DUA hari kemudiannya memang Raiya masih lagi rasa tidak tenang. Tidur, makan dan kerjanya terganggu. Raiya lihat dirinya lebih teruk berbanding dengan ayahnya. Dia mula mengemas kain baju untuk dibawa ke Kuala Lumpur. Esok juga dia akan ke sana. Ayah kata lebih baik dia memulakan perjalanan di pagi hari berbanding malam. Raiya faham. Mungkin ada kebaikannya kalau ikut cakap ayah. Raiya tidak tahu berapa lama dia akan berada di sana tetapi ayah sudah berbincang dengan Mak Lang. Malah duit belanja sudah dimasukkan ke dalam bank Mak Lang. Pintu bilik diketuk sebelum emaknya, Puan Murni masuk ke dalam bersama-sama Serina.
“Ni ambik duit ni simpan kat bawah beg,” kata Puan Murni sambil menyerahkan satu sampul surat kepadanya. Raiya menerima dan membuka sampul tersebut. Tebal juga not ringgit yang diserahkan.
“Banyak ni mak,” kata Raiya.
“Mak tak tau berapa lama Raiya nak pi. Raiya simpan kot-kot ada kecemasan ka.” “Raiya pi sat saja Mak, InShaaAllah,” balas Raiya.
“Pak hang pun dulu kata macam tu jugak tapi ada sekali tu dua bulan baru balik mai,” balas Puan Murni.
“Kak Raiya dah besaq la mak. Biaq la dia pi sana. Mak Lang ngan P'Malee pun ada kat sana,” kata Serina.
“Mak tak rasa pun Raiya tak dak nanti,” kata Raiya sambil menjeling ke arah Serina.
“Kalau Raiya ada pun, bukannya mak nak ajaq Raiya buat kerja ghumah, masak ka, buat kuih raya ka, buat laksa ka?”
“Mana dan mak nak ajaq semua tu. Asyik-asyik Raiya pi jeti atau kebun. Kalau malam, Raiya dok sebok kat ghumah Pak Ngah.”
Raiya tergelak tiba-tiba. Dia terus memeluk badan emaknya. Sedap peluk emak. Empuk badan emak. Raiya mencium bau emak. Rindu dengan emak nanti.
“Raiya pun segan nak belajaq sebenaqnya. Mak masak lagi sedap, kan? Raiya nak minta izin mak pi sana ni. Ayah kata mungkin Raiya pi sana lama sikit. Nanti selang sehari Raiya telefon mak naaa. Lagi satu Raiya nak minta tolong dari Mak. Nanti, Mak doakan Raiya selamat pi selamat balik dan selamat segala urusan naa, naa.”
Puan Murni angguk sahaja. Setiap saat yang dia ingat, dia sentiasa mendoakan keselamatan anak-anaknya, terutama sekali Raiya.
“Seri pun tolong jaga diri elok-elok. Kalau nampak Pai’ed, lari jauh-jauh. Sat ni kalau dia kacau Seri, cepat-cepat habaq kat ayah,” pesan Raiya kepada adiknya.
Serina hanya mengangguk kepala. Tidak berani hendak melawan cakap kakaknya.
******************************************************
KEESOKAN petang, Raiya sampai di Kuala Lumpur buat kali kedua sepanjang umurnya. Mak Lang iaitu adik bongsu ayah sudah siap menanti. Raiya bersalaman dan berpelukan dengan ibu saudaranya.
“Apa habaq Mak Lang? Semua kat kampung kirim salam kat Mak Lang.”
“Walaikumsalam. Jom cepat, Raiya. Mak Lang main parking kat luar sana,” ajak Mak Lang sambil memegang tangan Raiya berjalan keluar dari KL Sentral. Mak Lang tidak berhenti menanyakan itu dan ini. Raiya seronok kalau dapat berjumpa Mak Lang. Adik bongsu ayah sudah lama bekerja di Kuala Lumpur. Dahulu Mak Lang kerja pejabat tetapi dia berhenti dan kini mengusahakan sebuah restoran di Datuk Keramat. Mak Lang kecil orangnya tetapi Raiya cukup maklum yang Mak Lang memang tangkas. Semput juga Raiya mengejar langkah Mak Lang yang laju macam pejalan kaki walkaton. Sampai sahaja di hadapan kereta MYVi hitam, seorang gadis tinggi lampai bertudung hitam keluar dari perut kereta. Raiya menjerit melihat perempuan yang cukup dikenalinya itu.
“P’Malee!” Raiya segera berlari dan terus berpelukan dengan P'Malee, iaitu anak saudara sebelah ayah dari Krabi, Thailand. Rasa-rasanya sudah lima tahun P'Malee ke Kuala Lumpur bekerja dengan Mak Lang.
“Sabaai dee rue?” soal P'Malee bertanyakan khabar kepadanya.
