Namun, umur Hajjah Zainab tidak panjang. Dia tidak sakit apa. Hanya demam panas. Rupa-rupanya ia menjadi penyebab akan ajalnya.
***
ISY! GERAM BETUL Dahlia dengan sikap teman barunya itu. Ada-ada sahaja yang hendak dipinjamnya, bencilah!
“Lia, aku pinjam pen kau, ya?” pinta Arni.
Dahlia merenung tajam, lalu berkata, “Ambillah kalau tak malu!”
Haha ... ” Arni tersengih. Tanpa segan silu, dia mencapai pen biru itu.
Tidak sangka betul! Dalam banyak manusia di dunia ini dia terpaksa duduk bersebelahan budak tidak malu itu. Hai, nasib!
“Assalamualaikum dan selamat pagi,” suara Profesor Madya Dr Asmadi kedengaran. Setiap tusukan mata mereka jatuh pada tampang wajah si empunya suara.
“Waalaikumussalamu warahmatullah.” Suara-suara mahasiswa-mahasiswa yang beragama Islam menyambut huluran salam pensyarah tersebut. Tidak kurang juga ucapan ‘Selamat pagi, Prof’ yang diungkap beberapa mahasiswa yang bukan beragama Islam. Kursus Perbandingan Agama itu turut dibuka untuk pelajar yang bukan beragama Islam yang berminat.
Dahlia perhatikan Arni yang sedang tersengguk-sengguk dikuasai kantuk. Ketika itu Dr. Asmadi sedang membahaskan maksud ayat daripada surah al-Baqarah. Dahlia cuba mengejutkan rakan yang duduk bersebelahan dengannya itu. Arni hanya akan terjaga sebentar dan kemudian kembali tersenguk-sengguk.
Usai kuliah para pelajar berpusu-pusu keluar menuju ke kafetaria. Perut masing-masing mahu diisi. Dahlia duduk melongo di kerusi. Sahabat yang ‘tidak tahu malu’ itu tidak sudah-sudah mengajaknya makan.
Dahlia terdiam berfikir, kemudian mengikut sahaja ajakan kawannya itu. Terlihat ramai pelajar keluar dengan geng masing-masing. Sedangkan dia bersama dengan orang yang tidak disukainya. Apa dia boleh buat? Dia adalah antara individu paling pendiam di situ. Maka, terpaksalah dia mengikut sahaja telunjuk Arni yang kepoh itu.
“Kau nak makan apa?” soal Arni sesampai mereka di ruang kafetaria.
“Mmm ... ”
“Kak, saya minta nasi goreng kampung satu.”
Belum sempat mulut Dahlia terbuka, Arni terlebih dahulu memesan.
“Saya pun,” ujar Dahlia. Arni tersengih kepada Dahlia.
Mereka duduk di satu penjuru bertentangan seorang pelajar yang lebih senior daripada mereka.
“Kau tahu, itulah Kak Zakiah.”
“Mana?” soal Dahlia.
“Itulah!” tunjuk Arni. “Dia tu famous tau! Ramai kenal dia, tak kira lelaki ke perempuan. Sudahlah cantik, pandai pula. Warak lagi.”
Dahlia memandang Kak Zakiah itu lama. Sedikit terpesona melihat keayuan wajah itu beserta ketenangan yang menaungi wajah juga tingkahnya. Dia tergamam seketika.
“Woi!” sergah Arni.
Dahlia terkejut. Geram juga! Rasa malu disergah begitu.
Kenapa pandang macam tu? Nanti dia perasan kita yang kita tengah bercakap pasal dia,” marah Arni.
Dahlia kembali menekur nasi di dalam mangkuk. Arni turut menikmati makanannya.
“Kalau akulah dapat kakak angkat seperti Kak Zakiah itu, alangkah ... ”
“ ... merananya!” sambung Dahlia.
“Kenapa pula?” tanya Arni.
“Bukan kau yang merana, Kak Zakiah tu,” jelas Dahlia. Sengaja hendak cari gaduh.
“Isy, apa hal pula! Aku ni kan baik ... ” ujar Arni mengangkat diri.
