Bab 8

Romance Series 3830

PUAN Norma dan anak lelakinya Hadzir singgah di rumah Datuk Asfa untuk menghantar beberapa barang keperluan yang dikirim Anna. Perjalanan hanya mengambil masa sejam lebih dari rumahnya di Bukit Beruntung. Hanya Datin Alwani dan Irdina sahaja yang ada di rumah. Datuk Asfa dan Datuk Idris keluar bermain golf manakala Khaleef pula dengan aktiviti bermotosikal. Puan Norma sengaja datang ketika ketiadaan ketiga-tiga orang lelaki di rumah itu. Memang dia kurang senang kalau hendak bersemuka dengan Datuk Idris dan Datuk Asfa. Bencinya kepada mereka berdua masih menebal. Sehingga kini dia menyalahkan Datuk Asfa yang memilih arwah emak Khaleef sebagai isteri, padahal Datuk Idris sudah pun berjanji dengan keluarganya untuk menyatukan dia dengan Datuk Asfa. Tiada jodoh dia dengan keluarga Datuk Asfa kerana anak-anak Datuk Idris yang lain masih lagi belajar. Beberapa bulan kemudiannya dia berkenalan dengan seorang lelaki. Manalah dia tahu dia diperangkap lelaki itu sehingga mereka terpaksa bernikah.

Beberapa tahun kemudiannya, selepas dia dapat tahu Datuk Asfa kematian isteri, Puan Norma ingin mengambil peluang untuk kembali kepada Datuk Asfa tetapi, suaminya tidak mahu melepaskannya. Ternyata suaminya itu seorang kaki penipu yang hanya ingin menumpang kekayaannya. Puan Norma dapat tahu pun selepas dia melahirkan Anna bila dia dapat bukti suaminya ada menyimpan perempuan lain. Habis semua harta benda miliknya dikikis dengan alasan perniagaan. Rupa-rupanya, duit itu digunakan untuk berjoli dengan perempuan simpanan. Dengan bukti yang ada, dia minta cerai, tetapi suaminya telah lari menghilangkan diri.

Peluang Puan Norma dengan Datuk Asfa terus lenyap bila Datuk Asfa memilih adiknya, Alwani sebagai isteri. Kali ini Puan Norma semakin membenci keluarga Datuk Asfa. Dia juga cemburu dengan Alwani yang kini sudah bergelar Datin Alwani. Entah apa yang Datuk Asfa berkenan sangat dengan Alwani sampai dijadikan isteri. Adiknya itu bukanlah pandai bergaya atau pun pandai bersosial. Lainlah dengan dia yang memang dikenali ramai. Namun, Puan Norma sudah tidak mahu ambil peduli tentang Datuk Asfa ataupun Alwani. Apa yang dia mahu ialah menyatukan Anna dan Khaleef. Hanya dengan cara itulah dia mampu mendapatkan keadilan untuk dirinya dan menaikkan tarafnya sama dengan Alwani. Khaleef pasti bakal menggantikan Datuk Asfa. Maka, segala hasil kekayaan yang ada bakal menjadi milik Khaleef. Kalau Anna menjadi isteri Khaleef, sudah pasti kekayaan itu dikongsi miliknya jua.

Puan Norma keluar dari kereta dan lagaknya mengalahkan seorang Datin. Dia tahu dia masih ada rupa dan gaya walaupun umurnya di awal lima puluhan. Sekarang ini, lima puluhan sama seperti empat puluhan. Usia bukan ukuran untuk tidak bergaya. Dia mengerling melihat deretan kereta mewah di garaj Datuk Asfa. Berbeza dengan kereta BMW yang dipandunya sudah bertahun tidak bertukar. Puan Norma semakin terdesak. Simpanan yang ada dan harta peninggalan keluarganya semakin berkurangan dan tidak cukup untuk menampung gaya hidupnya. Suami yang sudah kembali dalam hidupnya beberapa tahun yang lalu pun hanya kerja bergaji dengan Datuk Asfa. Tidak hebat sangat kalau hanya bekerja sebagai pengurus yang bertanggungjawab menjaga gudang hasil pertanian keluarga Datuk Asfa. Kini, Anna yang punya lulusan ijazah, tetapi tidaklah secemerlang mana pun bekerja dengan keluarga itu. Puan Norma sangat berharap kalau Anna dapat berkahwin dengan Khaleef. Senang hidupnya nanti. Puan Norma tahu dia perlu bertindak pantas. Anna memang tergilakan Khaleef sejak dari dulu lagi. Biarlah dia gunakan kesempatan ini untuk membantu Anna mendapatkan Khaleef.


“ANNA dah dapat apa yang Mama nak tu?” tanya Puan Norma kepada Anna. Sampai tadi dia berbual sebentar dengan Alwani sebelum minta untuk bersama Anna di dalam bilik.

“Ada ni,” beritahu Anna dan menyerahkan suatu lipatan sampul surat. Puan Norma mengambil dan melihat isi kandungan. Dia berpuas hati dengan kandungan itu dan memasukkan sampul ke dalam beg tangannya.

“Benda yang mama bagi hari tu Anna dah buat ke belum?” soalnya.