“Sabaai dee,” balas Raiya yang betul-betul gembira berjumpa dengan P'Malee. Singkatan ‘P’ ialah pangkat seseorang yang lebih tua seperti kakak atau abang. Bahasa yang mereka berdua biasa gunakan ialah bahasa drama cerita Siam sebab itu sahaja sumber yang Raiya pelajari. Kalau dengan keluarga mereka di Satun, selatan Thai, dialeknya agak berbeza. P'Malee tua tiga tahun daripada Raiya tetapi dialah dua pupu yang paling rapat kalau keluarga mereka berkumpul. Keluarga di Satun dan Krabi tidaklah hidup senang seperti keluarga ayah di Malaysia. P'Malee fasih berbahasa Melayu dan boleh berbicara dalam bahasa Inggeris. Selepas tamat belajar, P'Malee datang bekerja di sini. Setahu Raiya, P'Malee sudah seperti anak angkat Mak Lang. Maklumlah, Mak Lang tidak punya keluarga sendiri.
“Penat dak?” soal P'Malee.
“Amboi P', sejak dok KL ni, lain nampak.”
“Mana ada. P' sama saja la.”
“Dulu dok pakai baju kurung saja. Ni P' dah pandai pakai seluaq. Tapi tak pa, P' masih comei jugak.”
“Pakai lagu ni, senang nak buat kerja.”
Perbualan mereka terganggu bila Mak Lang suruh masuk segera ke dalam kereta. Masuk sahaja, Raiya terus menyoal Mak Lang.
“Ayah dan bagitau apa kat Mak Lang?”
“Pasal Raiya nak kena jaga tuanlah. Kalau Raiya tak penat, Mak Lang bawa Raiya pi jalan-jalan. Kita lalu kawasan tuan sat gi. Raiya boleh la cam bila nak pi sana nanti?”
“Mak Lang tak sebok ke?”
“Tak sangat. Kita lalu saja.”
“Ok la kalau macam tu. Jom kita pi lawat kawasan. Raiya nak tau juga kat mana tuan tu duduk,” balas Raiya.
“Kita pi sat sat saja na sebab ayah Raiya pesan kat Mak Lang awai-awai ni jangan pi terus. Takut nanti ada apa ka. Sat gi Raiya juga yang susah.”
“Apa lagi ayah pesan kat Mak Lang?”
“Dia suruh Malee ikut je mana Raiya nak pi mana.”
Raiya senyum sambil menepuk bahu P'Malee yang duduk di kerusi depan. “P' jadi bodyguard Raiya la ni.”
“Malee dah lama dok sini. Dia dah pandai selok belok Kolompo ni. Senang nak bawa Raiya pi sana sini. Kalau jadi apa-apa kat Raiya, pandailah Malee nak tolong nanti.”
“Kalau P’ dok teman Raiya, sapa nak tolong Mak Lang kat kedai?”
“Sorang tak dak tak pa aih! Anong seorang pun dah boleh handle banyak benda,” jelas Mak Lang tentang pembantunya, P'Anong.
“Ayah Raiya pesan Raiya keluar siang saja. Jadi, malam Raiya dengan Malee kena tolong Mak Lang kat kedailah,” tambah Mak Lang lagi.
“No problem Mak Lang,” katanya sambil menyandarkan badan. Matanya melilau melihat kiri kanan jalan. Rasa macam pening sedikit dengan keadaan jalan raya yang penuh dengan kenderaan. Sebaik sahaja turun dari keretapi tadi pun dia risau semacam. Nasib baik Mak Lang sudah siap ada di sana. Macam mana nak tolong Tuan Khaleef kalau dia sendiri pun kalut saja, soalnya sendirian.
************************************************
RAIYA melihat kiri kanan jalan yang kebanyakan dipenuhi rumah-rumah banglo bertingkat-tingkat. .Memang mewah kawasan yang mereka lalui. Tidak pernah dia melihat kawasan seperti ini di Perlis mahupun di Kedah. Ternyata Malaysia punya ramai orang-orang kaya. Dia tidak suka dengan suasana yang dilihatnya. Dia lebih suka kedamaian di kawasan kampung. Ada kebun dan ada laut. Raiya menghela nafas yang panjang.
“Awat tu Raiya?” soal Mak Lang.
“Rumah sini semua besaq-besaq tapi macam tak nampak ada orang langsung.”
“Biasa la tu. Rumah saja besaq tapi kosong,” balas Mak Lang.
“Awat lagu tu?”
“Masing-masing sebok dengan hal masing-masing. Biasa la Raiya. Kat sini, orang kaya ka atau miskin ka, sama saja. Semua pulun nak kejaq macam-macam, tapi ikut la lagu mana kita nak. Yang penting, kita rasa seronok. Kalau tak seronok pun tak guna jugak. Hah! kat depan tu dah nak sampai dah rumah tuan,” kata Mak Lang.
Raiya melihat sebuah banglo putih di hadapan laluan mereka. Sama sahaja seperti dalam ingatannya bertahun yang lalu. Tiba-tiba dia rasa berdebar-debar.
“Awatnya Raiya?” soal P’Malee.
“Rumah tu lawa sangat, kan?” soal Raiya kembali.
“Memang la lawa, tapi sunyi sepi macam berhantu saja,” balas P’Malee. Segera itu juga Mak Lang menegur mulut celupar P’Malee.
“Mana ada hantu. Elok sajalah rumah ni. Jomlah Mak Lang, kita balik,” kata Raiya sambil memandang semula ke arah rumah tersebut.
Share this novel