“Entahlah … ” Dahlia menggeleng.
“Kenapa? Kau rasa merana ke berkawan dengan aku?” soal Arni.
“Mmm ... mungkin ... ”
“Tidak, kan?” sambut Arni. Dahlia terdiam. Malas nak layan!
“Betul la tu!” Arni menyiku. Dahlia tertolak ke hadapan. Meluat sungguh dia rasa!
***
Jika tak hadir, tak boleh ?” Pernah dia mengajukan soalan tersebut kepada rakan sebiliknya.
Naimah menggeleng.
“Wajib, sebab kau pelajar baru,” tuturnya.
Maka, pada pukul 2.30 petang pelajar-pelajar baru UIAM berhimpun untuk menghadiri program pembahagian kumpulan usrah yang juga di sebut LDK (Latihan Dalam Kumpulan). Seorang kakak senior kecil molek muncul meminta kesemua pelajar membaca al-Fatihah sebagai pembuka majlis.
“Inilah peluang untuk aku mendekati Kak Zakiah,” senyum Arni meleret.
Dahlia menggeleng sejurus dengan sikap Arni.
“Assalamualaikum warahmatullah.”
Kakak yang kecil molek itu memulakan acara. Walau bagaimanapun, hanya sebilangan kecil yang membuka mulut membalas salam yang diberi.
“Assalamualaikum warahmatullah.”
Sekali lagi ucapan itu diulangi. Kali ini, gemuruh suara para siswa dan siswi membalas salam yang diberi.
“Ha, begitulah akak nak dengar! Sentiasa bersemangat dan memberi penghormatan yang sepatutnya kepada setiap ucapan salam yang diberi. Ucapan salam itu adalah satu anugerah nikmat yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada kita, insan-insan terpilih yang ditunjukkan kepada jalan hidayah-Nya.”
Kakak itu berjeda seketika sebelum menyambung bicara. Mungkin untuk mengambil nafas baru.
“Adik-adik, sebelum melanjutkan bicara adalah lebih baik akak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Orang kata, tidak kenal maka tidak cinta.” Sambungnya, “Okey. Nama akak, Siti Hanum binti Mat Isa. Akak ialah Timbalan Pengarah untuk Taaruf Week. Selepas ini, bolehlah kita berkenalan lebih lanjut. Tanpa melengahkan masa lagi, akak akan umumkan nama abang-abang atau kakak-kakak senior yang akan menjadi pembimbing LDK masing-masing.”
Dahlia tercengang tatkala namanya disebut terlebih dahulu dan dia diletakkan di bawah bimbingan Kak Zakiah. Sementara itu, impian Arni untuk berada di bawah bimbingan Kak Zakiah tidak menjadi kenyataan. Dia akhirnya diumumkan sebagai ahli LDK di bawah kakak yang sedang membuat pengumuman itu sendiri, Kak Siti Hanum.
“Lia, kita tukar kumpulan boleh?” Arni mengusul cadangan.
Dahlia tersenyum lebar.
“Tak boleh,” jawabnya tegas sebelum meninggalkan Arni terkebil-kebil.
***
“Masih ingat saya?”Dahlia mengerut dahi. “Tidak.” Sengaja berpura-pura tidak kenal.
Aiman tersengih.
“Langsung tak ingat?” soalnya lagi.
Sekali lagi Dahlia mengerut dahi.
“Tak.”
“Tak apalah kalau tak kenal. Kita taaruf sekali lagi!”
“Tak mahu.”
“Kenapa?”
“Awak putera. Saya puteri. Putera dan puteri tidak boleh kawan. Adik-beradik,” ujar Dahlia.
“Mengapa tidak boleh kawan? Kalau adik-beradik tetap boleh kawan. Awak maksudkan bagaimana?”
Dahlia terdiam. Memang dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri.
“Tak mahu. Saya tak mahu berkenalan dengan awak.”
Aiman tersenyum.
“Tak mengapa. Saya perkenalkan diri saya ... ”
Dahlia cepat-cepat berjalan. Aiman menuruti. Entah bagaimana mereka boleh bertemu lewat ceramah motivasi di sekolah mereka.