“Anna dah buat macam yang mama ajar. Masukkan dalam air, tapi macam tak menjadi saja. Betul ke benda tu boleh buat abang Khaleef jatuh cinta dengan Anna?”

“Anna nampak dia minum tak?”

“Manalah Anna tahu.”

“Mungkin sebab dia tak minumlah yang tak menjadi. Nantilah kita usahakan yang lain pula. Masih ada lagi kan? Anna cuba lagi.”

“Susah sikitlah. Kak Zura tu selalu saja mengacau.”

“Pandai-pandailah Anna handle si Zura tu. Takkan yang itu pun Mama nak ajar.”

“Yelah, yelah. Nanti Anna cuba lagi.”

“Kerja kau macam mana? Tadi Auntie Alwani kau beritahu Mama yang kau kerja dengan Khaleef, bukan dengan laki dia. Haa...kalau macam tu, lagilah senang kau nak dapatkan dia.”

“Abang Khaleef tu skema la Mama. Bukan senang nak dekat dengan dia.”

“Lelaki semuanya sama Anna. Satu benda saja yang diorang cari. Kalau selalu kau dekat dengan dia, Mama pasti, lama-lama iman dia yang kuat tu pun boleh lemah tau.”

“Alah, cakap memang senang tapi Anna dah cuba banyak kali. Abang Khaleef tu yang tak nak layan Anna.”

“Sudahlah. Mama tak boleh nak lama-lama sini. Nanti balik si Datuk Asfa tu, kena pulak mama berlakon depan dia.”

“Yang mama minta tadi tu nak buat bila.”

“Itulah. Kalau boleh lagi cepat lagi bagus. Kawan mama kata bomoh ni lagi bagus dari yang dahulu. Kita cuba sajalah.”

Anna angguk. Dia ikut saja. “Err Mama, boleh minta duit sikit tak. Duit Anna dah tinggal sikit saja.”
Puan Norma geleng kepala. “Cepat betul habis.”

“Anna belum dapat gaji lagi. Duit tu pun nak buat nak isi minyak kereta.”

“Kenapa tak ikut naik kereta Khaleef sekali pergi kerja?”

“Abang Khaleef tu pergi awal sangatlah. Anna belum bangun, dia dah keluar rumah,” adu Anna.

Puan Norma mengeluarkan beberapa keping duit kertas. “Nah ambil duit belanja ni,” katanya sambil menyerahkannya kepada Anna.

“Terima kasih Mama.”

“Jangan boros sangat,” pesan Puan Norma.

“AKU balik dululah Wani. Tak boleh lama-lama sangat. Banyak hal aku nak kena buat ni,” beritahu Puan Norma kepada Datin Alwani.

“Kak baliklah lepas makan tengahari nanti. Makan sama-sama,” pujuk Datin Alwani.

“Bukan aku tak nak makan tapi aku memang betul-betul ada hal. Aku nak kena pergi dulu,” katanya sambil menghulur tangan untuk bersalaman dengan Datin Alwani.

“Selalu macam ni. Lain kali kak singgah la lama sikit.”

“Yelah. Lain kalilah. Aku pergi dulu,” ulang Puan Norma. Dia sudah berada di pintu keretanya, di mana Hadzir menunggu.

“Kenapa nak cepat sangat balik ni Mama? Kita makanlah dulu. Adz lapar ni,” beritahu Hadzir kepada Puan Norma sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta. Puan Norma tersenyum dan melambai kepada adiknya yang berdiri di muka pintu. Kereta sudah pun berada di laluan keluar di jalan besar. Puan Norma melambai kali terakhir sebelum kereta bergerak laju.

“Mama malaslah nak tengok muka mak cik kau tu lama-lama,” kata Puan Alwani. “Hai...bukan mama nak berbesan dengan Auntie Wani?”

“Itu lain. Mama buat untuk kakak kau tu. Kau pun senang juga nanti kalau kakak kau dapat kahwin dengan Khaleef.”

“Betul ke untuk kak Anna. Ke untuk Mama?”

“Kau ni apa hal nak perli-perli ni pulak. Kau pun sama. Minggu depan pergi jumpa kawan mama tu. Mama dah tolong minta dia dapatkan kau kerja. Jangan nak tunjuk perangai pulak sampai kena buang lagi. Kali ni kerja betul-betul.”

“Jauhlah Mama kalau nak kerja sampai ke KL.”

“Kau pergilah dulu interview tu. Kalau dah dapat kerja nanti, Mama pujuk Auntie Wani kau tu tumpangkan kau di situ juga. Banglo tu banyak bilik kosong.”

“Cantik sangatlah kalau macam tu. Boleh la Adz dekat sikit dengan Dina. Biar Kak Anna ngorat Khaleef, Adz ngorat Dina.”

“Ikut suka kau lah Adz. Bebaik sikit jangan sampai rancangan kakak tu terganggu.”

“Jangan bimbanglah mama. Dina tu sama macam mama dia. Senang nak ikut telunjuk,” kata Hadzir tersenyum-senyum.

Puan Norma pun tersenyum. Kalau Adz juga ada hati untuk dapatkan Irdina, maka lagi banyaklah harta Datuk Asfa akan ke anak-anaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience