Bab 6

Romance Series 3830

“P' pakai baju apa ni P'?” soal Raiya bila melihat baju P’Malee yang seolah-olah macam lampu trafik. Seluar hijau, baju merah dan tudung kuning.

“Kita nak pergi usha tuan. Kalau P' pakai macam ni memanglah sah-sah tuan boleh perasan,” kata Raiya lagi. Salah dia juga sebab tidak perasan pakaian yang dikenakan oleh P'Malee ketika mereka keluar dari rumah tadi. Mungkin fikirannya ketika itu berada di tempat lain. Fikir tentang rancangannya untuk mengenali tuan.

P'Malee melihat sekali lalu apa yang sedang dipakainya. “P' rasa dah ok dah ni. Awat? Tak cantik ka?”

“P' tahu tak P' pakai warna apa?” soal Raiya. Dia tahu keadaan P'Malee tapi dia saja tanya juga.

“Seluar hitam, baju hitam dan tudung coklat,” balas P'Malee.

Raiya geleng kepala. P'Malee memang buta warna. Tidaklah sekronik mana tetapi pemilihan warna kadangkala menjadi suatu cabaran. “Lain kali kalau P' pi shopping, P' bawak Raiya tau.”

“P' pakai warna silap ka?” soal P'. Wajahnya panik.

“A ah. Hijau, merah dan kuning,” jelas Raiya sambil menunjukkan satu persatu di pakaian P', tetapi tidak guna juga kerana P'Malee buta warna. Kesian juga. Sebab itulah di restoran Mak Lang, P' hanya tolong kemas meja, cuci pinggan atau ambil pesanan dari pelanggan. Kalau pesanan banyak, P' tidak boleh hantar air kepada pelanggan. Takut air sirap disangka air milo pula.

“Maaf la Raiya.”

“Raiya tau tapi tak pa la P' sebab P' memang comel pun pakai kaler macam lampu trafik ni,” beritahu Raiya.

P'Malee ketawa. Dulu dia kecil hati juga kalau diusik buta warna, tetapi sekarang sudah tidak lagi. “Kita nak tunggu saja ka?” soalnya.

Kedua-dua mereka sedang duduk di sebuah hentian bas. Memang agak mengelirukan kalau berada di tempat yang tidak pernah mereka kunjungi. Perjalanan dengan penggunaan pengangkutan LRT dan bas juga memeningkan kepala. Walaupun P'Malee mengaku dia mahir naik LRT, MRT dan bas, ternyata dia masih amatur bila kawasan yang hendak dituju ialah Taman Tun Dr. Ismail. Tahap profesional P'Malee hanya terhad di kawasan Datuk Keramat, Ampang, Chow Kit dan kawasan sekitarnya. Sekarang mereka masih terkial-kial mencari kedai MotorTrack dan juga Masjid At-Taqwa. Itu antara dua alamat yang diberi oleh Tuan Asfa. Waktu sudah hampir dua petang.

P'Malee menunjukkan ke suatu arah. “Tadi masa bas lalu, P' macam perasan ada masjid tapi P’ tak tau la betoi ke tak masjid tu.”

“Kalau ikut kat sini macam jauh sangat masjid dari sini. Kalau nak tunggu sana, jenuh nak cari mana satu tuan. Macam mana P’? Nak tunggu juga kat sana ka?” tanya Raiya. Dia mengibas-ngibas baju T hitam kerana kepanasan.

“Segan juga la kalau kita dua tunggu situ. Orang laki saja yang pi sana. Kita tunggu dekat-dekat dengan kedai motor tuan sajalah. Takut pi sana depa dah habis sembahayang,” ajak P'Malee.

Raiya setuju. Mereka berjalan ke hadapan dan bertemu dengan dua orang perempuan yang berjalan bertentangan arah. P'Malee bertanyakan tentang kedai MotoTrack, namun gagal kerana kedua-dua perempuan itu pun tidak berapa biasa dengan kawasan itu.

“Kita masuk kedai tu sat, beli ayaq, lepas tu kita tanya mana tempat tu. Mungkin depa tau kot,” ajak Raiya pula dan mereka masuk ke sebuah kedai makanan yang berhampiran. Mereka diberitahu lokasi kedai motor tersebut. Malangnya, lokasi itu jauh juga mereka dari tempat mereka.