“Nama saya Aiman. Awak Dahlia, kan?”
Dahlia terhenti. Memandang tepat ke wajah Aiman.
“Bukan. Nama saya Hang Li Po.”
Aiman tergelak. “Pandai awak buat lawak!”
“Awak pun tahu, kan? Sebagai pelajar Maktab Mahmud kita tak boleh berkawan sebab berlainan jantina.”
“Sapa cakap?”
“Ustazah yang cakap.”
“Ustazah tu cemburu. Dia takut orang sekacak saya ni terlepas kepada orang yang cantik seperti awak.” Aiman tersengih-sengih.
“Uh!”
Dahlia segera berjalan, hendak meninggalkan Aiman.
“Semakin cantiklah!”
Dahlia terhenti lagi. Memandang ke arah Aiman. “Apa?”
“Awak!” jawab Aiman.Saya apa?” tanya Dahlia.
“Awak cantik!” Senyum Aiman. Senyuman itu menggetarkan dada Dahlia. Aiman menanggal kopiah, lalu menelangkupkan ke dada. Sambil membongkok sedikit dia menuturkan kata, “Nice to meet you!”
Dada Dahlia kian bergetar hebat. Begitu tampan Aiman di matanya. Pertama kali Dahlia melihatnya betul-betul. Dia pura-pura melihat ke arah lain.
Aiman yang tampan. Aiman yang sopan. Aiman yang menawan.
“Saya apa?”
“Awak cantik!”
Terngiang-ngiang lagi bilah-bilah kata itu di hujung pendengaran Dahlia. Saat hati remajanya mula membara dengan rasa cinta, namun akhirnya dia ditinggalkan tanpa ihsan oleh lelaki itu. Dia akui, hati masih membara dengan amarah dan rasa benci yang meluap-luap.
***
CAHAYA MENTARI MEMBAHANG membakar kulit. Dahlia baru keluar dari Kamdar, hendak menyaingi kawan-kawannya yang berjalan terlebih dahulu. Langkahnya terhenti. Peluh dingin membasahi dahi. Dia rasa seram sejuk. Seluruh pandangannya terasa berpusing. Dia mengagahkan diri untuk memanggil mereka tetapi Kak Anis, Kak Fairuz dan Naimah semakin menjauh. Badannya terasa sangat lemah. Sedetik warna kelam menyerkup pandangannya.
Dahlia tersedar perlahan-lahan. Matanya melingas ke sekeliling. Tempat itu begitu asing. Pandangannya terjurus kepada remaja lelaki yang bersongkok hitam di suatu sudut di dalam bilik itu. Wajahnya penuh prihatin.
“Bagaimana? Awak okey?”
Soalan itu tidak berjawab. Sebaliknya, kerutan di wajah yang dibalasnya.
Remaja itu senyum. “Jangan takut. Saya jumpa awak tadi. Awak pitam. Terus saya bawa ke kedai makan ni, mujur tuan punya kedai ni sudi membantu. Kalau tak, saya tak tahu hendak bawa awak ke mana.”
Kerutan di wajah Dahlia hilang. Dahlia bingkas hendak keluar dari bilik itu, lantas ditahan oleh seorang kakak yang Dahlia tidak perasan tadi.
“Adik, tunggu dulu. Akak telah hubungi pihak Maktab Mahmud. Sekejap lagi Ustazah Fakhriah dan Ustaz Zamri akan sampai. Jadi, adik tak perlulah ke mana-mana ya.”
Dahlia tenung pula wajah kakak itu sebelum bersuara.
“Bagaimana saya hendak percayakan kata-kata akak?”
Kakak itu lantas mencapai telefon bimbitnya, segera mendail.
“Hello, Ustaz Zamri. Saya ni, Salina yang telefon ustaz tadi.”
“Ya, kenapa?” suara Ustaz Zamri di corong telefon. “Adik tu telah sedar, ustaz,” beritahu kakak yang bernama Salina itu.
“Baguslah! Ana pun dalam perjalanan ke sana.”
“Cuma dia tak percaya yang saya telah hubungi ustaz. Boleh tak ustaz cakap sekejap dengannya?”
Salina menyerahkan telefon bimbit kepada Dahlia.
“Hello.” “Anti bagaimana?” Terdengar suara Ustaz Zamri di telinga Dahlia.
“Saya ... Alhamdulillah ... ” jawab Dahlia.
“Anti tunggu sampai ana dan Ustazah Fakhriah sampai. Jangan ke mana-mana!”
“Baik, ustaz.”
Dahlia menyerahkan kembali telefon bimbit itu kepada Salina.
“Siapa nama awak?” soal remaja lelaki itu.
“Dahlia. Awak?” soalnya balik.
“Aiman.”
Dahlia senyum. Aiman juga senyum.
“Terima kasih,” ujar Dahlia sepenuh hati.
Tiada apa sangat. Kebetulan saya berada di belakang awak ketika itu. Saya nampak awak terhuyung-hayang. Nasib saya cepat sambut, kalau tak ... ”
Muka Dahlia memerah.
“Saya minta maaf ya,” pinta Aiman.
“Kenapa pula? Awak telah tolong saya. Nak buat macam mana lagi. Kecemasan. Kalau awak tak sambut saya, entah-entah saya jatuh dalam longkang.” Dahlia membuat lawak.
Aiman tertawa lucu.
“Adik nak apa-apa? Hendak minumkah? Makan?” Salina mencelah.
“Saya cuma mahu air kosong.”
Salina beredar dari bilik itu. Namun kemudian, langkahnya terhenti. Dia menoleh kembali.
“Ustaz Zamri telah sampai,” beritahunya.
“Sebelum saya beredar, saya harap awak sudi terima ini.” Aiman menyerahkan kad namanya.
Dahlia menyambut.
“Kalau senang, telefonlah saya,” pesannya lagi.
“Eh, awak ni tak malulah!” balas Dahlia.
“Ya, memang saya tak malu. Saya tak malu mengaku yang saya sudah jatuh hati kepada awak.” Jawapan tegas Aiman itu membuatkan jiwa Dahlia terasa kembang berbunga. Indah sungguh kata-kata itu bagi Dahlia!
“Awak sayang saya tak?” Datang soalan yang tidak disangka-sangka daripada Aiman. Jiwa Dahlia terbuai seketika, namun kemudian dia tersentak.
“Eh, ada orang datang!” Dahlia segera menyangkut gagang telefon awam itu ke tempatnya.
Rasa cinta yang tersemai masih dirasai sehingga kini, dan ia kembali berbugar tatkala dia ternampak gadis itu di kafetaria siang tadi. Pasti Dahlia amat membencinya dan masih terlalu membencinya. Dia sendiri yang memulakan perkenalan itu ketika mereka masih bersekolah, dan dia sendiri yang memutuskan ikatan tersebut biarpun hati masih belum berhenti mengutus rindu. Dahlia, kalaulah kau dapat selami hati ini!
***
AIMAN MEMANJAT MASUK ke dalam bas. Dia mencari tempat kosong untuk diisi. Tiada! Terpaksalah dia berdiri. Matanya melingas ke segenap ruang di dalam bas. Nun jauh di belakang ada seorang gadis bertudung labuh dan berpurdah.
Bas berhenti. Beberapa orang penumpang memanjat naik. Aiman terhimpit ke belakang. Aiman baru perasan, sepasang mata gadis berpurdah itu bagai dikenalinya, Dia menoleh untuk melihat lagi. Siapa ya?
Namun, ada sesuatu yang tidak disangka dilihatnya. Tangan seorang lelaki yang tidak dikenali mula hendak menyentuh gadis itu. Aiman rapat selangkah. Secepat kilat tangan itu dicekak Aiman. “Awak nak buat apa, hah?” jerkah Aiman.
Gadis berpurdah itu terkejut. Pandangan bersilih ganti di antara Aiman dan lelaki yang tangannya dicekak kemas oleh Aiman.
Share this novel