“Macam mana ni? Kita pi sana naik teksi nak?” ajak P’Malee.

“Tak jauh sangat kalau nak jalan. Tak tau ada teksi ka tak. Kita jalan sajalah,” Raiya buat keputusan untuk menapak ke kedai motor tuan Khaleef mengikut panduan peta yang tertera di aplikasi telefon. Mujur dia beli data telefon siap-siap sebab dia sudah menjangka yang dia perlu gunakan bantuan Internet sebagai kompas perjalanan.

“Kita kona sini P’. Kalau ikutkan, kena jalan sikit saja lagi,” beritahu Raiya sambil menunjukkan laluan yang tertera di telefonnya. Hampir lima belas minit berjalan, akhirnya mereka nampak kedai motor yang dicari berada di hujung deretan kedai. Berpeluh juga berjalan panas-panas begini.
“Kedai dah jumpa. Kita nak buat apa la ni, Raiya?”

“Kita tunggu tengok ja P’. Nak cam kedai dengan nak cam tuan saja. Lepas tu kita baliklah.”

“Lepas tu?” soal P’Malee lagi sambil berjalan di belakang Raiya yang kian laju di hadapan.

Raiya hanya mengangkat bahu. Kepalanya tunduk. Tidak pasti. Tidak tahu. Cuba saja. Dia menapak selangkah. Dan kemudian dia berhenti. Bila Raiya berhenti, P’Malee yang hampir terlanggar Raiya turut sama terhenti.

“Awat, nih?” soal P'Malee. Dia tengok Raiya. Wajah Raiya nampak serius. Dia tengok arah mata Raiya. P'Malee tengok ke sebelah kirinya. Sebuah kereta baru masuk parkir betul-betul di hadapan mereka. Dua lelaki keluar dari perut kereta. Kedua-duanya berbual antara satu sama lain dan berjalan di kawasan deretan kedai menuju ke laluan yang bertentangan arah.

Raiya seperti hendak pitam. Wajahnya pucat dan badannya seperti tidak seimbang. Nasib baik P'Malee dapat menahan Raiya dari terus tersembam ke lantai. P’Malee gagah ampu berat badan Raiya yang bersandar kepadanya. Kedua-dua lelaki tadi melepasi mereka. Salah seorang siap menghadiahkan senyuman lagi kepada mereka.

****

P’MALEE mengipas-ngipas wajah Raiya dengan tangannya. Raiya memang nampak pucat. Risau juga P'Malee sebentar tadi. Bila dia rasa Raiya lemah semacam, dia bawa Raiya ke hujung bangunan. Kini, Raiya bersandar di dinding bangunan. P'Malee segera mengeluarkan botol air dari beg yang disandangnya lalu diserahkan kepada Raiya. Sekali teguk sahaja, Raiya muntahkan kembali air itu.

“Raiya!” P'Malee terkejut tetapi Raiya mengangkat tangan. “Sat.”
“Nak air lagi?”
“Tak pa.”

“Tuan ka tadi tu?” P'Malee perasan wajah salah seorang lelaki itu sama seperti foto lelaki yang dilihatnya dua hari lepas.

“Mmm....”
“Tapi pasai pa Raiya terkejut sangat?”

Raiya menarik nafas perlahan-lahan. Tidak pasti dengan apa yang dilihatnya tetapi apa yang dia lihat memang boleh buat dia mimpi buruk malam nanti.

“Raiya nampak apa-apa ka?”

Raiya angguk. P'Malee turut angguk juga.

“Nampak apa?” soal P'Malee. Dia pun hendak tahu juga apa yang Raiya nampak yang dia tidak nampak itu.

Ada seperti lembaga hitam, samar-samar di belakang tuan, bisik hati Raiya. Tidak terkeluar cerita itu kepada P'Malee.

P'Malee terus mendesak. “Raiya nampak apa? Bagitau la kat P'.”

“Raiya nampak lembaga hitam dekat dengan tuan.” Keluar juga cerita apa yang dia nampak. Raiya terdiam seketika.

P'Malee rasa seram tetapi ingin tahu juga.
“Macam mana tu?”
“Raiya tak pasti la P'. Sat sangat.”
“Raiya nak teruskan lagi ka jumpa dengan tuan?”
Raiya angguk.

“Mmm..... Raiya nak tunggu juga ka? P’ rasa depa masuk restoran tadi. Mesti depa balik ke arah sini juga kalau nak ke kedai motor tu.”

“Sat.” Raiya berfikir.

“P’ nampak Raiya macam teruk jugak ni. P’ ingat kita pi balik dulu ka. Rehat. Lepas tu bila-bila kita mai lagi sekali, naa, naa?”

“Tak pa P'. Raiya rehat sat saja ni. Raiya tak mau buat lambat. Nanti Raiya lambat balik kampung.”

“Betoi ka nak tunggu jugak ni? Kalau nampak lembaga hitam tu lagi, lagu mana?”

“P' tolong Raiya,” balas Raiya.

“P’ nak tolong lagu mana? Kalau nak suruh P’ halau tu, P’ mana boleh nampak menatang tu.”

Raiya pun terdiam. Sekali dia ketawa kerana terlintas satu peristiwa ketika dia dan P’Malee kecil dahulu. Memang P’Malee rapat dengannya dan kakak sepupunya memang prihatin terhadap keperluannya. Kalau di kampung dulu, P’Maleelah yang menghalau budak-budak nakal yang sering mengganggunya. Aksi P’Malee menghalau mereka buat Raiya ketawa.

“Kalau ada P’, Raiya tak risau. Raiya tau P’ boleh tolong Raiya,” balas Raiya sekali lagi.

******

AMIR memerhati gelagat dua orang gadis yang asyik memandang ke arah mereka. Seperti biasa dia dan Khaleef akan singgah makan di kedai yang berdekatan MotorTrack selepas menunaikan solat Jumaat. Inilah untung kalau jadi pembantu Khaleef. Tidaklah tertakluk kepada kekangan waktu kerja seperti kebanyakan kerja pejabat. Namun, sebagai pembantu, ada kalanya dia perlu mengorbankan masa juga untuk kerja tidak kira waktu. Khaleef sedang melayan nasi kerabu manakala dia dengan nasi dagang ketika dia perasan ada dua gadis seperti memperhatikan mereka. Bila dia pandang ke arah mereka, nampak seperti mereka sedang berbual antara satu sama lain. Kedua gadis itu berdiri betul-betul di hadapan bangunan, seolah-olah sedang menunggu seseorang atau pun kenderaan. Hairannya juga, tempat menunggu mereka itu bukan tempat kebiasaan teksi atau pun kereta yang berhenti. Mungkin dia sahaja yang terlebih perasan. Kali ini Amir buat sesuatu. Dia menggunakan telefon pintarnya. Butang video ditekan dan dengan berhati-hati dia merekod pergerakan kedua-dua gadis tersebut.

“What are you doing?” soal Khaleef.

“Saya tengah investigate jap.”

“Huh? Apa hal tu?”

“Nanti saya update bos,” balas Amir dan menyambung makan. Dibiarkan rakaman berlangsung lebih dua minit sebelum menekan butang berhenti. Amir melihat semula rakaman tersebut. Dia tersengih. Nampak sangat kedua-dua gadis itu memang memerhatikan mereka. Amir terus memandang ke arah mereka, yang nampaknya terkejut bila dia mula melambai. Siap pura-pura berbual semula.

“Saya suspek ada dua orang awek tengah usha kita,” beritahu Amir kepada Khaleef tentang penemuannya sambil menunjukkan pita rakaman.

“Jangan nak perasan. Ramai orang di sinilah,” balas Khaleef tanpa langsung mahu melihat. Hanya nasi kerabu di hadapannya sahaja yang diutamakan.

Amir tidak puas hati. “Memang diorang tengah tengok kitalah bos. Ingat-ingat lupa seperti pernah terserempak tadi,” beritahunya lagi. Dia menunjuk ke arah kedua-dua gadis yang kini sudah membelakangi mereka.

Khaleef langsung tidak memberi perhatian.
“Biarlah. Makan cepat.”

Amir masih lagi mahu mempertahankan teorinya walaupun Khaleef sudah memanggil pelayan untuk membayar makanan. Sampai di MotoTrack pun Amir masih lagi pasti dengan pendapatnya bila dilihat melalui cermin kedai bagaimana kedua-dua gadis itu bersembunyi di sebalik dinding sambil melihat-lihat mereka. Terlalu menonjol sekali terutama gadis yang memakai baju seperti pelangi itu. Namun, bosnya, Khaleef buat tidak endah sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience